Sunday, October 6, 2013

NOVEL BERSIRI: JINGGA PELANGI

PROLOG
            ANGIN mengelus lembut, menyapa pipi sang arjuna yang sedang lena diulit mimpi. Terjaga dirinya, sebelum mengusap wajah. Tangan kirinya meraba-raba telefon bimbit. Sudah jam lima pagi. Dia harus segera bangun dan mempersiapkan diri. Subuh sudah memanggil untuk sujud kepada Ilahi pencipta segenap alam dan isi.
            "Toha. Bangun..." Naufal menggerakkan temannya saat dia sudah bertuala di pinggang. Pemuda berambut kerinting itu masih belum mahu bangun. Naufal menggosok matanya beberapa kali sebelum menggerak Toha lagi. Pemuda itu mulai bergerak sedikit.
            "Ya, aku bangun ni..." Balas Toha, kemalas-malasan. Dia bingkas duduk dan menggeliat. Naufal tersenyum nipis melihat temannya. Taman perumahan itu masih sunyi. Hanya kedengaran suara Bilal Kassim yang sedang mengaji Quran di corong pembesar suara Surau Al-Muttaqin. Kebiasaannya, bilal tua itu akan membaca dahulu ayat-ayat Allah sebelum azan Subuh. Mahu menggerakkan masyarakat untuk tunduk menyembah Yang Maha Esa.
            Naufal membersihkan diri, sebelum memakai pakaian solat dan wangi-wangian. Dia menunggu Toha di ruang tamu. Beberapa minit berselang, pemuda itu sudah siap siaga menuruni anak tangga bersama pakaian untuk beribadah. Kedengaran suara Bilal Kassim melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah bermula.
            "Mana kopiahnya?" Soal Naufal. Toha meraba-raba kepalanya. Aduh, terlupa pula. Dia kembali mendaki anak tangga. Naufal tersenyum sahaja melihatnya. Sudah dia biasa melihat Toha kelam-kabut sebegitu. Toha kembali semula ke bawah sambil memakai kopiahnya. Mereka keluar dari rumah sewa itu sebelum berjalan kaki menuju ke surau Al-Muttaqin.
             "Kelas kau pukul berapa hari ni, Fal?" Soal Toha ketika mereka berjalan melintasi rumah Haji Musa. Sudah cerah separuhnya. Pasti imam tua itu sudah ke surau lebih awal dari mereka berdua. Naufal termenung seketika, mengingati jadual kelasnya. Semester yang baru sahaja bermula menjanjikan sesuatu yang berbeza buatnya.
            "Pukul 8:30 pagi. Kelas budak part 5. Kau pulak?" Soal Naufal. Toha tersengih bila disoal begitu. Barangkali Naufal sudah lupa, bahawasanya semester ini dia tidak mengajar mana-mana kelas kerana menyambung pengajiannya.
            "Aku kan baru nak mula sambung PHD. Mana nak ada kelas, Fal oi..." Ujar Toha. Naufal menepuk dahinya. Hampir terlupa pula dia akan hal itu. Mana mungkin Toha ada kelas semester ini. Pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat PHD tidak dibenarkan mengajar.
            "Ya tak ya. Lupa pulak aku, bro. Banyak sangat fikir, haha." Serentak Naufal membalas sebelum kedua-duanya ketawa. Mereka berjalan memasuki perkarangan surau. Kelihatan Haji Musa sedang menunggu anak lelakinya Amir menanggalkan selipar di kaki tangga surau. Anak bongsunya yang berusia lingkungan lapan tahun itu rajin mengikutnya ke surau.
            "Assalamualaikum, haji..." Ucap Naufal dari jauh. Haji Musa berpaling. Tersenyum lebar dia tatkala melihat Naufal dan Toha hadir ke surau itu. Nampaknya, dia tidak berseorangan kali ini bersolat bersama Bilal Kassim. Sudah ada jemaah yang kembali memakmurkan surau itu. Mereka bersalaman sebelum bersama-sama mendaki anak tangga.
            "Mana kamu berdua hilang? Tinggal saya dengan bilal aja yang solat..." Suara Haji Musa sedikit kecewa mengingat kembali peristiwa di mana hanya dia dan Bilal Kassim sahaja yang menjadi makmum dewasa. Kebanyakan penduduk di situ tidak ramai berjemaah di surau. Naufal dan Toha tersenyum mendengarnya. Sememangnya mereka tiada di kawasan perumahan itu dua hari lepas kerana masing-masing masih di kampung halaman.
            "Kami masih di kampung, haji. Maklumlah, cutinya sekejap saja. Cuma seminggu. Kerja macam kami ni cutinya bukan macam student biasa. Kena mohon juga." Ujar Toha dengan nada berseloroh. Ketiga-tiga mereka tertawa. Amir yang mendengar hanya terkebil-kebil. Mungkin dia masih belum memahami akan perihal orang dewasa.
            "Hah, macam mana dengan PHD kamu, Toha? Bila mulanya?" Soal Haji Musa.
            "Lagi dua minggu saya berangkat ke Amerika. Sekarang tengah siapkan apa-apa yang patut. Yalah, bukan senang nak belajar balik lepas dah lama mengajar ni..." Balas Toha. Naufal hanya mendengar sahaja. Mereka berbicara sambil melangkah memasuki surau Al-Muttaqin itu. Kelihatan Bilal Kassim sedang berehat di tiang seri surau, menunggu makmum sampai. Mereka merapati Bilal Kassim sebelum bersalaman.
            "Nasib baik kamu berdua ada. Hiduplah sikit surau kita ni. Saya sedih bila penduduk yang lain tak ramai nak berjemaah di sini  lagi-lagi waktu Subuh begini. Dah penat mengajak, tak juga dijejaknya kaki ke mari..." Ucap Bilal Kassim, meluahkan kekecewaan. Naufal segera memegang lembut lengannya, tanda memujuk agar tidak terlalu bersedih.
            "Tak mengapa, bilal. Kita usaha mana yang boleh saja. Jangan 'mati' surau ni, dahlah..." Naufal menguatkan kembali semangat bilal tua itu. Dia tahu di zaman sebegini sangat sukar untuk mengajak manusia kembali berjemaah di surau itu.
            "Terlanjur kamu dah ada ni, Fal...jemputlah naik jadi imam. Dah lama tak dengar suara kamu..." Ujar Haji Musa. Gumam sejenak Naufal mendengarnya. Dia cuba menolak lembut namun pantas ditolak Haji Musa hingga ke hamparan sejadah imam. Bilal Kassim kemudiannya melaungkan iqamat. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Naufal menjadi imam. Semoga keberkatan melimpahi penduduk di sekitar taman perumahan itu.


