Tuesday, May 4, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH LIMA
Kejernihan wajahmu...
Sempurna pada pandanganku...kau kirana
Keturunan terpilih...
Disanjung serta dihormati...kau permata
Kesederhanaanmu...
Mengecap kekayaan dunia...kau mestika
Ketakwaan dirimu...
Itu yang merantai jiwaku...
-In Team_Bisikan Nurani...-
            Adli memegang lehernya. Kali ini denyutannya terasa amat kuat sekali. Terasa mahu pecah kepalanya. Dia memegang dinding, cuba mencari ketenangan. Kudratnya semakin lemah hari demi hari.
            “Adli...dah siap belum? Orang dah tunggu tu...” Laung uminya. Adli mencari kekuatan untuk membalas. Bimbang uminya terperasan dia dalam kesakitan. Hatinya berdoa tak henti-henti semoga Allah mempermudahkan urusan pernikahan dan perkahwinannya hari ini.
            “Sekejap, umi...” Balas Adli. Agak lama dia terduduk, sebelum denyutan semakin berkurangan. Puji-pujian segera dipanjatkan kepada Allah kerana mendengar rintihan hatinya. Dia mencapai songkok hitam sebelum dipakaikannya di kepala. Berbaju putih berkilauan, Adli sememangnya gah sebagai raja sehari. Cermin besar dipandang. Segak. Nikmat kecantikan yang Allah berikan kepadanya.
            Kedengaran uminya mengetuk pintu. Adli segera membuka langkah. Tatkala tombol pintu dibuka, kelihatan uminya sedang menanti. Wajahnya berseri-seri. Diperhatikannya pula anak terunanya yang segak dengan busana pernikahan.
            “Dah bersedia?” Soal uminya.
            “Ya...” Balas Adli, sambil mengukir senyuman. Mereka berdua turun ke ruangan utama. Di situ, sudah tersedia hantaran perkahwinan untuk diberikan kepada pihak pengantin perempuan.
            “Dah sedia semuanya? Kalau sudah, bolehlah kita berangkat...” Ujar Pak Ngah Salleh sebelum bingkas bangun dari sofa lembut. Umi melangkah menurutinya. Beberapa sepupu dan saudara-mara mengangkat dulang hantaran. Ada tujuh kesemuanya.
            Sebelum bergerak ke lokasi pernikahan, Adli membacakan doa semoga dipermudahkan segala urusan mereka. Tekun Adli berdoa, sedang uminya terperasan ada sesuatu yang tidak kena pada diri anaknya. Wajahnya lain daripada biasa. Ingin ditanya, namun hatinya berbisik. Mungkin gugup memikirkan tentang proses akad nikah agaknya!
                        *                                              *                                              *
            “Ekau yang bernama Saiful Adli bin Abdullah Fahim?” Soal tok kadi. Dengan kaca mata petak yang agak besar, dia memandang wajah Adli. Pemuda itu mengangguk sambil mengesahkan namanya.
            “Ekau dah ready? Tok buatkan sekali, ekau kono ikut...yo?” Ujar tok kadi dalam loghat Negeri Sembilan. Dia bersalaman dengan Adli sebelum memulakan upacara akad nikah. Adli mengangguk perlahan. Peluh mulai menitik, sedang masjid itu dikelilingi penghawa dingin yang banyak. Penangan akad nikah!
            “Bismillahirrahmanirrahim...den nikahkan akan ekau Saiful Adli bin Abdullah Fahim bersamo Norazlina binti Mohamed Ayob dongan mas kahwinnyo...”
            “Tok, boleh tak kita mudahkan?” Adli memotong tiba-tiba. Tok kadi tersentak.
            “Apo kono eh jang? Ekau cakap apo?” Soal tok kadi. Hadirin yang hadir turut terperanjat. Di kelompok pengantin perempuan, Azlina mengangkat wajahnya. Apa yang Adli ingin lakukan?
            “Tok...saya bukannya nak melawan atau membantah...tapi dalam urusan akad nikah, tak perlulah panjang berjela-jela. Penat saya nak mengingat. Bukankah Islam sudah mengajar kita untuk mempermudahkan akad nikah. Yang penting, ada nama pengantin lelaki dan wanita serta akadnya...tak payahlah berjela-jela...” Ujar Adli. Tergamam tok kadi mendengar. Dia memandang ke kanan dan kirinya. Saksi yang hadir mengangkat bahu.
            “Buleh den tanyo ekau?” Soal tok kadi.
            “Boleh...apa dia...” Soal Adli. Dia menelan air liur, bimbang jika dimaki pulak.
            “Ekau ni mufti ko apo? Sepanjang den jadi tok kadi...dah nak masuk pencen ni, ekaulah satu-satunyo orang yang mintak macam tu. Siap tazkirah lagi nih ha...tapi, bagus jugo...sonang kojo den nih ha...apolah ekau tak bagitahu awal-awal pado den ni, jang?” Ujar tok kadi. Seluruh hadirin tertawa besar. Adli tersipu-sipu malu. Dia ingin memudahkan, kerana Islam itu sememangnya mudah untuk diamalkan.
            Dengan sekali akad, Azlina sah menjadi zaujah Adli. Doa dipanjatkan ke hadrat Allah, bukan dibacakan oleh tok kadi namun Adli sendiri yang membacakannya. Para hadirin mengaminkan doa dengan harapan kedua-dua mempelai berbahagia hingga ke akhir hayat.
            Usai upacara akad nikah, mereka semua diminta Adli untuk melakukan solat sunat bagi menggantikan upacara pembatalan air sembahyang. Tok kadi sangat bersetuju dengan cadangan Adli. Mereka solat terlebih dahulu sebelum meneruskan upacara yang lain.
Usai bersolat, Azlina disarungkan cincin oleh suaminya di koridor masjid. Kata mufti, adalah penting untuk menjaga kesucian masjid dengan tidak mencemarkannya melalui aktiviti yang kurang enak dipandang. Membatalkan air sembahyang bukanlah syariat namun adat budaya. Tak salah andai kita mengubahnya demi kepentingan agama. Indahnya Islam, hanya mereka yang menganutinya dengan bersungguh-sungguh sahaja yang memahami...
            *                                              *                                              *
Malam menjelang tiba. Majlis perkahwinannya selesai terlaksana. Adli menapak masuk ke dalam bilik. Di katilnya sudah terhias indah dengan rona bunga. Malah, diletakkan kelopak bunga mawar di segenap katil, menambahkan seri dan haruman. Kilauan lampu meja yang samar-samar menggamit suasana. Romantis.
Azlina menapak lembut memasuki bilik. Hatinya gementar. Bergelar isteri kepada Adli sememangnya sudah diidamkan saat pertama kali bersua muka waima ketika itu hatinya masih belum mengenali.
Adli membuka busana pengantin, menggantikannya dengan pakaian tidur. Teringat padanya kata-kata Pak Ngah Salleh sebelum dia pulang tadi.
“Kena jadi romantik, barulah hubungan suami-isteri erat...”
Azlina terpaku di hujung katil, tunduk memandang lantai dengan busana perkahwinannya. Menyedari Azlina di situ, Adli menyapanya.
“Sayang tak nak tukar baju ke? Tak panas?” Soal Adli, dengan panggilan manja. Azlina tersenyum simpul. Malunya menebal entah mengapa!
Usai menukar pakaian, Adli menapak ke arah Azlina. Wanita itu mulai gementar. Dadanya berombak pantas. Adli duduk perlahan-lahan di sisi kanannya. Azlina masih tunduk, menahan malu dan segan yang menggunung. Perlahan-lahan Adli mengangkat wajah isterinya.
“Tukar baju dulu, ya?” Bisik Adli, lembut. Bagai hendak tercabut rasanya jantung Azlina mendengar bisikan Adli. Sang suami mengucup dahi isterinya sambil menggenggam jemari. Islam telah menyatukan mereka, waima pelbagai onak duri dirasai bersama.
“Sayang abang tak?” Bisik Adli lagi. Azlina mengangguk perlahan.
“Aik? Dah bisu isteri abang ni?” Usik Adli lagi. Dia mengusap jemari isterinya dengan lembut. Azlina menggeleng pantas.
“Malu...” Bisik Azlina. Spontan adli tertawa kecil.
“Malu...tapi mahu, kan?” Usik Adli lagi. Azlina mendakap suaminya dengan erat. Adli membiarkan sahaja. Kemesraan antara mereka terjalin dengan sendirinya. Moga Allah merestui pernikahan mereka ini. Azlina mendakap lama, sebelum Adli berbisik di telinganya.
“Takkan nak tidur pakai baju pengantin...mahal sewa ni...hehe...”
Azlina mengomel manja. Dan malam melabuhkan tirainya, sedang pasangan mempelai melayari malam pertama dengan direstui Yang Maha Esa...    

