Monday, October 26, 2015

Komik Baru



Assalamualaikum warahmatullah...
Rasanya, sudah terlalu lama tidak memuatnaik sebarang paparan atau karya di dalam blog saya ini. Kali terakhir ialah pada 2013. Bermaksud, sudah hampir setahun lebih blog ini sunyi dan bersawang. Maklumlah, masa yang terlalu pantas menghiris setiap ruang dan peluang saya. Kali ini, saya bugarkan kembali dengan dua ceritera. Pertama, penubuhan GoJe Studio iaitu sebuah studio kreatif kecil yang mula beroperasi pada awal Oktober 2015. Masih baru dan segar. Komik, lukisan, animasi, kaligrafi, buku, semuanya bakal dikeluarkan oleh studio ini dalam masa akan datang. Semoga segalanya lebih manis dan berjaya kelak. InshaAllah.

Kedua, komik Caen: Warkah Dari Hati.

Asalnya, saya mahu menerbitkan sendiri komik berjudul 'Geng Paranormal' yang berkisar mengenai dua orang rakan bernama Joe dan Syawal. Mereka adalah ejen penangkap hantu yang berusaha menjejak dan mengurung kembali hantu-hantu yang mengganggu manusia di Malaysia. Tapi, setelah memikirkan bahawa saya masih baru dalam dunia pembikinan komik dan memerlukan sebuah naskhah yang jitu dan menyentuh jiwa, maka saya bawakan komik Caen buat tatapan anda nanti. Cerita seorang budak lelaki bernama Caen yang menghidap penyakit 'autisme'. Dia berkawan baik dengan Wawa, anak kecil yang baru tiba dari bandar. Pelbagai pengalaman menarik dilakukan bersama. Saya tak boleh cerita lebih-lebih, tapi inshaAllah naskhah ini bakal menjadi sangat menarik.

Baiklah, semoga kita bersua lagi. Terima kasih kerana membaca coretan kecil ini. Semoga Tuhan memuliakan anda sebagaimana anda memuliakanNya.

Assalamualaikum warahmatullah...

"Go je!"

Sunday, October 6, 2013

NOVEL BERSIRI: JINGGA PELANGI

PROLOG
            ANGIN mengelus lembut, menyapa pipi sang arjuna yang sedang lena diulit mimpi. Terjaga dirinya, sebelum mengusap wajah. Tangan kirinya meraba-raba telefon bimbit. Sudah jam lima pagi. Dia harus segera bangun dan mempersiapkan diri. Subuh sudah memanggil untuk sujud kepada Ilahi pencipta segenap alam dan isi.
            "Toha. Bangun..." Naufal menggerakkan temannya saat dia sudah bertuala di pinggang. Pemuda berambut kerinting itu masih belum mahu bangun. Naufal menggosok matanya beberapa kali sebelum menggerak Toha lagi. Pemuda itu mulai bergerak sedikit.
            "Ya, aku bangun ni..." Balas Toha, kemalas-malasan. Dia bingkas duduk dan menggeliat. Naufal tersenyum nipis melihat temannya. Taman perumahan itu masih sunyi. Hanya kedengaran suara Bilal Kassim yang sedang mengaji Quran di corong pembesar suara Surau Al-Muttaqin. Kebiasaannya, bilal tua itu akan membaca dahulu ayat-ayat Allah sebelum azan Subuh. Mahu menggerakkan masyarakat untuk tunduk menyembah Yang Maha Esa.
            Naufal membersihkan diri, sebelum memakai pakaian solat dan wangi-wangian. Dia menunggu Toha di ruang tamu. Beberapa minit berselang, pemuda itu sudah siap siaga menuruni anak tangga bersama pakaian untuk beribadah. Kedengaran suara Bilal Kassim melaungkan azan menandakan waktu Subuh sudah bermula.
            "Mana kopiahnya?" Soal Naufal. Toha meraba-raba kepalanya. Aduh, terlupa pula. Dia kembali mendaki anak tangga. Naufal tersenyum sahaja melihatnya. Sudah dia biasa melihat Toha kelam-kabut sebegitu. Toha kembali semula ke bawah sambil memakai kopiahnya. Mereka keluar dari rumah sewa itu sebelum berjalan kaki menuju ke surau Al-Muttaqin.
             "Kelas kau pukul berapa hari ni, Fal?" Soal Toha ketika mereka berjalan melintasi rumah Haji Musa. Sudah cerah separuhnya. Pasti imam tua itu sudah ke surau lebih awal dari mereka berdua. Naufal termenung seketika, mengingati jadual kelasnya. Semester yang baru sahaja bermula menjanjikan sesuatu yang berbeza buatnya.
            "Pukul 8:30 pagi. Kelas budak part 5. Kau pulak?" Soal Naufal. Toha tersengih bila disoal begitu. Barangkali Naufal sudah lupa, bahawasanya semester ini dia tidak mengajar mana-mana kelas kerana menyambung pengajiannya.
            "Aku kan baru nak mula sambung PHD. Mana nak ada kelas, Fal oi..." Ujar Toha. Naufal menepuk dahinya. Hampir terlupa pula dia akan hal itu. Mana mungkin Toha ada kelas semester ini. Pensyarah yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat PHD tidak dibenarkan mengajar.
            "Ya tak ya. Lupa pulak aku, bro. Banyak sangat fikir, haha." Serentak Naufal membalas sebelum kedua-duanya ketawa. Mereka berjalan memasuki perkarangan surau. Kelihatan Haji Musa sedang menunggu anak lelakinya Amir menanggalkan selipar di kaki tangga surau. Anak bongsunya yang berusia lingkungan lapan tahun itu rajin mengikutnya ke surau.
            "Assalamualaikum, haji..." Ucap Naufal dari jauh. Haji Musa berpaling. Tersenyum lebar dia tatkala melihat Naufal dan Toha hadir ke surau itu. Nampaknya, dia tidak berseorangan kali ini bersolat bersama Bilal Kassim. Sudah ada jemaah yang kembali memakmurkan surau itu. Mereka bersalaman sebelum bersama-sama mendaki anak tangga.
            "Mana kamu berdua hilang? Tinggal saya dengan bilal aja yang solat..." Suara Haji Musa sedikit kecewa mengingat kembali peristiwa di mana hanya dia dan Bilal Kassim sahaja yang menjadi makmum dewasa. Kebanyakan penduduk di situ tidak ramai berjemaah di surau. Naufal dan Toha tersenyum mendengarnya. Sememangnya mereka tiada di kawasan perumahan itu dua hari lepas kerana masing-masing masih di kampung halaman.
            "Kami masih di kampung, haji. Maklumlah, cutinya sekejap saja. Cuma seminggu. Kerja macam kami ni cutinya bukan macam student biasa. Kena mohon juga." Ujar Toha dengan nada berseloroh. Ketiga-tiga mereka tertawa. Amir yang mendengar hanya terkebil-kebil. Mungkin dia masih belum memahami akan perihal orang dewasa.
            "Hah, macam mana dengan PHD kamu, Toha? Bila mulanya?" Soal Haji Musa.
            "Lagi dua minggu saya berangkat ke Amerika. Sekarang tengah siapkan apa-apa yang patut. Yalah, bukan senang nak belajar balik lepas dah lama mengajar ni..." Balas Toha. Naufal hanya mendengar sahaja. Mereka berbicara sambil melangkah memasuki surau Al-Muttaqin itu. Kelihatan Bilal Kassim sedang berehat di tiang seri surau, menunggu makmum sampai. Mereka merapati Bilal Kassim sebelum bersalaman.
            "Nasib baik kamu berdua ada. Hiduplah sikit surau kita ni. Saya sedih bila penduduk yang lain tak ramai nak berjemaah di sini  lagi-lagi waktu Subuh begini. Dah penat mengajak, tak juga dijejaknya kaki ke mari..." Ucap Bilal Kassim, meluahkan kekecewaan. Naufal segera memegang lembut lengannya, tanda memujuk agar tidak terlalu bersedih.
            "Tak mengapa, bilal. Kita usaha mana yang boleh saja. Jangan 'mati' surau ni, dahlah..." Naufal menguatkan kembali semangat bilal tua itu. Dia tahu di zaman sebegini sangat sukar untuk mengajak manusia kembali berjemaah di surau itu.
            "Terlanjur kamu dah ada ni, Fal...jemputlah naik jadi imam. Dah lama tak dengar suara kamu..." Ujar Haji Musa. Gumam sejenak Naufal mendengarnya. Dia cuba menolak lembut namun pantas ditolak Haji Musa hingga ke hamparan sejadah imam. Bilal Kassim kemudiannya melaungkan iqamat. Mahu tidak mahu, terpaksa jua Naufal menjadi imam. Semoga keberkatan melimpahi penduduk di sekitar taman perumahan itu.


