Tuesday, October 13, 2009

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

SATU
Cinta amat mahal takrifannya.
Cinta hanya terungkap pada kata-kata,
namun gagal dilihat pada zahirnya,
kerana cinta itu tanggungjawab
di mana wujudnya kesetiaan
dan kejujuran di dalamnya.
INGAT pada Yang Satu,
JUJUR pada yang setia,
SETIA pada yang kasih,
KASIH pada yang rindu
dan RINDULAH pada
yang menyayangi...
“MASIH berfikir?” Persoalan umi bergema di gegendang telinganya. Hanya senyuman terukir di bibir, menggantikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Uminya mengusap lembut bahu. Sentuhan yang senantiasa menyegarkan jiwa dan memujuk sanubari. Secawan kopi dihidangkan di hadapan anak teruna.
“Nak cari yang terbaik bukan senang...kena jadi yang terbaik juga!” Umi bersuara lagi. Kali ini kelu di bibir sang teruna mencair laju, ingin menidakkan kenyataan uminya. Mata diangkat memandang wajah polos sang umi.

“Dah jadi yang terbaik pun, tak guna juga...” Dia membalas.

“Sebab?” Uminya menyoal kembali.
“Umi pun dah tahu, kan? Bila menjalin hubungan, selalunya Adli yang banyak berkorban, banyak khusnul dzon daripada suul dzon. Nah, lihatlah apa yang terjadi sekarang! Dah dua kali putus tunang saat nak melangsungkan perkahwinan...” Balas Adli sebelum cangkiran kopi pagi dihirup perlahan. Umi tersenyum. Benar, ujian Allah Taala amat berat buat anak lelaki sulungnya itu. Diuji dengan percaturan dua wanita yang awalannya memiliki kesantunan budi, namun sebenarnya menyembunyikan kesyaitanan diri.

Kelmarin menjadi saksi bagi segala-galanya. Aina Farieha, gadis kacukan Pattani-Kelantan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Adli namun segala-galanya musnah tatkala dikhabarkan bahawa dia sebenarnya sudah terlanjur dengan seorang lelaki. Perkahwinannya dengan Adli adalah untuk menutup penzinaan yang telah dilakukan gadis itu tiga bulan lepas. Buktinya, Aina Farieha kerapkali muntah pada awal perjumpaan mereka.

Adli tergamam saat bakal bapa mertua mengkhabarkannya. Lelaki tua itu tidak mahu lelaki sebaik Adli menjadi mangsa percaturan anaknya. Namun pemuda itu tidak cepat melatah. Dia mengerti rasa hati bakal mertuanya. Tiada sebarang jawapan mahupun kata-kata cacian terbit dari bibirnya. Dengan senyuman meleret, dia menapak keluar meninggalkan teratak besar milik gadis itu. Umi dan rombongan pengantin yang lain diperingatkan supaya tidak melakukan kekecohan.

“Umi hanya mampu menunjuk, Adli yang harus memilih...” Ucap umi, ringkas.
“Umi, Adli dah fed up dengan semua ni. Kalau umi nak carikan Adli pasangan, Adli terima sahaja. Adli penat mencari pasangan hidup mengikut pilihan sendiri. Semuanya tak menjadi!” Sang teruna meluahkan apa yang terbuku di jiwanya. Sudah tidak tertahan lagi. Diserahkan semuanya kepada yang lebih memahami.

“Betul?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan.
“Tak menyesal?” Soal umi lagi. Adli menggeleng pantas. Yakinnya dipasung seutuh mungkin ke dalam teras hati. Kopi dihirup hingga habis sebelum bersalaman dengan ibunya. Tugasannya telah sedia menanti. Umi bingkas bangun lalu menapak ke arah meja kecil di sudut kiri rumah. Dicapainya beg bimbit dan kunci motosikal untuk dihulurkan kepada Adli yang mengikutnya dari belakang.