NABILA terbangun saat mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Sudah hampir pukul enam. Dia menggosok matanya sebelum membetulkan belakang badannya yang lenguh. Tidurnya kali ini agak statik, berbeza dari yang sebelumnya. Dia melirih ke kanan sebelum duduk. Lampu meja kecil dibuka. Kelihatan rakan baiknya Anna sedang mengomel sendirian di sebelah katil sana. Matanya masih terpejam. Barangkali dia mengigau termimpikan sesuatu.
            "Na, bangun...dah Subuh..." Ujar Nabila dengan suara separa lemah. Digerakkan tubuh si gadis berwajah kacukan Arab itu namun dia masih liat. Matanya masih terlekap, sedang omelannya makin bertambah. Tersenyum Nabila melihat temannya sebegitu. Digerakkannya buat kali kedua, kali ini lebih kuat sedikit.
            "Ya...aku bangun ni..." Balas Anna, sedikit geram. Dia menggeliat sambil menguap. Pantas Nabila menutup mulut Anna dengan telapak tangannya. Anna terperanjat dengan reaksi spontan begitu. Sudahlah tidurnya dikejutkan, dikatupnya mulut sampai begitu sekali.
            "Tutup mulut bila menguap, nanti syaitan masuk. Lagi berat nak solat Subuh tau." Ujar Nabila. Dia menarik hidung Anna sebelum ketawa kecil. Si gadis mengomel marah.
            "Aku ke toilet dulu. Kau jangan tidur balik pulak tau!" Ujar Nabila sebelum menuruni katil. Dia mencapai tuala dan menapak menuju ke bilik air. Anna hanya mengangguk antara dengar atau tidak sahaja. Dia memerhatikan Nabila memasuki bilik air sebelum dia kembali berbaring dan menarik selimut. Kemalasan kembali menyelubungi dirinya.
            "Anna!" Nabila melaung saat membuka kembali pintu. Sudah dijangka gadis itu akan kembali berbaring dan menyambung tidur. Anna bingkas bangun dan tersenyum lebar. Nabila menggeleng melihat keletahnya. Dia kembali mengatup pintu bilik air. Anna menghela nafas panjang. Hilang sedikit rasa mengantuk yang menguasai dirinya.
            Selesai bersolat, masing-masing sibuk mempersiapkan diri untuk pergi ke kuliah. Pagi ini, kelas mereka bakal bermula jam 8:30 pagi. Subjek yang paling baru untuk dipelajari. Animasi. Entah mengapalah pelajar penyiaran seperti mereka harus belajar subjek itu.
            "Kau agak-agak, sir tu garang tak hah?" Soal Anna tatkala mereka sedang menikmati sarapan pagi di kafeteria. Nabila mengangkat bahu. Dia sendiri kurang pasti. Roti sandwich dijamah dengan perlahan-lahan. Beberapa orang teman melambai kepadanya sebelum dia juga kembali membalas lambaian. Suasana kafeteria itu mulai hingar dengan kehadiran para pelajar.
            "Tak kisahlah dia garang ke, ganas ke, yang penting kita belajar dan buat assignment yang dia bagi. Masa belajar ni memang mencabar. Esok kalau dah kerja, lagi mencabar." Nabila membalas ketika bicara mereka terhenti seketika. Anna mengangguk sahaja. Ada betulnya juga kata-kata si Nabila itu. Kalau tak berani sahut cabaran masa belajar ni, dah bekerja esok lagilah teruk.
            "Senior ada cakap, lecturer kita ni jenis yang garang. Strict. No excuses. Harap-harap semua tu tak betul, Bel. Haih, susah kalau dapat lecturer macam tu..." Anna mengeluh lagi. Nabila ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.
