Kejernihan wajahmu...
Sempurna pada pandanganku...kau kirana
Keturunan terpilih...
Disanjung serta dihormati...kau permata
Kesederhanaanmu...
Mengecap kekayaan dunia...kau mestika
Ketakwaan dirimu...
Itu yang merantai jiwaku...
-In Team_Bisikan Nurani...-
Adli memegang lehernya. Kali ini denyutannya terasa amat kuat sekali. Terasa mahu pecah kepalanya. Dia memegang dinding, cuba mencari ketenangan. Kudratnya semakin lemah hari demi hari.
“Adli...dah siap belum? Orang dah tunggu tu...” Laung uminya. Adli mencari kekuatan untuk membalas. Bimbang uminya terperasan dia dalam kesakitan. Hatinya berdoa tak henti-henti semoga Allah mempermudahkan urusan pernikahan dan perkahwinannya hari ini.
“Sekejap, umi...” Balas Adli. Agak lama dia terduduk, sebelum denyutan semakin berkurangan. Puji-pujian segera dipanjatkan kepada Allah kerana mendengar rintihan hatinya. Dia mencapai songkok hitam sebelum dipakaikannya di kepala. Berbaju putih berkilauan, Adli sememangnya gah sebagai raja sehari. Cermin besar dipandang. Segak. Nikmat kecantikan yang Allah berikan kepadanya.
Kedengaran uminya mengetuk pintu. Adli segera membuka langkah. Tatkala tombol pintu dibuka, kelihatan uminya sedang menanti. Wajahnya berseri-seri. Diperhatikannya pula anak terunanya yang segak dengan busana pernikahan.
“Dah bersedia?” Soal uminya.
“Ya...” Balas Adli, sambil mengukir senyuman. Mereka berdua turun ke ruangan utama. Di situ, sudah tersedia hantaran perkahwinan untuk diberikan kepada pihak pengantin perempuan.
“Dah sedia semuanya? Kalau sudah, bolehlah kita berangkat...” Ujar Pak Ngah Salleh sebelum bingkas bangun dari sofa lembut. Umi melangkah menurutinya. Beberapa sepupu dan saudara-mara mengangkat dulang hantaran. Ada tujuh kesemuanya.
Sebelum bergerak ke lokasi pernikahan, Adli membacakan doa semoga dipermudahkan segala urusan mereka. Tekun Adli berdoa, sedang uminya terperasan ada sesuatu yang tidak kena pada diri anaknya. Wajahnya lain daripada biasa. Ingin ditanya, namun hatinya berbisik. Mungkin gugup memikirkan tentang proses akad nikah agaknya!
* * *
“Ekau yang bernama Saiful Adli bin Abdullah Fahim?” Soal tok kadi. Dengan kaca mata petak yang agak besar, dia memandang wajah Adli. Pemuda itu mengangguk sambil mengesahkan namanya.
“Ekau dah ready? Tok buatkan sekali, ekau kono ikut...yo?” Ujar tok kadi dalam loghat Negeri Sembilan. Dia bersalaman dengan Adli sebelum memulakan upacara akad nikah. Adli mengangguk perlahan. Peluh mulai menitik, sedang masjid itu dikelilingi penghawa dingin yang banyak. Penangan akad nikah!
“Bismillahirrahmanirrahim...den nikahkan akan ekau Saiful Adli bin Abdullah Fahim bersamo Norazlina binti Mohamed Ayob dongan mas kahwinnyo...”
“Tok, boleh tak kita mudahkan?” Adli memotong tiba-tiba. Tok kadi tersentak.
“Apo kono eh jang? Ekau cakap apo?” Soal tok kadi. Hadirin yang hadir turut terperanjat. Di kelompok pengantin perempuan, Azlina mengangkat wajahnya. Apa yang Adli ingin lakukan?
“Tok...saya bukannya nak melawan atau membantah...tapi dalam urusan akad nikah, tak perlulah panjang berjela-jela. Penat saya nak mengingat. Bukankah Islam sudah mengajar kita untuk mempermudahkan akad nikah. Yang penting, ada nama pengantin lelaki dan wanita serta akadnya...tak payahlah berjela-jela...” Ujar Adli. Tergamam tok kadi mendengar. Dia memandang ke kanan dan kirinya. Saksi yang hadir mengangkat bahu.
“Buleh den tanyo ekau?” Soal tok kadi.
“Boleh...apa dia...” Soal Adli. Dia menelan air liur, bimbang jika dimaki pulak.
“Ekau ni mufti ko apo? Sepanjang den jadi tok kadi...dah nak masuk pencen ni, ekaulah satu-satunyo orang yang mintak macam tu. Siap tazkirah lagi nih ha...tapi, bagus jugo...sonang kojo den nih ha...apolah ekau tak bagitahu awal-awal pado den ni, jang?” Ujar tok kadi. Seluruh hadirin tertawa besar. Adli tersipu-sipu malu. Dia ingin memudahkan, kerana Islam itu sememangnya mudah untuk diamalkan.
Dengan sekali akad, Azlina sah menjadi zaujah Adli. Doa dipanjatkan ke hadrat Allah, bukan dibacakan oleh tok kadi namun Adli sendiri yang membacakannya. Para hadirin mengaminkan doa dengan harapan kedua-dua mempelai berbahagia hingga ke akhir hayat.
Usai upacara akad nikah, mereka semua diminta Adli untuk melakukan solat sunat bagi menggantikan upacara pembatalan air sembahyang. Tok kadi sangat bersetuju dengan cadangan Adli. Mereka solat terlebih dahulu sebelum meneruskan upacara yang lain.
Usai bersolat, Azlina disarungkan cincin oleh suaminya di koridor masjid. Kata mufti, adalah penting untuk menjaga kesucian masjid dengan tidak mencemarkannya melalui aktiviti yang kurang enak dipandang. Membatalkan air sembahyang bukanlah syariat namun adat budaya. Tak salah andai kita mengubahnya demi kepentingan agama. Indahnya Islam, hanya mereka yang menganutinya dengan bersungguh-sungguh sahaja yang memahami...
* * *
Malam menjelang tiba. Majlis perkahwinannya selesai terlaksana. Adli menapak masuk ke dalam bilik. Di katilnya sudah terhias indah dengan rona bunga. Malah, diletakkan kelopak bunga mawar di segenap katil, menambahkan seri dan haruman. Kilauan lampu meja yang samar-samar menggamit suasana. Romantis.
Azlina menapak lembut memasuki bilik. Hatinya gementar. Bergelar isteri kepada Adli sememangnya sudah diidamkan saat pertama kali bersua muka waima ketika itu hatinya masih belum mengenali.
Adli membuka busana pengantin, menggantikannya dengan pakaian tidur. Teringat padanya kata-kata Pak Ngah Salleh sebelum dia pulang tadi.
“Kena jadi romantik, barulah hubungan suami-isteri erat...”
Azlina terpaku di hujung katil, tunduk memandang lantai dengan busana perkahwinannya. Menyedari Azlina di situ, Adli menyapanya.
“Sayang tak nak tukar baju ke? Tak panas?” Soal Adli, dengan panggilan manja. Azlina tersenyum simpul. Malunya menebal entah mengapa!
Usai menukar pakaian, Adli menapak ke arah Azlina. Wanita itu mulai gementar. Dadanya berombak pantas. Adli duduk perlahan-lahan di sisi kanannya. Azlina masih tunduk, menahan malu dan segan yang menggunung. Perlahan-lahan Adli mengangkat wajah isterinya.
“Tukar baju dulu, ya?” Bisik Adli, lembut. Bagai hendak tercabut rasanya jantung Azlina mendengar bisikan Adli. Sang suami mengucup dahi isterinya sambil menggenggam jemari. Islam telah menyatukan mereka, waima pelbagai onak duri dirasai bersama.
“Sayang abang tak?” Bisik Adli lagi. Azlina mengangguk perlahan.
“Aik? Dah bisu isteri abang ni?” Usik Adli lagi. Dia mengusap jemari isterinya dengan lembut. Azlina menggeleng pantas.
“Malu...” Bisik Azlina. Spontan adli tertawa kecil.
“Malu...tapi mahu, kan?” Usik Adli lagi. Azlina mendakap suaminya dengan erat. Adli membiarkan sahaja. Kemesraan antara mereka terjalin dengan sendirinya. Moga Allah merestui pernikahan mereka ini. Azlina mendakap lama, sebelum Adli berbisik di telinganya.
“Takkan nak tidur pakai baju pengantin...mahal sewa ni...hehe...”
Azlina mengomel manja. Dan malam melabuhkan tirainya, sedang pasangan mempelai melayari malam pertama dengan direstui Yang Maha Esa...
3 comments:
slm..swonok2..tapi ending cm sedih jer..huhu...xsbar nak bace..(padahal dah agak ending dier cmner)
salam 'alaik..
penulisan yang sangat bersastera..
ana juga sedang dalam proses untuk mengembangkan sayap dalam bidang kesusteraan..
moga2 dapatlah menjadi penulis sehebat akhi..
apa yang penting menulis kerana Dia..
salam ziarah..assalammu'alaikum..
http://setanggiukhuwwah.blogspot.com
nakal..!
Post a Comment