Friday, December 18, 2015

NOVEL BERSIRI: MENGULIR TAKDIR

PROLOG
KENANGAN.

Segalanya masih bugar saat dia memutar kenangan silam. Semuanya silih berganti, bagai menari-nari di dalam benaknya. Seboleh mungkin dia cuba menafsir makna sebenar kasih sayang, dan nyata semuanya tampak gagal bahkan sia-sia. Terdiam dalam ruang cakerawala fikirannya sendiri, memikirkan apa yang bakal berlaku pada detik seterusnya. Tuhan bukan menghinanya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung, namun mungkin jua dia perlu sedikit masa untuk memahami.
         “Lupakan kenangan lama, cipta kenangan baru...” Tasha mengungkap azimat buat mengukuhkan semangat dan jiwanya. Sungguh, dia tak betah berkeadaan begini. Namun bagaimana lagi harus dilampiaskan kesedihan hati? Apakah dia perlu gembira saat segalanya bagai tiada peluang buatnya? Haruskah dirinya membutakan mata hati dengan membiarkan segalanya berlalu tanpa penyelesaian?
                    “Saya tak kuat, Tasha.” Balas Liyana sebelum gumam sendiri.
            “Kerana seorang lelaki, awak terus jadi lemah?” Tasha memulangkan persoalan yang sebetulnya dia sendiri maklum. Kasar bunyinya, namun jauh di sudut hati Liyana membenarkan.
            “Haih, saya tak sangka dia sudah memiliki isteri...” Liyana mengeluh lagi. Kali ini keluhannya panjang dan tak bertepi. Tasha mengusap bahu temannya. Dia tahu, bukan mudah menjadi seorang Fara. Gadis berhijab yang cantik, berkacukan Arab-Siam, menjadi kegilaan setiap pelajar di kampus suatu masa dahulu. Bahkan, dia sendiri terkena tempias apabila dilabelkan ‘rakan sang bidadari’.
            Fara duduk di jendela sambil mengira bintang di langit. Mata sepetnya dipejam sejenak, sebelum empangan air matanya pecah sekali lagi. Tasha memeluknya dengan erat. Tidak sanggup rasanya membiarkan sahabat itu menangis kerana kejelekan sikap seorang lelaki. Mengaku bujang padahal sudah beristeri!
            “Fara, janganlah begini. Saya tak mahu awak bersedih lagi. Tenangkanlah fikiran itu dahulu, jangan diikutkan sangat perasaan.” Tasha memujuk dengan penuh lembut. Belasan tahun menjadi sahabat, mana mungkin tegar membiarkan kemurungan dan kekecewaan bersarang di hati Fara.
            “Benarlah kata orang, bukan senang mencari yang terbaik. Saya hanya mahu kejujuran dan kasih sayang, itu sahaja. Mengapa setelah dua tahun mengikat kasih sayang, barulah terbongkar semuanya? Mengapa tidak di awal pertemuan?” Fara mula mempersoalkan takdir dirinya. Tasha mengusap laju bahu Fara.
            “Kerana Tuhan mahu menjelaskan, bahawa jangan mudah melepaskan hati kepada sesiapapun selain Dia...” Tasha memujuk dalam nasihat. Mahu menggemburkan hati yang sudah layu kerana seorang suami orang. Fara terkesima sejenak, sebelum mengakui kata-kata sahabat baiknya itu. Terlalu mudah dia termakan janji, hingga acapkali diperkotak-katikkan oleh manusia berjantina lelaki. Hingga terkadang, dia merasa seperti si murahan di lorong-lorong kota yang dahagakan wang atas nama nafsu semata!
            “Berkopiah pun belum menjamin syurga...” Fara menambah, melepaskan rasa geram yang bersarang di hatinya. Terbayang dia akan kepolosan lelaki bernama Fazli itu. Ah, pedihnya fikiran memikirkan luka semalam!
            “Cop! Jangan disalahkan pakaian agama, namun sandarkannya kepada si pemakainya sahaja. Agama itu menguatkan, bukan menjadi topengan untuk melunaskan nafsu dan janji manis.” Tasha membetulkan persepsi Fara. Gadis itu memandang kembali Tasha.
            “Wah, boleh tahan juga madah awak, Tasha...” Ujar Fara sebelum berderai ketawa mereka berdua. Sudah puas hati berduka, mengapa tidak dihiaskan tawa sekali-sekala? Mereka berpelukan sebelum Tasha menjanjikan sesuatu.
            “Malam ini, biar saya masakkan sesuatu yang istimewa untuk Fara!”
            “Tolonglah jangan cakap Maggi Hailam lagi? Naik jelak saya...” Usik Fara sebelum Tasha mencubit lengannya. Kedua-duanya tertawa kecil.
            “Perli saya, eh? Saya nak masak sup ayam untuk awak. Nak bagi awak kenyang dan lupakan si bingai itu. Saya tak mahu awak bersedih lagi, Fara.” Jelas Tasha sebelum Fara mengangguk dengan ukiran senyuman. Dia memeluk Tasha sekali lagi dengan senyuman bersulam tangis.
            “Terima kasih, Tasha. Saya sayang awak...” Ucap Fara.
            “Sama-sama, Fara. Bukankah kita sahabat?” Balas Tasha yang juga sebak dalam gembira. Sebak kerana mengenang memori bersahabat, dan gembira kerana Fara tidak lagi memikirkan perihal sang keparat. Moga Tuhan membalas setiap penipuan kepada lelaki bernama Fazli itu dengan sebaik-baik pembalasan!

***

Monday, October 26, 2015

Komik Baru



Assalamualaikum warahmatullah...
Rasanya, sudah terlalu lama tidak memuatnaik sebarang paparan atau karya di dalam blog saya ini. Kali terakhir ialah pada 2013. Bermaksud, sudah hampir setahun lebih blog ini sunyi dan bersawang. Maklumlah, masa yang terlalu pantas menghiris setiap ruang dan peluang saya. Kali ini, saya bugarkan kembali dengan dua ceritera. Pertama, penubuhan GoJe Studio iaitu sebuah studio kreatif kecil yang mula beroperasi pada awal Oktober 2015. Masih baru dan segar. Komik, lukisan, animasi, kaligrafi, buku, semuanya bakal dikeluarkan oleh studio ini dalam masa akan datang. Semoga segalanya lebih manis dan berjaya kelak. InshaAllah.

Kedua, komik Caen: Warkah Dari Hati.