NABILA terbangun saat mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Sudah hampir pukul enam. Dia menggosok matanya sebelum membetulkan belakang badannya yang lenguh. Tidurnya kali ini agak statik, berbeza dari yang sebelumnya. Dia melirih ke kanan sebelum duduk. Lampu meja kecil dibuka. Kelihatan rakan baiknya Anna sedang mengomel sendirian di sebelah katil sana. Matanya masih terpejam. Barangkali dia mengigau termimpikan sesuatu.
            "Na, bangun...dah Subuh..." Ujar Nabila dengan suara separa lemah. Digerakkan tubuh si gadis berwajah kacukan Arab itu namun dia masih liat. Matanya masih terlekap, sedang omelannya makin bertambah. Tersenyum Nabila melihat temannya sebegitu. Digerakkannya buat kali kedua, kali ini lebih kuat sedikit.
            "Ya...aku bangun ni..." Balas Anna, sedikit geram. Dia menggeliat sambil menguap. Pantas Nabila menutup mulut Anna dengan telapak tangannya. Anna terperanjat dengan reaksi spontan begitu. Sudahlah tidurnya dikejutkan, dikatupnya mulut sampai begitu sekali.
            "Tutup mulut bila menguap, nanti syaitan masuk. Lagi berat nak solat Subuh tau." Ujar Nabila. Dia menarik hidung Anna sebelum ketawa kecil. Si gadis mengomel marah.
            "Aku ke toilet dulu. Kau jangan tidur balik pulak tau!" Ujar Nabila sebelum menuruni katil. Dia mencapai tuala dan menapak menuju ke bilik air. Anna hanya mengangguk antara dengar atau tidak sahaja. Dia memerhatikan Nabila memasuki bilik air sebelum dia kembali berbaring dan menarik selimut. Kemalasan kembali menyelubungi dirinya.
            "Anna!" Nabila melaung saat membuka kembali pintu. Sudah dijangka gadis itu akan kembali berbaring dan menyambung tidur. Anna bingkas bangun dan tersenyum lebar. Nabila menggeleng melihat keletahnya. Dia kembali mengatup pintu bilik air. Anna menghela nafas panjang. Hilang sedikit rasa mengantuk yang menguasai dirinya.
            Selesai bersolat, masing-masing sibuk mempersiapkan diri untuk pergi ke kuliah. Pagi ini, kelas mereka bakal bermula jam 8:30 pagi. Subjek yang paling baru untuk dipelajari. Animasi. Entah mengapalah pelajar penyiaran seperti mereka harus belajar subjek itu.
            "Kau agak-agak, sir tu garang tak hah?" Soal Anna tatkala mereka sedang menikmati sarapan pagi di kafeteria. Nabila mengangkat bahu. Dia sendiri kurang pasti. Roti sandwich dijamah dengan perlahan-lahan. Beberapa orang teman melambai kepadanya sebelum dia juga kembali membalas lambaian. Suasana kafeteria itu mulai hingar dengan kehadiran para pelajar.
            "Tak kisahlah dia garang ke, ganas ke, yang penting kita belajar dan buat assignment yang dia bagi. Masa belajar ni memang mencabar. Esok kalau dah kerja, lagi mencabar." Nabila membalas ketika bicara mereka terhenti seketika. Anna mengangguk sahaja. Ada betulnya juga kata-kata si Nabila itu. Kalau tak berani sahut cabaran masa belajar ni, dah bekerja esok lagilah teruk.
            "Senior ada cakap, lecturer kita ni jenis yang garang. Strict. No excuses. Harap-harap semua tu tak betul, Bel. Haih, susah kalau dapat lecturer macam tu..." Anna mengeluh lagi. Nabila ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.
            "Apa yang susahnya? Baguslah kalau macam tu. Takkan ada yang dapat 'kipas' pensyarah lagi. So, markah pun akan dikira berdasarkan prestasi, bukannya 'mengipas' sana-sini. Barulah adil." Nabila memberikan pendiriannya. Sekali lagi Anna terpukul dengan penjelasan Nabila. Ah, mungkin dia terlalu gementar. Sepatutnya dia lebih tenang dan bersedia dengan apa jua kemungkinan, bukannya andaian. Mereka menghabiskan makanan sebelum menapak menuju ke kelas. Sedang mereka menunggu untuk memasuki lif, kedua-duanya disapa oleh seseorang. Mereka berpaling, dan nyata orang yang menyapa itu bukanlah jenis yang mereka suka.
            Maria.
            Si perempuan 'sihir'. Gadis berambut panjang lurus melepasi paras bahu itu mengukir senyuman. Anna geram melihatnya. Sudahlah gedik, mengada-ngada, bajet cantik pulak tu! Maria menanti lif bersebelahan mereka. Sesekali dia melirih melihat mereka berdua. Nabila hanya diam sahaja. Dia tidak mahu berbicara apa-apa. Dia tahu siapa Maria. Gadis cantik yang menjadi rebutan di fakulti. Maria popular kerana pernah berlakon dalam beberapa drama di kaca televisyen - itupun sebagai watak sampingan. Dia terkenal dengan sifat angkuh dan mengada-ngadanya.
            Anna melihatnya dengan rasa geram. Dia masih menyimpan dendam di hati kerana keceluparan gadis itu semester lepas. Mahu saja dilepaskan penumbuknya ke muka gadis itu lantaran fitnah yang dijajanya ke seluruh fakulti. Maria mereka cerita mengatakan bahawa Anna gadis yang bernafsu songsang. Lesbian. Hanya kerana dia berkawan baik dengan Nabila menjadikan mereka dilabel sebegitu. Seminggu dia tidak hadir ke kuliah kerana terlalu tertekan dengan fitnah yang disebarkan.
            Dari kejauhan, kelihatan kelibat Naufal menapak menuju ke lif utama bersama begnya. Wajahnya biasa. Semangat untuk memulakan kuliah pertama berkobar-kobar di jiwanya. Ketiga-tiga mereka memandang pensyarah muda itu. Senyuman dilemparkan, namun tidak dibalas Naufal. Dia berdiri tegak di hadapan lif, menunggu waktu untuk memasukinya.
            "Hai, sir!" Sapa, Maria dengan mesra. Naufal hanya mengangkat kening. Tiada balasan sapaan diberikan kepada gadis tersebut. Tebal muka Maria menahan malu. Anna dan Nabila tersenyum melihat gelagat Maria yang gagal memikat perhatian pensyarah itu. Pintu lif terbuka dan mereka berempat masuk ke dalamnya. Butang tingkat 3 ditekan. Wajah Naufal masih biasa, tiada senyuman mahupun keceriaan dilemparkan kepada Maria. Gadis itu membisu, mencari bicara untuk diluahkan.
            "Sir mengajar kelas kami nanti, kan?" Soal Maria tiba-tiba. Naufal mengangguk pantas.
            "Saya Maria, one of your students. Tak sabar nak belajar animation dengan sir!" Ujar Maria lagi sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Seboleh-bolehnya dia mahu berbicara lagi dengan pensyarah itu. Naufal memandang Maria sambil menggelengkan kepala. Pintu lif mulai terbuka. Sebelum melangkah, dia sempat berbicara;
            "Bukan muhrim, mana boleh bersalaman..." Ujar Naufal sebelum menapak keluar dari lif. Dia memasuki pejabat ICT dengan pantas. Maria terkebil-kebil melihatnya. Sudahlah tidak dilayan, dikenakan pula bab agama kepadanya. Menyampah! Nabila dan Anna merah muka menahan ketawa. Baru padan dengan muka si Maria tu! Mengada-ngada sangat! Mereka berdua berjalan meninggalkan gadis gedik yang malu sendirian di tepi lif menuju ke makmal komputer.
            "Padan muka si Maria tu. Menggedik sangat! Puas hati aku bila sir Naufal kenakan dia balik. Malu besar dia dibuatnya. Lepas ni, mesti dia senyap aja dalam kelas. Dah kena tepek sekali! Hihi!" Anna berbisik kepada Nabila ketika mereka mengambil tempat duduk. Mereka suka duduk di tengah-tengah kelas, tidak terlalu hadapan dan tidak terlalu belakang. Maria pula sudah awal-awal lagi menempah tempat duduk di hadapan, betul-betul di depan meja pensyarah. Nampak gayanya, dia masih belum puas ditempelak Naufal.
            Nabila hanya melihat sahaja gelagat Maria. Di hatinya, dia hairan melihat orang berperangai sebegitu. Baginya, untuk apa memiliki wajah cantik andai perangai tidak bisa diubah menjadi rendah diri dan malu bertempat. Semakin tinggi kesombongannya, semakin jelik orang melihat. Anna mengeluarkan buku nota dan alat tulisnya, sementara Nabila melirih ke arah telefon bimbitnya. Dia melihat kalau-kalau ada yang menarik di akaun Twitternya. Kehidupan gadis semasa sepertinya banyak dihabiskan di laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram.
            Anna melirih sedikit ke arah Nabila. Nyata, gadis itu masih menjadi stalker dan melihat akaun Twitter milik bekas kekasihnya dahulu. Gadis itu menggeleng pantas sambil mencuit bahu Nabila.
            "Kau dah kenapa, Bel? Sudah-sudahlah tu. Jangan dikenang lagi si bodoh yang curang dengan kau tu. Kadang-kadang aku kesian tengok kau jadi stalker si mamat tak guna tu..." Ucap Anna sebelum menghela nafas panjang. Nabila diam sahaja mendengar leteran Anna. Dia tahu rakannya itu bimbang dan mengambil berat akannya. Namun, hatinya masih terpaut pada lelaki bernama Zayd itu. Meskipun Zayd memutuskan hubungan namun dia masih mengharap lelaki itu pulang ke pangkuannya.
            "Cinta, susah nak dibuang Anna. Ambil masa..." Nabila membalas lembut.
            "Ambil masa sampai bila? 20 tahun? Wei, jangan buat gilalah Bel. Kau kena sedar jantan tak guna tu dah ada pengganti. Bukan main seksi lagi. Aku tak sanggup tengok kau macam ni, Bel. Nak aja aku pergi cari si Zayd tu dan bagi dua tiga das penumbuk!" Anna meluahkan marahnya. Nabila tersenyum pahit. Dia kembali menyimpan telefon bimbitnya sebelum dikeluarkan buku nota dan sebatang pena.  
            Pintu makmal dibuka. Naufal melangkah masuk sambil memberikan salam. Kesemua pelajar yang hadir menjawab salamnya. Dia menapak menuju ke hadapan sebelum meletakkan beg di atas kerusi biru. Wajahnya serius memandang kesemua ahli kelas. Dia mengeluarkan senarai nama sebelum meneliti sejenak. Kemudiannya, dia mula membilang jumlah yang hadir. Cukup kesemuanya.
            "Assalamualaikum warahmatullah. Nama saya Mohd Naufal Bin Hanzalah. Berasal dari Penang. Saya akan mengajar kamu semua tentang subjek animasi. Sebelum memulakan pengajaran, saya nak minta semua baca Al-Fatihah semoga pembelajaran hari ini diberkati. Al-Fatihah..." Ujar Naufal. Kelas menjadi senyap dan kesemua anak muridnya terkumat-kamit membaca Al-Fatihah. Melihatkan wajah Maria, membuatkan Naufal terperasan sesuatu. Dia tidak membaca apa-apa, malah sibuk dengan telefon pintarnya.
            "Awak dengar tak apa yang saya cakap tadi?" Soal Naufal, serius. Maria memandangnya sambil tersenyum simpul. Dia meletakkan telefon bimbitnya sebelum tersengih-sengih memandang Naufal yang kelihatan menyinga itu.
            "I'm sorry, sir..." Ucap Maria.
            "Jangan cari pasal dengan saya. Saya sukar diduga." Balas Naufal. Dia kembali ke mejanya sebelum membuka beg galas. Beberapa orang pelajar ketawa kecil di belakang. Maria memandang mereka dengan penuh geram. Dimalukan buat kali kedua dalam masa yang sama. Belum pernah ada pensyarah yang tidak suka akannya. Dia begitu obses dan yakin dengan kecantikan dirinya. Pasti si Naufal ini buta kayu dan tidak memiliki citarasa terhadap wanita!