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH EMPAT

Aku mendengar suara dari langit,
Memintaku sujud memuji Allah Yang Esa,
Aku mendengar suara sang bumi,
Menyuruhku bersedia untuk diisi ke dalamnya,
Aku mendengar suara sang malaikat,
Memintaku bertaubat atas segenap dosa pada-Nya...
            Adli termangu sendirian di jendela sedang matanya memerhatikan rembulan yang merembang. Hatinya terasa sayu entah mengapa. Sakit di belakang lehernya semakin menjadi-jadi. Seakan petanda yang dia sendiri tidak mampu untuk memikirkannya.
            Memikirkan tentang Azlina menjadikan dia sedikit ceria. Teringat sewaktu mereka di pantai petang tadi. Adli puas dapat memainkan instrumen saksofon di hadapan Azlina. Hatinya gembira melihat senyuman dan tawa Azlina. Seakan terapi buatnya. Kenangan bersama Aufa Liyana terpadam sedikit demi sedikit dan diganti dengan kemesraan Azlina. Alangkah!
            “Termenung apa lagi tu, Adli?” Sapa uminya. Adli tersentak. Dia berpaling ke belakang. Uminya meletakkan sepinggan nasi berisi lauk dan segelas milo suam ke meja kecil. Dia menapak perlahan ke arah Adli.
            “Makan dulu, Adli…” Pinta umi.
            “Sekejap lagilah, umi…Adli tak ada selera…” Balas Adli.
            “Masih pening lagi?” Soal uminya. Adli menggeleng perlahan.
            “Dah berkurangan, umi…” Ujar Adli.
“Tak nak pergi periksa?” Soal umi lagi.
“Tak perlulah…sakit biasa saja…stres sangat agaknya…” Balas Adli sedang matanya masih terpaku melihat rembulan. Uminya menghela nafas panjang. Kesihatan Adli semakin merunsingkan hatinya. Disuruhnya pergi ke hospital, makin banyak alasan yang dicipta.
“Jangan sampai melarat…” Pesan uminya.
“Kalau dah sampai ajal, nak buat macam mana, umi…Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati…itu yang pasti…” Ujar Adli sebelum melangkah kembali ke katil. Uminya terkedu. Pernyataan Adli membuatkan kesedihan menyelubungi segenap hati kecilnya. Naluri keibuannya tersentuh, lantas menitiskan air mata.
“Kenapa Adli selalu cakap macam tu?” Soal uminya. Adli terkejut melihat uminya menitiskan air mata. 
“Umi…Adli tak berniat nak sakitkan hati umi…” Ujar Adli memohon maaf.
“Kenapa Adli jadi macam ni? Tak bersemangat, selalu cakap perkara yang negatif. Dulu Adli tak begini. Umi tak faham, nak…” Jelas uminya.
“Umi…Adli manusia. Bukan malaikat. Hatta nabi pun meninggal…”
“Tapi adakah Fatimah dapat menerima? Umar? Abu Bakar? Ali?”
Adli terkesima. Tiada jawapan buat persoalan umi. Sememangnya mereka tidak dapat menerima pemergian insan yang amat mereka sayang. Fitrah setiap makhluk yang bernama manusia.
“Umi tak mahu Adli cakap macam tu lagi! Umi ada perasaan. Seorang ibu takkan sanggup mendengar anaknya bercerita soal kematian. Jangan jadikan perasaan itu suatu perkara untuk kamu jauhkan diri daripada orang lain...jauhkan diri dari umi!” Uminya memberi amaran keras. Adli menapak sebelum memegang lutut ibunya. Dia memohon ampun di atas kebiadapannya.
“Maafkan Adli, umi...Adli tak bermaksud nak lukakan hati umi...”
“Adli...umi tak mahu anak umi tertekan...umi mahukan Adli yang positif, yang tak pernah sedih...boleh tak umi dapatkan balik anak umi yang dulu tu?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan. Dia mengucup tangan ibunya.
“Dah, makan dulu...umi nak ke bawah sekejap. Azlina telefon tadi. Katanya, dia nak datang melawat kamu.” Ujar uminya sambil mengesat air mata. Adli kehairanan.
“Datang melawat? Adli dah O.K. lah, umi...” Balas Adli.
“Kamu ni pun satu! Azlina tu baik orangnya. Bila lagi nak masuk meminang dia?” Ujar uminya, geram. Adli terperanjat. Aik, ke situ pulak perginya umi ni?
“Itu dalam perancangan, umi...insya-Allah...” Balas Adli.
“Atau kamu tak berani nak beritahu? Tak apa, biar umi yang cakapkan pada dia...” Ujar uminya sebelum hendak berlalu pergi. Adli pantas memegang tangan ibunya.
“Janganlah, umi...biar Adli yang cakap...Adli janji!”
“Kalau kamu tak cakap...siap kamu! Umi dah setuju dia jadi menantu umi!” Balas uminya sebelum berlalu keluar dari bilik. Adli menepuk dahi. Alamak, kenapa sampai macam ni jadinya? Matilah aku!
            *                                              *                                              *
“Abang dah O.K?” Soal Azlina. Adli mengangguk perlahan sambil menyuap nasi. Azlina memegang gelas berisi air. Melihatkan Adli tersedak, pantas Azlina menghulurkan air.
“Tak nak pergi ke hospital?” Soal Azlina.
“Lina...abang O.K...see?” Ujar Adli sambil menggerakkan badannya. Azlina tertawa kecil. Buat lawak pulak!
“Mengada! Bang, jomlah pergi klinik...Lina temankan...O.K?” Pinta Azlina.
“Tengoklah, Lina...I’m busy lately...” Balas Adli. Azlina menghela nafas panjang. Degilnya Adli, susah nak dilenturkan! Azlina memerhatikan saja Adli menjamah makanan. Selang beberapa minit, bicara mereka berdua kembali kelu.
“Erm...Lina...can I ask you something?” Soal Adli.
“Sure...what is it?” Soal Azlina.
“If somebody wants to marry you, would you accept him?” Soal Adli. Azlina kehairanan. Apa punya soalan ni?
“Depends on who is it...kalau Asian, I tak layan...” Seloroh Azlina.
“Amboi, memilih nampak? Nak kahwin dengan mat saleh konon...” Balas Adli. Mereka berdua tertawa. Adli menghabiskan baki makanan sebelum menyambung bicaranya.
“Cuti semester dah dekat...abang ingat nak...nak...ehem-ehem dengan Lina...” Ujar Adli. Azlina mengerutkan dahinya. Ehem-ehem tu apa?
“Ehem-ehem? Apa bendanya?” Soal Azlina.
“Alaaa...buat-buat tak tahu pulak dah!” Balas Adli.
“Memang tak tahu pun...apa dia?” Soal Azlina.
“Aduh....err....nikah....kahwin...” Balas Adli. Azlina tersentak. Bulat matanya memandang Adli. Biar betul Adli nak berkahwin dengan aku?
“Are you proposing me right now?” Soal Azlina, cuba menduga. Adli mengangguk perlahan. Spontan Azlina tertawa kecil. Adli menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan melihat Azlina ketawa tiba-tiba.
“Kenapa ketawa?” Soal Adli.
“Macam mana Lina tak ketawa. Kalau cara macam nilah abang propose seseorang, alamat kena tinggallah...hehe...” Ujar Azlina. Adli tersipu-sipu malu. Dia kebali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Azlina memandang wajah Adli. Lama. Sebelum dilafazkan sesuatu...
“Andai Lina tolak lamaran abang, maka Lina adalah orang yang paling rugi...kerana Lina dah menolak seorang manusia yang rapat di sisi Tuhannya, yang masyhur di langit dan di bumi...iaitu abang...Lina setuju jadi zaujah abang...”
Adli tersenyum lebar. Terasa dirinya diberkahi dengan nikmat Allah. Akan digalas tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai pembimbing kepada Azlina dan anak-anaknya, selagi jasadnya masih bernafas...   