            "Apa yang susahnya? Baguslah kalau macam tu. Takkan ada yang dapat 'kipas' pensyarah lagi. So, markah pun akan dikira berdasarkan prestasi, bukannya 'mengipas' sana-sini. Barulah adil." Nabila memberikan pendiriannya. Sekali lagi Anna terpukul dengan penjelasan Nabila. Ah, mungkin dia terlalu gementar. Sepatutnya dia lebih tenang dan bersedia dengan apa jua kemungkinan, bukannya andaian. Mereka menghabiskan makanan sebelum menapak menuju ke kelas. Sedang mereka menunggu untuk memasuki lif, kedua-duanya disapa oleh seseorang. Mereka berpaling, dan nyata orang yang menyapa itu bukanlah jenis yang mereka suka.
            Maria.
            Si perempuan 'sihir'. Gadis berambut panjang lurus melepasi paras bahu itu mengukir senyuman. Anna geram melihatnya. Sudahlah gedik, mengada-ngada, bajet cantik pulak tu! Maria menanti lif bersebelahan mereka. Sesekali dia melirih melihat mereka berdua. Nabila hanya diam sahaja. Dia tidak mahu berbicara apa-apa. Dia tahu siapa Maria. Gadis cantik yang menjadi rebutan di fakulti. Maria popular kerana pernah berlakon dalam beberapa drama di kaca televisyen - itupun sebagai watak sampingan. Dia terkenal dengan sifat angkuh dan mengada-ngadanya.
            Anna melihatnya dengan rasa geram. Dia masih menyimpan dendam di hati kerana keceluparan gadis itu semester lepas. Mahu saja dilepaskan penumbuknya ke muka gadis itu lantaran fitnah yang dijajanya ke seluruh fakulti. Maria mereka cerita mengatakan bahawa Anna gadis yang bernafsu songsang. Lesbian. Hanya kerana dia berkawan baik dengan Nabila menjadikan mereka dilabel sebegitu. Seminggu dia tidak hadir ke kuliah kerana terlalu tertekan dengan fitnah yang disebarkan.
            Dari kejauhan, kelihatan kelibat Naufal menapak menuju ke lif utama bersama begnya. Wajahnya biasa. Semangat untuk memulakan kuliah pertama berkobar-kobar di jiwanya. Ketiga-tiga mereka memandang pensyarah muda itu. Senyuman dilemparkan, namun tidak dibalas Naufal. Dia berdiri tegak di hadapan lif, menunggu waktu untuk memasukinya.
            "Hai, sir!" Sapa, Maria dengan mesra. Naufal hanya mengangkat kening. Tiada balasan sapaan diberikan kepada gadis tersebut. Tebal muka Maria menahan malu. Anna dan Nabila tersenyum melihat gelagat Maria yang gagal memikat perhatian pensyarah itu. Pintu lif terbuka dan mereka berempat masuk ke dalamnya. Butang tingkat 3 ditekan. Wajah Naufal masih biasa, tiada senyuman mahupun keceriaan dilemparkan kepada Maria. Gadis itu membisu, mencari bicara untuk diluahkan.
            "Sir mengajar kelas kami nanti, kan?" Soal Maria tiba-tiba. Naufal mengangguk pantas.
            "Saya Maria, one of your students. Tak sabar nak belajar animation dengan sir!" Ujar Maria lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Seboleh-bolehnya dia mahu berbicara lagi dengan pensyarah itu. Naufal memandang Maria sambil menggelengkan kepala. Pintu lif mulai terbuka. Sebelum melangkah, dia sempat berbicara;
            "Bukan muhrim, mana boleh bersalaman..." Ujar Naufal sebelum menapak keluar dari lif. Dia memasuki pejabat ICT dengan pantas. Maria terkebil-kebil melihatnya. Sudahlah tidak dilayan, dikenakan pula bab agama kepadanya. Menyampah! Nabila dan Anna merah muka menahan ketawa. Baru padan dengan muka si Maria tu! Mengada-ngada sangat! Mereka berdua berjalan meninggalkan gadis gedik yang malu sendirian di tepi lif menuju ke makmal komputer.
            "Padan muka si Maria tu. Menggedik sangat! Puas hati aku bila sir Naufal kenakan dia balik. Malu besar dia dibuatnya. Lepas ni, mesti dia senyap aja dalam kelas. Dah kena tepek sekali! Hihi!" Anna berbisik kepada Nabila ketika mereka mengambil tempat duduk. Mereka suka duduk di tengah-tengah kelas, tidak terlalu hadapan dan tidak terlalu belakang. Maria pula sudah awal-awal lagi menempah tempat duduk di hadapan, betul-betul di depan meja pensyarah. Nampak gayanya, dia masih belum puas ditempelak Naufal.