***

Friday, March 1, 2013

DOSA KELMARIN

Seorang sahabat mengajukan soalan kepadaku perihal dirinya:

"Apa pandanganmu bila mana mendengar keaiban yang pernah kulakukan? Keaiban yang menjadikan Allah memurkai daku, bahkan Nabi melaknat dan mencelaku?"

Saya jawab dengan senyuman.

"Sejujurnya, aku hanya mendengar dari orang lain perihal dosa kelmarin kamu. Namun di sudut hati aku mendoakan semoga engkau pulang ke pangkal jalan. Aku tidak melihat engkau sebagaimana jijiknya mereka melihatmu. Namun aku melihat kesedihan yang terpaksa ditanggung engkau lantaran dungunya mereka yang menyisihkanmu. Aku yakin engkau tidak meminta dijadikan bernafsu begitu. Bukan jua fitrahmu, sahabat. Inilah dugaan yang diberikan Dia kepadaMu. "

Dia membisu, sebelum melontarkan penjelasan akan dirinya.

"Aku sedar kebodohan yang kulakukan. Bukannya aku tidak mahu bertaubat ketika itu tetapi masyarakat mencemuh dan menghinaku terang-terangan. Mereka berkeras denganku, tiada langsung memberi peluang untukku tinggalkannya dengan baik. Bahkan, pandangan mereka kepadaku jauh lebih hina dari seorang penzina. Aku sedih sekali wahai sahabat. Lalu kepada siapakah lagi harus aku mengadu? Aku malu dengan Allah. Bahkan untuk menadah tangan sekalipun aku malu kerana aku telah melakukan dosa umat Nabi Luth."

Aku mengukir senyuman. Dalam kedinginan malam, aku bertanya lagi tentang apa yang telah dilaluinya. Dijelaskan padaku beberapa pengalaman yang menjadikan dia lebih memahami akan apa yang telah diuji kepadanya.

"Alhamdulillah kini, aku sudah bertaubat dan kembali berubah menjadi Muslim yang baik. Pengalaman lampau menjadikan aku lebih matang dan memahami akan mereka-mereka ini. Sebaiknya jangan disisih, dihina, dikutuk, bahkan mereka harus ditarbiah dengan baik. Benar perbuatan mereka menjadikan mereka dilaknat Tuhan, namun jauh di sudut hati mereka mahu berubah. Bukannya mereka tidak tahu akan dosa besar menjadi songsang. Kerna cemuhan dan sindiran masyarakat menjadikan mereka enggan berubah diri."

Bicaranya polos, mencerminkan ketulusan dan keikhlasan hati. Aku tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah, Allah mengembalikan nur iman di dalam jiwanya. Menggemburkan hati dengan keyakinan maghfirahNya. Moga Allah memberkahi dan mengampuni dosa kamu, sahabatku. Engkau telah melalui suatu pengalaman yang dahsyat, hingga menjadikan engkau dicela seumur hidup. Namun lihatlah adilnya Maha Suci Allah. Dia mentarbiahmu dalam dugaan, menjadikan engkau lebih mulia sebenarnya. Engkau lebih memahami mereka berbanding si polan yang menuding jari membabi buta. Bersabarlah sahabatku dengan masyarakat sekelilingmu, kerna kesabaran itu menjanjikan sesuatu yang baik buat kamu kelak.

*Saya garapkan ini berdasarkan cerita sebenar namun diubah gaya penulisannya. Kita seorang pendosa. Mengapa perlu mengutuk mereka yang berdosa? Apakah kita mahu menjadi Tuhan? Selayaknya mereka yang berdosa didakwah dengan penuh hikmah. Jangan dirobek kepercayaan mereka kepada agama lantaran KEBODOHAN kita! 

Tuesday, May 15, 2012

KEHIDUPAN ADALAH UJIANNYA...

Salam.

Seringkali kita mengeluh dengan ujian yang kita hadapi sehari-harian dalam kehidupan kita. Adakalanya hingga ia menguji tahap keimanan, menggugat aras kesabaran kita tanpa kita sedari. Jika tidak dibendung, kemarahan bakal menjadi raja di hati. Saya juga begitu. Ada ketikanya saya mengeluh. "Mengapa kehidupanku tidak seperti orang lain? Harus bersusah-payah mencari nafkah sendiri, dikhianati, dipermainkan jiwa dan sanubari? Mengapa perjalanan hidup ini tidak seperti apa yang kurancangi?". Persoalan sebegitu kerap bermain di kotak pemikiran saya.

Apakah Allah itu tidak adil? Membiarkan hambaNya hanyut dalam kecelaruan hidup yang setiap detik mencengkam segenap akal dan minda kita? 

Tidak. Allah Maha Adil. Harus kita imani perkara itu di hati kita. Harus diyakini bahawa setiap musibah yang mendatang bukan menjadikan kita hina, malah mematangkan pemikiran kita. Tanpa diduga, Allah sebenarnya sedang mentarbiah kita!

Ya, Dia mentarbiah kita melalui kegagalan. Ditarbiahnya kita dengan kekecewaan. Terkadang diuji kita dengan kesakitan serta pelbagai lagi. Namun, lihatlah dengan mata hati. Allah jualah yang membuka jalan, mengizinkan setiap ujian yang kita tempuhi diselesaikan dengan penuh keajaiban Ilahi. Bukti bahawasanya Dialah Yang Maha Agung Lagi Maha Terpuji.

Seandainya kalian jatuh gugur, maka haruslah kalian bangkit dengan sendiri bertunjangkan keutuhan yakin pada Ilahi. Jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah. Dia selalu ada, dan memungkinkan segalanya menurut kehendak dan kebijaksanaanNya.

Berhenti merungut! Dan mulakan langkah baharu dengan perancangan kedua! 

Monday, January 16, 2012

"Hari ini banyak perkara yang terjadi, yang mematangkan aku sebagai seorang daie. Aku belajar bagaimana perasaan hati harus disembunyi saat nafsu meronta minta dipenuhi. Aku belajar memahami bagaimana Allah menghadirkan pengganti, dan aku harus melepaskan dia pergi. Aku mengetahui bagaimana hati tidak betah dipaksa, kerana kekhilafan diri sendiri. Jangan sesekali meletakkan kesalahan orang lain pada diri insan yang lainnya. Jangan sesekali bersangka buruk dengan tindakan, sebaliknya gunakan percaturan akal untuk mentafsirnya. Aku belajar menilai diri sendiri...mana buruk, mana baik untuk ku ikuti...dan aku belajar sesungguhnya hanya Dia Maha Menguji, dan kepadaNya jua kita akan kembali..."

Redha * Pasrah * Doa

Sunday, October 16, 2011

Berpaut Pada SabdaMu...kenangan...

Nasyid Berpaut Pada SabdaMu ini sangat memberikan kesan kepada diriku...lagi2 ia pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim (Rabbani)...lirik katanya memberikan makna mendalam...hayatilah seadanya...

Ada Apa Dengan Wanita?

BERHARGANYA WANITA~~
Dia dapat mengatasi beban lebih baik dari lelaki,dia mampu menyimpan kebahagiaan dan pendapatnya sendiri,dia mampu tersenyum ketika hatinya menjerit kesedihan,mampu menyanyi ketika menangis, menangis saat terharu,bahkan tertawa ketika ketakutan.


Dia berkorban demi orang yang dicintainya,dia mampu berdiri melawan ketidakadilan,dia menangis saat melihat anaknya adalah pemenang,dia gembira dan bersorak saat kawannya tertawa bahagia,dia begitu bahagia mendengar suara kelahiran.



Dia begitu bersedih mendengar berita kesakitan dan kematian,tapi dia mampu mengatasinya.