Friday, April 30, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH TIGA

Jika hatimu lelah,
Basuhlah dengan KESABARAN,
Ceritakan dukamu pada KETABAHAN,
Usaplah air matamu dengan HARAPAN,
Jika kau terluka, tetaplah TERSENYUM,
Kerana Allah selalu MENYAYANGIMU...
            Adli mengusap tengkuknya. Terasa seakan mencucuk hingga ke tulang-temulang. Dia memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Azlina kehairanan. Kenapa pula dengan Adli? Matanya memandang bakal suaminya yang bersandar sambil mengurut leher.
            “Are you alright?” Azlina menyoal. Adli mengangguk perlahan.
            “Ya...O.K...Cuma kurang selesa. Mungkin tersalah tidur...” Balas Adli.
            “Abang O.K. tak? Biar Lina sajalah yang drive...” Ujar Azlina. Dia ingin membuka pintu namun dihalang Adli. Pemuda itu tercungap menahan nafas.
            “Abang O.K...beri masa sikit..." Pinta Adli, lemah.
            “Abang tak sihat ke? Pergi hospital nak?” Soal Azlina. Adli menggeleng perlahan. Kepala diurut perlahan-lahan. Terdengar suaranya mengeluh sakit. Azlina mulai bimbang melihat keadaan Adli. Ingin rasanya dia membantu namun hubungan mereka membataskan. Masih belum ada ikatan yang sah.
            “Bagi abang sepuluh minit, boleh? Nak lelap sekejap...” Ujar Adli. Pantas Azlina membantah. Biar dia mengemudi kenderaan menuju pulang. Mahu tidak mahu, Adli akur dengan kehendak Azlina. Dia melangkah keluar sambil berpaut pada kereta. Perlahan-lahan dia menapak menuju ke ruangan penumpang hadapan. Azlina menerobos masuk sebelum menghidupkan enjin kembali. Kereta dipacu laju menuju ke rumah.
                        *                                              *                                              *
            “Macam mana Adli, mak cik?” Soal Azlina.
            “Alhamdulillah...mak cik dah bagi panadol dengan air suam tadi. Lepas minum, dia minta nak tidur. Sejak akhir-akhir ni, dia selalu macam tu. Tekanan kerja agaknya. Tak apalah. Apapun, terima kasih sebab hantarkan dia ke mari. Mak cik hantarkan kamu ke rumah, ya?” Ujar umi. Namun Azlina menolak lembut dengan senyuman.
            “Tak apalah, mak cik...Lina boleh balik sendiri...Assalamualaikum...” Balas Azlina sambil mencium tangan ibu Adli. Tersenyum wanita itu melihat gelagat Azlina. Tidak mahu menyusahkan orang lain.
            Adli menapak perlahan menuruni anak tangga usai uminya menghantar Azlina ke pintu hadapan. Kepalanya masih berdenyut. Melihatkan Adli menapak perlahan sambil berpaut pada tangga, pantas uminya berlari mendapatkannya.
            “Adli ni...kan belum baik lagi peningnya!” Leter umi.
            “Dah O.K. sikit, umi...Adli tak selesa di atas. Lina dah balik ke? Baru ingat nak hantarkan dia tadi...” Ujar Adli.
            “Nak hantar Lina? Kamu sendiri pun tak sihat betul lagi, ada hati nak hantar Lina. Konon-konon romantik la tu?” Usik uminya. Adli mengukir senyuman pahit. Denyutan kepalanya masih kuat. Dia duduk di atas sofa empuk sambil bersandar.
            “Kamu tak mahu ke klinik?” Soal umi. Adli menggeleng perlahan.
            “Sakit biasa aja ni...esok lusa O.K. lah...” Balas Adli. Uminya menggeleng pantas. Degil sungguh si Adli. Sejak dari kecil lagi. Saiful Adli memicit lembut kepalanya. Terasa kepalanya seperti mahu pecah. Uminya ingin bangun untuk ke dapur namun Adli menarik tangannya. Uminya tersentak.
            “Kenapa?” Soal umi, kehairanan.
            “Umi...kalau Adli mati, apa akan jadi pada umi?” Soal Adli, lemah. Uminya menarik telinga kanan anaknya. Geram bila disoal begitu. Adli mengeluh kesakitan.
            “Apa Adli cakap ni? Umi tak suka Adli cakap macam tu...”
            “Tapi, manusia akan mati juga, kan?” Adli bersuara lemah. Kali ini, uminya berubah wajah. Ditatap wajah lemah Adli lama-lama. Dihela nafas panjang.
