PROLOG
ANGIN mengelus lembut, menyapa pipi sang arjuna yang sedang
lena diulit mimpi. Terjaga dirinya, sebelum mengusap wajah. Tangan kirinya
meraba-raba telefon bimbit. Sudah jam lima pagi. Dia harus segera bangun dan
mempersiapkan diri. Subuh sudah memanggil untuk sujud kepada Ilahi pencipta
segenap alam dan isi.
"Toha.
Bangun..." Naufal menggerakkan temannya saat dia sudah bertuala di
pinggang. Pemuda berambut kerinting itu masih belum mahu bangun. Naufal
menggosok matanya beberapa kali sebelum menggerak Toha lagi. Pemuda itu mulai
bergerak sedikit.
"Ya,
aku bangun ni..." Balas Toha, kemalas-malasan. Dia bingkas duduk dan
menggeliat. Naufal tersenyum nipis melihat temannya. Taman perumahan itu masih
sunyi. Hanya kedengaran suara Bilal Kassim yang sedang mengaji Quran di corong
pembesar suara Surau Al-Muttaqin. Kebiasaannya, bilal tua itu akan membaca
dahulu ayat-ayat Allah sebelum azan Subuh. Mahu menggerakkan masyarakat untuk
tunduk menyembah Yang Maha Esa.
Naufal
membersihkan diri, sebelum memakai pakaian solat dan wangi-wangian. Dia
menunggu Toha di ruang tamu. Beberapa minit berselang, pemuda itu sudah siap
siaga menuruni anak tangga bersama pakaian untuk beribadah. Kedengaran suara
Bilal Kassim melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah bermula.
"Mana
kopiahnya?" Soal Naufal. Toha meraba-raba kepalanya. Aduh, terlupa pula.
Dia kembali mendaki anak tangga. Naufal tersenyum sahaja melihatnya. Sudah dia
biasa melihat Toha kelam-kabut sebegitu. Toha kembali semula ke bawah sambil
memakai kopiahnya. Mereka keluar dari rumah sewa itu sebelum berjalan kaki
menuju ke surau Al-Muttaqin.
"Kelas kau pukul berapa hari ni,
Fal?" Soal Toha ketika mereka berjalan melintasi rumah Haji Musa. Sudah
cerah separuhnya. Pasti imam tua itu sudah ke surau lebih awal dari mereka
berdua. Naufal termenung seketika, mengingati jadual kelasnya. Semester yang
baru sahaja bermula menjanjikan sesuatu yang berbeza buatnya.
"Pukul
8:30 pagi. Kelas budak part 5. Kau
pulak?" Soal Naufal. Toha tersengih bila disoal begitu. Barangkali Naufal
sudah lupa, bahawasanya semester ini dia tidak mengajar mana-mana kelas kerana
menyambung pengajiannya.
"Aku
kan baru nak mula sambung PHD. Mana nak ada kelas, Fal oi..." Ujar Toha.
Naufal menepuk dahinya. Hampir terlupa pula dia akan hal itu. Mana mungkin Toha
ada kelas semester ini. Pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat
PHD tidak dibenarkan mengajar.
"Ya
tak ya. Lupa pulak aku, bro. Banyak
sangat fikir, haha." Serentak Naufal membalas sebelum kedua-duanya ketawa.
Mereka berjalan memasuki perkarangan surau. Kelihatan Haji Musa sedang menunggu
anak lelakinya Amir menanggalkan selipar di kaki tangga surau. Anak bongsunya
yang berusia lingkungan lapan tahun itu rajin mengikutnya ke surau.
"Assalamualaikum,
haji..." Ucap Naufal dari jauh. Haji Musa berpaling. Tersenyum lebar dia
tatkala melihat Naufal dan Toha hadir ke surau itu. Nampaknya, dia tidak
berseorangan kali ini bersolat bersama Bilal Kassim. Sudah ada jemaah yang
kembali memakmurkan surau itu. Mereka bersalaman sebelum bersama-sama mendaki
anak tangga.