HANYA ADA SATU YANG KURANG DARI WANITA,DIA SELALU LUPA BETAPA BERHARGANYA DIA..."
wallahu'alam... :


--------------------------------------------

Hakikat tudung adalah perlindungan zahir batin, lindungi mata kamu dari memandang lelaki yang bukan mahram kamu, lindungi lidah kamu dari mengumpat orang dan bercakap perkara yang sia-sia. 


Sentiasalah lazimi lidah dengan zikir kepada Allah SWT, lindungi telinga kamu dari mendengar perkara yang mengundang mudharat baik untuk dirimu mahupun masyarakat , lindungi hidungmu dari mencium segala yang berbau busuk, lindungi tangan-tangan kamu dari berbuat sesuatu yang tidak senonoh.

Lindungi kaki kamu dari melangkah menuju maksiat, lindungi fikiran kamu dari berfikir perkara yang mengundang syaitan untuk memperdayai nafsu kamu, lindungi hati kamu dari sesuatu selain Allah SWT, bila kamu sudah biasa, maka tudung yang kamu pakai akan menyinari hati kamu. 


Itulah hakikat tudung...

---------------------------------------------

"Kalau kita ikhlas mencintai dia kerana Allah, mengapa tangan kita masih memegang jemarinya walhal belum sah? Mengapa bibir kita mengucup bibirnya waima iman tidak rela? Mengapa hati kita merindukan dia sedangkan Allah melebihi segalanya? Apakah bila sudah bernikah, nikmat itu bertukar cacian? Tangan itu yang memukulnya, bibir itu yang mencercanya, hati itu menduakannya dengan menghadirkan orang ketiga? Tanya pada hatimu, cinta nafsu atau cinta hakiki?"
-Nasihat buat diri sendiri-

----------------------------------------------

"Bernikah besar-besaran, berpuluh ribu, terpampang di dada akhbar, tapi tak sampai tiga tahun dah bercerai...kemudian, anak menjadi mangsa. Tuntut nafkah buat anak sampai berjuta2, tak mampu nak bayar, disamannya pula...inilah lumrah...sahabat Nabi S.A.W. dulu, nikahnya mudah. Hantarannya cuma senaskhah Al-Quran. Berkatnya sampai akhir zaman...Allahuakbar...kalau mampu sekalipun, jangan terlalu bermegah2...nanti yang menanggungnya boleh hilang arah..."
-Inilah Akhir Zaman-  