“Balik awal atau lewat hari ni?” Umi menyoal sambil menyerahkan beg bimbit.
“Mungkin...kerja macam Adli ni tak tentu masa, umi...” Balas Adli.
“Orang lain pun kerja juga, tapi tak adalah macam kamu ni ha...dari pagi sampai petang, mengajar orang. Dua tiga malam sekali, main muzik di hotel. Umi rasa gaji yang kamu ada sekarang...”

“Umi...selagi boleh bekerja, Adli akan bekerja. Satu kepuasan tau bila main muzik ni. Lagipun, dapat juga lupakan masalah-masalah yang ada, kan?” Adli memotong pantas. Umi menghela nafas panjang. Sudah dijangkakan jawapannya. Kunci motosikal diberikan kepada anaknya.

“Jangan jadi Kassim Selamat sudahlah...” Seloroh uminya.
“Itu dulu...sekarang Kenny G la umi...” Balas Adli. Dia menapak ke muka pintu. Kasut kulit hitam dicapai dari rak kasut kayu kusam buatannya sendiri tujuh tahun dulu. Sewaktu di bangku persekolahan. Enjin motosikalnya dihidupkan. Mengaum, memecah keheningan pagi. Sepuluh minit berselang, pensyarah agama itu memecut Kawasaki VN-750nya menuju jalan utama...
***
AWAN mega berpuput lembut, meneduhkan sejenak umat manusia yang bertebaran di muka bumi. Sesekali angin bertiup, menyegarkan jasad yang dipanahi sinaran mentari. Ada kicauan beburung di balik rimbunan dedaunan, disulami hilai tawa sekumpulan anak muda yang berpakaian tidak tentu arah menari tarian shuffle.

Nun di bawah pohon sena, kelihatan seorang gadis sedang menantikan sesuatu. Sesekali dia melihat jam tangan, sedang wajahnya tampak resah. Beberapa buah buku dan fail dipegang pada kiri lengan. Terkadang kedengaran suaranya mengeluh, mengenangkan nasib dirinya yang agak malang hari itu.

Kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Pantas diangkatnya.

"I'm still waiting for the bus...my car broke down just now..." Ujarnya. Keluhan silih berganti, menggambarkan betapa marahnya empunya diri.

"I'll call you when I'm there..." Balasnya sebelum menamatkan perbualan. Telefon bimbitnya dimasukkan kembali ke dalam beg tangan. Matanya memandang ke jalanan, mengharapkan ada teksi atau bas yang bakal lalu di situ.Tidak sampai lima minit, sebuah motosikal berkuasa besar melalui jalanan yang agak sunyi itu. Kelihatannya mahu berhenti di tempat dia berdiri. Gadis itu mulai gusar. Bimbang kalau-kalau dirinya menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah manusia bernama lelaki.
“Assalamualaikum...” Sapa si lelaki.
“Waalaikummussalam...” Balas si gadis, ringkas.
“Student atau lecturer UiTM?” Soal lelaki itu sambil menunjukkan jarinya ke arah tanda nama si gadis.
“Lecturer...teaching English...” Balas si gadis, semakin selesa.
“Saya pun pensyarah juga. Tapi bahagian agama...” Balas Adli. Dikeluarkan tanda namanya dari saku seluar. Sang gadis terpinga-pinga. Dia melihat lelaki itu dari atas ke bawah. Berjaket jeans tanpa lengan, berseluar slack hitam, berkasut but kulit perang, berbaju kuning, dan bertali leher hitam, nyata sekali penampilannya tidak menggambarkan dia sebagai pensyarah agama!
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras rupa...” Seakan mengerti jelingan si gadis, Adli membalas perlahan. Pantas senyuman terukir di wajah gadis itu.
“Saya Adli...Saiful Adli...nama awak?” Soal Adli.
“Saya Azlina...call me Lina...” Balas Azlina.
“Oh, boleh berbahasa Melayu rupanya...ingatkan dah lupa...maklumlah...” Sindir Adli sambil tertawa kecil. Azlina mencekak pinggang. Dia mengetap bibir. Pantang sekali disindir sedemikian rupa.
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras muka, kan?” Balas Azlina.
“Ya...benar...Dah lama Lina tunggu di sini?” Soal Adli lagi.
“Ya...about 15 minutes ago...” Balas Azlina.
“Memanglah...kalau lagi tiga jam pun, takkan ada teksi atau bas yang lalu di sini.”
“May I know why?” Soal pensyarah wanita itu kembali.
“Sebab jalan ni dah tak digunakan...teksi dan bas hanya ambil penumpang di jalan hadapan. Penduduk taman perumahan ni buat aduan pada majlis perbandaran bulan lepas...jadi, kalau nak tunggu bas kena ke jalan utama ya...pergi dulu...nice to meet you...assalamualaikum..." Balas Adli sebelum menghidupkan enjin kembali. Hon dibunyikan sebelum motosikal besar itu berlalu pergi.