"Mana
kamu berdua hilang? Tinggal saya dengan bilal aja yang solat..." Suara
Haji Musa sedikit kecewa mengingat kembali peristiwa di mana hanya dia dan
Bilal Kassim sahaja yang menjadi makmum dewasa. Kebanyakan penduduk di situ
tidak ramai berjemaah di surau. Naufal dan Toha tersenyum mendengarnya.
Sememangnya mereka tiada di kawasan perumahan itu dua hari lepas kerana
masing-masing masih di kampung halaman.
"Kami
masih di kampung, haji. Maklumlah, cutinya sekejap saja. Cuma seminggu. Kerja
macam kami ni cutinya bukan macam student
biasa. Kena mohon juga." Ujar Toha dengan nada berseloroh. Ketiga-tiga
mereka tertawa. Amir yang mendengar hanya terkebil-kebil. Mungkin dia masih
belum memahami akan perihal orang dewasa.
"Hah,
macam mana dengan PHD kamu, Toha? Bila mulanya?" Soal Haji Musa.
"Lagi
dua minggu saya berangkat ke Amerika. Sekarang tengah siapkan apa-apa yang
patut. Yalah, bukan senang nak belajar balik lepas dah lama mengajar
ni..." Balas Toha. Naufal hanya mendengar sahaja. Mereka berbicara sambil
melangkah memasuki surau Al-Muttaqin itu. Kelihatan Bilal Kassim sedang berehat
di tiang seri surau, menunggu makmum sampai. Mereka merapati Bilal Kassim
sebelum bersalaman.
"Nasib
baik kamu berdua ada. Hiduplah sikit surau kita ni. Saya sedih bila penduduk
yang lain tak ramai nak berjemaah di sini
lagi-lagi waktu Subuh begini. Dah penat mengajak, tak juga dijejaknya
kaki ke mari..." Ucap Bilal Kassim, meluahkan kekecewaan. Naufal segera
memegang lembut lengannya, tanda memujuk agar tidak terlalu bersedih.
"Tak
mengapa, bilal. Kita usaha mana yang boleh saja. Jangan 'mati' surau ni,
dahlah..." Naufal menguatkan kembali semangat bilal tua itu. Dia tahu di
zaman sebegini sangat sukar untuk mengajak manusia kembali berjemaah di surau
itu.
"Terlanjur
kamu dah ada ni, Fal...jemputlah naik jadi imam. Dah lama tak dengar suara
kamu..." Ujar Haji Musa. Gumam sejenak Naufal mendengarnya. Dia cuba
menolak lembut namun pantas ditolak Haji Musa hingga ke hamparan sejadah imam.
Bilal Kassim kemudiannya melaungkan iqamat. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Naufal
menjadi imam. Semoga keberkatan melimpahi penduduk di sekitar taman perumahan
itu.
NABILA
terbangun saat mendengar
telefon bimbitnya berbunyi. Sudah hampir pukul enam. Dia menggosok matanya
sebelum membetulkan belakang badannya yang lenguh. Tidurnya kali ini agak
statik, berbeza dari yang sebelumnya. Dia melirih ke kanan sebelum duduk. Lampu
meja kecil dibuka. Kelihatan rakan baiknya Anna sedang mengomel sendirian di sebelah
katil sana. Matanya masih terpejam. Barangkali dia mengigau termimpikan
sesuatu.
"Na,
bangun...dah Subuh..." Ujar Nabila dengan suara separa lemah. Digerakkan
tubuh si gadis berwajah kacukan Arab itu namun dia masih liat. Matanya masih
terlekap, sedang omelannya makin bertambah. Tersenyum Nabila melihat temannya
sebegitu. Digerakkannya buat kali kedua, kali ini lebih kuat sedikit.
"Ya...aku
bangun ni..." Balas Anna, sedikit geram. Dia menggeliat sambil menguap.