            “Umi tak dapat nak jawab, Adli. Kamu rehatlah dulu...” Balas uminya. Wanita separuh abad itu berlalu ke dapur. Takungan matanya digenangi air. Hatinya terusik saat anak terunanya bertanyakan soalan yang tiada waima seorang ibu pun mahu menjawabnya. Ibu mana yang mahu anak kesayangannya pergi meninggalkan dunia? 
                        *                                              *                                              *
             “Lambat balik, Lina?” Soal Aufa Liyana saat Azlina menutup pintu utama. Tersentak si gadis, namun wajahnya dinampakkan biasa. Aufa Liyana duduk membaca majalah di sofa. Azlina tidak menjawab, sebaliknya ingin menapak pantas ke atas.
            “Lina bencikan Aufa?” Soal Aufa Liyana lagi.
            “No...” Balas Azlina.
            “Kalau macam tu, kenapa tak nak pandang wajah Aufa? Teruk sangatkah Aufa ni di mata Lina? Hina sangatkah Aufa ni? Aufa tahu Aufa banyak menyusahkan Lina. Aufa tahu Aufa menumpang di rumah ni. Tapi, satu masa nanti Aufa akan keluar juga...” Ujar Aufa Liyana. Azlina tidak jadi melangkah. Nafas dihela panjang. Wajah ditundukkan ke lantai marmar.
            “It’s complicated, Aufa...” Balas Azlina.
            “There’s nothing complicated if we discuss, Lina...” Ujar Aufa lagi.
            “I don’t want to discuss about it!” Bentak Azlina. Kali ini, wajahnya bertukar marah. Wajah diangkat, sedang matanya memandang Aufa yang sedang duduk di sofa utama.
            “Why? Sebab Lina fikir Aufa akan dapat Adli?” Aufa Liyana menduga lagi. Azlina diam seribu bahasa. Matanya merah, kemudiannya digenangi air mata. Aufa memanggilnya untuk duduk berbincang.
            “Takut kehilangan Adli?” Soal Aufa Liyana. Azlina masih membisu. Air mata berlinangan membasahi pipinya.
            “Ya! Memang Lina takut kehilangan Adli!...Selama hari ni, Lina tak pernah jumpa dengan lelaki sebaik Adli. Lina mahukan Adli! Sekarang, Aufa puas dengan jawapan Lina???” Bentak Azlina. Aufa Liyana tersenyum. Dia memegang tangan Azlina dengan lembut.
            “Aufa juga mahukan Adli...” Balas Aufa Liyana. Azlina pantas menarik kembali tangannya. Aufa tersenyum kecil. Ditarik kembali jemari Azlina. Kali ini, dikeluarkan sebentuk cincin dari saku jubahnya sebelum diletakkan di dalam genggaman Azlina.
            “Apa ni?” Soal Azlina, terkejut.
            “Ini cincin pertama dan terakhir yang Adli bagi pada Aufa sebelum ke Jordan dulu. Kata Adli, cincin ni hanya untuk insan yang betul-betul menyayanginya. Aufa pernah menyayangi Adli, tapi Aufa dah kecewakan hati dia. Sekarang, Aufa fikir Lina yang layak pakai cincin ni...sebab Lina sayangkan Adli...kan?” Jelas Aufa Liyana. Azlina tersentuh dengan kata-kata wanita itu. Aufa Liyana bukanlah penghalang seperti yang disangka. Pantas Azlina mendakap Aufa Liyana sambil menangis teresak-esak.
            “Maafkan Lina, Aufa...Lina tak sangka Aufa terlalu baik pada Lina...”
            “Aufa maafkan...biasalah tu...dah, jangan menangis! Malu orang tengok!” Balas Aufa Liyana sambil mengukir senyuman. Azlina tersenyum dalam tangisan. Dia menggenggam cincin yang diberikan. Mereka berdakapan bersama. Fieqa yang baru sahaja turun dari biliknya kehairanan.
            “Hai, dah berbaik nampaknya?” Usik Fieqa.
            “Dah lama baik, tau! Cuma tak declare je...hehe...” Balas Aufa. Mereka bertiga tertawa kecil.
            “Baik baik juga, nasi siapa nak masak? Lauk siapa nak sediakan? Hari dah nak malam...” Sindir Fieqa. Azlina melihat jam di dinding. Sudah hampir tujuh malam.
            “Malam ni, kita masak bersama! Boleh, Aufa?” Ujar Azlina. Aufa Liyana mengangguk perlahan sambil tersenyum.
            “Tapi sebelum tu, kena solat dulu. Nak jadi zaujah yang baik, harus didik diri mulai sekarang. Jom!” Pesan Aufa Liyana. Azlina mengangguk perlahan. Senyuman mekar di bibirnya.
            Dikau bagai mimpi
Bidadari...
Yang membawa lari hatiku ini...
Engkaulah permata...
Cinta kita...
Sayangku kau teramat sempurna...-Anuar Zain_Bidadari-