            Nabila hanya melihat sahaja gelagat Maria. Di hatinya, dia hairan melihat orang berperangai sebegitu. Baginya, untuk apa memiliki wajah cantik andai perangai tidak bisa diubah menjadi rendah diri dan malu bertempat. Semakin tinggi kesombongannya, semakin jelik orang melihat. Anna mengeluarkan buku nota dan alat tulisnya, sementara Nabila melirih ke arah telefon bimbitnya. Dia melihat kalau-kalau ada yang menarik di akaun Twitternya. Kehidupan gadis semasa sepertinya banyak dihabiskan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.
            Anna melirih sedikit ke arah Nabila. Nyata, gadis itu masih menjadi stalker dan melihat akaun Twitter milik bekas kekasihnya dahulu. Gadis itu menggeleng pantas sambil mencuit bahu Nabila.
            "Kau dah kenapa, Bel? Sudah-sudahlah tu. Jangan dikenang lagi si bodoh yang curang dengan kau tu. Kadang-kadang aku kesian tengok kau jadi stalker si mamat tak guna tu..." Ucap Anna sebelum menghela nafas panjang. Nabila diam sahaja mendengar leteran Anna. Dia tahu rakannya itu bimbang dan mengambil berat akannya. Namun, hatinya masih terpaut pada lelaki bernama Zayd itu. Meskipun Zayd memutuskan hubungan namun dia masih mengharap lelaki itu pulang ke pangkuannya.
            "Cinta, susah nak dibuang Anna. Ambil masa..." Nabila membalas lembut.
            "Ambil masa sampai bila? 20 tahun? Wei, jangan buat gilalah Bel. Kau kena sedar jantan tak guna tu dah ada pengganti. Bukan main seksi lagi. Aku tak sanggup tengok kau macam ni, Bel. Nak aja aku pergi cari si Zayd tu dan bagi dua tiga das penumbuk!" Anna meluahkan marahnya. Nabila tersenyum pahit. Dia kembali menyimpan telefon bimbitnya sebelum dikeluarkan buku nota dan sebatang pena.  
            Pintu makmal dibuka. Naufal melangkah masuk sambil memberikan salam. Kesemua pelajar yang hadir menjawab salamnya. Dia menapak menuju ke hadapan sebelum meletakkan beg di atas kerusi biru. Wajahnya serius memandang kesemua ahli kelas. Dia mengeluarkan senarai nama sebelum meneliti sejenak. Kemudiannya, dia mula membilang jumlah yang hadir. Cukup kesemuanya.
            "Assalamualaikum warahmatullah. Nama saya Mohd Naufal Bin Hanzalah. Berasal dari Penang. Saya akan mengajar kamu semua tentang subjek animasi. Sebelum memulakan pengajaran, saya nak minta semua baca Al-Fatihah semoga pembelajaran hari ini diberkati. Al-Fatihah..." Ujar Naufal. Kelas menjadi senyap dan kesemua anak muridnya terkumat-kamit membaca Al-Fatihah. Melihatkan wajah Maria, membuatkan Naufal terperasan sesuatu. Dia tidak membaca apa-apa, malah sibuk dengan telefon pintarnya.
            "Awak dengar tak apa yang saya cakap tadi?" Soal Naufal, serius. Maria memandangnya sambil tersenyum simpul. Dia meletakkan telefon bimbitnya sebelum tersengih-sengih memandang Naufal yang kelihatan menyinga itu.
            "I'm sorry, sir..." Ucap Maria.
            "Jangan cari pasal dengan saya. Saya sukar diduga." Balas Naufal. Dia kembali ke mejanya sebelum membuka beg galas. Beberapa orang pelajar ketawa kecil di belakang. Maria memandang mereka dengan penuh geram. Dimalukan buat kali kedua dalam masa yang sama. Belum pernah ada pensyarah yang tidak suka akannya. Dia begitu obses dan yakin dengan kecantikan dirinya. Pasti si Naufal ini buta kayu dan tidak memiliki citarasa terhadap wanita!

