DUA PULUH LAPAN
Bercinta sudah lama
Berkasih dan bermesra
Sedang enak membuai rasa
Perpisahan tercipta
Mengapa sementara
Cerahnya cinta kita
Mendung tiba tiadaku pinta
Gelapnya suasana -Khatijah Ibrahim_Ku Pendam Sebuah Duka-
Adli memerhatikan samudera yang terbentang luas. Kelihatan Azlina sedang menapak perlahan di gigi air, tidak jauh darinya. Isterinya kelihatan riang. Sesekali dia melambai ke arah Adli. Pantas dibalas lambaian berserta senyuman, sedang fikirannya menerawang mengenangkan permintaan Azlina malam semalam. Permintaan untuk menikahi Aufa Liyana.
Suami mana yang sanggup menduakan isterinya?
Isteri mana yang sanggup bermadu dengan cinta pertama suaminya?
Persoalan demi persoalan bermain di pemikiran pemuda itu. Mahu sahaja ditolak, namun Azlina beria-ia mahukan permintaannya ditunaikan. Adli menguis pasiran pantai. Sesekali dia mengeluh, mengenangkan permintaan berat sang isteri.
“Abi...jomlah!” Laung Azlina dari kejauhan. Adli melambai tangan sebelum menapak ke arah isterinya. Mereka berpegangan tangan sebelum menapak di sepanjang gigi air.
“Abi fikir apa tadi?” Soal Azlina.
“Tak ada apa-apa...” Balas Adli, tersenyum.
“Tak baik tipu isteri...haa...nanti tidur luar baru tahu!” Usik Azlina. Adli tertawa kecil. Dia mengusap wajah isterinya. Azlina membiarkan sahaja. Sejak akhir-akhir ini, kelakuan suaminya sedikit menghairankan. Adli yang dikenalinya sebelum bernikah berlainan selepasnya. Romantis, prihatin, banyak membantunya dalam melakukan kerja-kerja rumah. Terbit kerisauan di hati namun dibiarkan sahaja. Mungkin dia berubah kerana memikul tanggungjawab utama sebagai ketua keluarga.
“Kalau abi tak tunaikan permintaan umi, boleh tak?” Soal Adli, tiba-tiba. Wajahnya berubah muram. Azlina memandang suaminya. Adakah perkara itu yang menjadikan suaminya termangu entah mengapa?
“Kenapa?” Azlina menyoal kembali.
“Poligami sangat sukar...secara teorinya abi sokong sebab itu sunnah Nabi Muhammad S.A.W...tapi secara praktikalnya, abi tak sanggup...” Jelas Adli.
“Tapi dia kan cinta pertama abi...?” Soal Azlina lagi.
“Tapi umi cinta terakhir abi...” Adli membalas lembut. Terharu Azlina mendengarnya. Betapa tulus hati sang arjuna menyintai insan sepertinya walaupun dia berhak mendapat insan yang sama padan dan lebih baik daripada dirinya. Azlina merangkul erat dada suaminya. Mereka berjalan perlahan menyusuri pesisir pantai.
“Abi minta maaf kalau abi tak sempurna. Memang Aufa cinta pertama abi, tapi abi tak mungkin bersama dengan dia. Abi dah ada cinta terakhir abi iaitu umi. Kalaulah ajal abi...” Pantas Azlina menekup jari telunjuknya ke bibir Adli. Terhenti bicara sang suami.
“Umi tak nak dengar lagi abi cakap macam tu...” Ujar Azlina.
“Setiap makhluk yang bernyawa akan mati...dan abi juga tak terlepas daripada itu...umi kena faham...” Balas Adli. Azlina menggelengkan kepala.
“Memang kita akan mati...tapi adakah kematian itu membataskan kehidupan kita? Menghalang kita melakukan apa saja yang kita inginkan dalam hidup? Abi nak biarkan perasaan kematian itu menyelubungi hidup abi? Come on...don’t make such a silly joke like that, abi...” Azlina memberikan buah fikiran. Adli terdiam mendengarnya. Mereka duduk bersama menghadap samudera. Azlina memandang suaminya sedang Adli merenung jauh ke laut luas.
Tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi pipi. Adli menangis di hadapan isterinya. Terkesima Azlina melihat kelakuan Adli. Hatinya sebak. Didakapnya Adli dengan erat.
“Kalaulah orang tahu betapa nikmatnya perkahwinan, mesti mereka akan segera bernikah. Mempunyai anak yang soleh dan solehah, mempunyai isteri yang memahami, abi harap semua tu abi dapat tengok sebelum nafas abi yang terakhir...” Ujar Adli. Azlina tersenyum manis. Dicubit hidung suaminya sebelum berjanji sesuatu.
“Insya-Allah...umi janji, andai abi dah ‘pergi’ sekalipun, umi tak akan sia-siakan anak kita, akan didik dia orang dengan didikan agama yang sempurna, macam abi dia orang jugak! Hehe...” Azlina mengusik manja. Adli mengesat air matanya. Alahai, malunya menangis di hadapan isteri! Egonya runtuh serta-merta.
“Abi nak minum air kelapa tak?” Soal Azlina tatkala terlihat sebuah gerai menjual minuman tidak jauh dari tempat mereka bersiar-siar. Adli mengangguk perlahan. Perlahan-lahan Azlina menapak menuju ke gerai tersebut. Adli menghantarnya dengan sorotan mata. Seketika kemudian, pandangannya dihadapkan semula ke samudera luas. Dia menyaksikan segala keajaiban ciptaan Allah dengan tenang.
“Alam selepas pekahwinan amat menyeronokkan, betul tak?” Ujar satu suara dari belakang. Adli tersentak. Ketenangannya direnggut serta-merta. Dia segera berpaling. Alangkah terkejutnya Adli melihat sekujur tubuh yang terpacak di belakangnya.
Ezmir!
“Menikmati keindahan pantai bersama isteri tersayang memang impian setiap suami...termasuk juga aku. Oh, hampir terlupa...aku sudah tidak mempunyai isteri...” Ujar Ezmir lagi. Kali ini, dia melangkah bersebelahan Adli.
“Apa yang kau nak dari aku?” Soal Adli, garang. Ezmir tertawa kecil.
“Kau ni...cuba bawa bertenang...jangan dirosakkan mood petang ni dengan perasaan marah atau dendam kau padaku, Adli. Aku datang dengan cara baik. Kebetulan bertandang ke mari. Aku terperasan kau berehat di sini. Jadi, aku rasa tak salah kalau aku temani kau sementelah isteri tercinta membeli air minuman, kan?” Ujar Ezmir sambil tersenyum sinis. Adli semakin berhati-hati. Insan seperti Ezmir bukan calang-calang orang. Ezmir menggeliat perlahan. Keluhan kedengaran dari bibirnya.
“Kau puas dengan apa yang kau dapat sekarang?” Soal Ezmir.
“Apa maksud kau ‘puas’?” Soal Adli kembali. Ezmir tertawa terbahak-bahak.
“Nak berdrama pulak petang-petang macam ni...hey, come onlah! Kau dah dapat Aufa dan Azlina, bukan?” Sindir Ezmir lagi. Dia menepuk bahu Adli namun pantas sahaja sang pemuda menepis. Ezmir sedikit terkesan namun masih mampu tersenyum memandang Adli yang sedang menahan rasa amarah.
“Kau menipu Aufa Liyana...aku hanya menegakkan keadilan. Suami jenis apa kau ini? Mendera isteri sampai luka-luka? Apabila malam kau tiduri dia...?”
“Ooo...bab tidur tu tak benar...aku tak pernah sekatil dengan dia sejak malam pertama! Kau faham!” Ezmir cuba membela. Dia memandang wajah Adli dengan penuh rasa benci. Adli memandangnya dengan tajam.
“Disebabkan kau, Adli...rumahtangga aku hancur! Disebabkan cinta bodoh kau, aku berpisah dengan Aufa Liyana! Disebabkan janji kau pada Aufa, pertemuan kau dengan Aufa, semuanya salah kau! Aku tak pernah bermusuhan dengan kau, kenapa kau buat aku macam ni?” Bentak Ezmir. Direnggut kolar baju Adli dengan kasar. Tangan kirinya menyeluk saku, ingin mengeluarkan senjata api yang dikendongnya dari tadi. Adli membiarkan sahaja. Kekasaran tak harus dibalas dengan kasar. Masih boleh dilenturkan dengan kelembutan.
“Aku nak tanya satu soalan pada kau, Ezmir...” Ucap Adli.
“Kau nak tanya apa lagi? Semuanya dah musnah!” Balas Ezmir.
“Andai aku sambung kembali tali pernikahan kau dengan Aufa, mahukah kau membuang segala hasad dengki dan dendam kau pada aku?” Adli membuat pertaruhan. Ezmir terkesima. Lensa matanya tajam memandang Adli.
“Aku nak satukan kembali kau dan Aufa. Aku bahagia bersama dengan Azlina sekarang. Kalau boleh, aku tak mahu orang bermusuhan denganku. Kenapa kita sesama Muslim nak bermusuhan kerana cinta seorang wanita?” Adli memberikan buah fikiran. Ezmir membisu lama. Matanya terkebil-kebil memandang Adli.
“Kau nak satukan aku dengan Aufa? Haha...” Ezmir tertawa besar sambil menggelengkan kepalanya. Adli kehairanan. Apa yang kelakarnya?
“Kau nak jadi malaikat, ya? Nak jadi mulia di sisi Tuhan?” Soal Ezmir lagi.
“Aku nak jernihkan keadaan...tak ada niat nak jadi malaikat...” Balas Adli.
“Kau diam! Jangan cakap sepatah apa pun! Aku tak nak dengar omongan kau lagi! Bangsat! Kau biarkan aku terseksa selama beberapa tahun, menanggung kesal dan kecewa kerana isteri sendiri, dan setelah kau musnahkan segalanya kau nak sambungkan balik? Kau ingat aku ni apa? Bodoh? Tunggul?” Bentak Ezmir. Kali ini, pistol diacukan ke kepala Adli. Peluh mulai menitik di dahinya. Dia sudah tidak mampu menahan amarah lagi. Jiwanya sudah dirasuk! Mahu saja diledakkan peluru ke kepala Adli serta-merta!
“Aku nak jernihkan keadaan...” Ujar Adli.
“Kau diam!!!” Ezmir bertempik. Beberapa pengunjung yang hadir lari lintang-pukang bila mana melihat pistol di tangan Ezmir. Azlina yang sedang menapak kembali terkejut besar melihat suaminya diacukan pistol. Dia segera berlari ke arah Adli namun terhenti saat digertak Ezmir.
“Abi...!” Jerit Azlina.
“Kau jangan datang dekat! Aku bunuh suami kau nanti!” Pekik Ezmir.
“Apa lagi yang kau nak dari kami, Ezmir?” Soal Azlina sambil berlinangan air mata. Ezmir tertawa besar. Dirinya sudah tidak terkawal lagi. Matanya merah menggila, menampakkan betapa mindanya sudah tidak mampu dikawal. Amarahnya meluap-luap!
“Aku akan puas kalau si bedebah ni mati!” Pekik Ezmir sebelum menarik picu pistol. Adli mulai cemas. Dadanya berombak kencang. Nyawanya kini di hujung tanduk!
Azlina menjerit meminta tolong. Melihatkan keadaan itu, Ezmir melepaskan satu das tembakan ke arah Azlina.
Bam!
Azlina tersungkur di atas pasiran. Darah merah mengalir laju membasahi pasir putih. Adli bertempik lantas memukul belakang leher Ezmir. Pemuda itu terjatuh sebelum dadanya tertusuk kayu pantai yang tertanam di dalam pasir. Tepat mengenai jantungnya. Terbeliak mata Ezmir. Pistol terlepas dari tangannya serta-merta. Adli berlari mendapatkan isterinya yang sedang menahan kesakitan.
“Umi...sabar...jangan banyak bergerak...” Pujuk Adli. Air matanya berlinangan.
“Abi...sakitnya...” Azlina menekap luka di bahu. Adli segera mendakap isterinya. Dengan kudrat yang ada, dia mengangkat tubuh Azlina sebelum berlari ke arah kereta. Beberapa orang pemuda bersama dua pegawai polis mendatanginya sebelum diminta menguruskan Ezmir yang sedang nazak. Adli berhempas pulas menyelamatkan isterinya. Enjin kereta dihidupkan, sebelum dipacu menuju ke hospital berdekatan.
“Sakit...abi...” Keluh Azlina. Nafasnya semakin lemah.
“Sabar...umi istighfar banyak-banyak! Ingat Allah!” Pujuk Adli lagi. kereta dipacu semakin laju meluncur jalanan. Darah semakin banyak membasahi baju Azlina. Matanya terkadang terpejam, terkadang celik menahan keperitan yang amat sangat. Adli berdoa di dalam hati semoga diselamatkan isterinya. Air matanya berlinangan melihat sang isteri menanggung sengsara yang teramat sangat...
Berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan...
No comments:
Post a Comment