Asalnya, saya mahu menerbitkan sendiri komik berjudul 'Geng Paranormal' yang berkisar mengenai dua orang rakan bernama Joe dan Syawal. Mereka adalah ejen penangkap hantu yang berusaha menjejak dan mengurung kembali hantu-hantu yang mengganggu manusia di Malaysia. Tapi, setelah memikirkan bahawa saya masih baru dalam dunia pembikinan komik dan memerlukan sebuah naskhah yang jitu dan menyentuh jiwa, maka saya bawakan komik Caen buat tatapan anda nanti. Cerita seorang budak lelaki bernama Caen yang menghidap penyakit 'autisme'. Dia berkawan baik dengan Wawa, anak kecil yang baru tiba dari bandar. Pelbagai pengalaman menarik dilakukan bersama. Saya tak boleh cerita lebih-lebih, tapi inshaAllah naskhah ini bakal menjadi sangat menarik.

Baiklah, semoga kita bersua lagi. Terima kasih kerana membaca coretan kecil ini. Semoga Tuhan memuliakan anda sebagaimana anda memuliakanNya.

Assalamualaikum warahmatullah...

"Go je!"

Sunday, October 6, 2013

NOVEL BERSIRI: JINGGA PELANGI

PROLOG
            ANGIN mengelus lembut, menyapa pipi sang arjuna yang sedang lena diulit mimpi. Terjaga dirinya, sebelum mengusap wajah. Tangan kirinya meraba-raba telefon bimbit. Sudah jam lima pagi. Dia harus segera bangun dan mempersiapkan diri. Subuh sudah memanggil untuk sujud kepada Ilahi pencipta segenap alam dan isi.
            "Toha. Bangun..." Naufal menggerakkan temannya saat dia sudah bertuala di pinggang. Pemuda berambut kerinting itu masih belum mahu bangun. Naufal menggosok matanya beberapa kali sebelum menggerak Toha lagi. Pemuda itu mulai bergerak sedikit.
            "Ya, aku bangun ni..." Balas Toha, kemalas-malasan. Dia bingkas duduk dan menggeliat. Naufal tersenyum nipis melihat temannya. Taman perumahan itu masih sunyi. Hanya kedengaran suara Bilal Kassim yang sedang mengaji Quran di corong pembesar suara Surau Al-Muttaqin. Kebiasaannya, bilal tua itu akan membaca dahulu ayat-ayat Allah sebelum azan Subuh. Mahu menggerakkan masyarakat untuk tunduk menyembah Yang Maha Esa.
            Naufal membersihkan diri, sebelum memakai pakaian solat dan wangi-wangian. Dia menunggu Toha di ruang tamu. Beberapa minit berselang, pemuda itu sudah siap siaga menuruni anak tangga bersama pakaian untuk beribadah. Kedengaran suara Bilal Kassim melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah bermula.
            "Mana kopiahnya?" Soal Naufal. Toha meraba-raba kepalanya. Aduh, terlupa pula. Dia kembali mendaki anak tangga. Naufal tersenyum sahaja melihatnya. Sudah dia biasa melihat Toha kelam-kabut sebegitu. Toha kembali semula ke bawah sambil memakai kopiahnya. Mereka keluar dari rumah sewa itu sebelum berjalan kaki menuju ke surau Al-Muttaqin.
             "Kelas kau pukul berapa hari ni, Fal?" Soal Toha ketika mereka berjalan melintasi rumah Haji Musa. Sudah cerah separuhnya. Pasti imam tua itu sudah ke surau lebih awal dari mereka berdua. Naufal termenung seketika, mengingati jadual kelasnya. Semester yang baru sahaja bermula menjanjikan sesuatu yang berbeza buatnya.
            "Pukul 8:30 pagi. Kelas budak part 5. Kau pulak?" Soal Naufal. Toha tersengih bila disoal begitu. Barangkali Naufal sudah lupa, bahawasanya semester ini dia tidak mengajar mana-mana kelas kerana menyambung pengajiannya.
            "Aku kan baru nak mula sambung PHD. Mana nak ada kelas, Fal oi..." Ujar Toha. Naufal menepuk dahinya. Hampir terlupa pula dia akan hal itu. Mana mungkin Toha ada kelas semester ini. Pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat PHD tidak dibenarkan mengajar.
            "Ya tak ya. Lupa pulak aku, bro. Banyak sangat fikir, haha." Serentak Naufal membalas sebelum kedua-duanya ketawa. Mereka berjalan memasuki perkarangan surau. Kelihatan Haji Musa sedang menunggu anak lelakinya Amir menanggalkan selipar di kaki tangga surau. Anak bongsunya yang berusia lingkungan lapan tahun itu rajin mengikutnya ke surau.
            "Assalamualaikum, haji..." Ucap Naufal dari jauh. Haji Musa berpaling. Tersenyum lebar dia tatkala melihat Naufal dan Toha hadir ke surau itu. Nampaknya, dia tidak berseorangan kali ini bersolat bersama Bilal Kassim. Sudah ada jemaah yang kembali memakmurkan surau itu. Mereka bersalaman sebelum bersama-sama mendaki anak tangga.
            "Mana kamu berdua hilang? Tinggal saya dengan bilal aja yang solat..." Suara Haji Musa sedikit kecewa mengingat kembali peristiwa di mana hanya dia dan Bilal Kassim sahaja yang menjadi makmum dewasa. Kebanyakan penduduk di situ tidak ramai berjemaah di surau. Naufal dan Toha tersenyum mendengarnya. Sememangnya mereka tiada di kawasan perumahan itu dua hari lepas kerana masing-masing masih di kampung halaman.
            "Kami masih di kampung, haji. Maklumlah, cutinya sekejap saja. Cuma seminggu. Kerja macam kami ni cutinya bukan macam student biasa. Kena mohon juga." Ujar Toha dengan nada berseloroh. Ketiga-tiga mereka tertawa. Amir yang mendengar hanya terkebil-kebil. Mungkin dia masih belum memahami akan perihal orang dewasa.
            "Hah, macam mana dengan PHD kamu, Toha? Bila mulanya?" Soal Haji Musa.
            "Lagi dua minggu saya berangkat ke Amerika. Sekarang tengah siapkan apa-apa yang patut. Yalah, bukan senang nak belajar balik lepas dah lama mengajar ni..." Balas Toha. Naufal hanya mendengar sahaja. Mereka berbicara sambil melangkah memasuki surau Al-Muttaqin itu. Kelihatan Bilal Kassim sedang berehat di tiang seri surau, menunggu makmum sampai. Mereka merapati Bilal Kassim sebelum bersalaman.
            "Nasib baik kamu berdua ada. Hiduplah sikit surau kita ni. Saya sedih bila penduduk yang lain tak ramai nak berjemaah di sini  lagi-lagi waktu Subuh begini. Dah penat mengajak, tak juga dijejaknya kaki ke mari..." Ucap Bilal Kassim, meluahkan kekecewaan. Naufal segera memegang lembut lengannya, tanda memujuk agar tidak terlalu bersedih.
            "Tak mengapa, bilal. Kita usaha mana yang boleh saja. Jangan 'mati' surau ni, dahlah..." Naufal menguatkan kembali semangat bilal tua itu. Dia tahu di zaman sebegini sangat sukar untuk mengajak manusia kembali berjemaah di surau itu.
            "Terlanjur kamu dah ada ni, Fal...jemputlah naik jadi imam. Dah lama tak dengar suara kamu..." Ujar Haji Musa. Gumam sejenak Naufal mendengarnya. Dia cuba menolak lembut namun pantas ditolak Haji Musa hingga ke hamparan sejadah imam. Bilal Kassim kemudiannya melaungkan iqamat. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Naufal menjadi imam. Semoga keberkatan melimpahi penduduk di sekitar taman perumahan itu.


