Subuh Yang Terakhir
Oleh Tongkat  Jibril
BILAKAH kali yang terakhir  kauucapkan sayang?
Pada insan yang setia  berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati  andainya sudah ditakdir
 Tadi Subuh yang  terakhir.... 
1
"YAH,  mana baju aku?" Pekik Salim sambil menghembuskan kepulan asap rokok  dari hidungnya. Dia sudah terlewat untuk keluar bekerja. Kelihatan sang  isteri terhincut-hincut membawakan sepasang seluar dan baju dari bilik.  Wajahnya pucat lesi. Sudah dua hari dia demam panas. Sementelah kakinya  pula luka terpijak serpihan kaca pinggan yang dipecahkan anak lelakinya  semalam.
"Ini bajunya, bang...." ujar  Adawiyah.
"Bodoh! Pemalas betul kau ni.  Duduk rumah ni apa yang kaubuat?" Salim menampar wajah isterinya tanpa  belas kasihan. Dihamburkan kata cacian yang sudah lali didengar oleh  Adawiyah. Sang isteri hanya tunduk memegang pipi yang kemerahan. Tidak  berani melawan.
"Kenapa kau tak gosok baju  ni?" Sekali lagi Salim melenting bila melihat bajunya berkedut. Dia  memandang tajam ke arah Adawiyah sebelum rambut isterinya dicekak  pantas. Adawiyah tersentak.
"Tadi  terjatuh, bang...." Adawiyah terketar-ketar menahan kesakitan.
"Siapa  suruh kaujatuhkan? Kau memang lembap! Menyesal aku kahwin dengan kau!  Dasar isteri tak guna, semuanya tak dapat diuruskan dengan baik!" Salim  mengherdik lagi. Dia menghempas wajah Adawiyah ke lantai. Terjatuh sang  isteri menyembah lantai. Dia teresak-esak menahan kesakitan.
"Nanti  aku kahwin dua, baru kau tahu!" Tengking Salim lagi. Dia segera memakai  pakaian sebelum menapak keluar dari rumah. Adawiyah hanya membisu,  menahan kesakitan. Dia sudah lali begitu. Dibutakan mata, dipekakkan  telinga, malah dimatikan hati bila menerima sepak terajang dan herdikan  suaminya.
Bukan dia tidak mahu melawan,  tapi itulah tempat dia bergantung harap selama-lamanya. Dia tidak kisah  dihina, kerana dia juga bukanlah daripada golongan yang berada. Dia mahu  menjalankan tanggungjawab kepada suaminya dengan baik. Andai dipukul,  boleh diubatkan. Namun, dia tidak mahu suaminya terkilan kerana dia  gagal menguruskan makan minumnya. Tidak sekali-kali!
Bila  berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila  berjauhan barulah merindu di dada
Selagi  berkesempatan ucapkan terima kasih
 Andai esok  takkan hadir....
2
DIA  termanggu menghadap samudera nan luas. Hatinya merekah dipukul rindu  yang mendalam. Rindu pada guru-guru yang pernah mencurahkan ilmu  kepadanya sewaktu remaja. Guru-guru yang tidak pernah jemu  menasihatinya, baik dalam pelajaran atau kehidupan sehari-harinya. Kini  hatinya sepi kembali dengan semua itu.
Dia  sunyi.
Jiwanya kosong saban waktu. Tiada  kedengaran di telinganya nasihat dan kritikan pedas daripada guru,  terutamanya Guru Penolong Kanan HEM, Cik Norliza Ghazali atau mesra  dengan panggilan 'Bonda' oleh semua anak didiknya. Tiada kedengaran  laungan daripada warden asramanya lagi, terutamanya daripada Cikgu Asmui  dan Cikgu Hamir Habeed. Tiada kedengaran laungan arahan kawad daripada  Guru Penolong Kanan 1, En Mohd Yunus ketika beratur di perhimpunan pada  setiap pagi. Cikgu Azizah dan Cik Yanti, Guru Kimia yang banyak  membantunya. Cikgu Asrul yang sering bertikam lidah dengannya kerana  cinta monyet yang diperjuangkan oleh remaja sepertinya. Tiada lagi  kedengaran keriuhan teman-teman dahulu. Semuanya bergantikan desiran  angin pantai yang saban hari dihembuskan padanya!
Pantasnya  masa berlalu. Di sekolah sains itu, segala memorinya terpahat kaku.  Segenap jiwa dan asmaranya terpateri membeku. Seluruh usaha dan  pencapaiannya mengharum di situ. SEMSAS mengabadikan segala kenangan  pahit manisnya dahulu. Lima tahun dia mendambakan ilmu di situ dan  segalanya telah menjadi sejarah yang abadi kini. Di situ ditemuinya  pelbagai suka duka. Di situ diresapi segala manhaj Islam dan ketegasan  disiplin yang berguna! Di situ juga dia menemui cinta hatinya yang kini  sudah terpisah membawa haluannya. Kata orang, cinta monyet!