Thursday, October 13, 2011

Cerpen: Tawaf Wida' Untuk Walid


“Tik! Tik! Tik!”
Sayup-sayup kedengaran bunyi seperti besi diketuk ke jalanan. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berpaling memandang, namun tiada merasai apa-apa. Sedang si pengetuk jalanan itu berhempas-pulas mencapai penghujung langkahan. Hatinya sudah bergelojak tidak sabar mahu segera ke tempat persujudan, sementelah mendengar laungan panggilan menghadap Ilahi sewaktu dia berjumpa klien di tengah-tengah bandar Temerloh.
“Antara perkara yang wajib disegerakan ialah menunaikan solat setelah masuk waktunya, mengebumikan jenazah yang sudah selesai dikafankan dan menikahkan anak gadis yang sudah menemui pasangannya...”
Masih terngiang-ngiang di corong telinganya pesanan walid sewaktu hayatnya masih ada. Ketika itu, usianya baru menjangkau awal remaja. Pernah juga dia menyoal kepada walid mengenai kekurangan dirinya. Apakah dia masih wajib untuk menunaikan ibadah kepada Allah waima penglihatan membataskan dirinya? Jawab walidnya;
“Sahabat Nabi S.A.W dahulu menggunakan tali yang diikat dari masjid Nabawi ke rumahnya semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah, apatah lagi kamu yang masih kuat dan mampu berjalan menggunakan alatan tongkatmu...”
Dia tidak pernah ingkar dengan pesanan walidnya. Baginya, waima sedari kecil dia tidak diizinkan menatap wajah suci itu, namun mata hatinya sudah melakarkan bagaimana wajah dan kebaikan seorang lelaki bergelar walid. Pernah sekali dia merungut kepada walidnya mengenai kekurangan diri. Dia sering diperlekehkan, diusik teman sepermainan. Kata walid kepadanya; “Mungkin hari ini kamu diperlekehkan teman sepermainanmu, namun percayalah kata walid, satu hari nanti orang akan mendampingi kamu, memerlukan bantuan kamu...”
“Lambat sampai hari ini, Muaz?” Soal Pak Bilal dari tangga usai si buta itu meraba-raba tangga sebelum duduk sejenak melepaskan penat. Senyuman terukir di sebalik kaca mata hitamnya. Muaz meraba kasutnya sebelum dibuka ikatan dan disusun perlahan di sudut tepi tangga.
“Tadi ada urusan dengan klien, Pak Bilal. Leka sekejap...” Balas Muaz, riang. Pak Bilal tersenyum mendengar kata-kata anak muda itu. Gigih mencari nafkah hidup waima diri sendiri kurang sempurna. Allah menarik nikmat pancainderanya untuk melihat keindahan dunia fana, namun mencelikkan hatinya untuk bekerja dan berjaya. Dia memiliki sebuah rumah, pemandu dan kereta mewah sendiri, namun berkeras mahu berjalan kaki ke masjid. Kerapkali Pak Bilal menegur supaya menggunakan kereta untuk ke masjid agar lebih mudah namun Muaz menolak dengan gurauan lembut. Katanya, Allah tidak mengira jumlah pusingan tayar kereta, namun mengira jumlah langkahan kaki. Tertawa kecil Pak Bilal mendengarnya tika itu.
“Pak Bilal tunggu saya, ya. Nak ambil wuduk sebentar...” Pinta Muaz sebelum menapak perlahan sambil tangannya meraba-raba ke hadapan mencari paip untuk mengambil air wuduk. Ada sebatang paip disediakan kira-kira dua meter dari tangga. Paip air disediakan untuk memudahkan golongan seperti Muaz segera mengambil wuduk dan tidak menyusahkannya sementelah kekurangan yang ada pada diri.
Tup! Tup! Tup!
Mikrofon kecil diketuk sedikit untuk memastikan ia berfungsi sebelum diberikan kepada genggamannya. Seperti biasa, Muaz menolak dengan senyuman kerana tidak mahu perasaan riak bertapak di hatinya namun dipujuk Pak Bilal. Dia mahukan si buta itu melaungkan iqamat. Suaranya yang merdu dan lunak bergema ke segenap corong pembesar suara masjid, mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengar. Sang imam mula memimpin solat pada petang itu. Muaz membaca setiap bait bacaan solat dengan khusyuk sehingga terkadang sesiapa sahaja yang bersolat di sisinya pasti akan menangis mendengarnya. Bukan menjadikan mereka tidak khusyuk, namun mengkagumi si buta yang masih mampu melakukan solat sedang si celik yang lainnya leka dengan dunia.
“Hari ini kamu nak hafal surah apa pula?” Soal Pak Bilal.
“Surah Ar-Rahman...” Balas Muaz. Lantas si bilal tua segera membuka lembaran Al-Quran, mencari surah yang bermaksud ‘Maha Pemurah’ itu. Usai mendapatkan halamannya, dia melihat sejenak Muaz yang berkerut dahi, memfokuskan segala pendengarannya kepada si bilal tua. Lelaki berketayap putih itu mula mengalunkan ayat-ayat dari surah Ar-Rahman. Satu demi satu ayat dialunkan bersama maksudnya, sedang Muaz mengikutnya. Begitulah rutin harian mereka berdua.
Maka nikmat Allah Taala yang manakah yang ingin kau dustakan?
Sampai sahaja di ayat itu, maka bercucuran air mata si Muaz mendengarnya. Dia menangis sejenak. Si bilal tua tersentak. Dia memandang wajah pemuda itu. Hati tuanya terusik dengan tangisan manusia yang tidak pernah menyusahkan sesiapa itu.
“Mengapa kamu menangis, Muaz?” Soal Pak Bilal. Muaz teresak-esak sebelum cuba mententeramkan keadaan dirinya. Dia teringat sesuatu saat dialunkan ayat Al-Quran dan maknanya itu.
“Pak Bilal, musim haji dah nak dekat, bukan?” Soal Muaz.
“Ya, kira-kira sebulan lagi. Mengapa?” Soal Pak Bilal kembali.
“Bila mendengar ayat tadi, saya teringatkan Walid. Dahulu, walid selalu mengukuhkan semangat kami untuk terus hidup dengan mengulangi ayat ini. Walid tidak sempat menunaikan hajinya kerana keluarga kami sangat kekurangan pada waktu itu. Saya pernah berjanji dengannya untuk menunaikan haji buatnya. Mahukah Pak Bilal membantu saya?” Pinta Muaz dengan suara serak-serak basah. Pak Bilal mengangguk namun bagaimana Muaz mahu menunaikan haji untuk ayahnya sedangkan dia masih belum membuat haji?
“Maksud kamu, kamu nak Pak Bilal tunaikan upah haji untuk ayah kamu?” Soal bilal tua. Muaz mengangguk perlahan. Dia menyeluk beg sandangnya sebelum mengeluarkan buku akaun Tabung Haji miliknya. Ditunjukkan kepada bilal tua amaun yang dikumpulnya. Melebihi seratus ribu lebih! Terkejut bukan kepalang si bilal tua melihat amaun di dalamnya. Maha Suci Allah!
“Ini duit yang saya kumpul dari umur saya lima belas tahun, pak. Saya berniat mahu ke sana namun atas kekurangan saya ini, saya memerlukan khidmat Pak Bilal untuk bersama-sama saya di sana. Bukan apa, jika di sini saya sudah biasa dengan jalannya, namun di Makkah sana amat berbeza sekali. Bolehkah Pak Bilal?” Soal Muaz lagi.
“Wah, duit ini lebih dari cukup! Pak Bilal kagum dengan kamu, Muaz...”
“Apalah gunanya duit ini kalau saya masih tidak dapat menunaikan hajat saya, Pak Bilal. Saya berusaha mengumpul duit sebanyak ini untuk memastikan saya menjadi tetamu Allah kelak di Tanah Suci. Kalau boleh, saya mahu meninggal di hadapan Kaabah...” Ucap Muaz.
“Ish, kamu ni! Kenapa kata begitu. Kamu masih muda, bukan? Manfaatkanlah usiamu selagi masih berbaki, Muaz.” Tegur Pak Bilal. Muaz tersenyum mendengar teguran dan meminta maaf kepada bilal tua. Pak Bilal berjanji akan membantunya menguruskan urusan untuk menunaikan haji di Makkah kelak. Mereka menyambung kembali pembacaan dan penterjemahan Al-Quran. Ada riak gembira memancar di wajah Muaz setelah Pak Bilal bersedia membantunya!
Anak muda tidak usah menangis selalu. Ia harus tabah menjalani kehidupan yang telah Allah rancang untuknya. Bukan mudah menempuh dunia yang penuh pancaroba ini dengan berbekalkan pancaindera yang serba lengkap, apatah lagi mereka yang diambil penglihatannya. Berjalanlah selagi mampu ke rumahNya kerana Allah mengira setiap usaha dan kegigihanmu. Bantulah mereka yang lebih memerlukan darimu kelak. Hiasilah hari-harimu dengan ayat-ayat agungNya, basahkan lidahmu dengan berzikir kepadaNya, dan selubungi hatimu dengan cahaya imanNya. Biar kita buta tidak melihat dunia, namun jangan kita buta kerana tidak dapat melihat Allah dan RasulNya di hari akhirat kelak.
Sepanjang dia berjalan menuju ke perhentian bas, kata-kata arwah walidnya itu bermain-main di mindanya. Dia tidak mahu pemandu mengambilnya dari masjid. Dia mahu mengekalkan perjalanannya seperti biasa waima sudah memiliki segalanya.
Sesekali dia menangis kerana merindukan walidnya. Semenjak umi meninggal, dia tinggal bersama walid. Dia anak tunggal. Tiada mempunyai saudara-mara yang lain. Uminya meninggal sewaktu usianya baru mencecah tiga hari akibat kekurangan bekalan darah. Walid yang banyak membentuk jiwa kentalnya, mendidik dirinya, menghiasi akhlaknya dengan kesantunan Melayu dan kesucian Islam, menjadikan dia seorang pemuda yang gagah zahir dan batinnya.
Takdir Tuhan menentukan segalanya, walid kembali dijemput Allah saat dia baru dua hari memulakan perusahaan ikan patin sangkarnya. Dia hilang arah selama seminggu, sebelum Pak Bilal berusaha memulihkan semangatnya. Walid meninggal dunia sewaktu sedang menunggunya untuk berbuka puasa bersama. Syawal pada waktu itu merupakan syawal paling menyedihkan buatnya, menjadikan dia anak yatim piatu.
“Abang nak ke mana?” Soal seorang anak muda yang mendatanginya sambil memimpin tangannya. Muaz tersenyum sambil melangkah bersama. Hatinya berbunga. Masih ada insan yang sudi membantunya waima dia sudah biasa berjalan tanpa mata.
“Abang nak ke perhentian bas...” Ucapnya.
“Oh, kebetulan saya juga mahu ke sana. Mari saya hantarkan...” Balas anak muda itu sambil memimpinnya ke perhentian bas. Mereka berjalan bersama sedang umat manusia yang lain hanya mampu memandang tanpa wajah simpati. Mungkin di hati mereka sudah terhakis rasa membantu, apatah lagi bersimpati dengan insan tiada berpenglihatan sepertinya. Benar jika dikatakan dia sudah mewah dan tidak memerlukan bantuan, tapi bagaimana dengan golongan yang senasib dengannya?
“Terima kasih, dik...” Bisik Muaz saat dia duduk di bangku perhentian bas.
“Sama-sama. Dah menjadi kewajipan saya, bang...” Balas anak muda sebelum meminta izin untuk pergi. Muaz sempat menyeluk sakunya sebelum mengeluarkan wang kertas dan menghulurkan kepada anak muda itu. Si anak muda mengembalikan genggamannya ke sisi sebelum menuturkan bait-bait indah yang jarang sekali dituturkan anak muda seusianya.
“Duit bukan persoalan, bang namun tanggungjawab Muslim atas Muslim itu yang bakal dipersoalkan kelak oleh Allah. Saya minta izin dulu. Assalamualaikum...” Balas si anak muda dengan senyuman. Muaz tersenyum kembali sambil mengangguk perlahan.   
Tap! Tap! Tap!
            Perlahan-lahan dia berjalan menyusuri lorong kecil menuju ke Masjidil Haram berpandukan tongkat kecil putihnya. Pak Bilal termengah-mengah memimpinnya sedang Muaz begitu teruja untuk kembali menghadap Kaabah lagi. Biarpun sudah dua kali dia membuat ibadah haji, namun kudratnya tetap tidak dapat menandingi anak muda itu. Semalam, buat pertama kalinya dia dapat mengucup Hajarul Aswad dan bersolat di hadapan Kaabah. Dia bertalbiah dengan semangat dan mengalunkan doa dan zikir sepanjang berada di Makkah. Entah mengapa, hari ini perasaannya berbunga-bunga untuk kembali menghadap Kaabah.
            “Pak Bilal, seumur hidup saya inilah kali pertama saya merasai ketenangan beribadah sebegini. Tiada risau, malah hati ini sangat tenang menghadap Allah. Inilah yang dikatakan keagungan dan kehebatan Baitullah yang tidak dapat kita rasai di mana-mana ceruk bumi sekalipun, bukan?” Ucap Muaz dengan nada sangat gembira. Pak Bilal mengangguk perlahan. Air matanya Muaz menitis, gembira tidak terkata kerana akhirnya Allah memilih dia menjadi tetamu di tanah barakah ini.
            “Kamu nak ke mana?” Soal Pak Bilal melihatkan Muaz melangkah menuju ke Kaabah.
            “Saya mahu tawaf...” Ucap Muaz sebelum menapak ke tempat tawaf. Pak Bilal melihat dari jauh. Pemuda itu berjalan seperti orang biasa, tiada lagi terhenti-henti. Lebih menghairankan, dia mengetahui bagaimana untuk memulakan tawaf. Seperti ada sesuatu yang memimpinnya. Lama Pak Bilal memerhati, sebelum dia turut sama bertawaf tidak jauh di belakang Muaz.
            “Walid, tawaf ini pahalanya Muaz hadiahkan buat walid. Sekiranya tawaf ini adalah tawaf terakhir dalam hidup Muaz, cuma doa dan harapan Muaz panjatkan agar dapat bertemu dengan walid dan umi di Jannah nanti...terimalah tawaf wida’ ini untuk walid...” Muaz berbisik sebelum melangkah maju mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
            Usai menyelesaikan tawaf, Muaz terhenti di Multazam. Dia memegang batuan Kaabah sebelum rebah menyembah lantaian Kaabah. Menyedari Muaz hilang dari pandangan, Pak Bilal segera menghabiskan tawaf dan mencari Muaz. Di tengah-tengah kesesakan manusia bertawaf, kelihatan sekujur tubuh terbaring kaku, tiada dipijak mahupun disepak sesiapa. Ada senyuman terukir di bibir Muaz. Pak Bilal menjerit memanggil namanya...
            Banyak mana pun harta kita di atas muka bumi ini, sekiranya Allah tidak mengizinkan menjadi tetamunya, adalah sangat rugi bagi kita. Hari ini kita mungkin miskin harta, namun jangan sesekali kita miskin budi bahasa dan agama. Beribadahlah selagi mana ada masa...
                                                                                                                                    -walid-

Sunday, October 2, 2011

MAHA HEBAT ALLAH...

Assalamualaikum...

Hari ini terlalu banyak perkara yang menarik berlaku ke atasku. Bermula dari perjalanan Temerloh ke Lendu yang dihujani dengan air rahmat dari langit Ilahi, bertemu dengan sahabat2, teman istimewa, segalanya diberikan Allah dengan penuh kasih sayang dan rahmatNya yang tiada pernah terputus. Aku menghitung kembali detik-detik yang telah kulalui tadi...

Bermula dengan menunggang motosikal, emak telahpun berpesan awal kepadaku. Katanya, "Berhentilah kalau hujan, bahaya bawa motor semasa hujan..."

Benar, telahan dan naluri seorang ibu itu kuat. Hujan  di pertengahan kembara, memaksa aku berhenti hampir tiga empat kali. Ditambah pula dengan kesakitan pada tangan kiri yang tidak sekuat dahulu. Aku mengira ibu itu mendoakan keselamatanku dari jauh tanpa kuketahui. Hebatnya naluri seorang wanita, lagi-lagi mereka yang bergelar ibu. Usai aku sampai ke rumah, mesej menerjah ke telefon bimbitku. Ibu bertanyakan, "sudah sampai?" Aku membalas, "Baru sahaja sampai..."

