Syaitan Laknatullah@Malaikat Azazil,
No.  7, Neraka Jahannam,
Alam Ghaib Milik Allah, 
1  Ramadan 1429 H
Negeri Akhirat Yang Abadi.
MENEMUI  kalian anak-anak Adam, musuh yang paling kubenci!
Aku  memandang langit mega yang terbentang luas. Awan yang berarak memayungi  alam fana kelihatan tersenyum riang. Kedengaran kicauan burung-burung  yang berterbangan di angkasa raya, berzikir menyambut ketibaannya yang  bakal menjelang tiba. Kegelisahanku makin bertimbun menanti tiap detik  yang berlalu. Aku makin derita, saat ia hampir mendatangi alam ini. Aku  makin menggila saat ia berlabuh dalam dakapan waktu!
Celaka!
Tahun  ini ia kembali lagi! Setelah sekian lama aku terseksa, ia mampir  menggangguku lagi. Pastinya nanti aku dibelenggu dengan rantaian neraka  maha dahsyat oleh malaikat Tuhan Yang Maha Agung yang tidak terperi  bilangannya. Pastinya aku akan merengkuk dalam penjara neraka bersama  azab daripada-Nya.
Kuperhatikan pula tanah subur menghijau. Air  yang mengalir tenang seakan menyindir diriku yang ketakutan. Bayu yang  berpuput riang seakan gembira dengan bahana yang bakal menyelubungiku.  Pohonan yang meliang-liuk seakan menari-nari, tanda gembira dengan  kehadirannya. Ah, peritnya nasibku ini! Celakalah kalian semua!
Kalau  tidak keranamu Adam, aku tidak mungkin dilaknat begini!
Kalau  tidak kerana kau Muhammad, mana mungkin aku dibelenggu Ilahi!
Kalau  tidak kerana umatmu, takkan hadir kegelisahan dan ketakutan ini!
Dari  jauh, aku melihat bala tenteraku menggoda sang umat terakhir sedaya  upaya dalam masa yang begitu kritikal. Ada yang berjaya, hingga manusia  menganggap akulah Tuhan mereka. Namun ada juga yang terbakar bersama  panahan kalimah-Nya. Ada yang cedera, dek kerana keimanan dan ketakwaan  yang seberat zarah membatasi nafsu seluas lautan dunia.
Lensa  mataku memandang ke arah segerombolan umat manusia yang khusyuk dalam  ibadatnya. Aku melihat junta-juntaku berpaut, memujuk rayu sang manusia  supaya melupakan Penciptanya. Mempengaruhi akalnya supaya memikirkan  dunia. Menguasai hatinya supaya mensyirikkan-Nya. Bagus! Lakukanlah lagi  hingga mereka tenggelam dalam nista mereka! Lakukanlah!
Wahai  Muhammad Pesuruh Allah, lihatlah apa yang telah bala tenteraku lakukan  pada umatmu! Mereka cuba menyesatkan umatmu agar mengikuti kemahuan  nafsu dan melupai nikmat syurgawi yang bakal terbentang nanti. Aku  tingkatkan nafsu syahwat mereka dengan wanita-wanita yang berpakaian  tiada menutup aurat. Mereka kuhasut agar mendedahkan pinggul, perut,  dadanya untuk tatapan sekalian alam. Aku hiaskan mereka dengan gelojak  nafsu serakah agar mereka bisa menggoda umatmu yang beriman berpaling  daripada keimanan mereka, umatmu yang warak dan alim menjadi dungu dan  cintakan dunia.