Pantas Nabila menutup mulut Anna dengan telapak tangannya. Anna terperanjat
dengan reaksi spontan begitu. Sudahlah tidurnya dikejutkan, dikatupnya mulut
sampai begitu sekali.
"Tutup
mulut bila menguap, nanti syaitan masuk. Lagi berat nak solat Subuh tau."
Ujar Nabila. Dia menarik hidung Anna sebelum ketawa kecil. Si gadis mengomel
marah.
"Aku
ke toilet dulu. Kau jangan tidur
balik pulak tau!" Ujar Nabila sebelum menuruni katil. Dia mencapai tuala
dan menapak menuju ke bilik air. Anna hanya mengangguk antara dengar atau tidak
sahaja. Dia memerhatikan Nabila memasuki bilik air sebelum dia kembali
berbaring dan menarik selimut. Kemalasan kembali menyelubungi dirinya.
"Anna!"
Nabila melaung saat membuka kembali pintu. Sudah dijangka gadis itu akan
kembali berbaring dan menyambung tidur. Anna bingkas bangun dan tersenyum
lebar. Nabila menggeleng melihat keletahnya. Dia kembali mengatup pintu bilik
air. Anna menghela nafas panjang. Hilang sedikit rasa mengantuk yang menguasai
dirinya.
Selesai
bersolat, masing-masing sibuk mempersiapkan diri untuk pergi ke kuliah. Pagi
ini, kelas mereka bakal bermula jam 8:30 pagi. Subjek yang paling baru untuk
dipelajari. Animasi. Entah mengapalah pelajar penyiaran seperti mereka harus
belajar subjek itu.
"Kau
agak-agak, sir tu garang tak
hah?" Soal Anna tatkala mereka sedang menikmati sarapan pagi di kafeteria.
Nabila mengangkat bahu. Dia sendiri kurang pasti. Roti sandwich dijamah dengan
perlahan-lahan. Beberapa orang teman melambai kepadanya sebelum dia juga
kembali membalas lambaian. Suasana kafeteria itu mulai hingar dengan kehadiran
para pelajar.
"Tak
kisahlah dia garang ke, ganas ke, yang penting kita belajar dan buat assignment yang dia bagi. Masa belajar
ni memang mencabar. Esok kalau dah kerja, lagi mencabar." Nabila membalas
ketika bicara mereka terhenti seketika. Anna mengangguk sahaja. Ada betulnya
juga kata-kata si Nabila itu. Kalau tak berani sahut cabaran masa belajar ni,
dah bekerja esok lagilah teruk.
"Senior ada cakap, lecturer kita ni jenis yang garang. Strict. No excuses. Harap-harap semua tu
tak betul, Bel. Haih, susah kalau dapat lecturer
macam tu..." Anna mengeluh lagi. Nabila ketawa kecil sambil
menggelengkan kepalanya.
"Apa
yang susahnya? Baguslah kalau macam tu. Takkan ada yang dapat 'kipas' pensyarah
lagi. So, markah pun akan dikira berdasarkan
prestasi, bukannya 'mengipas' sana-sini. Barulah adil." Nabila memberikan
pendiriannya. Sekali lagi Anna terpukul dengan penjelasan Nabila. Ah, mungkin
dia terlalu gementar. Sepatutnya dia lebih tenang dan bersedia dengan apa jua
kemungkinan, bukannya andaian. Mereka menghabiskan makanan sebelum menapak menuju
ke kelas. Sedang mereka menunggu untuk memasuki lif, kedua-duanya disapa oleh
seseorang. Mereka berpaling, dan nyata orang yang menyapa itu bukanlah jenis
yang mereka suka.
Maria.