Kedua, aku bertemu dengan rakan serumahku. Ianya perkara biasa, namun kali ini dalam matra berbeza. Cerita misteri mengenai 'penunggu rumah' benar2 mengubah kami semua. Sudah kedengaran suara orang bersolat, malah mereka berjemaah bersama. Alhamdulillah...

Ketiga, aku bertemu semula dengan sahabat2 perjuangan dakwah yang lama (ALUMNI JPM) di Masjid Al-Hikmah UiTM Lendu. Mereka adakan jamuan bersama. Di situ, terasa mekar kembali mahabbah dalam hatiku kepada barisan jemaah lama dan baru. Aku seperti biasa datang dengan pakaian sederhana. Berseluar jeans dan berbaju T-Shirt biru. Namun ianya bukan penghalang untuk mereka menerima kehadiranku. Aku dijemput bersama, waima perasaan malu dan segan itu menggunung di hatiku...

Allah itu Maha Hebat dalam QudratNya, Maha Agung dalam InayahNya, Maha Pemurah dalam Ar-RahmanNya. Rahmat dan kasih sayang Allah tiada pernah putus ke atas kita, namun kita yang tiada pernah terasa kehadirannya. Allah itu Maha Memberi, Lagi Maha Adil...

Bersyukurlah...

Alhamdulillah.....

Salamun alaik...

Thursday, September 29, 2011

KEHILANGAN

Suatu ketika, jemari ini hilang tariannya. Ia tidak pantas menari di atas papan kekunci seperti kebiasaannya. Akal pula menjadi tumpul. Buntu. Tiada ilham mahupun idea bernas untuk disalurkan kepada jemari agar ia bisa menaipkan bait2 kata yang menginsafkan.

Aku pernah merasa 'kehilangan' itu.

Apakah Allah mengujiku sebegitu agar aku ingat kepadaNya selalu?

Waktu dulu, seandainya aku tertekan atau menghadapi masalah, bagi menghilangkannya akan kutitipkan bait2 kata dalam tulisanku agar ianya menjadi sebuah cerpen, novel, mahupun sajak. Ianya seakan terapi buatku. Kini, bila aku tertekan, aku cuba melakukan perkara yang sama. Namun ada ketikanya aku terpaku di hadapan komputer ribaku, memikirkan apakah yang patut kutitipkan buat tatapan mereka2 yang mengenaliku?

Batasan masa, ianya bukan persoalan atau halangan.

Allah mengurniakan kita dengan 24 jam...namun kita merasakan ianya tidak cukup. Itulah natijahnya memiliki nafsu, tiada pernah merasa puas dengan apa yang ada. Lalu bagaimanakah mahu dipuaskan nafsu ini? Tidak akan puas, bisik hatiku. Ianya hanya bisa tunduk dengan sujud dan berlapar demi Tuhanmu...

Kali ini, sedikit demi sedikit kehilanganku kembali. Jemari ini mulai lincah namun masih kekok dalam 'tariannya', menitipkan bait2 kata buat tatapan kalian semua. Kuharapkan semoga kalian mendoakan...

Friday, July 1, 2011

ANDAI ESOK TIADA...

Andai esok tiada lagi buatku, apakah yang harus kulakukan? Apakah amalanku selama ini cukup buat menemaniku berhujah di hadapan Allah kelak?
Andai esok tiada, apakah aku masih bisa berdiri seutuh kini, berbicara sefasih ini, berfikir sepantas ini dalam urusan duniaku?
Andai esok tiada, bagaimana nasib ibu bapaku? Bagaimana keadaan urusan kerjaku? Bagaimana halnya akan sahabat2 ku?

Aku mengira detik demi detik. Benar, Allah sedang mengujiku dengan hebat. Allah sedang mentarbiahku dengan ujian sedang aku masih berusaha menghabiskan setiap dugaan yang diberikannya. Maha Hebat Allah menjadikan aku sebegini. Waima penyakit datang bertimpa, waima masalah melanda tidak mengenal masa, namun Allah masih menghadiahku dengan kelapangan dalam mengabdikan diri kepadaNya. Allah masih memanggilku mendatangi rumahNya untuk beribadat. Nyata, Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengampun!

Allah, apakah aku tergolong dalam golongan hambaMu yang tidak bersyukur?
Kau berikan aku rezeki, namun jarang sekali dapat kuhabiskannya...
Kau berikan aku kesenangan, namun jarang sekali aku menghargainya...
Kau kurniakan aku bakal isteri, namun aku langsung tidak menjagainya...
Kau bekalkan aku dengan agama, namun aku masih tidak mampu memperjuangkannya...

Satu kupinta ya Allah...andai esok tiada lagi buatku, Kau izinkanlah mereka yang pernah mengenaliku mengingatiku dengan seuntai Al-Fatihah~

Seumur hidup mereka.......

Tuesday, June 28, 2011

Sunnah Orang Berjuang


Allah Maha Hebat. Allah mentadbir alam yang luas ini dengan iradat dan kebijaksanaanNya. Allah tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Maha Suci Allah, dengan hati yang rendah aku memuji keagunganNya.

Sunnah orang berjuang:

berjuang menempah susah
menanggung derita menongkah fitnah
itulah gelombang hidup samudera duka
seorang mujahid memburu syahid

berjuang tak pernah senang
ombak derita tiada henti
tenang tegang silih berganti
inilah sunnah orang berjuang

berjuang memang pahit
kerana syurga itu manis
bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
bukan sedikit pedih yang ditagih...

Sunnah orang berjuang,
Terlalu banyak dugaan yang kutempuh semenjak usia ini menjangkau setahun. Ketiadaan ayah yang sibuk dengan urusan Tablighnya dulu menjadikan aku ini anak kecil yang cepat matang dan tak mudah menangis. Kerap dirotan dan dimarah emak kerana kenakalanku tidak menjadikan aku insan pelupa dan jahat, namun masih berpijak di bumi nyata dan mampu meraih sesuatu dengan usahaku.

Sunnah orang berjuang,
Terlalu sukar untuk kugambarkan bagaimana agama itu kucari. pernah tersalah mencari agama hingga aku taksub pada jemaah. semuanya itu ujian buatku dari Allah kerana dia mengetahui kelemahan dan kelebihanku. Syurga itu nikmat, dan untuk mendapatkannya bukan semudah yang disangka. Melalui syahadah sahaja tidak cukup, namun amalan, muamalat, kesungguhan kita dalam ibadah menjadi kayu ukurnya.

Sunnah orang berjuang,
Terlalu banyak dugaan kutempuh menjadi pemimpin pelajar. Dimarah, dihina, dipertikaikan, itu semua asam garam yang perlu kutelan agar diri ini utuh dan kukuh menempuh ujian yang lebih besar di alam pekerjaan kelak. Sedikit demi sedikit, aku belajar bagaimana perihal kepimpinan ini semenjak usiaku menjengah angka sembilan tahun. Lidah yang fasih ini kuasah semenjak aku mula2 bersajak di khalayak ramai sewaktu usiaku menjengah angka yang sama. 

Sunnah orang berjuang,
Terkadang hati ini merintih, menangis, kecewa dengan manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang kumiliki. Bukankah kurniaan itu milik Allah? Dia hanya memberi pinjam padaku. Kelak, di akhirat, aku akan dipersoalkan dengan apa yang telah Allah pinjamkan kepadaku. Namun manusia hari ini terlalu mudah menilai. Aku melihat manusia hari ini mudah lupakan nikmat. Benar, anak muda ini bukanlah sesempurna yang disangka. Aku juga masih belajar bagaimana menjadi seorang khalifah. Terkadang bila mana aku inginkan peluang itu, ia hadir namun tanpa pembimbing. Usai aku melepaskannya, mengapa baru kini ada yang bangkit dan mengatakan kekecewaan? Kecewa dengan peninggalanku sebagai seorang pemimpin? Allah...apakah mereka ini manusia buta? Apakah mereka ini tuli? Di mana pandaindera mereka? Apakah menjadi salahku bila mana keadaan menjadikan aku begini? Benar manusia bisa merubah takdir, namun apakah peluang keemasan itu hadir berkali-kali?

Sunnah orang berjuang,
Terkadang, diri ini mengakui bahawasanya ada ketika ia lalai. Bila mana Allah hadirkan seorang wanita untuk dijadikan sebagai penguat semangat dalam menempuh dugaan sebagai pemimpin, ia lupakan. Ia permainkan kesetiaannya, ia uji kesabarannya hingga pada akhirnya penguat itu hilang begitu sahaja. Setiap kehebatan lelaki itu pasti ada wanita yang mendokong di belakangnya. sepertimana Nabi memiliki Khadijah. Allah memberiku peluang, namun kulupakan. Kerna aku juga manusia, punyai nafsu. Aku alpa dan leka. Natijahnya, aku keseorangan sebagai seorang pemimpin. Apakah itu bermaksud Allah membenciku? Tidak, Allah sedang mengujiku dengan lebih hebat lagi...apakah tiada peluang dan harapan untukku meraih kembali penguatku. Kata imanku; "Itu urusan Allah, bukan urusanmu!"

Sunnah orang berjuang,
Selagi mana jasadku ini berpaksi di bumi, selagi itulah takkan lari kebencian dan iri hati manusia. Kini aku lebih banyak menguzlahkan diri, menyendiri mencari kedamaian di hati. Mungkin Allah ada sesuatu untukku kelak. Di sebalik kepahitan hidup, pasti ada sinar kehidupan di penghujungnya. Allah tidak pernah menzalimi, namun diri ini kerap berlaku zalim kepadaNya. Tatkala dimaki, aku hanya berdiam diri. Bila mana dicemuh, aku menulis kalimah-kalimah Quran yang suci. Tatkala dihina, aku tunduk...sedang hati berzikir...kerana dengan berzikir itu hati ini menjadi tenang.

Hari ini aku diuji. Dipertikaikan tentang kepimpinan. Dipersoalkan tentang agama yang amat sukar kucari gali. Ingin ku bangkit melawan, namun mengenangkan nasihat ayah dan ibu, aku tunduk pada Yang Satu. Aku menangis di sepanjang perjalanan, mengira terlalu berat sekali ujianMu Tuhan! lidah kubasahi dengan zikirMu, moga-moga ketenangan kuperoleh dengan banyak. Bila aku melewati tepian pantai, seakan laut mentarbiahku dengan bunyian tenang, ombak yang memukul perlahan, angin yang bertiup lembut. Hati berkata: "Allah sedang mentarbiahku dengan alam..."

Sunnah orang berjuang...takkan pernah habis perjuangannya, takkan pernah luput musuhnya, takkan bisa terlawan dugaannya, takkan terlepas walau sesaat pun tanggungjawabnya...kerana semua itu adalah...

SUNNAH ORANG BERJUANG...

"Cukuplah Allah sebagai penolongku~"

Saturday, June 4, 2011

MASIH MENCARI KESEMPURNAAN

Salam...

Bila seseorang mengatakan bahawa diri ini terlalu sempurna buatnya, maka hatiku bertanya; apakah benar kenyataan yang dilafazkan, atau sekadar pemanis bicara cuma? Aku tenggelam dalam cinta Rabb, terhibur dengan alunan ayat suci dan peringatannya, terkesima dengan kehebatan Rasul Junjungan-Nya, malah hampir terkufur saat leka dengan pemberian nikmat-Nya...

Namun Dia tidak pernah mengecewakan...

Dia selalu hadir, tatkala hati dilukakan...

Dia selalu memujuk, tatkala manusia mengecewakan...

Dia selalu berbisik baik, tatkala perasaan dipermainkan...

Itulah keajaiban Tuhan, yang tiada mungkin dapat ditafsirkan manusia yang buta matanya, tuli telinganya, mati HATINYA....

Maha Suci Allah, aku bersyukur dengan segalanya...

Aminnn....:')

Tuesday, May 10, 2011

Kedamaian


Kadangkala kedamaian itu hadir menggamit sanubari, saat diri lelah menghadapi dugaan-Nya. Memerhatikan alam sekeliling kita dan melihat keagungan-Nya sangat mendamaikan hati yang bercelaru. Waima di pantai, gunung, mahupun hutan belantara. Di saat itu, andainya hati masih dibaluti dengan iman waima sebesar zarah, pastinya akan terusik dengan kenangan dosa dan khilaf diri. Pastinya air mata akan menitis dan mengalir dari empangan mata, menunjukkan betapa lemahnya diri sendiri.

Fitrah manusia, tidak bisa lari dari dosa dan kemaksiatan. Sementelah diri terlalu mengkagumi dunia yang fana, sedangkan akhirat itu lebih hebat dan hakiki. Hebatnya Allah kerana membiarkan diri dibelenggu dosa, dan sesudah itu Dia hadirkan nusrahNya dengan menyucikan kembali hati yang kehitaman diulit dosa melalui tarbiah dan didikan syariat-Nya.

Beruntunglah mereka yang masih memiliki secangkir iman di dalam hati, kerana mahabbah Allah masih bersamanya.

Rugilah mereka yang masih lalai dan leka dengan dunia, kerana Allah sedang mengistidraj mereka dengan memberikan kelebihan harta dan kesenangan, sebelum menghancurkan mereka.

Sejarah telah tertulis dan membuktikannya...

Monday, May 9, 2011

Ibu Mithali (Sempena Hari Ibu)

"Lagu ini khas buat semua ibu yang ada di dunia ini..."


IBU MITHALI IBU YANG SEJATI
KASIH SAYANGMU KASIH YANG SUCI
PENGORBANANMU DISANJUNG TINGGI
JASAMU TETAP DI SANUBARI


C/O    IBU OH IBU FITRAHKU MURNI
          KELEMBUTANMU MENYENTUH HATI
          SEMAI KASIHMU DALAM JIWAKU
          KAU DISAYANGI KERNA MENYAYANGI


IBU OH IBU HATIMU SUCI
TULUS IKHLASMU MENDIDIK DAKU
SANGGUP BERSUSAH DAN MENDERITA
DEMI KEBAHAGIAAN SEKELUARGA


IBU OH IBU KAU SERIKANDI
BAKTI AMALMU TIDAK TERPERI
BERAMAL SOLEH BERPERIBADI
MENTAATI ALLAH JUGA SUAMI

Nasyid@Adequate

Ini adalah salah satu dari nasyidku bersama kumpulan nasyidku - The Adequate
Persembahan di Dewan Sri Siantan_Putrajaya


PUTERIKU SAYANG-Mestica Ft Munif Hijjaz


Lembutmu tak bererti
Kau mudah dijual beli
Kau mampu menyaingi lelaki dalam berbakti
Lembut bukan hiasan
Bukan jua kebanggaan
Tapi kau sayap kiri pada suami yang sejati

Disebalik bersih wajahmu
Disebalik tabir dirimu
Ada rahsia agung tersembunyi dalam diri
Itulah sekeping hati yang takut pada Ilahi
Berpegang pada janji mengabdikan diri...

c/o    Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana
         Tetapi ia berkuasa menjaga diri dan nama
         Tiada siapa yang akan boleh merampasnya
         Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri...

Ketegasanmu umpama benteng negara dan agama
Dari dirobohkan dan jua dari dibinasakannya
Wahai puteriku sayang kau bunga terpelihara
Mahligai syurga itulah tempatnya...

Aduhai puteriku sayang...
Kau bunga kebanggaan
Aduhai puteriku sayang...
Kau bunga idaman

SENYUM...:)

Orang yang hebat dan mulia adalah orang yang sentiasa tersenyum biarpun diri diuji dengan tohmahan, dugaan, cacian dan ketidakpuashatian manusia. Senyumlah seikhlas Nabi Muhammad S.A.W. kerana waima dibenci, baginda masih tersenyum malah tidak mendendami.

Manusia sememangnya tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki dan apa yang dimiliki orang lain melainkan dengan pimpinan iman yang membataskan perilaku nafsu. Oleh itu, jadikanlah dirimu manusia yang selalu bersyukur dan tambahilah imanmu dengan nilai-nilai iman dan Islam. Moga-moga maghfirah Allah selalu mengiringi hidupmu...

Alaika salam...

Tuesday, March 22, 2011

CERPEN: ABANG MUS...!

Cerpen - Abang Mus..
(Oleh Tongkat Jibril)

DIA tekun mengelap meja yang basah. Wajahnya riang bersahaja, tiada menzahirkan sebarang keletihan waima sudah hampir seharian dia bekerja di situ. Mata bundarnya cekap mencari kotoran sisa makanan untuk dibersihkan. Usai mengelap meja, dia berganjak ke meja yang lain. Ditariknya besen besar berisi pinggan mangkuk kotor bersama.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya...

Suaranya sesekali kedengaran bergema di warung makan itu. Biarpun tidak semerdu mana, namun cukup sekadar dapat memuaskan hatinya. Dia tidak menghiraukan pelanggan yang sedang menikmati hidangan. Mereka juga sama. Sudah biasa dengan keadaan itu. Normal bagi seorang kurang upaya sepertinya terhibur dengan caranya yang tersendiri. Malah, jika suaranya tidak kedengaran, akan ada insan yang meminta.

Sebaik melihat iklan angkasawan negara di kaca televisyen, hatinya bernyanyi riang. Dia akan terhenti sejenak, melihat iklan dengan penuh bersemangat biarpun sudah puluhan kali ditayangkan. Senyuman jelas terukir di bibirnya.

"Den nak jadi macam abang Mus. Den nak poie ko bulan macam abang Mus! Mawi tak poie bulan. Datuk Siti pun samo..." Ucapnya bila orang bertanya. Cita-citanya melangit tinggi. Dia berazam untuk menjadi angkasawan juga suatu hari nanti. Dia kurang upaya dari segi minda dan pergerakan, namun dia tidak kisah. Kecacatan bukan penghalang kejayaan seseorang, tapi anugerah daripada Tuhan; itu pesanan arwah ibu yang dipegangnya sampai mati!

Dari awal lagi dia mengikuti perkembangan angkasawan negara tersohor itu. Malah, dia sanggup merayu kepada majikannya Pak Mud untuk pulang awal semata-mata mahu melihat pelancaran kapal Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara ke ISS di kaca televisyen. Di rumahnya penuh dengan poster dan maklumat mengenai angkasawan negara. Dikumpulnya dari majalah dan akhbar. Dialah orang pertama yang membeli akhbar Berita Harian di kedai Subramalai setiap pagi. Kemudian, dibawanya ke warung. Dia tidak pandai membaca. Namun sebelum memulakan kerja, dia meminta Pak Mud membacakan berita tentang angkasawan negara idolanya. Kalau tidak pun, dia akan ke rumah kebajikan orang tua, meminta 'ayah-ayah dan ibu-ibunya' membacakan berita. Tapi, akhbarnya haruslah dalam tulisan Jawi atau bahasa Cina. Senyuman pasti meleret di wajahnya bila mendengar perihal angkasawan negara. Melangit sekali sanjungannya!

"Kalau tak kerana dia dapat ke bulan, takkan ada orang yang nak kenal dia tau!" Entah bagaimana, telinga si kurang upaya menangkap suatu perbualan 'hangat'. Ada suara yang cuba menjatuhkan imej angkasawan negara yang baru berlepas ke bulan. Ya, angkasawan yang menjadi kebanggaan seluruh pelusuk tanah air. Dr Sheikh Muszaphar atau mesra dengan panggilan abang Mus oleh gadis-gadis kilang yang selalu berkunjung ke warung. Lebih hebat daripada Mawi, Datuk Siti Nurhaliza atau artis kegemaran masa kini yang lain.

"Membazir sahaja pergi ke sana... bukannya dapat apa pun!" Sampuk yang seorang lagi.

"Sepatutnya, kerajaan bagi bantuan untuk orang macam kita ni." Tambah lagi seorang.

"Nak cari publisiti murahan agaknya, sampai semua orang perempuan tergila-gilakan dia!" Balas temannya yang duduk semeja. Berdesing telinga sang cacat mendengarnya. Idola pujaannya dihina sedemikian rupa. Dia terhenti mengelap meja. Kain lapnya dipegang kemas. Apa dosa abang Mus sampai pemuda-pemuda itu hendak menghinanya? Dia bukan merosakkan negara. Malah, kebanggaan kita semua juga!

Dadanya berombak laksana tsunami Acheh. Taufan amarahnya memuncak, melampiaskan kerut-kerut berselirat di wajahnya. Dia mengetap bibir. Perlahan-lahan dia mendatangi penganggur sepenuh masa itu sebelum kain lapnya dilemparkan tepat mengenai muka salah seorang daripada mereka. Tersentak kesemuanya memandang Yusuf.

"Orang gila! Orang jahat! Perosak bangsa!" Jerit si cacat lalu menampar wajah mereka.

"Usop naik gila! Usop naik gila!" pekik seorang daripada mereka sambil memegang kedua-dua belah tangan Yusuf. Si cacat meronta-ronta minta dilepaskan. Pak Mud berlari mendapatkan Yusuf yang sedang bertelagah dengan pemuda-pemuda menganggur itu. Dia cuba menenangkan Yusuf. Para pelanggan yang lain turut membantu menenangkannya.

"Diaorang jahat, Pak Mud! Diaorang kutuk abang Mus... den marah! Den tak suko! Abang Mus baik! Abang Mus solat di angkasa. Abang Mus puasa. Abang Mus sambut raya di sana. Tapi diaorang tak solat! Tak puasa! Jahat! Suka kacau kakak-kakak kilang!!!" Amarahnya dilontar sehabis mungkin. Pak Mud mengangguk perlahan. Dia menenangkan perasaan Yusuf. Si cacat itu walaupun buta huruf, namun masih punyai hati budi dan perasaan. Malah, pengetahuannya menjangkaui insan biasa.

"Jangan marah orang jahil, nanti kita pun sama jahil, Sop!" Pujuk Pak Mud, sinis.

"Abang Mus bagus kan, Pak Mud?” Soal Yusuf lagi.

"Memanglah, anak Malaysia dan orang Melayu pertama ke bulan! Siapa tak bangga?” Pak Mud membakar semangat Yusuf. Dia menyuruh si cacat itu duduk sejenak di sudut kiri warung. Biar tenang dahulu, baru boleh kembali bekerja. Pemuda-pemuda tadi segera angkat kaki. Mereka malu dengan apa yang berlaku. Keadaan di warung kembali tenang.


Limpahan kasih

Setibanya sore, Yusuf meminta izin untuk pulang sebentar. Seperti biasa, dia akan singgah dahulu ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Darul Kifayah tidak jauh dari tempat dia bekerja. Dia menjinjing bersama bekalan makanan untuk diberikan kepada orang-orang tua yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Pak Sahar, Haji Syafiq, Wak Azran, Uncle Jun Bin, Mek Aina, Ummi Hawa dan Nyonya Shi Mun sedang beristirahat di bangku batu berdekatan pagar utama tatkala Yusuf melewati pagar besi.

"Angkasawan sudah datang!" Laung Wak Azran. Kesemua mereka memandang ke arah Yusuf. Terhincut-hincut Yusuf mendekati mereka. Diletakkan bekalan makanan ke atas meja batu. Manik-manik peluh dikesat menggunakan tuala kecil. Dia mengibas-ngibas bajunya, kepanasan.

"Banyaknya makanan... syukurlah!" Ucap Pak Sahar.

"Bertuah kita dapat anak macam Usop, ya!" Haji Syafiq melontar pujian.

"Tengoklah anak siapo..." Ujar Mek Aina, pekat dengan loghat Kelantannya.

"Eh, anak sayalah!" Sampuk Uncle Jun Bin. Nyonya Shi Mun mencubit lengannya.

"Hei, dia anak saya juga ma!" Balas Nyonya Shi Mun.

"Waduh, anak wak juga!" Wak Azran turut mengusik. Ummi Hawa menggeleng sambil menjuihkan bibirnya. Wanita tua Terengganu itu menafikan kesemua pengakuan teman senasibnya.

"Kita tanya Usop... semuanya tipu belaka ni!" Cadangnya, berseloroh. Mereka memandang anak cacat itu. Pipi Yusuf berona merah. Dia tersipu-sipu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bertuahnya dia kerana dapat memiliki kasih sayang daripada insan-insan lebih separuh abad itu. Bertuahnya dia kerana tidak kesunyian sejak kematian ibunya. Bertuahnya dia kerana diberikan dorongan dan semangat oleh mereka hingga membolehkan dia berjaya menyesuaikan diri dengan masyarakat.

"Usop nak jadi anak semua sekali!" Balas Usop. Kesemua mereka tertawa serentak. Mereka membuka bekas berisi makanan, lalu menikmatinya bersama. Ada gulai asam pedas kesukaan Wak Azran dan Pak Sahar, ikan masak singgang kegemaran Mek Aina dan Ummi Hawa dan tauhu sumbat kegilaan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun.

Kemesraan jelas terpancar di sebalik keakraban hubungan mereka. Tanpa segan silu atau malu, mereka menyuap makanan antara satu sama lain. Mereka gembira dengan hidup mereka kini, biarpun hidup dalam buangan dan peninggalan anak-anak dan insan yang mereka kasihi. Bagi mereka, Yusuflah tempat mereka menumpang kasih walau anak itu juga senasib. Yusuf dianggap sebagai anak oleh mereka. Malah, penjaga di situ pun sudah menyukai Yusuf dan tidak menghalang anak cacat itu mendatangi mereka siang atau malam. Aidilfitri yang lalu juga turut dirai bersama dengan si cacat itu. Alangkah!

"Malam ni, Abang Mus nak balik ke bumi!" Yusuf membuka bicara tatkala hidangan selesai dijamah. Mereka mengangguk perlahan, sedia maklum dengan berita itu. Bersungguh benar dia menyatakan perkara itu.

"Kita tengok sama-sama, ya!" Pinta Yusuf. Mereka semua mengangguk sambil tersenyum. Kekaguman mereka terhadap wawasan anak cacat itu sememangnya timbul sedari awal lagi. Melihat kesungguhan dia membawa poster dan akhbar untuk mendengar perkhabaran tentang Dr Sheikh Muszaphar dan mendengar celotehnya mengenai angkasawan idolanya membuatkan mereka tidak membantah atau menyanggah, bila si cacat menyatakan dirinya juga ingin ke bulan. Malah, mereka menyokong sepenuhnya. Bukan menjadi persoalan sama ada cita-citanya tercapai atau tidak, namun kesungguhannya itu yang harus dijana dengan baik. Anak cacat itu tidak mengenal erti putus asa!


Debar menanti

"Dah nak mula!" Pekik Yusuf sambil memandang kaca televisyen. Pak Sahar awal-awal lagi sudah turun, diikuti Wak Azran yang terkedek-kedek di belakangnya. Dia membebel dari tadi kerana kopiah Jawanya hilang entah ke mana. Haji Syafiq muncul dari dapur dewan makan sambil menatang sepinggan roti. Di belakangnya, menapak Mek Aina dan Ummi Hawa membawa minuman. Mereka masih gagah membuat kerja dapur biarpun usia semakin senja. Kelihatan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun muncul dari pintu utama. Mereka semua melabuhkan punggung di atas sofa, sedang mata terpaku melihat kaca televisyen. Debarannya kian terasa....

Alangkah gembiranya Yusuf bila berita melaporkan kapal angkasa Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar selamat mendarat di bumi walaupun tersasar beberapa ratus kilometer dari kawasan jangkaan dia mendarat iaitu di Arklyk. Melompat kegirangan Yusuf sambil menyanyi riang tatkala melihat wajah Sheikh Muszaphar. Malaysia Boleh! Dia melaungkannya beberapa kali. Kesemua mereka tersenyum dengan telatah Yusuf.

Dalam hati tua mereka, tersisip rasa bangga dengan angkasawan pertama negara itu kerana berjaya merealisasikan hasrat negara. Hadiah ulang tahun ke-50 merdeka, bisik Pak Sahar kepada teman-temannya. Linangan air mata membasahi pipi berkedut mereka. Bertuah rasanya menjadi warga Malaysia. Terima kasih Sheikh Muszaphar! Malaysia Boleh! Malaysia memang boleh!



--------

Biodata

TONGKAT Jibril, nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil yang dilahirkan pada 27 Februari 1989. Beliau terbabit dalam genre cerpen dan novel. Novel pertamanya, Nobat Kasih diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006. Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, ini kini menuntut dalam Jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Melaka.