Sunday, September 27, 2009

3 NIKMAT YANG DITARIK ALLAH PADA AKHIR ZAMAN...

Assalamualaikum...

Seingatku, ada 3 perkara yang ditarik nikmatnya oleh Allah Azzawajalla...

Pertama, MASA...

Kalau dahulunya masa amat panjang, namun hari ini kita semakin leka dengan dunia dan masa menjadi begitu penting buat kita semua...

Kedua, KELAZATAN BUAH-BUAHAN...

Dahulunya kita dapat merasai nikmat dan kelazatan buah-buahan, namun pada hari ini kelazatannya tidak seasli mana...kenikmatannya bersifat sementara...

Ketiga, AL-QURAN...

Seandainya dahulu begitu ramai para huffaz yang mengingati Al-Quran, namun pada hari ini berapa ramaikah di antara kita termasuk di dalam golongan itu? Dahulu, Al-Quran senantiasa di bibir umat Islam namun hari ini ia sekadar perhiasan di dinding-dinding rumah...

maka...itulah nikmat yang ditarik oleh Allah di akhir zaman...

Nabi S.A.W. pernah bertanya kepada Jibril A.S...

"Wahai Jibril, seandainya aku telah tiada nanti, apakah kau akan turun lagi ke bumi Allah ini?"

Jawab Jibril, "Ya, aku akan turun tetapi bukan sebagai pembawa wahyu, namun pencabut nikmat di dunia..."

Semoga beroleh maghfirah Allah...

Assalamualaikum...

Tuesday, July 21, 2009

ISRAK DAN MIKRAJ

PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.
Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.
Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.
Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.
Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.
Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).
Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.
Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.
Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.
Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.
Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)
Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.
Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj. Wallahua'lam..

Monday, May 4, 2009

LIMA SEN???


Assalamualaikum..

Pernah tak anda terjumpa sekeping duit syiling bernilai lima sen di mana-mana?.
Apa yang anda buat dengan duit syiling tu?

-Berikan kepada mereka yang memerlukan?
-Bagi kepada tabungan di masjid?
-Atau dijadikan sebagai koleksi peribadi anda sendiri?

Berapa nilai lima sen pada anda?

Berguna?

Kalau orang menghulurkan lima sen pada anda, apa anda akan kata?

“Ei, gila ke apa?”

“Hoi, takkanlah lima sen kau nak bagi aku…?”

“Ish, kau ni dah buang tebiat apa?”

“Hush! Haram! Mana kau curi ni?”

Pasti ada banyak lagi alasan yang anda akan lontarkan bukan?
Sejauh manakah perhargaan anda kepada nilai wang sekecil itu?
Apatah lagi kalau dihulurkan syiling satu sen, kan? Kalau dulu, dengan hanya lima sen anda boleh membeli pelbagai barangan. Umat manusia dahulu begitu menghargai lima sen. Mengapa setelah negara berkembang maju lima sen dibuang merata-rata? Dipandang pun tak mahu?

Tanpa lima sen, anda tak dapat membeli sebiji coklat!
Tanpa lima sen, anda tak mungkin mampu mengumpul RM1 juta!
Tanpa lima sen, anda mungkin kekurangan wang untuk membayar barangan di pasar raya….