Si perempuan
'sihir'. Gadis berambut panjang lurus melepasi paras bahu itu mengukir
senyuman. Anna geram melihatnya. Sudahlah gedik, mengada-ngada, bajet cantik
pulak tu! Maria menanti lif bersebelahan mereka. Sesekali dia melirih melihat
mereka berdua. Nabila hanya diam sahaja. Dia tidak mahu berbicara apa-apa. Dia
tahu siapa Maria. Gadis cantik yang menjadi rebutan di fakulti. Maria popular
kerana pernah berlakon dalam beberapa drama di kaca televisyen - itupun sebagai
watak sampingan. Dia terkenal dengan sifat angkuh dan mengada-ngadanya.
Anna
melihatnya dengan rasa geram. Dia masih menyimpan dendam di hati kerana
keceluparan gadis itu semester lepas. Mahu saja dilepaskan penumbuknya ke muka
gadis itu lantaran fitnah yang dijajanya ke seluruh fakulti. Maria mereka
cerita mengatakan bahawa Anna gadis yang bernafsu songsang. Lesbian. Hanya
kerana dia berkawan baik dengan Nabila menjadikan mereka dilabel sebegitu.
Seminggu dia tidak hadir ke kuliah kerana terlalu tertekan dengan fitnah yang
disebarkan.
Dari
kejauhan, kelihatan kelibat Naufal menapak menuju ke lif utama bersama begnya.
Wajahnya biasa. Semangat untuk memulakan kuliah pertama berkobar-kobar di
jiwanya. Ketiga-tiga mereka memandang pensyarah muda itu. Senyuman dilemparkan,
namun tidak dibalas Naufal. Dia berdiri tegak di hadapan lif, menunggu waktu
untuk memasukinya.
"Hai,
sir!" Sapa, Maria dengan mesra.
Naufal hanya mengangkat kening. Tiada balasan sapaan diberikan kepada gadis
tersebut. Tebal muka Maria menahan malu. Anna dan Nabila tersenyum melihat
gelagat Maria yang gagal memikat perhatian pensyarah itu. Pintu lif terbuka dan
mereka berempat masuk ke dalamnya. Butang tingkat 3 ditekan. Wajah Naufal masih
biasa, tiada senyuman mahupun keceriaan dilemparkan kepada Maria. Gadis itu
membisu, mencari bicara untuk diluahkan.
"Sir mengajar kelas kami nanti,
kan?" Soal Maria tiba-tiba. Naufal mengangguk pantas.
"Saya
Maria, one of your students. Tak
sabar nak belajar animation dengan sir!" Ujar Maria lagi sambil
menghulurkan tangan untuk bersalaman. Seboleh-bolehnya dia mahu berbicara lagi
dengan pensyarah itu. Naufal memandang Maria sambil menggelengkan kepala. Pintu
lif mulai terbuka. Sebelum melangkah, dia sempat berbicara;
"Bukan
muhrim, mana boleh bersalaman..." Ujar Naufal sebelum menapak keluar dari
lif. Dia memasuki pejabat ICT dengan pantas. Maria terkebil-kebil melihatnya.
Sudahlah tidak dilayan, dikenakan pula bab agama kepadanya. Menyampah! Nabila
dan Anna merah muka menahan ketawa. Baru padan dengan muka si Maria tu!
Mengada-ngada sangat! Mereka berdua berjalan meninggalkan gadis gedik yang malu
sendirian di tepi lif menuju ke makmal komputer.
"Padan
muka si Maria tu. Menggedik sangat! Puas hati aku bila sir Naufal kenakan dia balik. Malu besar dia dibuatnya. Lepas ni,
mesti dia senyap aja dalam kelas. Dah kena tepek
sekali! Hihi!" Anna berbisik kepada Nabila ketika mereka mengambil
tempat duduk. Mereka suka duduk di tengah-tengah kelas, tidak terlalu hadapan
dan tidak terlalu belakang. Maria pula sudah awal-awal lagi menempah tempat
duduk di hadapan, betul-betul di depan meja pensyarah. Nampak gayanya, dia
masih belum puas ditempelak Naufal.