NABILA terbangun saat mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Sudah hampir pukul enam. Dia menggosok matanya sebelum membetulkan belakang badannya yang lenguh. Tidurnya kali ini agak statik, berbeza dari yang sebelumnya. Dia melirih ke kanan sebelum duduk. Lampu meja kecil dibuka. Kelihatan rakan baiknya Anna sedang mengomel sendirian di sebelah katil sana. Matanya masih terpejam. Barangkali dia mengigau termimpikan sesuatu.
            "Na, bangun...dah Subuh..." Ujar Nabila dengan suara separa lemah. Digerakkan tubuh si gadis berwajah kacukan Arab itu namun dia masih liat. Matanya masih terlekap, sedang omelannya makin bertambah. Tersenyum Nabila melihat temannya sebegitu. Digerakkannya buat kali kedua, kali ini lebih kuat sedikit.
            "Ya...aku bangun ni..." Balas Anna, sedikit geram. Dia menggeliat sambil menguap. Pantas Nabila menutup mulut Anna dengan telapak tangannya. Anna terperanjat dengan reaksi spontan begitu. Sudahlah tidurnya dikejutkan, dikatupnya mulut sampai begitu sekali.
            "Tutup mulut bila menguap, nanti syaitan masuk. Lagi berat nak solat Subuh tau." Ujar Nabila. Dia menarik hidung Anna sebelum ketawa kecil. Si gadis mengomel marah.
            "Aku ke toilet dulu. Kau jangan tidur balik pulak tau!" Ujar Nabila sebelum menuruni katil. Dia mencapai tuala dan menapak menuju ke bilik air. Anna hanya mengangguk antara dengar atau tidak sahaja. Dia memerhatikan Nabila memasuki bilik air sebelum dia kembali berbaring dan menarik selimut. Kemalasan kembali menyelubungi dirinya.
            "Anna!" Nabila melaung saat membuka kembali pintu. Sudah dijangka gadis itu akan kembali berbaring dan menyambung tidur. Anna bingkas bangun dan tersenyum lebar. Nabila menggeleng melihat keletahnya. Dia kembali mengatup pintu bilik air. Anna menghela nafas panjang. Hilang sedikit rasa mengantuk yang menguasai dirinya.
            Selesai bersolat, masing-masing sibuk mempersiapkan diri untuk pergi ke kuliah. Pagi ini, kelas mereka bakal bermula jam 8:30 pagi. Subjek yang paling baru untuk dipelajari. Animasi. Entah mengapalah pelajar penyiaran seperti mereka harus belajar subjek itu.
            "Kau agak-agak, sir tu garang tak hah?" Soal Anna tatkala mereka sedang menikmati sarapan pagi di kafeteria. Nabila mengangkat bahu. Dia sendiri kurang pasti. Roti sandwich dijamah dengan perlahan-lahan. Beberapa orang teman melambai kepadanya sebelum dia juga kembali membalas lambaian. Suasana kafeteria itu mulai hingar dengan kehadiran para pelajar.
            "Tak kisahlah dia garang ke, ganas ke, yang penting kita belajar dan buat assignment yang dia bagi. Masa belajar ni memang mencabar. Esok kalau dah kerja, lagi mencabar." Nabila membalas ketika bicara mereka terhenti seketika. Anna mengangguk sahaja. Ada betulnya juga kata-kata si Nabila itu. Kalau tak berani sahut cabaran masa belajar ni, dah bekerja esok lagilah teruk.
            "Senior ada cakap, lecturer kita ni jenis yang garang. Strict. No excuses. Harap-harap semua tu tak betul, Bel. Haih, susah kalau dapat lecturer macam tu..." Anna mengeluh lagi. Nabila ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.
            "Apa yang susahnya? Baguslah kalau macam tu. Takkan ada yang dapat 'kipas' pensyarah lagi. So, markah pun akan dikira berdasarkan prestasi, bukannya 'mengipas' sana-sini. Barulah adil." Nabila memberikan pendiriannya. Sekali lagi Anna terpukul dengan penjelasan Nabila. Ah, mungkin dia terlalu gementar. Sepatutnya dia lebih tenang dan bersedia dengan apa jua kemungkinan, bukannya andaian. Mereka menghabiskan makanan sebelum menapak menuju ke kelas. Sedang mereka menunggu untuk memasuki lif, kedua-duanya disapa oleh seseorang. Mereka berpaling, dan nyata orang yang menyapa itu bukanlah jenis yang mereka suka.
            Maria.
            Si perempuan 'sihir'. Gadis berambut panjang lurus melepasi paras bahu itu mengukir senyuman. Anna geram melihatnya. Sudahlah gedik, mengada-ngada, bajet cantik pulak tu! Maria menanti lif bersebelahan mereka. Sesekali dia melirih melihat mereka berdua. Nabila hanya diam sahaja. Dia tidak mahu berbicara apa-apa. Dia tahu siapa Maria. Gadis cantik yang menjadi rebutan di fakulti. Maria popular kerana pernah berlakon dalam beberapa drama di kaca televisyen - itupun sebagai watak sampingan. Dia terkenal dengan sifat angkuh dan mengada-ngadanya.
            Anna melihatnya dengan rasa geram. Dia masih menyimpan dendam di hati kerana keceluparan gadis itu semester lepas. Mahu saja dilepaskan penumbuknya ke muka gadis itu lantaran fitnah yang dijajanya ke seluruh fakulti. Maria mereka cerita mengatakan bahawa Anna gadis yang bernafsu songsang. Lesbian. Hanya kerana dia berkawan baik dengan Nabila menjadikan mereka dilabel sebegitu. Seminggu dia tidak hadir ke kuliah kerana terlalu tertekan dengan fitnah yang disebarkan.
            Dari kejauhan, kelihatan kelibat Naufal menapak menuju ke lif utama bersama begnya. Wajahnya biasa. Semangat untuk memulakan kuliah pertama berkobar-kobar di jiwanya. Ketiga-tiga mereka memandang pensyarah muda itu. Senyuman dilemparkan, namun tidak dibalas Naufal. Dia berdiri tegak di hadapan lif, menunggu waktu untuk memasukinya.