Terima  kasih guru-guruku! Terima kasih teman, para budiman yang bekerja di  dewan makan, menyajikan hidangan terbaik buat kami dahulu. Terima kasih  kepada mak cik dan pak cik yang berhempas pulas di bawah terikan  mentari, memastikan lapangan ilmu dan asrama itu bersih dan ceria.  Terima kasih kepada seluruh warganya! Warga SEMSAS yang penuh dedikasi  dan berwibawa! Diri ini tidak akan menjadi sempurna duniawi dan ukhrawi  andai kalian semua tidak membantu dengan seikhlas hati!
Jika  terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak  kedengaran rintihan kerana sayangkan
Dirimu  namun di hati mampukah dilupakan?
 Taburlah  kemaafan jangan sebelum nyawa dipulangkan.... 
3
MAAFKAN  abang kerana membuatkan dirimu seksa dahulu. Ampunkan dosa abang kerana  menyusahkan hatimu, membuatkan air matamu kering kerana selalu menangis  dahulu. Kau adik yang baik. Tiada dapat dikecapi segala jasamu padaku  sejak dahulu hingga kini. Walaupun dirimu serba kekurangan, namun tidak  pernah kaujadikan alasan untuk menjagaku yang terlantar lemah ini.
Si  abang memandang sang adik yang sedang menanak nasi di dapur. Air  matanya berlinangan. Sang adik yang cacat wajah dan sebelah kaki itu,  tidak pernah mengenal erti penat dan jemu menjaganya saban waktu.  Tenaganya digunakan mengambil upah membuat kerja kampung, demi  mendapatkan sesuap nasi buat abang tersayang.
Kekesalan  menyelubungi hati si abang. Terkilan. Mengapa dia begitu zalim ketika  sihatnya dulu? Memukul dan mengherdik adik cacatnya yang tidak berdosa  setiap kali bertemu? Katanya pada arwah bonda dahulu, dia malu mendapat  adik sebegitu. Cacat. Tiada upaya untuk menguruskan diri. Dia tidak  ingin pulang ke kampung kerana malu mempunyai saudara sebegitu! Setelah  bondanya meninggal, dia ditimpa kemalangan dahsyat. Keretanya bertembung  dengan lori. Dia lumpuh. Anak dan isteri menjauhkan diri. Subhanallah!
"Kejap  lagi nasi masak, bang! Lepas makan nasi, baru boleh makan ubat. Adik  dapat ikan lebih hari ni. Tolong Wak Darman di pekan sehari tadi.  Dapatlah abang makan banyak sikit, kan? Baru boleh jalan balik, kan!  Hehehe ...." Sang adik berbicara lembut dengan si abang. Dia menghela  nafas panjang, sambil mengurut-urut lengan dan bahu abangnya. Kata  doktor, pesakit lumpuh sebegitu perlu diurut untuk memastikan badannya  tidak keras.
Air mata si abang menangis  deras. Dia teresak-esak mendengar bicara adiknya. Allah, mengapa aku  begitu zalim sekali dahulu? Mengapa adik yang begitu kubenci selama ini,  akhirnya menjadi temanku kini? Maha Suci Engkau yang mentadbir alam,  sesungguhnya inilah harta yang paling bernilai buatku!
"Maafkan  abang, dik sebab berlaku zalim dengan kau dulu...."
"Adik  tak kisah, bang. Dulu lain, sekarang lain, kan?" Adiknya tetap ceria.  Si abang tersenyum memandang si adik. Sebentar lagi adiknya akan menyuap  makan tengah hari. Setelah itu, dia akan membacakan hadis untuknya  sementara menanti solat Zohor. Mereka bersolat jemaah bersama. Alangkah!
Bilakah  kali yang terakhir kaukucupi pipi?
Ayah bonda  yang tak mungkin kau terbalas budi
Buktikanlah  syukurmu bertuahnya kau dilahir
 Andai esok  takkan hadir.... 
4
BONDANYA  terbaring lesu di atas katil. Wajahnya pucat. Ada salur tiub berselirat  di hidung dan beberapa bahagian badannya. Nafas kedengaran perlahan,  bersulam dengan bunyi detikan mesin penentu kadar denyutan jantung.
Sesekali,  mata bonda terbuka. Bonda memandang tegak ke atas. Tiada didengarinya  tangisan dan bisikan anak cucu di sisinya. Bonda lemah dalam kelubung  putih, menanti masa untuk menjengah ke alam baqa.
Kata  doktor, bonda semakin tenat. Peparunya semakin lemah, buah pinggangnya  tidak cekap untuk berfungsi lagi hingga terpaksa dimasukkan tiub. Bonda  tidak dapat makan dengan sendiri, sebaliknya diberikan tiub makanan  untuk memudahkan makanan dimasukkan ke tubuhnya.
Kalau  dapat diundurkan masa, ingin sekali dia menjaga bondanya. Kalau boleh  diputarkan waktu, ingin sekali dia mengucup dahi bondanya, menyatakan  bahawa betapa dia menyayangi srikandi itu. Kalau dapat diubah  segala-galanya, dia ingin bondanya sihat kembali, tidak mahu melihat  bonda lemah menanti panggilan Ilahi sebegini!
Dia  kesal!
Kesal kerana membiarkan bondanya  keseorangan di rumah usang. Di kampung yang penghuninya sudah  berkurangan. Bonda ditinggalkan kesepian, sendirian mengurus diri. Bonda  dibiarkan meniti hari tuanya tanpa limpahan kasih sayang anak-anaknya  yang mencecah bilangan sembilan orang. Tanggungjawabnya selaku anak yang  paling sulung dilepaskan begitu saja. Tatkala mendapat berita bahawa  bondanya terjelepuk menyembah bumi ketika membeli barangan di pekan  sehari, barulah semuanya tersedar! Bonda menanggung keperitan penyakit  yang ditanggungnya. Alangkah!
Tidak terasa  kehangatan linangan air mata mengalir di pipinya. Dia tersedu-sedan.  Maafkan along, umi! Maaf kerana tidak menjaga umi sebaik-baiknya.  Ampunkan dosa anak derhaka ini kerana terlalu sibuk dengan kerjaya di  kota hingga lupa menjenguk bonda di kampung. Ingin sekali dia sujud di  kaki bondanya, meminta ampun dan maaf.
Dia  menyeka air mata, sebelum merapati bondanya. Kucupan dihadiahkan di  pipi dan dahi bondanya. Bonda membuka mata tiba-tiba. Dia melirik ke  arah anak sulungnya. Perlahan-lahan anak itu menempel telinga menangkap  suara bondanya.
"Bonda maafkan  semuanya...." Bonda berbisik sebelum matanya terkatup kembali.  Kedengaran syahadah meniti lesu di bibir bonda. Mesin penentu denyutan  jantung juga tidak berdetik lagi. Semuanya senyap sunyi. Sepi. Sesepi  hati bonda dahulu....
Lihatlah saja  isterimu berkorban sepenuh nyawa
Demi menjamin  kebahagiaan anak dan suami tercinta
Buktikanlah  padanya pilihan jodohmu tepat
 Sebelum semua  terlewat.... 
5
"CEPATLAH,  umi! Dah lewat ni!" Laung si anak sambil memakai kasut kanvas putihnya.  Sang ibu melangkah pantas sambil menjinjing bekal makanan buat anaknya.  Dia keletihan menguruskan semuanya, namun tiada pernah keluhan  dilampiaskan kepada mereka. Semuanya disimpan jauh di lubuk hati.  Bukankah itu semua tanggungjawabnya?
"Bekal  apa pulak ni?" Soal si anak.
"Bekal makan  waktu rehat. Nanti tak payah beli makanan di kantin."
"Ish,  tak naklah bawa bekal! Malu...." Mudah saja si anak menolak pemberian  ibu tercinta. Tiada pula difikirkan penat lelah ibunya bangun seawal  empat pagi, menanak nasi dan menggoreng lauk untuk bekalan anaknya ke  sekolah. Dia melangkah pantas meninggalkan halaman rumah. Sang ibu hanya  memerhati dengan sorotan mata, sedang bekal di tangan masih hangat  terasa.
"Tepi sikit, abang dah lewat ni!"  Ujar sang suami dari belakang lalu menolak isteri ke tepi. Dipakainya  kasut kulit hitam yang sudah dikilatkan isterinya malam tadi. Selalunya  begitu. Dia malas untuk menguruskan segala-galanya. Apa guna ada isteri,  kalau tidak melakukan semua kerja rumah tangga?
"Abang  nak bekal?" Soal si isteri, lembut.
"Ish,  tak payah! Mengarut aje.... ingat saya budak sekolah ke?" Balas suami.  Si isteri hanya tunduk sayu. Dia melihat suaminya menghidupkan enjin  motosikal. Dia melangkah pantas mendapatkan suaminya untuk bersalaman.
"Hei,  tak payahlah bersalam! Abang dah lewat ni!" Tepis sang suami lantas  berlalu pergi. Si isteri menahan air mata seboleh mungkin. Hatinya  sebak. Dia telah berusaha membahagiakan rumah tangganya, namun anak dan  suami seakan tidak menghargai. Bukannya mahu pujian selangit tinggi,  namun cukup sekadar ucapan terima kasih meniti di pinggir bibir....
Lafazkan  rasa cinta andainya sudah ditakdir
 Tadi Subuh  yang terakhir....
LAGU ASAL-SUBUH  YANG TERAKHIR_RABBANI
Biodata 
TONGKAT  Jibril atau nama sebenarnya, Muhammad Alyas Abul Jalil dilahirkan pada  27 Februari 1989, adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan  Haji Ahmad Shah (Semsas), Kuantan Pahang. Antara cerpennya yang mendapat  tempat dalam media arus perdana ialah Panca Warisan, Minhaj Hakiki,  Abang Mus dan Talkin Buat Umi. Novel remajanya, Nobat Kasih diterbitkan  Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006 dan kini bergiat sepenuh masa dalam  dunia penulisan kreatif.
Sumber: B.Harian  21/2/2009
1 comment:
jalan cerita ok.boleh buat drama ni alyas...
Post a Comment