Nabila
hanya melihat sahaja gelagat Maria. Di hatinya, dia hairan melihat orang
berperangai sebegitu. Baginya, untuk apa memiliki wajah cantik andai perangai
tidak bisa diubah menjadi rendah diri dan malu bertempat. Semakin tinggi
kesombongannya, semakin jelik orang melihat. Anna mengeluarkan buku nota dan
alat tulisnya, sementara Nabila melirih ke arah telefon bimbitnya. Dia melihat
kalau-kalau ada yang menarik di akaun Twitternya.
Kehidupan gadis semasa sepertinya banyak dihabiskan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.
Anna melirih
sedikit ke arah Nabila. Nyata, gadis itu masih menjadi stalker dan melihat akaun Twitter milik bekas kekasihnya dahulu. Gadis
itu menggeleng pantas sambil mencuit bahu Nabila.
"Kau
dah kenapa, Bel? Sudah-sudahlah tu. Jangan dikenang lagi si bodoh yang curang dengan
kau tu. Kadang-kadang aku kesian tengok kau jadi stalker si mamat tak guna tu..." Ucap Anna sebelum menghela nafas
panjang. Nabila diam sahaja mendengar leteran Anna. Dia tahu rakannya itu bimbang
dan mengambil berat akannya. Namun, hatinya masih terpaut pada lelaki bernama Zayd
itu. Meskipun Zayd memutuskan hubungan namun dia masih mengharap lelaki itu pulang
ke pangkuannya.
"Cinta,
susah nak dibuang Anna. Ambil masa..." Nabila membalas lembut.
"Ambil
masa sampai bila? 20 tahun? Wei, jangan buat gilalah Bel. Kau kena sedar jantan
tak guna tu dah ada pengganti. Bukan main seksi lagi. Aku tak sanggup tengok kau
macam ni, Bel. Nak aja aku pergi cari si Zayd tu dan bagi dua tiga das penumbuk!"
Anna meluahkan marahnya. Nabila tersenyum pahit. Dia kembali menyimpan telefon bimbitnya
sebelum dikeluarkan buku nota dan sebatang pena.
Pintu makmal
dibuka. Naufal melangkah masuk sambil memberikan salam. Kesemua pelajar yang
hadir menjawab salamnya. Dia menapak menuju ke hadapan sebelum meletakkan beg
di atas kerusi biru. Wajahnya serius memandang kesemua ahli kelas. Dia
mengeluarkan senarai nama sebelum meneliti sejenak. Kemudiannya, dia mula
membilang jumlah yang hadir. Cukup kesemuanya.
"Assalamualaikum
warahmatullah. Nama saya Mohd Naufal Bin Hanzalah. Berasal dari Penang. Saya akan mengajar kamu semua tentang
subjek animasi. Sebelum memulakan pengajaran, saya nak minta semua baca Al-Fatihah
semoga pembelajaran hari ini diberkati. Al-Fatihah..." Ujar Naufal. Kelas menjadi
senyap dan kesemua anak muridnya terkumat-kamit membaca Al-Fatihah. Melihatkan wajah
Maria, membuatkan Naufal terperasan sesuatu. Dia tidak membaca apa-apa, malah sibuk
dengan telefon pintarnya.
"Awak
dengar tak apa yang saya cakap tadi?" Soal Naufal, serius. Maria memandangnya
sambil tersenyum simpul. Dia meletakkan telefon bimbitnya sebelum tersengih-sengih
memandang Naufal yang kelihatan menyinga itu.
"I'm sorry, sir..." Ucap Maria.
"Jangan
cari pasal dengan saya. Saya sukar diduga." Balas Naufal. Dia kembali ke mejanya
sebelum membuka beg galas. Beberapa orang pelajar ketawa kecil di belakang. Maria
memandang mereka dengan penuh geram. Dimalukan buat kali kedua dalam masa yang sama.
Belum pernah ada pensyarah yang tidak suka akannya. Dia begitu obses dan yakin dengan
kecantikan dirinya. Pasti si Naufal ini buta kayu dan tidak memiliki citarasa terhadap
wanita!
***