Sunday, April 25, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH DUA
            Ezmir menekan butang panggilan berkali-kali, namun masih tiada jawapan dari Aufa Liyana. Hatinya semakin terbakar, membara saat memikirkan kehilangan Aufa Liyana. Berkali-kali dia menggertak Azlina untuk memberitahu lokasi di mana Aufa disorokkan namun gadis itu tidak mahu berkerjasama dengannya.
            Surat daripada mahkamah dan pihak peguam Aufa Liyana sudah diterimanya pagi semalam. Dibaca berkali-kali surat tersebut. Nampaknya Aufa sudah memulakan langkah untuk menuntut cerai fasakh darinya.
            “Apa kita nak buat sekarang ni, Ezmir?” Soal Moussa dalam bahasa Arab-Turki.
            “Aku tak tahu...tapi aku yakin Adli ada kaitan dengan semua ni...”
            “Apa yang meyakinkan kau?” Soal Moussa lagi.
            “Aufa Liyana takkan tergamak untuk lakukan semua ni sekarang seandainya tidak ada orang yang mencadangkan kepadanya. Siap dengan laporan doktor dan macam-macam lagi, aku sangat yakin Adli terlibat sama!” Ezmir meluahkan kemarahannya.
            “Habis, apa kau nak buat sekarang?” Moussa bertanya. Ezmir tunduk memandang permaidani ruang tamu. Fikirannya ligat berputar, mencari jalan penyelesaian. Seketika kemudian, bibirnya terukir senyuman.
            “Kalau perlu...hapuskan saja Adli...” Ujar Ezmir.
            “Apa? Kau dah gila? Kita boleh dikenakan hukuman gantung! Aku tak mahu sampai ke tahap itu lagi, Ezmir!” Balas Moussa. Ezmir tertawa besar.
            “Aku ada cara aku yang tersendiri...kau tak perlu terlibat. Sama ada Adli dibunuh, atau aku sendiri yang terbunuh! Ini janji aku asalkan aku dapat kembalikan Aufa Liyana padaku!” Ezmir mengotakan janjinya. Moussa menggelengkan kepala. Entah apa lagi yang akan dilakukan oleh Ezmir selepas ini.
                        *                                              *                                              *
            Samudera terbentang luas. Bayu yang berdesiran menyegarkan segenap tulang-belulang yang dahagakan kerehatan. Ombak yang menghempas pantai tidak sama sekali mencacatkan suasana petang yang mendamaikan. Sesekali kedengaran suara camar yang terbang bebas di permukaan laut. Segalanya mendamaikan, menenangkan sesiapa sahaja.
            “Do you come here often?” Soal Azlina. Dia menjinjing kasutnya sedang kakinya menapak ke sepanjang pesisir pantai. Adli menyinsing seluar sambil berjalan sama.
            “Yeah...everyday...” Balas Adli sambil tersenyum lebar.
            “Its calming...with the birds chirping, the air...” Azlina memerhatikan sekeliling.
            “Allah memberi kita nikmat-Nya yang tak terhingga, kan?” Adli memberikan pendapat. Azlina mengangguk. Mereka seiringan berjalan di tepi pantai. Air laut menyapa kaki-kaki mereka. Terasa tenang dan menyejukkan.
            “Awak pandai bermain saksofon, kan?” Soal Azlina tiba-tiba.
            “Sikit-sikit bolehlah...kenapa?” Soal Adli.
            “Dah lama tak dengar...teringat dulu masa awak mainkan pada hari perkahwinan Aufa Liyana. Nampak macam Kenny G. Kagum saya, tau...” Balas Azlina.
            “Oh...sekarang pun saya masih mainkan saksofon di hotel tu...part time job...”
            “Gaji pensyarah ni tak cukupkah?” Soal Azlina.
            “Awak ni terlalu banyak bertanya...” Adli mencelah. Azlina tertawa kecil. Pipinya berona merah. Adli tertawa kecil sambil menggelengkan kepala.
            “Bukan soal gaji, Lina. Tapi soal kepuasan dan mengisi masa yang terluang. Duit yang saya dapat saya serahkan pada umi. Sekarang dah cukup untuk langsungkan perkahwinan hanya dengan menggunakan duit simpanan tu...” Ujar Adli.
            “Sekarang ada bawa saksofon tak?” Azlina bertanya lagi. Adli mengangguk.
            “Ada dalam kereta...nak saya ambilkan?” Soal Adli kembali. Azlina mengangguk perlahan. Malu rasanya untuk meminta namun entah mengapa petang itu dia ingin melihat arjuna hatinya memainkan saksofon di hadapannya. Adli menyuruhnya duduk di atas pasiran yang memutih sebelum dia berlari anak menuju ke kereta.
            Seketika kemudian, Adli kembali semula kepada Azlina sedang saksofon berwarna emas dipegangnya dengan kemas.
            “Ladies and gentlemen! This evening, I’m going to play a song titled ‘My Heart Will Go On’. Hopefully you’ll enjoy it!” Laung Adli. Beberapa pelancong yang sedang berjalan di pantai tertarik melihat Adli yang ingin memainkan saksofon. Mereka merapatinya.
            “Come...join us...” Pinta Azlina. Mereka bersalaman sebelum duduk bersama sambil menyaksikan persembahan bersahaja Adli. Pemuda itu membetulkan beberapa bahagian saksofonnya sebelum mula meniup.
            Every night in my dreams
I see you, I feel you
That is how I know you go on

Far across the distance
And spaces between us
You have come to show you go on

Near, far, wherever you are
I believe that the heart does go on
Once more you open the door
And you're here in my heart
And my heart will go on and on

Love can touch us one time
And last for a lifetime
And never let go till we're gone

Love was when I loved you
One true time I hold to
In my life we'll always go on

You're here, there's nothing I fear
And I know that my heart will go on
We'll stay forever this way
You are safe in my heart
And my heart will go on and on         
            Azlina mendengar alunan melodi instrumen yang dimainkan oleh Adli. Dia menghafal setiap bait lirik lagu tersebut. Hatinya berbunga mekar. Tidak salah dia bersabar untuk menjadi bakal zaujah Adli.   
            “Your husband is perfect...just like Kenny G!” Ujar salah seorang pelancong.
            “He’s not my husband yet...husband want-to-be...” Balas Azlina sambil tersenyum. Pelancong itu memohon maaf kerana tersalah. Usai Adli membuat persembahan, mereka meminta izin untuk mengundur diri.
            “Macam mana? Puas hati?” Soal Adli.
            “Hebat!” Ujar Azlina sambil tersenyum. Adli meletakkan kembali saksofonnya ke dalam kotak hitam. Mereka duduk sambil menghadap samudera. Lama membisu. Hanya desiran angin dan pukulan ombak yang kedengaran.
            “Terima kasih sebab sudi temankan saya...” Ujar Adli.
            “It’s okay...nak jadi bakal zaujah, perlu susah dan senang bersama.” Balas Azlina.
            “Seandainya ini pertemuan terakhir kita, saya dah puas hati...” Adli bersuara lembut. Azlina memandang arjuna hatinya dengan wajah geram bercampur hairan.
            “Kenapa awak cakap macam tu?” Soal Azlina. Adli tidak menjawab, sebaliknya memberikan senyuman manis.
            “Dalam perhubungan, konsep reda tu penting...” Ujar Adli.
            “Ubah topik nampak? Abang tak jawab lagi...eh...” Azlina tersipu-sipu malu.
            “Abang? Alamak....gugur jantung...” Seloroh Adli. Azlina mencubit bahunya. Mengerang kesakitan sang arjuna.
            “Eh, jangan cubit-cubit...belum halal lagi...dah kahwin nanti, ikut sukalah Lina nak buat apa kat abang...hehe...” Adli mengusik lagi. Azlina mencebikkan bibir. Mengada!

Thursday, April 22, 2010

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH SATU 

Kau bawa diriku 
Ke dalam hidupmu
Kau basuh diriku 
Dengan rasa sayang
Senyummu juga sedihmu 
Adalah hidupku
Kau sentuh cintaku dengan lembut
Dengan sejuta warna...
-Gigi_11 Januari-
            Azlina menapak menuju ke bilik pejabatnya. Langkahannya bersemangat, tidak seperti kebiasaannya. Senyuman melekat di bibir buat tiap insan yang ditemuinya sepanjang perjalanan menuju ke bilik.
            Tombol pintu dibuka saat kunci dipulas. Belum sempat pintu ditutup, seorang mahasiswi mendatanginya.
            “Miss! Miss! Wait a second!” Ujar mahasiswi itu.
            “Yes...what is it?” Soal Azlina. Di tangan mahasiswi itu terselit sekuntum ros merah dan sekeping kad kecil. Diserahkan kedua-duanya kepada Azlina.
            “Special delivery for you!” Balas mahasiswi tersebut. Azlina terkesima.
            “Dari siapa?” Soal Azlina, sambil membelek kad. Mahasiswi itu tersenyum sambil meminta izin untuk mengundur diri. Azlina mengangkat kening sambil membuka kad berwarna kuning emas itu.
            Buat bakal zaujahku yang amat kurindui...
          Semoga hari ini ceria dengan kehadiranmu...
                                        -Saiful Adli-  
            Azlina tersenyum. Dihidu haruman ros merah segar sebelum melangkah masuk ke biliknya. Beg dan buku diletakkan di atas meja sebelum kedengaran deringan telefon bimbit menandakan mesej baru sahaja diterima. Pantas Azlina menekan butang kekunci.
            Tiap-tiap hari akan ada sekuntum bunga...
            Buatmu bakal zaujahku tercinta...
            Moga cinta ini berterusan hingga ke syurga...
            Dan diakhiri dengan ikatan perkahwinan yang nyata...
            Azlina tersenyum sendirian. Adli pandai bermain kata. Dilabuhkan punggung di atas kerusi lembut sebelum membalas mesej. Wajahnya semakin ceria.
            Akan ku tunggu kuntuman bunga cinta
            Agar dapat kulestarikannya
            Bersama cinta dan redha Ilahi
            Ku yakini kau lah suami mithali di hati...
            Butang send ditekan. Telefon bimbit diletakkan di sisi meja sebelum dibuka buku pengajarannya. Beberapa helaian kertas pelajar yang masih belum ditanda diselak satu persatu. Lima minit berselang, mesej diterima sekali lagi.
            Petang ni free x?
            Nak ajak pergi pantai...
            Relax...makan-makan...
            Sudi?
            Azlina menyelak jadual hariannya. Nyata, hari ini masih terdapat kekosongan. Kelas malamnya bermula jam sembilan. Dia menaip kembali, membalas mesej Adli.
            Sure.
            At what time?
            Do you want to pick me or not?
            Azlina membalas. Diletakkan kembali telefon bimbit sebelum menyambung tugasannya. Pena berwarna merah dilarikkan ke kertas jawapan putih sedang senyuman masih melekat di bibirnya.
            I’m going to pick you...
            After Asar prayer...
            Wait at B. A. parking...
            Adli membalas mesej. Senyuman terukir di wajahnya. Kak Nor menegur dari belakang. Adli tersentak, pantas meletakkan telefon bimbitnya ke meja.
            “Amboi, senyum bukan main bila baca mesej...ada apa-apa ke ni?” Soalnya.
            “Ish...tak adalah, kak...biasa je...” Balas Adli.
            “Kamu dengan Aufa tu dah lama kenal ke?” Soal Kak Nor.
            “Ya...dari sekolah menengah lagi...kenapa, kak?” Soal Adli kembali.
            “Orangnya baik...tapi sayang...didera suami...”
            “Itu takdir, kak...”
            “Kamu tak nak ambil dia andai dia dah bercerai?” Soal Kak Nor lagi. Persoalan itu tak dapat dijawab oleh Adli. Dia menghela nafas panjang.
            “Saya dah tetapkan hati saya untuk Azlina. Tak mungkin dapat nak ambil Aufa sebagai isteri, kak. Lagipun, mungkin dia akan jumpa dengan jodoh yang lebih baik...” Adli membalas perlahan. Kak Nor mengerti perasaan Adli yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.
            “Setiap yang berlaku ada hikmahnya, dik. Akak yakin kamu dengan Azlina akan bahagia. Ha, masuklah meminang cepat-cepat!” Balas Kak Nor. Adli mengangkat wajah. Merah padam wajahnya menahan malu.
            “Insya-Allah...dah nak kahwin nanti, saya post dalam Facebook!” Balas Adli. Kedua-duanya tertawa kecil. Adli membuka buku rujukan Indahnya Hidup Bersyariat karangan Datuk Ismail Kamus sambil membaca beberapa permasalahan tentang hukum dan syariat. Hatinya semakin berbunga. Allah menggantikan Aufa Liyana dengan gadis yang lebih baik. Moga-moga ikatan cinta mereka berkekalan hingga ke akhir hayatnya...amin...
            Akulah penjagamu
            Akulah pelindungmu
            Akulah pendampingmu
            Di setiap langkah-langkahmu...

Monday, April 19, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH
            Pernah ada rasa cinta
            Antara kita kini tinggal kenangan
            Ingin ku lupakan semua ttg dirimu
            Namun tak lagi kan seperti dirimu oh tentangku...
            -Saleem_Tinggal Kenangan-
            Azlina memerhatikan sahaja gelagat Adli yang sedang memilih lauk-pauk di gerai Medan Selera Lendu berhadapan UiTM. Pemuda itu tiada menyedari kehadirannya di belakang. Azlina menghela nafas panjang. Mahu sahaja dia berlalu pergi dan mencari tempat makan yang lain namun dirasakan membazir masa pula. Kelasnya bakal bermula kira-kira sejam lagi.
            “Nasi separuh, dik...! Air limau ais...” Pinta Azlina. Serentak Adli berpaling memandangnya. Mata mereka berpandangan.
            “Makan?” Soal Adli. Azlina memandang garang.
            “Tak! Tengah bawa kereta ni! Mestilah nak makan, takkan datang sini nak bersukan pulak! Nonsense...!” Balas Azlina, garang.
            “Amboi...bukan main marah lagi dia...” Usik Adli lagi.
            “Encik Saiful Adli! Saya ni datang nak makan, tak ada masa nak layan loyar buruk awak tu! Can you please move aside? I want to take my meal...!” Gasak Azlina sebelum memilih lauk. Adli terkedu sejenak. Sampai begitu sekali marah Azlina padanya. Beberapa siswa dan siswi UiTM melihatkan sahaja ‘drama ringkas’ mereka sambil berbisik. Ada yang tersenyum memandang Ustaz Adli mereka.
            “Saya bayarkan, boleh?” Soal Adli lagi. Azlina mendengus perlahan.
            “Eh, awak ingat saya tak mampu bayar ke?” Balas Azlina.
            “Lina, kenapa dengan awak ni? Kenapa garang sangat?” Soal Adli.
            “Garang atau tak, yang awak sibuk tu kenapa? Mengalahkan suami pulak!” Soal Azlina kembali dengan nada garang.
            “Amiiinnnn....Insya-Allah!” Sambut Adli. Merah padam muka Azlina. Dia menghela nafas panjang sambil beristighfar. Pinggan berisi lauk-pauk diletakkan di meja pembayaran.
            “Nak gaduh lagi?” Soal Adli. Dia meminta kepada penggerai supaya bayaran makanan disekalikan. Azlina membisu seribu bahasa. Dia memandang ke arah siswa dan siswi sambil memberikan senyuman.
            “Makin awak marah, makin cute saya tengok...hehehe...” Usik Adli lagi. Azlina memandangnya dengan perlahan. Dahinya berkerut menahan geram.
            “Boleh tak awak...”
            “Boleh! Saya setuju! Minggu depan saya hantar!”
            “Ha? Apa yang awak setujunya?” Azlina terpinga-pinga.
            “Rombongan meminang...itu yang awak nak saya hantar, kan?” Usik Adli lagi.
            “Hiiiii! Boleh jadi gila la bercakap dengan awak ni!” Balas Azlina. Diletakkan pinggan makanan dan air di atas meja sebelum dilabuhkan punggung. Sudu ingin dicapai namun Adli segera merampas. Azlina sekali lagi memarahinya.
            “Hey, that’s mine! How dare you...!” Bentak Azlina. Adli tersenyum. Dia menunjukkan isyarat jari telunjuk tanda tunggu sebentar. Dia menapak menuju ke kaunter dan meminta mangkuk sederhana. Usai mendapat mangkuk, segera dimajukan langkahan menuju ke sinki. Dia mengisi air sebelum dibawakan kepada Azlina.
            “Kalau nak dapat syafaat Nabi, sunnah baginda kenalah ikut. Antaranya, makan menggunakan tangan kanan...betul tak?” Ujar Adli. Azlina menghela nafas panjang. Adli mengenakannya sekali lagi. Malas rasanya hendak melayan kerenah pemuda itu. Tangan dicelupkan ke dalam mangkuk. Setelah itu, dia mula menjamah makanan. Belum sempat nasi disentuh, Adli menghalang sekali lagi.
            “Nanti!” Ujar Adli.
            “Kenapa? Apa lagi yang awak nak buat ni?” Balas Azlina.
            “Baca doa makan dulu!” Pinta Adli.
            “Siapa kena baca? Saya?” Soal Azlina.
            “Ya! Awaklah...” Balas Adli.
            “Tak mahulah! Baca sendiri!” Bentak Azlina. Dia menadah tangan dan membaca doa di dalam hati. Adli tertawa kecil melihat keletah Azlina. Mereka menikmati hidangan bersama.
            “Semalam Aufa Liyana datang jumpa saya...” Tiba-tiba Adli bersuara. Azlina membisu. Dia mendengar sahaja penjelasan Adli.
            “Rupa-rupanya Ezmir dah buat macam-macam pada Aufa. Teruk juga kesan lebam dan lukanya. Awak bayangkan, Lina...betapa kejamnya si Ezmir tu pada Aufa Liyana. Isteri diperlakukan macam binatang!” Sambung Adli lagi. Azlina tidak menyahut. Adli meneguk minuman sedikit.
            “Kami dah pergi ke pejabat agama untuk minta penyelesaian. Dan pegawai agama menasihatkan supaya kes ini dihadapkan ke muka pengadilan. Aufa begitu menginginkan cinta saya namun saya tolak...” Ujar Adli lagi. Kali ini, Azlina tersedak. Pantas dia menyedut minuman.
            “Tolak? Kenapa? Bukan ke awak begitu sayangkan dia?” Soal Azlina.
            “Tak...sayang saya pada Aufa dah tinggal kenangan...” Balas Adli, serius.
            “Habis, kenapa awak tolak cinta dia? Bukan ke dia tu kekasih hati awak? Sampai bersumpah di hadapan Kaabah?” Soal Azlina lagi. Adli tersenyum kecil.
            “Allah menggantikan Aufa Liyana dengan gadis yang lebih baik...”
“Oh...rupanya ada yang lain...” Bisik Azlina.
“Gadis itu ialah awak...Azlina...” Ucap Adli sambil merenung mata Azlina. Gadis itu terkesima. Diam seribu bahasa. Lidahnya kelu tanpa bicara.
            “Insya-Allah, bulan depan saya masuk meminang...itupun kalau awak setuju...” Ujar Adli lagi. Azlina tergamam. Bermimpikah dia tika ini? Azlina menghela nafas panjang. This is totally crazy!
            “Kalau tak setuju? Saya ni susah nak sayangkan seseorang tau!” Getus Azlina.
            “Tapi awak sayangkan saya, kan?” Soal Adli kembali.
            “Astaghfirullah...bawa mengucap, Ustaz Adli...” Azlina menyindir lagi.
            “Awak ingat ustaz tak ada perasaan cinta ke?” Soal Adli lagi. Kali ini, Azlina terdiam sejenak. Mati akal dibuatnya. Adli tersenyum sambil memandang wajah Azlina.
            “Awak sanggup tunggu? It takes time to heal my heart...”
            “Saya sanggup tunggu...Innallaha ma’as sobirin...sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar...” Balas Adli dengan senyuman yang hampir menggugat degupan jantung Azlina. Gadis itu terdiam. Adli bijak menyusun kata-kata. Hati si gadis kembali berbunga. Merah padam wajahnya, menyambung kembali menjamah hidangan.
            “Macam mana dengan Aufa?” Soal Azlina lagi.
            “Dia akan kekal sebagai kenangan, Lina...and I’m yours...” Bisik Adli. Azlina terkesima. Allah telah mempertemukan calon suami yang terbaik buatnya. Dan kali ini, dia tidak mahu terlepas peluang. Cintanya kepada Adli kerana agama yang dimilikinya, kesantunan budinya, dan kesungguhannya menerapkan dakwah kepada semua.
            “Bagaimana?” Soal Adli. Azlina bersikap acuh tak acuh sahaja.
            “Tengoklah macam mana nanti...” Balas Azlina. Adli tersenyum lebar.
            Aku mencintaimu kerana agama yang ada pada dirimu.
            Seandainya kamu menghilangkan agama dalam dirimu,
            Maka hilanglah cintaku kepadamu...

Friday, April 16, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

SEMBILAN BELAS
Lembut tutur bicaranya,
Menarik hatiku untuk mendekatinya,
Kesopanannya, memikat di hati,
Mendamaikan jiwaku yang resah ini…
            Ya Allah jika dia benar untukku
            Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
            Jika dia bukan milikku
            Damaikanlah hatiku dengan ketentuanMu…-Permata Yang Dicari_Dehearty-
            Azlina termangu di balkoni, memandang rembulan yang bercahaya separa. Di tangannya terpegang kemas segelas air Nescafe. Dia merenung lama ke angkasa, mengimbau kembali kenangan bersama Adli. Saat pertama kali bertemu dengannya ketika di perhentian bas, hatinya sudah mekar berbunga.
            “Masih bersedih lagi?” Tegur Fieqa dari belakang. Dia melangkah merapati Azlina.
            “Entahlah...” Azlina membalas ringkas.
            “Kecewa?” Soal Fieqa lagi.
            “Entah...” Balas Azlina. Dia meneguk minuman sambil memandang ke langit. Fieqa memerhatikan sahaja gelagat teman baiknya. Dia mengerti, hati Azlina hancur luluh. Balik sahaja dari UiTM, gadis itu terus masuk ke bilik. Air mata berlinangan di pipi. Mahu ditanya, namun ketukan di pintu tidak dibalas. Pintu dikatup rapat. Mungkin saat itu Azlina memerlukan ruang untuk bertenang. Menjelang malam, barulah keadaan kembali reda.
            “Adli buat hal lagi ya?” Soal Fieqa lagi. Kali ini, Azlina memalingkan wajah.
            “Can we stop discussing on him?” Bentak Azlina. Fieqa mengangguk perlahan. Dari raut wajah dan nada suara Azlina, Fieqa mengerti ada sesuatu telah berlaku di antara mereka berdua. Dia membisu, membiarkan Azlina melayan perasaan.
            “Kadangkala, kita tak menjangkakan sesuatu perkara tu akan terjadi...dan kita kena bersikap matang dalam menghadapinya...I masuk ke dalam dulu...” Ujar Fieqa sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Azlina menghela nafas panjang. Dia telah membabitkan Fieqa dalam kesedihan dan kemarahannya.
            Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah mereka. Azlina tersentak. Dia memerhatikan kelibat pemandu di dalamnya namun samar-samar. Fieqa meluru keluar dan menemui tetamu yang datang. Azlina mengerutkan dahi. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Gelas diletakkan di meja sebelum melangkah ke pintu pagar hadapan.
            “Aufa mana?” Soal Ezmir dalam nada yang marah.
            “Manalah aku tahu...kan dia isteri kau?” Sindir Fieqa. Ezmir mengetap bibir. Azlina menghampiri mereka berdua. Dia berdiri di sebelah Fieqa sambil memandang Ezmir yang sedang menggila.
            “Aku tahu kau sorokkan dia di sini! Aufa! Keluar!!!” Getus Ezmir.
            “Hoi! Kau ingat ni taman perumahan kau ke? Hormatlah sikit dengan jiran-jiran kami!” Balas Azlina. Ezmir menghentak pintu pagar dengan kasar.
            “Kau suruh Aufa Liyana keluar! Sekarang!!!” Pekik Ezmir.
            “Hei, sebelum aku panggil polis, baik kau blah dari sini!” Jawab Fieqa dengan marah.
            “Kau silap kalau nak bermain api dengan aku...!” Gertak Ezmir. Jari telunjuknya dihalakan kepada mereka berdua. Matanya tajam memandang wajah Fieqa dan Azlina. Mereka berdua buat acuh tak acuh sahaja.
            Ezmir menghempas pintu pagar sebelum menerobos masuk ke dalam kereta. Dia memecut kereta berlalu pergi dari rumah itu. Fieqa dan Azlina berpandangan. Fieqa mengangkat bahu sebelum menapak masuk diikuti oleh Azlina. Kegilaan Ezmir semakin menjadi-jadi!
            Belum sempat sampai ke muka pintu utama, kedengaran bunyi kereta menghampiri hadapan rumah. Fieqa dan Azlina berpaling. Kelihatan kereta Adli terparkir di hadapan pintu pagar utama. Pantas Azlina berlari ke dalam rumah, meninggalkan Fieqa keseorangan di pintu hadapan.
            Aufa Liyana keluar dari perut kereta. Wajahnya ceria, tidak seperti sebelumnya. Adli memecut kereta berlalu pergi. Aufa Liyana menyedari kelibat Fieqa lalu segera menghampirinya.
            “Fieqa buat apa kat luar malam-malam begini?” Soal Aufa Liyana.
            “Masuk dulu! Nanti Fieqa ceritakan!” Balas Fieqa. Pantas ditariknya lengan Aufa Liyana dan masuk ke rumah. Pintu utama dikunci rapat. Aufa Liyana terpinga-pinga. Kenapa pulak dengan si Fieqa ni?
Azlina segera memasuki bilik. Pintu dikunci perlahan. Dia menghempas jasad ke katil tebal empuk. Air matanya mengalir lagi. Melihatkan Aufa Liyana, membuatkan dia terbayangkan arjuna hatinya...Ya Allah, apakah adil Kau biarkan hatiku dirundung perasaan sebegini??
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan ku batasi dengan syariatMu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuanMu...