Digital clock

Friday, April 16, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

SEMBILAN BELAS
Lembut tutur bicaranya,
Menarik hatiku untuk mendekatinya,
Kesopanannya, memikat di hati,
Mendamaikan jiwaku yang resah ini…
            Ya Allah jika dia benar untukku
            Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
            Jika dia bukan milikku
            Damaikanlah hatiku dengan ketentuanMu…-Permata Yang Dicari_Dehearty-
            Azlina termangu di balkoni, memandang rembulan yang bercahaya separa. Di tangannya terpegang kemas segelas air Nescafe. Dia merenung lama ke angkasa, mengimbau kembali kenangan bersama Adli. Saat pertama kali bertemu dengannya ketika di perhentian bas, hatinya sudah mekar berbunga.
            “Masih bersedih lagi?” Tegur Fieqa dari belakang. Dia melangkah merapati Azlina.
            “Entahlah...” Azlina membalas ringkas.
            “Kecewa?” Soal Fieqa lagi.
            “Entah...” Balas Azlina. Dia meneguk minuman sambil memandang ke langit. Fieqa memerhatikan sahaja gelagat teman baiknya. Dia mengerti, hati Azlina hancur luluh. Balik sahaja dari UiTM, gadis itu terus masuk ke bilik. Air mata berlinangan di pipi. Mahu ditanya, namun ketukan di pintu tidak dibalas. Pintu dikatup rapat. Mungkin saat itu Azlina memerlukan ruang untuk bertenang. Menjelang malam, barulah keadaan kembali reda.
            “Adli buat hal lagi ya?” Soal Fieqa lagi. Kali ini, Azlina memalingkan wajah.
            “Can we stop discussing on him?” Bentak Azlina. Fieqa mengangguk perlahan. Dari raut wajah dan nada suara Azlina, Fieqa mengerti ada sesuatu telah berlaku di antara mereka berdua. Dia membisu, membiarkan Azlina melayan perasaan.
            “Kadangkala, kita tak menjangkakan sesuatu perkara tu akan terjadi...dan kita kena bersikap matang dalam menghadapinya...I masuk ke dalam dulu...” Ujar Fieqa sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Azlina menghela nafas panjang. Dia telah membabitkan Fieqa dalam kesedihan dan kemarahannya.
            Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah mereka. Azlina tersentak. Dia memerhatikan kelibat pemandu di dalamnya namun samar-samar. Fieqa meluru keluar dan menemui tetamu yang datang. Azlina mengerutkan dahi. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Gelas diletakkan di meja sebelum melangkah ke pintu pagar hadapan.
            “Aufa mana?” Soal Ezmir dalam nada yang marah.
            “Manalah aku tahu...kan dia isteri kau?” Sindir Fieqa. Ezmir mengetap bibir. Azlina menghampiri mereka berdua. Dia berdiri di sebelah Fieqa sambil memandang Ezmir yang sedang menggila.
            “Aku tahu kau sorokkan dia di sini! Aufa! Keluar!!!” Getus Ezmir.
            “Hoi! Kau ingat ni taman perumahan kau ke? Hormatlah sikit dengan jiran-jiran kami!” Balas Azlina. Ezmir menghentak pintu pagar dengan kasar.
            “Kau suruh Aufa Liyana keluar! Sekarang!!!” Pekik Ezmir.
            “Hei, sebelum aku panggil polis, baik kau blah dari sini!” Jawab Fieqa dengan marah.
            “Kau silap kalau nak bermain api dengan aku...!” Gertak Ezmir. Jari telunjuknya dihalakan kepada mereka berdua. Matanya tajam memandang wajah Fieqa dan Azlina. Mereka berdua buat acuh tak acuh sahaja.
            Ezmir menghempas pintu pagar sebelum menerobos masuk ke dalam kereta. Dia memecut kereta berlalu pergi dari rumah itu. Fieqa dan Azlina berpandangan. Fieqa mengangkat bahu sebelum menapak masuk diikuti oleh Azlina. Kegilaan Ezmir semakin menjadi-jadi!
            Belum sempat sampai ke muka pintu utama, kedengaran bunyi kereta menghampiri hadapan rumah. Fieqa dan Azlina berpaling. Kelihatan kereta Adli terparkir di hadapan pintu pagar utama. Pantas Azlina berlari ke dalam rumah, meninggalkan Fieqa keseorangan di pintu hadapan.
            Aufa Liyana keluar dari perut kereta. Wajahnya ceria, tidak seperti sebelumnya. Adli memecut kereta berlalu pergi. Aufa Liyana menyedari kelibat Fieqa lalu segera menghampirinya.
            “Fieqa buat apa kat luar malam-malam begini?” Soal Aufa Liyana.
            “Masuk dulu! Nanti Fieqa ceritakan!” Balas Fieqa. Pantas ditariknya lengan Aufa Liyana dan masuk ke rumah. Pintu utama dikunci rapat. Aufa Liyana terpinga-pinga. Kenapa pulak dengan si Fieqa ni?
Azlina segera memasuki bilik. Pintu dikunci perlahan. Dia menghempas jasad ke katil tebal empuk. Air matanya mengalir lagi. Melihatkan Aufa Liyana, membuatkan dia terbayangkan arjuna hatinya...Ya Allah, apakah adil Kau biarkan hatiku dirundung perasaan sebegini??
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan ku batasi dengan syariatMu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuanMu...