1
"Wahai Tuhanku Yang Esa...
Bila kenangkan Qahar-Mu...
Rasa gerun di hatiku...
Kerana takutkan seksa-Mu..."
Titis-titis hujan membasahi bumi yang paginya merekah dicakar bahang sang mentari. Ada angin berpuput lembut, mendinginkan lagi suasana petang. Begitu indah aturan Allah kepada segenap makhluknya. Langit, bumi dan segala isinya adalah makhluk Allah. Tidak mungkin ada satu pun darinya yang terlepas daripada kekuasaan-Nya. Allah Azzawajalla bijak mengatur alam dengan baik, waima tanpa bantuan daripada sesiapa pun.
Seorang lelaki berdiri di pinggir pantai. Lensa matanya merenung jauh ke tengah samudera, memikirkan sesuatu yang masih belum boleh dipercayainya. Sesekali dia melirih ke arah cincin di jemarinya. Baru seminggu pernikahannya usai dilangsungkan. Kecil-kecilan sahaja, memadai statusnya sebagai pelajar yang masih belum sempurna pengajiannya.
Kata orang, bernikah ketika belajar amat menyakitkan dan menyukarkan. Namun, itu hanya tanggapan sesetengah pihak yang mindanya dilumuri dengan sikap negatif. Bagi dirinya yang baru sahaja mendirikan rumahtangga, tanggapan sebegitu akan dinyahkan dari minda insan yang dekat dengannya agar mereka mengerti percaturan hidup yang telah digariskan Allah sedari Luh Mahfuz lagi.
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; pertama, kecantikannya...kedua, keturunannya...ketiga, ilmunya...dan keempat, agamanya. Dan agama itu menjadi ukuran segala-galanya...” Masih teringat di ruang memorinya kata-kata arwah Ustaz Adham yang pernah memberikan kuliah maghrib sewaktu dia di bangku sekolah menengah dahulu.
Rezeki itu milik Allah. Hidup dan kehidupan ini semuanya milik Allah. Lalu ke mana lagi mahu kita sandarkan segala hajat dan permohonan jika tidak kepada Allah. Barangsiapa berharap pada makhluk, maka urusannya tidak akan sempurna kerana makhluk bukan bersifat kekal. Namun jika berharap kepada Allah Yang Maha Mencipta, maka ketahuilah Allah akan memudahkan segenap urusannya.
“Abi...” Ucap seseorang dari belakangnya. Dia mendengar dan mengenali suara itu dengan jelas. Suara permaisuri hati yang baru sahaja dinikahinya memanggil. Sang isteri menapak bersebelahannya sambil jemari kanan menggenggam erat jemari kiri suami. Senyuman dilemparkan sebelum kepala dilentokkan ke bahu kiri suaminya.
“Kenapa termenung?” Soal isterinya. Si suami tersenyum. Dikucupnya ubun-ubun isteri yang dilitupi tudung putih. Mekarnya kasih sayang antara mereka semakin tersulam erat, sementelah bernikah.
“Saja...berfikir...” Balas suaminya, lembut.
“Fikir apa?” Soal isterinya lagi. Si suami merangkul erat pinggang isterinya. Dirapatkan ke kiri sebelum dia duduk di atas pasiran yang memutih. Si isteri turut sama duduk.
“Fikir berapa ramai anak yang kita nak...abi nak dua belas, boleh?” Soal si suami. Pantas saja si isteri berpaling memandang suaminya. Wajahnya berkerut seribu.
“Dua belas? Ingat nak buat skuad bola sepak ke?” Balas sang isteri, sambil matanya membulat memandang suami. Spontan si suami ketawa.
“Mestilah...Nabi S.A.W. kan suka umatnya yang ramai...” Kali ini, pendekatan hadis digunakan. Si isteri mencebikkan bibir. Dia meletakkan kepalanya ke bahu suami. Manja. Sifat seorang isteri kepada suami yang sangat dicintainya.
“Umi nak enam je...boleh?” Pinta isterinya. Si suami kehairanan.
“Eh, kenapa sikit sangat? Tak suka anak ramai ke?” Soal si suami kembali.
“Bukan tak suka, abi...tapi kalau terlalu ramai, takut abi pula yang terabai...nak kena jaga anak, jaga suami lagi...betul tak?” Jelas sang isteri. Si suami berfikir sejenak sebelum mengangguk tanda bersetuju. Ada benarnya juga kata-kata isteri tercintanya. Kalau anak terlalu ramai, kelak dia juga yang mengeluh. Genggaman jemari isterinya dikucup perlahan-lahan.
“Enam pun enamlah...abi supply je...umi kilangnya, kan?” Seloroh si suami. Spontan isterinya mencubit manja lengan suami. Si suami menggosok perlahan sambil tertawa.
“Mengada-ngada!” Ujar isterinya.
“Mengada-ngada pun dengan isteri sendiri...nak abi mengada-ngada dengan perempuan lain ke?” Ujar suaminya lagi. Spontan isterinya menggeleng sambil memohon maaf. Dia tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain. Suaminya pemberian Allah, dan akan diberikan khidmat yang terbaik. Dia tidak mahu ada insan lain bertakhta di hati suaminya selagi dia masih hidup.
“Malam nanti abi nak ke rumah imam...nak ikut?” Soal suaminya.
“Nak! Nak!” Pantas saja jawapan balas diterima. Wajah isterinya bersinar-sinar. Senyuman tidak lekang di bibir delimanya yang merekah. Terbayang wajah murabbi yang banyak membantu dan mengajar mereka hingga mereka disatukan. Murabbi yang juga sahabat, malah dianggap abang bagi mereka berdua.
Pernikahan mereka berjalan dengan sempurna berbekalkan pertolongan imam muda tersebut. Malah, imam itu menjadi contoh teladan buat dirinya dan isteri. Walaupun pada awalnya tentangan diterima dari kedua-dua belah pihak keluarga, ditambah dengan pelajaran dan sumber kewangan yang belum pasti, namun itu bukan alasan untuk mereka diijabkabulkan. Atas kehendak dan iradat Allah, akhirnya mereka disatukan bersama.
Air laut mencecah kaki menyebabkan si suami mengeluh sejuk. Pantas saja kakinya ditarik. Melihatkan gelagat suaminya, sang isteri terus mengocakkan air ke arahnya. Bergurau manja. Betapa indah nikmat pernikahan yang Allah anugerahkan kepada mereka berdua. Dan beburung berkicau riang, meraikan bersama hubungan yang telah diredai Allah Azzawajalla...
“Isteri bukan untuk dimiliki, tetapi anugerah Ilahi yang tidak ternilai harganya...”
Dia duduk di antara dua sujud.
Lama.
Matanya memandang ke arah hamparan sejadah kuning keemasan, bergambarkan Kaabah Baitullah. Air matanya mengalir perlahan. Jemarinya bergerak-gerak, seperti mengira sesuatu. Bibirnya berbisik, melafazkan pujian dan zikir memuji Allah Taala.
Maha Suci Allah yang mentadbir segenap alam maya, yang menjadikan dirinya manusia yang masih berpegang kepada agama-Nya. Maha Suci Allah yang mengizinkan dia hidup dan menimba ilmu untuk segenap hari, yang memberikan rezeki yang tidak terhingga kepada dia dan isterinya.
Dia sujud menyembah Tuhannya.
Alangkah susahnya mendidik nafsu yang tidak melihat kebenaran-Mu, ya Allah. Alangkah hinanya hati yang tidak langsung takutkan-Mu walau di mana saja berada. Alangkah bodohnya akal yang tidak memikirkan keagungan dan kudrat-Mu. Alangkah kejinya jiwa yang melayang dan tenggelam dalam keasyikan dunia ciptaan-Mu sedangkan Kau tidak pernah mengalpakan hamba-hamba-Mu.
Dari muka pintu, sang isteri terpaku melihat ketekunan suaminya melakukan ibadat. Air matanya berlinangan. Esakan tangisnya disekat perlahan-lahan. Beruntung dirinya memiliki suami sehebat namanya. Ammar bukan lelaki sembarangan. Hati perawannya terpaut saat pertama kali melihat wajah suaminya ketika minggu suai kenal pelajar baru.
Tangan ditadah, memohon pengampunan dan harapan kepada Allah. Syahdunya doa dilafazkan dalam bait-bait kalimah Arab yang menggetarkan hati pendengar waima maksudnya tidak difahami. Ada sisipan ‘amin’ berbisik di pinggir bibir sang isteri. Ya Allah, teguhkan cinta dan kasih sayang kami suami-isteri dalam menghadapi ujian dan hari yang mendatang...
2 comments:
berdasrkan pengalaman ke dialog dlm criter nih..betul2 rase hidup...;)
menarik~ =D
Post a Comment