Maka hasilnya, lahirlah anak luar nikah  yang tidak berdosa, yang tidak mengenal siapa ibu bapanya. Mereka  dibunuh, ditinggalkan bertaburan di muka bumi. Kusogokkan juga keinginan  mereka dengan hiburan yang melampau, kebebasan hak manusiawi,  kecanggihan teknologi yang semakin disalahertikan, hingga mereka  menganggap halal dan haram bukan lagi satu pegangan yang utuh dalam diri  mereka dan berkiblatkan urusan duniawi, melupai alam ukhrawi.  Saksikanlah kejatuhan agama Tuhanmu, ya Muhammad! Kejatuhan oleh  tentangan para pengikutku Yahudi, Nasrani dan Majusi yang mengikut  segala telunjukku! Saksikanlah!
Aku ketawa sendirian,  bangga melihat usahaku membuahkan hasil setelah sekian lama. Bangsa  Yahudi yang bodoh telah menurut kemahuanku. Terima kasih Musa as-Samiri  kerana menjadikan aku sebagai panduanmu bagi kaum Yahudi. Terima kasih  Saint Paul kerana menjadikan musuhmu, Isa al-Masih sebagai Tuhan bagi  umat Nasrani. Aku masih belum puas melihat umat Muhammad yang beriman  dipermainkan seperti himar. Disembelih, dibunuh dengan kejam oleh  musuhnya yang tidak mengenal erti penat.
Baitulmaqdis  menjadi rebutan Yahudi dan umat Muhammad yang beriman. Aku meniupkan  hasutanku pada pemimpin-pemimpin Yahudi supaya mendirikan Haykal Beit  Hamiqdash atau Temple Of Mount di atas Masjidil Aqsa, tempat suci ketiga  bagi umat Islam agar bisa menjadi tempat peribadatan mereka. Aku  menghasut mereka supaya menyediakan kota Eretz Yitzrel atau negara  Yahudi sebelum kedatangan Messiah, penyelamat untuk mereka. Aku  menitipkan kata-kata semangat kepada mereka agar berusaha untuk merampas  kembali al-Haram al-Syarif setelah Saidina Umar al-Khattab, musuhku  yang paling kutakuti menakluk kota itu. Masih terbayang bagaimana  gentarnya aku saat khalifah Al-Faruq itu melalui lorong-lorong kota  untuk melihat umatnya. Pandangan matanya cukup menakutkan, hingga aku  lari bergelimpangan bersama-sama tenteraku yang lain.
Kukatakan  juga bahawa merekalah bangsa paling agung, sedangkan mereka akan  menjadi temanku di neraka kelak. Bodohnya manusia, walau akal berdiri  utuh di kepalanya!
Entah bagaimana, aku terpandang kembali  ke arah langit. Kulihat pintu-pintu rahmat terbuka dengan luasnya.  Pintu-pintu syurgawi turut dibuka, sedang para bidadari mempersiapkan  diri bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia. Kuperhatikan pula kuburan  para Muslimin. Dari jauh, aku mendengar laungan kegembiraan daripada  mereka. Benar, Ramadan datang membawa sejuta rahmat buat alam dan  isinya. Semuanya menikmati rahmat Ilahi melainkan aku sahaja. Bangsat!
Teringat  daku akan kata-kata Muhammad sewaktu aku berdiskusi bersama-samanya  suatu masa dahulu;
“Andai kau mahu Allah mengampunkan  dosamu, maka sujudlah pada kubur Adam, wahai musuh Allah dan hamba-Nya!”
“Tidak!  Tidak sekali-kali wahai pesuruh Allah! Aku boleh melakukan apa saja  yang diperintahkannya melainkan sujud di kuburan musuh yang telah  menyebabkan aku terkeluar dari syurga!” Aku membentak keras.
“Kau  terlalu membangga diri dan sombong wahai Azazil laknatullah!” Masih  terngiang-ngiang di telingaku suara Nabi Allah itu. Api amarahku semakin  marak bila mengenangkan peristiwa pengusiranku dari syurga. Hanya  kerana aku tidak mahu sujud kepada Adam, aku dikutuk selama-lamanya.  Walhal, dahulu akulah malaikat yang paling taat pada-Mu, Ya Allah!  Akulah yang paling banyak memuji dan mengesakan-Mu. Akulah malaikat yang  paling mulia di sisi-Mu. Malah, akulah ketua malaikat yang berdoa untuk  malaikat yang lain bila mana kau menyatakan bahawa akan ada di kalangan  kami yang tersesat. Namun, entah mengapa aku terlupa mendoakan diriku  sendiri hingga aku cenderung untuk sesat begini.
Masih  mekar dalam ingatanku tatkala aku memohon dipanjangkan usiaku untuk  menyesatkan umat manusia lalu Allah memperkenankannya. Aku diberikan  umur yang panjang sehingga hari kiamat menjelma tiba. Alangkah  gembiranya aku kerana diberikan peluang walaupun aku mengerti azabnya  amat pedih.
Sayup-sayup kedengaran suara azan memuji  keagungan Allah. Aku melihat para juntaku berlari lintang-pukang,  terbakar dengan panahan kalimah tayyibah Tuhan. Aku merasai bahang  terbakar pada setiap liang tubuhku.
Ramadan dah tiba!  Celakalah kita semua!
Aku mendengar lolongan dahsyat  daripada segenap penjuru alam. Seluruh anak pinakku bertaburan  menyelamatkan diri daripada dibelenggu malaikat Allah. Bilangannya,  sukar untuk diramalkan. Rantaian neraka yang panas membara dilontarkan  ke arah junta-juntaku. Lolongan mereka memecah keheningan alam maya.  Sakitnya, pedihnya sukar untuk kukatakan. Celakalah Ramadan! Bulan yang  menjanjikan kesenangan buat umat Muhammad!
Pantas aku  melarikan diri bila mana malaikat mendatangiku. Mereka membawa rantaian  panas membara. Namun, aku tewas dengan kekuasaan-Nya. Sudah ditakdirkan  aku terpaksa melalui semua ini.
Celakalah Ibrahim, yang  membaling batu ke arahku dahulu demi Allah!
Jahanamlah  Ayub kerana takwa dan kecekalannya menghadapi ujian Allah!
Durjanalah  Sulaiman, kerana pernah menguasai aku suatu masa dahulu!
Leherku  direntap sang malaikat dengan tidak semena-mena. Aku meronta, sedang  tangan dan kakiku diikat pula dengan besi neraka maha azab. Aku diseret  bagaikan himar tua, dibawa memasuki neraka bersama junta-juntaku yang  lain. Mereka merintih, menyumpah sekalian umat Muhammad.
Beruntunglah  kalian wahai umat Muhammad dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak ini!  Celakalah kami, musuh Allah yang terpaksa dibelenggu selama sebulan  hanya kerana bulan yang mulia ini. Bergembiralah kalian semua, tapi  jangan lupa. Kami juga meninggalkan senjata utama kami iaitu nafsu.  Berbahagialah mereka yang dapat menguasainya dan celakalah mereka yang  dikuasainya! Dan pintu neraka Jahanam ditutup serapat-rapatnya.  Kedengaran suara lolongan maha dahsyat bergema, memecah keheningan  mayapada.
Salam takziah daripadaku buat kalian semua!
Yang  benar,
AZAZIL
INFO
TONGKAT  Jibril adalah nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil yang terbabit  dalam penulisan cerpen dan novel. Bekas pelajar Sek Men Sains Sultan  Haji Ahmad Shah (Semsas), Kuantan ini, bergiat sepenuh masa dalam bidang  penulisan. Karyanya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana manakala  novel remajanya, Nobat Kasih, diterbitkan Cerdik Publication Sdn Bhd  pada 2006.
diambil dari: berita harian online
1 comment:
As-salam,,abg alyas..
saye baru tahu yg abg ni penulis..
hampir setiap hari selisih dgan abg di fakulti dan di masjid,,baru skrang saye tau yg abg ni bukan setakat berbakat dalam nyanyian..malah berbakat dlam bidang sastera jugak..
Post a Comment