***

Friday, March 1, 2013

DOSA KELMARIN

Seorang sahabat mengajukan soalan kepadaku perihal dirinya:

"Apa pandanganmu bila mana mendengar keaiban yang pernah kulakukan? Keaiban yang menjadikan Allah memurkai daku, bahkan Nabi melaknat dan mencelaku?"

Saya jawab dengan senyuman.

"Sejujurnya, aku hanya mendengar dari orang lain perihal dosa kelmarin kamu. Namun di sudut hati aku mendoakan semoga engkau pulang ke pangkal jalan. Aku tidak melihat engkau sebagaimana jijiknya mereka melihatmu. Namun aku melihat kesedihan yang terpaksa ditanggung engkau lantaran dungunya mereka yang menyisihkanmu. Aku yakin engkau tidak meminta dijadikan bernafsu begitu. Bukan jua fitrahmu, sahabat. Inilah dugaan yang diberikan Dia kepadaMu. "

Dia membisu, sebelum melontarkan penjelasan akan dirinya.

"Aku sedar kebodohan yang kulakukan. Bukannya aku tidak mahu bertaubat ketika itu tetapi masyarakat mencemuh dan menghinaku terang-terangan. Mereka berkeras denganku, tiada langsung memberi peluang untukku tinggalkannya dengan baik. Bahkan, pandangan mereka kepadaku jauh lebih hina dari seorang penzina. Aku sedih sekali wahai sahabat. Lalu kepada siapakah lagi harus aku mengadu? Aku malu dengan Allah. Bahkan untuk menadah tangan sekalipun aku malu kerana aku telah melakukan dosa umat Nabi Luth."

Aku mengukir senyuman. Dalam kedinginan malam, aku bertanya lagi tentang apa yang telah dilaluinya. Dijelaskan padaku beberapa pengalaman yang menjadikan dia lebih memahami akan apa yang telah diuji kepadanya.

"Alhamdulillah kini, aku sudah bertaubat dan kembali berubah menjadi Muslim yang baik. Pengalaman lampau menjadikan aku lebih matang dan memahami akan mereka-mereka ini. Sebaiknya jangan disisih, dihina, dikutuk, bahkan mereka harus ditarbiah dengan baik. Benar perbuatan mereka menjadikan mereka dilaknat Tuhan, namun jauh di sudut hati mereka mahu berubah. Bukannya mereka tidak tahu akan dosa besar menjadi songsang. Kerna cemuhan dan sindiran masyarakat menjadikan mereka enggan berubah diri."

Bicaranya polos, mencerminkan ketulusan dan keikhlasan hati. Aku tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah, Allah mengembalikan nur iman di dalam jiwanya. Menggemburkan hati dengan keyakinan maghfirahNya. Moga Allah memberkahi dan mengampuni dosa kamu, sahabatku. Engkau telah melalui suatu pengalaman yang dahsyat, hingga menjadikan engkau dicela seumur hidup. Namun lihatlah adilnya Maha Suci Allah. Dia mentarbiahmu dalam dugaan, menjadikan engkau lebih mulia sebenarnya. Engkau lebih memahami mereka berbanding si polan yang menuding jari membabi buta. Bersabarlah sahabatku dengan masyarakat sekelilingmu, kerna kesabaran itu menjanjikan sesuatu yang baik buat kamu kelak.

*Saya garapkan ini berdasarkan cerita sebenar namun diubah gaya penulisannya. Kita seorang pendosa. Mengapa perlu mengutuk mereka yang berdosa? Apakah kita mahu menjadi Tuhan? Selayaknya mereka yang berdosa didakwah dengan penuh hikmah. Jangan dirobek kepercayaan mereka kepada agama lantaran KEBODOHAN kita!