            "Hai, sir!" Sapa, Maria dengan mesra. Naufal hanya mengangkat kening. Tiada balasan sapaan diberikan kepada gadis tersebut. Tebal muka Maria menahan malu. Anna dan Nabila tersenyum melihat gelagat Maria yang gagal memikat perhatian pensyarah itu. Pintu lif terbuka dan mereka berempat masuk ke dalamnya. Butang tingkat 3 ditekan. Wajah Naufal masih biasa, tiada senyuman mahupun keceriaan dilemparkan kepada Maria. Gadis itu membisu, mencari bicara untuk diluahkan.
            "Sir mengajar kelas kami nanti, kan?" Soal Maria tiba-tiba. Naufal mengangguk pantas.
            "Saya Maria, one of your students. Tak sabar nak belajar animation dengan sir!" Ujar Maria lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Seboleh-bolehnya dia mahu berbicara lagi dengan pensyarah itu. Naufal memandang Maria sambil menggelengkan kepala. Pintu lif mulai terbuka. Sebelum melangkah, dia sempat berbicara;
            "Bukan muhrim, mana boleh bersalaman..." Ujar Naufal sebelum menapak keluar dari lif. Dia memasuki pejabat ICT dengan pantas. Maria terkebil-kebil melihatnya. Sudahlah tidak dilayan, dikenakan pula bab agama kepadanya. Menyampah! Nabila dan Anna merah muka menahan ketawa. Baru padan dengan muka si Maria tu! Mengada-ngada sangat! Mereka berdua berjalan meninggalkan gadis gedik yang malu sendirian di tepi lif menuju ke makmal komputer.
            "Padan muka si Maria tu. Menggedik sangat! Puas hati aku bila sir Naufal kenakan dia balik. Malu besar dia dibuatnya. Lepas ni, mesti dia senyap aja dalam kelas. Dah kena tepek sekali! Hihi!" Anna berbisik kepada Nabila ketika mereka mengambil tempat duduk. Mereka suka duduk di tengah-tengah kelas, tidak terlalu hadapan dan tidak terlalu belakang. Maria pula sudah awal-awal lagi menempah tempat duduk di hadapan, betul-betul di depan meja pensyarah. Nampak gayanya, dia masih belum puas ditempelak Naufal.
            Nabila hanya melihat sahaja gelagat Maria. Di hatinya, dia hairan melihat orang berperangai sebegitu. Baginya, untuk apa memiliki wajah cantik andai perangai tidak bisa diubah menjadi rendah diri dan malu bertempat. Semakin tinggi kesombongannya, semakin jelik orang melihat. Anna mengeluarkan buku nota dan alat tulisnya, sementara Nabila melirih ke arah telefon bimbitnya. Dia melihat kalau-kalau ada yang menarik di akaun Twitternya. Kehidupan gadis semasa sepertinya banyak dihabiskan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.
            Anna melirih sedikit ke arah Nabila. Nyata, gadis itu masih menjadi stalker dan melihat akaun Twitter milik bekas kekasihnya dahulu. Gadis itu menggeleng pantas sambil mencuit bahu Nabila.
            "Kau dah kenapa, Bel? Sudah-sudahlah tu. Jangan dikenang lagi si bodoh yang curang dengan kau tu. Kadang-kadang aku kesian tengok kau jadi stalker si mamat tak guna tu..." Ucap Anna sebelum menghela nafas panjang. Nabila diam sahaja mendengar leteran Anna. Dia tahu rakannya itu bimbang dan mengambil berat akannya. Namun, hatinya masih terpaut pada lelaki bernama Zayd itu. Meskipun Zayd memutuskan hubungan namun dia masih mengharap lelaki itu pulang ke pangkuannya.
            "Cinta, susah nak dibuang Anna. Ambil masa..." Nabila membalas lembut.
            "Ambil masa sampai bila? 20 tahun? Wei, jangan buat gilalah Bel. Kau kena sedar jantan tak guna tu dah ada pengganti. Bukan main seksi lagi. Aku tak sanggup tengok kau macam ni, Bel. Nak aja aku pergi cari si Zayd tu dan bagi dua tiga das penumbuk!" Anna meluahkan marahnya. Nabila tersenyum pahit. Dia kembali menyimpan telefon bimbitnya sebelum dikeluarkan buku nota dan sebatang pena.  
            Pintu makmal dibuka. Naufal melangkah masuk sambil memberikan salam. Kesemua pelajar yang hadir menjawab salamnya. Dia menapak menuju ke hadapan sebelum meletakkan beg di atas kerusi biru. Wajahnya serius memandang kesemua ahli kelas. Dia mengeluarkan senarai nama sebelum meneliti sejenak. Kemudiannya, dia mula membilang jumlah yang hadir. Cukup kesemuanya.
            "Assalamualaikum warahmatullah. Nama saya Mohd Naufal Bin Hanzalah. Berasal dari Penang. Saya akan mengajar kamu semua tentang subjek animasi. Sebelum memulakan pengajaran, saya nak minta semua baca Al-Fatihah semoga pembelajaran hari ini diberkati. Al-Fatihah..." Ujar Naufal. Kelas menjadi senyap dan kesemua anak muridnya terkumat-kamit membaca Al-Fatihah. Melihatkan wajah Maria, membuatkan Naufal terperasan sesuatu. Dia tidak membaca apa-apa, malah sibuk dengan telefon pintarnya.
            "Awak dengar tak apa yang saya cakap tadi?" Soal Naufal, serius. Maria memandangnya sambil tersenyum simpul. Dia meletakkan telefon bimbitnya sebelum tersengih-sengih memandang Naufal yang kelihatan menyinga itu.
            "I'm sorry, sir..." Ucap Maria.
            "Jangan cari pasal dengan saya. Saya sukar diduga." Balas Naufal. Dia kembali ke mejanya sebelum membuka beg galas. Beberapa orang pelajar ketawa kecil di belakang. Maria memandang mereka dengan penuh geram. Dimalukan buat kali kedua dalam masa yang sama. Belum pernah ada pensyarah yang tidak suka akannya. Dia begitu obses dan yakin dengan kecantikan dirinya. Pasti si Naufal ini buta kayu dan tidak memiliki citarasa terhadap wanita!

***

Friday, March 1, 2013

DOSA KELMARIN

Seorang sahabat mengajukan soalan kepadaku perihal dirinya:

"Apa pandanganmu bila mana mendengar keaiban yang pernah kulakukan? Keaiban yang menjadikan Allah memurkai daku, bahkan Nabi melaknat dan mencelaku?"

Saya jawab dengan senyuman.

"Sejujurnya, aku hanya mendengar dari orang lain perihal dosa kelmarin kamu. Namun di sudut hati aku mendoakan semoga engkau pulang ke pangkal jalan. Aku tidak melihat engkau sebagaimana jijiknya mereka melihatmu. Namun aku melihat kesedihan yang terpaksa ditanggung engkau lantaran dungunya mereka yang menyisihkanmu. Aku yakin engkau tidak meminta dijadikan bernafsu begitu. Bukan jua fitrahmu, sahabat. Inilah dugaan yang diberikan Dia kepadaMu. "

Dia membisu, sebelum melontarkan penjelasan akan dirinya.

"Aku sedar kebodohan yang kulakukan. Bukannya aku tidak mahu bertaubat ketika itu tetapi masyarakat mencemuh dan menghinaku terang-terangan. Mereka berkeras denganku, tiada langsung memberi peluang untukku tinggalkannya dengan baik. Bahkan, pandangan mereka kepadaku jauh lebih hina dari seorang penzina. Aku sedih sekali wahai sahabat. Lalu kepada siapakah lagi harus aku mengadu? Aku malu dengan Allah. Bahkan untuk menadah tangan sekalipun aku malu kerana aku telah melakukan dosa umat Nabi Luth."

Aku mengukir senyuman. Dalam kedinginan malam, aku bertanya lagi tentang apa yang telah dilaluinya. Dijelaskan padaku beberapa pengalaman yang menjadikan dia lebih memahami akan apa yang telah diuji kepadanya.

"Alhamdulillah kini, aku sudah bertaubat dan kembali berubah menjadi Muslim yang baik. Pengalaman lampau menjadikan aku lebih matang dan memahami akan mereka-mereka ini. Sebaiknya jangan disisih, dihina, dikutuk, bahkan mereka harus ditarbiah dengan baik. Benar perbuatan mereka menjadikan mereka dilaknat Tuhan, namun jauh di sudut hati mereka mahu berubah. Bukannya mereka tidak tahu akan dosa besar menjadi songsang. Kerna cemuhan dan sindiran masyarakat menjadikan mereka enggan berubah diri."

Bicaranya polos, mencerminkan ketulusan dan keikhlasan hati. Aku tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah, Allah mengembalikan nur iman di dalam jiwanya. Menggemburkan hati dengan keyakinan maghfirahNya. Moga Allah memberkahi dan mengampuni dosa kamu, sahabatku. Engkau telah melalui suatu pengalaman yang dahsyat, hingga menjadikan engkau dicela seumur hidup. Namun lihatlah adilnya Maha Suci Allah. Dia mentarbiahmu dalam dugaan, menjadikan engkau lebih mulia sebenarnya. Engkau lebih memahami mereka berbanding si polan yang menuding jari membabi buta. Bersabarlah sahabatku dengan masyarakat sekelilingmu, kerna kesabaran itu menjanjikan sesuatu yang baik buat kamu kelak.

*Saya garapkan ini berdasarkan cerita sebenar namun diubah gaya penulisannya. Kita seorang pendosa. Mengapa perlu mengutuk mereka yang berdosa? Apakah kita mahu menjadi Tuhan? Selayaknya mereka yang berdosa didakwah dengan penuh hikmah. Jangan dirobek kepercayaan mereka kepada agama lantaran KEBODOHAN kita! 

Tuesday, May 15, 2012

KEHIDUPAN ADALAH UJIANNYA...

Salam.

Seringkali kita mengeluh dengan ujian yang kita hadapi sehari-harian dalam kehidupan kita. Adakalanya hingga ia menguji tahap keimanan, menggugat aras kesabaran kita tanpa kita sedari. Jika tidak dibendung, kemarahan bakal menjadi raja di hati. Saya juga begitu. Ada ketikanya saya mengeluh. "Mengapa kehidupanku tidak seperti orang lain? Harus bersusah-payah mencari nafkah sendiri, dikhianati, dipermainkan jiwa dan sanubari? Mengapa perjalanan hidup ini tidak seperti apa yang kurancangi?". Persoalan sebegitu kerap bermain di kotak pemikiran saya.

Apakah Allah itu tidak adil? Membiarkan hambaNya hanyut dalam kecelaruan hidup yang setiap detik mencengkam segenap akal dan minda kita? 

Tidak. Allah Maha Adil. Harus kita imani perkara itu di hati kita. Harus diyakini bahawa setiap musibah yang mendatang bukan menjadikan kita hina, malah mematangkan pemikiran kita. Tanpa diduga, Allah sebenarnya sedang mentarbiah kita!

Ya, Dia mentarbiah kita melalui kegagalan. Ditarbiahnya kita dengan kekecewaan. Terkadang diuji kita dengan kesakitan serta pelbagai lagi. Namun, lihatlah dengan mata hati. Allah jualah yang membuka jalan, mengizinkan setiap ujian yang kita tempuhi diselesaikan dengan penuh keajaiban Ilahi. Bukti bahawasanya Dialah Yang Maha Agung Lagi Maha Terpuji.

Seandainya kalian jatuh gugur, maka haruslah kalian bangkit dengan sendiri bertunjangkan keutuhan yakin pada Ilahi. Jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Dia selalu ada, dan memungkinkan segalanya menurut kehendak dan kebijaksanaanNya.

Berhenti merungut! Dan mulakan langkah baharu dengan perancangan kedua! 

Monday, January 16, 2012

"Hari ini banyak perkara yang terjadi, yang mematangkan aku sebagai seorang daie. Aku belajar bagaimana perasaan hati harus disembunyi saat nafsu meronta minta dipenuhi. Aku belajar memahami bagaimana Allah menghadirkan pengganti, dan aku harus melepaskan dia pergi. Aku mengetahui bagaimana hati tidak betah dipaksa, kerana kekhilafan diri sendiri. Jangan sesekali meletakkan kesalahan orang lain pada diri insan yang lainnya. Jangan sesekali bersangka buruk dengan tindakan, sebaliknya gunakan percaturan akal untuk mentafsirnya. Aku belajar menilai diri sendiri...mana buruk, mana baik untuk ku ikuti...dan aku belajar sesungguhnya hanya Dia Maha Menguji, dan kepadaNya jua kita akan kembali..."

Redha * Pasrah * Doa

Sunday, October 16, 2011

Berpaut Pada SabdaMu...kenangan...

Nasyid Berpaut Pada SabdaMu ini sangat memberikan kesan kepada diriku...lagi2 ia pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)...lirik katanya memberikan makna mendalam...hayatilah seadanya...

Ada Apa Dengan Wanita?

BERHARGANYA WANITA~~
Dia dapat mengatasi beban lebih baik dari lelaki,dia mampu menyimpan kebahagiaan dan pendapatnya sendiri,dia mampu tersenyum ketika hatinya menjerit kesedihan,mampu menyanyi ketika menangis, menangis saat terharu,bahkan tertawa ketika ketakutan.


Dia berkorban demi orang yang dicintainya,dia mampu berdiri melawan ketidakadilan,dia menangis saat melihat anaknya adalah pemenang,dia gembira dan bersorak saat kawannya tertawa bahagia,dia begitu bahagia mendengar suara kelahiran.



Dia begitu bersedih mendengar berita kesakitan dan kematian,tapi dia mampu mengatasinya.

HANYA ADA SATU YANG KURANG DARI WANITA,DIA SELALU LUPA BETAPA BERHARGANYA DIA..."
wallahu'alam... :


--------------------------------------------

Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. 


Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh.

Lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. 


Itulah hakikat tudung...

---------------------------------------------

"Kalau kita ikhlas mencintai dia kerana Allah, mengapa tangan kita masih memegang jemarinya walhal belum sah? Mengapa bibir kita mengucup bibirnya waima iman tidak rela? Mengapa hati kita merindukan dia sedangkan Allah melebihi segalanya? Apakah bila sudah bernikah, nikmat itu bertukar cacian? Tangan itu yang memukulnya, bibir itu yang mencercanya, hati itu menduakannya dengan menghadirkan orang ketiga? Tanya pada hatimu, cinta nafsu atau cinta hakiki?"
-Nasihat buat diri sendiri-

----------------------------------------------

"Bernikah besar-besaran, berpuluh ribu, terpampang di dada akhbar, tapi tak sampai tiga tahun dah bercerai...kemudian, anak menjadi mangsa. Tuntut nafkah buat anak sampai berjuta2, tak mampu nak bayar, disamannya pula...inilah lumrah...sahabat Nabi S.A.W. dulu, nikahnya mudah. Hantarannya cuma senaskhah Al-Quran. Berkatnya sampai akhir zaman...Allahuakbar...kalau mampu sekalipun, jangan terlalu bermegah2...nanti yang menanggungnya boleh hilang arah..."
-Inilah Akhir Zaman-  

Thursday, October 13, 2011

Cerpen: Tawaf Wida' Untuk Walid


“Tik! Tik! Tik!”
Sayup-sayup kedengaran bunyi seperti besi diketuk ke jalanan. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berpaling memandang, namun tiada merasai apa-apa. Sedang si pengetuk jalanan itu berhempas-pulas mencapai penghujung langkahan. Hatinya sudah bergelojak tidak sabar mahu segera ke tempat persujudan, sementelah mendengar laungan panggilan menghadap Ilahi sewaktu dia berjumpa klien di tengah-tengah bandar Temerloh.
“Antara perkara yang wajib disegerakan ialah menunaikan solat setelah masuk waktunya, mengebumikan jenazah yang sudah selesai dikafankan dan menikahkan anak gadis yang sudah menemui pasangannya...”
Masih terngiang-ngiang di corong telinganya pesanan walid sewaktu hayatnya masih ada. Ketika itu, usianya baru menjangkau awal remaja. Pernah juga dia menyoal kepada walid mengenai kekurangan dirinya. Apakah dia masih wajib untuk menunaikan ibadah kepada Allah waima penglihatan membataskan dirinya? Jawab walidnya;
“Sahabat Nabi S.A.W dahulu menggunakan tali yang diikat dari masjid Nabawi ke rumahnya semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah, apatah lagi kamu yang masih kuat dan mampu berjalan menggunakan alatan tongkatmu...”
Dia tidak pernah ingkar dengan pesanan walidnya. Baginya, waima sedari kecil dia tidak diizinkan menatap wajah suci itu, namun mata hatinya sudah melakarkan bagaimana wajah dan kebaikan seorang lelaki bergelar walid. Pernah sekali dia merungut kepada walidnya mengenai kekurangan diri. Dia sering diperlekehkan, diusik teman sepermainan. Kata walid kepadanya; “Mungkin hari ini kamu diperlekehkan teman sepermainanmu, namun percayalah kata walid, satu hari nanti orang akan mendampingi kamu, memerlukan bantuan kamu...”
“Lambat sampai hari ini, Muaz?” Soal Pak Bilal dari tangga usai si buta itu meraba-raba tangga sebelum duduk sejenak melepaskan penat. Senyuman terukir di sebalik kaca mata hitamnya. Muaz meraba kasutnya sebelum dibuka ikatan dan disusun perlahan di sudut tepi tangga.
“Tadi ada urusan dengan klien, Pak Bilal. Leka sekejap...” Balas Muaz, riang. Pak Bilal tersenyum mendengar kata-kata anak muda itu. Gigih mencari nafkah hidup waima diri sendiri kurang sempurna. Allah menarik nikmat pancainderanya untuk melihat keindahan dunia fana, namun mencelikkan hatinya untuk bekerja dan berjaya. Dia memiliki sebuah rumah, pemandu dan kereta mewah sendiri, namun berkeras mahu berjalan kaki ke masjid. Kerapkali Pak Bilal menegur supaya menggunakan kereta untuk ke masjid agar lebih mudah namun Muaz menolak dengan gurauan lembut. Katanya, Allah tidak mengira jumlah pusingan tayar kereta, namun mengira jumlah langkahan kaki. Tertawa kecil Pak Bilal mendengarnya tika itu.
“Pak Bilal tunggu saya, ya. Nak ambil wuduk sebentar...” Pinta Muaz sebelum menapak perlahan sambil tangannya meraba-raba ke hadapan mencari paip untuk mengambil air wuduk. Ada sebatang paip disediakan kira-kira dua meter dari tangga. Paip air disediakan untuk memudahkan golongan seperti Muaz segera mengambil wuduk dan tidak menyusahkannya sementelah kekurangan yang ada pada diri.
Tup! Tup! Tup!
Mikrofon kecil diketuk sedikit untuk memastikan ia berfungsi sebelum diberikan kepada genggamannya. Seperti biasa, Muaz menolak dengan senyuman kerana tidak mahu perasaan riak bertapak di hatinya namun dipujuk Pak Bilal. Dia mahukan si buta itu melaungkan iqamat. Suaranya yang merdu dan lunak bergema ke segenap corong pembesar suara masjid, mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengar. Sang imam mula memimpin solat pada petang itu. Muaz membaca setiap bait bacaan solat dengan khusyuk sehingga terkadang sesiapa sahaja yang bersolat di sisinya pasti akan menangis mendengarnya. Bukan menjadikan mereka tidak khusyuk, namun mengkagumi si buta yang masih mampu melakukan solat sedang si celik yang lainnya leka dengan dunia.
“Hari ini kamu nak hafal surah apa pula?” Soal Pak Bilal.
“Surah Ar-Rahman...” Balas Muaz. Lantas si bilal tua segera membuka lembaran Al-Quran, mencari surah yang bermaksud ‘Maha Pemurah’ itu. Usai mendapatkan halamannya, dia melihat sejenak Muaz yang berkerut dahi, memfokuskan segala pendengarannya kepada si bilal tua. Lelaki berketayap putih itu mula mengalunkan ayat-ayat dari surah Ar-Rahman. Satu demi satu ayat dialunkan bersama maksudnya, sedang Muaz mengikutnya. Begitulah rutin harian mereka berdua.
Maka nikmat Allah Taala yang manakah yang ingin kau dustakan?
Sampai sahaja di ayat itu, maka bercucuran air mata si Muaz mendengarnya. Dia menangis sejenak. Si bilal tua tersentak. Dia memandang wajah pemuda itu. Hati tuanya terusik dengan tangisan manusia yang tidak pernah menyusahkan sesiapa itu.
“Mengapa kamu menangis, Muaz?” Soal Pak Bilal. Muaz teresak-esak sebelum cuba mententeramkan keadaan dirinya. Dia teringat sesuatu saat dialunkan ayat Al-Quran dan maknanya itu.
“Pak Bilal, musim haji dah nak dekat, bukan?” Soal Muaz.
“Ya, kira-kira sebulan lagi. Mengapa?” Soal Pak Bilal kembali.
“Bila mendengar ayat tadi, saya teringatkan Walid. Dahulu, walid selalu mengukuhkan semangat kami untuk terus hidup dengan mengulangi ayat ini. Walid tidak sempat menunaikan hajinya kerana keluarga kami sangat kekurangan pada waktu itu. Saya pernah berjanji dengannya untuk menunaikan haji buatnya. Mahukah Pak Bilal membantu saya?” Pinta Muaz dengan suara serak-serak basah. Pak Bilal mengangguk namun bagaimana Muaz mahu menunaikan haji untuk ayahnya sedangkan dia masih belum membuat haji?
“Maksud kamu, kamu nak Pak Bilal tunaikan upah haji untuk ayah kamu?” Soal bilal tua. Muaz mengangguk perlahan. Dia menyeluk beg sandangnya sebelum mengeluarkan buku akaun Tabung Haji miliknya. Ditunjukkan kepada bilal tua amaun yang dikumpulnya. Melebihi seratus ribu lebih! Terkejut bukan kepalang si bilal tua melihat amaun di dalamnya. Maha Suci Allah!
“Ini duit yang saya kumpul dari umur saya lima belas tahun, pak. Saya berniat mahu ke sana namun atas kekurangan saya ini, saya memerlukan khidmat Pak Bilal untuk bersama-sama saya di sana. Bukan apa, jika di sini saya sudah biasa dengan jalannya, namun di Makkah sana amat berbeza sekali. Bolehkah Pak Bilal?” Soal Muaz lagi.
“Wah, duit ini lebih dari cukup! Pak Bilal kagum dengan kamu, Muaz...”
“Apalah gunanya duit ini kalau saya masih tidak dapat menunaikan hajat saya, Pak Bilal. Saya berusaha mengumpul duit sebanyak ini untuk memastikan saya menjadi tetamu Allah kelak di Tanah Suci. Kalau boleh, saya mahu meninggal di hadapan Kaabah...” Ucap Muaz.
“Ish, kamu ni! Kenapa kata begitu. Kamu masih muda, bukan? Manfaatkanlah usiamu selagi masih berbaki, Muaz.” Tegur Pak Bilal. Muaz tersenyum mendengar teguran dan meminta maaf kepada bilal tua. Pak Bilal berjanji akan membantunya menguruskan urusan untuk menunaikan haji di Makkah kelak. Mereka menyambung kembali pembacaan dan penterjemahan Al-Quran. Ada riak gembira memancar di wajah Muaz setelah Pak Bilal bersedia membantunya!
Anak muda tidak usah menangis selalu. Ia harus tabah menjalani kehidupan yang telah Allah rancang untuknya. Bukan mudah menempuh dunia yang penuh pancaroba ini dengan berbekalkan pancaindera yang serba lengkap, apatah lagi mereka yang diambil penglihatannya. Berjalanlah selagi mampu ke rumahNya kerana Allah mengira setiap usaha dan kegigihanmu. Bantulah mereka yang lebih memerlukan darimu kelak. Hiasilah hari-harimu dengan ayat-ayat agungNya, basahkan lidahmu dengan berzikir kepadaNya, dan selubungi hatimu dengan cahaya imanNya. Biar kita buta tidak melihat dunia, namun jangan kita buta kerana tidak dapat melihat Allah dan RasulNya di hari akhirat kelak.
Sepanjang dia berjalan menuju ke perhentian bas, kata-kata arwah walidnya itu bermain-main di mindanya. Dia tidak mahu pemandu mengambilnya dari masjid. Dia mahu mengekalkan perjalanannya seperti biasa waima sudah memiliki segalanya.
Sesekali dia menangis kerana merindukan walidnya. Semenjak umi meninggal, dia tinggal bersama walid. Dia anak tunggal. Tiada mempunyai saudara-mara yang lain. Uminya meninggal sewaktu usianya baru mencecah tiga hari akibat kekurangan bekalan darah. Walid yang banyak membentuk jiwa kentalnya, mendidik dirinya, menghiasi akhlaknya dengan kesantunan Melayu dan kesucian Islam, menjadikan dia seorang pemuda yang gagah zahir dan batinnya.
Takdir Tuhan menentukan segalanya, walid kembali dijemput Allah saat dia baru dua hari memulakan perusahaan ikan patin sangkarnya. Dia hilang arah selama seminggu, sebelum Pak Bilal berusaha memulihkan semangatnya. Walid meninggal dunia sewaktu sedang menunggunya untuk berbuka puasa bersama. Syawal pada waktu itu merupakan syawal paling menyedihkan buatnya, menjadikan dia anak yatim piatu.
“Abang nak ke mana?” Soal seorang anak muda yang mendatanginya sambil memimpin tangannya. Muaz tersenyum sambil melangkah bersama. Hatinya berbunga. Masih ada insan yang sudi membantunya waima dia sudah biasa berjalan tanpa mata.
“Abang nak ke perhentian bas...” Ucapnya.
“Oh, kebetulan saya juga mahu ke sana. Mari saya hantarkan...” Balas anak muda itu sambil memimpinnya ke perhentian bas. Mereka berjalan bersama sedang umat manusia yang lain hanya mampu memandang tanpa wajah simpati. Mungkin di hati mereka sudah terhakis rasa membantu, apatah lagi bersimpati dengan insan tiada berpenglihatan sepertinya. Benar jika dikatakan dia sudah mewah dan tidak memerlukan bantuan, tapi bagaimana dengan golongan yang senasib dengannya?
“Terima kasih, dik...” Bisik Muaz saat dia duduk di bangku perhentian bas.
“Sama-sama. Dah menjadi kewajipan saya, bang...” Balas anak muda sebelum meminta izin untuk pergi. Muaz sempat menyeluk sakunya sebelum mengeluarkan wang kertas dan menghulurkan kepada anak muda itu. Si anak muda mengembalikan genggamannya ke sisi sebelum menuturkan bait-bait indah yang jarang sekali dituturkan anak muda seusianya.
“Duit bukan persoalan, bang namun tanggungjawab Muslim atas Muslim itu yang bakal dipersoalkan kelak oleh Allah. Saya minta izin dulu. Assalamualaikum...” Balas si anak muda dengan senyuman. Muaz tersenyum kembali sambil mengangguk perlahan.   
Tap! Tap! Tap!
            Perlahan-lahan dia berjalan menyusuri lorong kecil menuju ke Masjidil Haram berpandukan tongkat kecil putihnya. Pak Bilal termengah-mengah memimpinnya sedang Muaz begitu teruja untuk kembali menghadap Kaabah lagi. Biarpun sudah dua kali dia membuat ibadah haji, namun kudratnya tetap tidak dapat menandingi anak muda itu. Semalam, buat pertama kalinya dia dapat mengucup Hajarul Aswad dan bersolat di hadapan Kaabah. Dia bertalbiah dengan semangat dan mengalunkan doa dan zikir sepanjang berada di Makkah. Entah mengapa, hari ini perasaannya berbunga-bunga untuk kembali menghadap Kaabah.
            “Pak Bilal, seumur hidup saya inilah kali pertama saya merasai ketenangan beribadah sebegini. Tiada risau, malah hati ini sangat tenang menghadap Allah. Inilah yang dikatakan keagungan dan kehebatan Baitullah yang tidak dapat kita rasai di mana-mana ceruk bumi sekalipun, bukan?” Ucap Muaz dengan nada sangat gembira. Pak Bilal mengangguk perlahan. Air matanya Muaz menitis, gembira tidak terkata kerana akhirnya Allah memilih dia menjadi tetamu di tanah barakah ini.
            “Kamu nak ke mana?” Soal Pak Bilal melihatkan Muaz melangkah menuju ke Kaabah.
            “Saya mahu tawaf...” Ucap Muaz sebelum menapak ke tempat tawaf. Pak Bilal melihat dari jauh. Pemuda itu berjalan seperti orang biasa, tiada lagi terhenti-henti. Lebih menghairankan, dia mengetahui bagaimana untuk memulakan tawaf. Seperti ada sesuatu yang memimpinnya. Lama Pak Bilal memerhati, sebelum dia turut sama bertawaf tidak jauh di belakang Muaz.
            “Walid, tawaf ini pahalanya Muaz hadiahkan buat walid. Sekiranya tawaf ini adalah tawaf terakhir dalam hidup Muaz, cuma doa dan harapan Muaz panjatkan agar dapat bertemu dengan walid dan umi di Jannah nanti...terimalah tawaf wida’ ini untuk walid...” Muaz berbisik sebelum melangkah maju mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
            Usai menyelesaikan tawaf, Muaz terhenti di Multazam. Dia memegang batuan Kaabah sebelum rebah menyembah lantaian Kaabah. Menyedari Muaz hilang dari pandangan, Pak Bilal segera menghabiskan tawaf dan mencari Muaz. Di tengah-tengah kesesakan manusia bertawaf, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku, tiada dipijak mahupun disepak sesiapa. Ada senyuman terukir di bibir Muaz. Pak Bilal menjerit memanggil namanya...
            Banyak mana pun harta kita di atas muka bumi ini, sekiranya Allah tidak mengizinkan menjadi tetamunya, adalah sangat rugi bagi kita. Hari ini kita mungkin miskin harta, namun jangan sesekali kita miskin budi bahasa dan agama. Beribadahlah selagi mana ada masa...
                                                                                                                                    -walid-