Fikir-fikirkanlah…

Sekadar mencoret;
TONGKAT JIBRIL

WAFATNYA PUTERI RASULULLAH

WAFATNYA PUTERI RASULULLAH S.A.W.

"Masihkah kau ingat perihal Fatimah Az-Zahra, puteri Rasulullah yang paling dikasihi baginda? Katakanlah, siapa di antara anak-anak gadis, isteri atau saudara perempuan kalian yang lebih bagus dari beliau? Aku teringat suatu kisah dari kitab yang menceritakan sewaktu pengakhiran kematiannya. Selepas wafatnya ayahanda tercinta, Fatimah sudah tidak berdaya untuk menghirup dan merasai kegembiraan. Hari yang sudah ditentukan kematiannya, Fatimah tetap menjalankan tanggungjawab seperti biasa sebagaimana seorang isteri…” Ada tangisan menghentikan sejenak sang penterjemah.

“Waktu itu, dia mahu menjerang air. Sementara menunggu suami tercinta Saidina Ali, dia juga sempat menggiling gandum untuk dimasak sebagai roti. Pembantunya ingin menolong namun dia berkeras untuk melakukannya sendiri.

Menjelang petang, Fatimah sudah siap mandi wajib seakan mengerti ajalnya sudah dekat. Menunggu Ali pulang, dia sempat berhias diri dan duduk di kamar…” Sekali lagi sang penterjemah terhenti. Air mata diseka membasahi pipi.

“Fatimah berkata, wahai suamiku…sesungguhnya aku merasakan aku bakal menyertai bapaku di alam baqa. Maka, aku meminta kau ampunkan segala salah silapku semasa aku menjalankan tanggungjawabku sebagai isterimu. Demi Allah, engkaulah suami terbaik buatku. Aku ingin meminta tiga permintaan darimu. Yang pertama, janganlah kau hebahkan tentang kematianku nanti kerana umat Islam masih bersedih dengan kewafatan ayahandaku. Kedua, aku mahu kau kebumikan aku pada waktu malam dan hanya bersaksikan kaum kerabat terdekat sahaja. Hal ini kerana aku tidak mahu auratku dilihat oleh bukan muhrim. Ketiga, seandainya engkau ingin berkahwin lagi…” Kali ini penterjemah menangis agak lama. Hadirin turut sama menangis. Sedu-sedan mulai bergema.

“Seandainya engkau ingin berkahwin lagi, maka tunggulah sehari selepas aku meninggal dunia nanti…aku izinkan kau bernikah wahai suamiku…”

Seluruh masjid bergema dengan tangisan para jemaah. Yazid turut menangis teresak-esak. Maha Suci Allah yang menjadikan sebaik-baik hamba. Mana mungkin dapat dimiliki seorang isteri sebagus dan sehebat Fatimah Az-Zahra. Dia menjaga kebajikan dan kesucian rumah tangganya dengan sempurna walaupun dalam serba kedaifan.

“Saudara-saudaraku…bagaimanakah perasaan kalian?” Laung si penterjemah. Masjid bergema dengan takbir dan tasbih memuji Allah Azzawajalla.

“Saidina Ali menjawab; wahai isteriku, aku sanggup memenuhi permintaan pertama dan keduamu. Namun maafkan aku kerana permintaan ketigamu tak dapat aku tunaikan. Demi Allah! Mana mungkin aku bernikah lagi sedangkan Allah telah mengurniakan sebaik-baik isteri kepadaku iaitu kamu wahai Fatimah…” Sambung si penterjemah lagi. Air matanya bercucuran dan tak dapat ditahan-tahan lagi.

Maka, Fatimah Az-Zahra meminta dipanggil Hassan dan Hussain. Dia bergurau dan bermain dengan mereka sejenak sebelum dipanggil semula suami tercinta. Dirasakan ajalnya semakin dekat. Saidina Ali yang merah matanya kerana menangis mendatangi isterinya dengan penuh rasa sayu.

Fatimah tersenyum. Saat ajalnya sudah tiba;
“Aku mohon kau izinkan aku untuk kembali menghadap Allah Tuhanku…redailah pemergianku ini wahai suamiku Ali…” Ucapnya lemah.
“Aku izinkan wahai isteriku…aku reda!” Saidina Ali mengizinkan. Syahadah diucapkan sebelum tubuh itu kaku di pembaringan. Fatimah Az-Zahra sudah meninggalkan dunia yang fana menemui Allah di alam baqa.

Fatimah Az-Zahra dikebumikan pada malam hari oleh suami dan beberapa kerabat terdekat. Saat kuburan sudah ditimbusi tanah, mereka semua pulang dengan hati yang sayu. Dek kerana sayangnya pada isteri tercinta, Saidina Ali mendatangi kuburan isterinya sambil berteriak;

“Assalamualaika ya Fatimah! Assalamualaika ya Fatimah!”

Air matanya bercucuran. Digenggamnya tanah kuburan isterinya sambil bermadah;

“Aduhai isteriku…seandainya dahulu aku memberi salam dan aku mendengar jawapan salamku daripadamu. Tapi bagaimanakah kini? Aku tidak lagi mendengar jawapan salammu! Alangkah dukacitanya hati ini! Alangkah sakitnya jiwa ini menanggung rinduku padamu. Moga Allah mengampunkan segala dosamu hai puteri Rasulullah! Sesungguhnya Allah memberikan aku dirimu sebagai isteri terbaikku. Amanlah kamu dalam menemui Allah…”

Saidina Ali menangis sebelum menapak pergi membawa hatinya yang lara.

petikan dari novel 'MELAKAR KASIH DI KAKI LANGIT' Karya TONGKAT JIBRIL
Bakal diterbitkan….

Thursday, September 11, 2008

Separuh Akhir Ramadhan...



Hari ini, sudah masuk hari pertama dalam separuh akhir Ramadhan. Pastinya kalian hairan bila aku menamakan sepuluh hari kedua dalam Ramadhan ini sebagai separuh akhir. Nabi S.A.W. membahagikan Ramadhan itu kepada tiga; Awal Ramadhan (pusingan kelayakan). Pertengahan Ramadhan (Separuh Akhir), dan Akhir Ramadhan (Pusingan Akhir). Diam tak diam, sudah sebelas hari berpuasa. Tak terasa keringat yang berjatuhan, tak terasa rindu yang mendalam, tak terasa kelaparan dan kesengsaraan. semuanya berjalan lancar, dalam tadbiran Tuhan...


Terkadang, kita lupa pada siapa perlu kita dambakan, betul tak?


Ada orang yang masih belum bertandang ke masjid di malam hari untuk bersolat terawikh.


Ada orang yang masih leka dengan kerja seharian sampai terlupa nak solat, kan?


Ada orang yang masih menurut hawa nafsu dengan tidak berpuasa (nauzubillah!) sampai hari ni!


Ada juga orang yang masih selamba membeli makanan di kedai tanpa segan silu...




Nama pun Ramadhan, syaitan dah tentu dibelengu. Tapi syaitan tinggalkan juga teman karibnya...nafsu! Jadi, nafsulah yang menggoda kita untuk tidak mengerjakan ibadah di bulan puasa.




  • Hebatnya bulan puasa ni, sampai tidur pun dikira ibadah..tapi jangan sampai seharian pula tidur!


  • Agungnya Ramadhan ni, sebab ada satu malam yang dipanggil 'Lailatul Qadar'...


  • Mulianya Ramadhan ni, sebab semua pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka...

Jadi, apa yang dok tunggu lagi?


Tambah dan lipatgandakan usaha anda dalam ibadah dalam bulan ni. Allah bagi sebulan je untuk puasa...kalau setahun, alamat tak adalah orang yang berdosa. sebab semua dosanya diampunkan...Malaikat Malik pun boleh resign macam ni tau! heheh...apapun....fikirkanlah sahabatku...ini pesan daku buat diri sendiri dan mereka yang inginkan tazkirah...salamun alaik!!!