Friday, November 6, 2009

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

>SEMBILAN

            Pagi Selasa. Adli menongkat motosikal berkuasa besarnya di hadapan restoran. Dia menanggalkan topi keledarnya lalu disangkutkan pada tangki motosikalnya. Dia bingkas bangun sebelum menapak masuk ke dalam restoran. Kelihatannya Azlina sedang menikmati hidangan pagi seeprti biasa.
            Gadis itu perasan kehadirannya. Pantas dia mengangkat wajah, cuba menegur dengan senyuman namun wajah Adli biasa saja. Pemuda itu hanya memandang. Tiada senyuman mahupun teguran daripadanya seperti awal-awal dahulu. Azlina mengerutkan dahi. Kenapa dengan lelaki tu? Pelik...
            “Aku bercakap dengan lalat rupanya...” Ucap Azlina, geram. Adli terhenti.
            “Tak, awak bercakap dengan pinggan tu...” Adli membalas.
            “Lagi bagus bercakap dengan pinggan daripada bercakap dengan orang yang tak nak bercakap dengan kita...” Azlina memulang paku buah keras. Adli mengukir senyuman. Terasa benar nampaknya gadis itu padanya. Dia menapak ke hadapan Azlina sebelum menarik kerusi. Matanya memandang gadis bertudung litup itu.
            “Who allows you to sit here?” Azlina mulai bertindak garang.
            “Suka hati sayalah nak duduk di mana pun...” Balas Adli, selamba.
            “Hiii...suka hati awaklah!” Balas Azlina. Geram benar dia pada lelaki berbaju batik emas itu. Adli tertawa kecil sebelum menaip sesuatu pada telefon bimbitnya. Azlina melirik sedikit, cuba melihat apa yang sedang dilakukan pemuda itu. Mesej kepada siapa?
            “Jangan risau, saya tak ada teman wanita...” Seloroh Adli. Bulat mata Azlina!
            “Am I asking that?” Azlina membalas garang.
            “Daripada lirikan mata awak tu, nampak sangat awak curiga dengan saya, kan? Mata tak pernah berbohong, Lina...” Ujar Adli sambil menaip laju pada telefon bimbitnya. Azlina mencebikkan bibir. Iyalah sangat tak ada teman wanita! Menyampah!
            “I have to go...jumpa awak petang ni, ya...” Ucap Adli lalu bingkas bangun.
            “Ha???” Tercengang Azlina dibuatnya. Lelaki itu menapak menuju ke kaunter sebelum memesan makanan berbungkus. Azlina memandangnya dari jauh. Apa hal pulak mamat ni? Jumpa aku waktu petang? Bila masa aku berjanji dengan dia? Ah, mengarut sungguh!
            Tujuh minit berselang, Adli lalu bersebelahan meja Azlina. Gadis itu buat acuh tak acuh sahaja. Adli tersenyum sebelum berlalu pergi. Hatinya berbunga dapat mengusik gadis itu. Niatnya baik, ingin menjalinkan persahabatan. Tidak lebih dari itu. Untuk berkasih, mungkin tidak. Biar masa menentukannya...
***
            “Syariah Islam mengatur hablu min an-nas. Ia merupakan hubungan kemasyarakatan. Syariat Islam dilihat serius dalam membina hubungan kemasyarakatan melalui pensyariatan solat jemaah, kewajipan berzakat dan ibadah haji. Hablu min an-nas juga merangkumi hubungan dan gerak aktiviti yang luas dalam komunikasi mereka. Ini dinamakan sebagai ibadah umum. Contohnya, bersukan, berniaga, belajar...” Jelas Adli kepada seisi kelasnya. Mereka mengangguk, mungkin faham dan mungkin juga tidak!
            “Apa maksud hablu min an-nas tu, ustaz?” Soal Alifah.
            “Hablu min an-nas tu maksudnya hubungan antara manusia...” Balas Adli.
            “Ibadah umum tu maksudnya, semua perkara yang kita buat seharian selagi tak bercanggah dengan syarak dan agama ke ustaz?” Soal Balqis.
            “Yes...it’s all the things or routine that we do everyday...playing sports, eating, bathing…” Ujar Adli. Kesemua pelajarnya mengerutkan dahi. Mereka mulai berbisik sesama sendiri. Adli terpinga-pinga. Salah ke apa yang aku cakap?
            “Kenapa?” Soal Adli, hairan.
            “Tak, rasa macam pelik je bila dengar ustaz speaking in English...dulu tak macam ni...” Ujar Hamizul. Spontan Adli ketawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya sambil beristighfar. Ingatkan tersalah ajar tadi!
            “Oh...salahkah saya bercakap dalam bahasa Inggeris?” Soal Adli lagi.
            “Tak...tapi macam tak berapa nak kena je...macam belajar BEL pulak...hehe...” Balas Nizam. Seisi kelas tertawa besar mendengar penjelasannya. Adli mengukir senyuman. Tanpa disedari, dia sendiri terbiasa berbicara bahasa Inggeris. Memikirkan sesuatu, Adli spontan memberikan penegasan.
            “Kalau macam tu, saya wajibkan kelas saya bercakap bahasa Inggeris! No Malay language! Understood???” Ujar Adli.
            “Alamak!!!” Seisi kelas mengeluh. Mereka cuba memujuk ustaz mereka, namun Adli tetap bertegas dengan arahannya. Sesekali mengubah corak pembelajaran, apa salahnya?
***
            Azlina meraba-raba beg tangannya, mencari kunci kereta. Hari hampir menerjah ke senja. Dia harus pulang segera kerana keesokan harinya dia mempunyai kuliah gantian di UKM.
            Usai dia mencari kunci kereta, kedengaran ngauman bunyi motosikal dari belakang. Sebetulnya dia sudah mengetahui siapakah gerangannya. Adli!
            “What do you want from me?” Azlina menyoal garang.
            “Assalamualaikum...dari pagi sampai ke petang awak asyik marahkan saya, tak penat ke? Kesian saya tengok awak...” Ucap Adli sambil tersenyum manis. Enjin motosikal dimatikan serta-merta. Berbaju kuning cerah, berseluar dan berjaket jeans. Pemuda itu sememangnya pandai bergaya.
            “Apa sebenarnya masalah awak? Ke mana sahaja saya pergi, awak ada!”
            “Saya tak ada masalah. Sekadar nak menjalinkan hubungan persahabatan...takkan itu pun tak boleh?” Balas Adli.
            “Tapi kenapa saya? Kenapa tak bersahabat dengan semua pensyarah di sini?”
            “Sebab awak istimewa...” Bicara pemuda itu terhenti di situ. Azlina terpinga-pinga. Istimewa apa bendanya ni? Tak faham betullah!
            “What’s so special about me?” Soal Azlina, ingin tahu.
            “Keistimewaan itu hanya awak dan saya sahaja yang tahu...” Jawab Adli. Azlina mengerutkan dahinya. Bersasteralah pulak mamat ni! Azlina menggelengkan kepala sebelum menekan alarm kereta. Pintu dibuka sebelum Adli memberikan pelawaan:
            “Umi saya ajak awak makan di rumah saya malam ni...OK?”
            Azlina tidak membalas. Dihidupkan enjin kereta sebelum pintu dikatup dengan kasar. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang minat pun. Adli mengetuk cermin kereta, cuba mendapatkan persetujuan daripada Azlina. Gadis itu memandangnya dengan wajah marah. Diturunkan cermin kereta dengan perlahan-lahan sebelum berkata sesuatu:
            “Saya tak berminat nak ke rumah awak! Faham?”
            Kereta diundur ke belakang sebelum berlalu pergi. Adli ditinggalkan begitu sahaja. Pemuda itu menghela nafas panjang. Sudah dikhabarkan kepada uminya gadis itu tak mahu menerima pelawaannya namun uminya berkeras juga mahu dia menjemputnya ke rumah. Motosikal dihidupkan kembali sebelum dipacu menuju ke rumah. Ngaumannya memecah kesunyian senja.

Sunday, November 1, 2009

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

LAPAN
            Adli memulas tombol pintu utama. Lampu ruang tamu masih menyala. Kelihatan uminya sedang duduk sambil membaca majalah di sofa. Televisyen dipasang, memaparkan siaran televisyen lewat malam. Adli menghela nafas panjang.
            Kepenatan.
            Dia menapak menuju ke sofa. Diletakkan beg berisi saksofon ke sisi sofa sebelum melabuhkan punggungnya bersebelahan umi. Kepala disandarkan ke sofa. Mata dipejam dalam-dalam. Nafasnya turun naik perlahan.
            “Dah habis? Puas hati?” Soal uminya.
            “Alhamdulillah...tak sangka buat persembahan untuk majlis kahwin Aufa...” Balas Adli. Uminya mengerutkan dahi. Dipandang wajah anak terunanya. Biar betul?
            “Aufa?” Uminya menyoal lagi. Adli mengangguk.
            “Ya...Aufa Liyana Bte Ahmad Zaki...kenapa?” Soal Adli kembali.
            “Adli tak terasa apa-apa?” Uminya menyoal kembali. Spontan Adli membuka mata. Dia memandang ke arah kipas bersalut tembaga yang berputaran di syiling. Sekilas, dia tersenyum sendirian.
            “Bohonglah kalau Adli tak terasa apa-apa, umi. Tapi, dah ditakdirkan dia jadi isteri Ezmir. Takkanlah Adli nak mengamuk di majlis tu pulak...kan? Let bygone be bygone...” Balas Adli. Senyuman semakin melebar. Uminya mulai curiga.
            “Amboi, dah pandai berbahasa Inggeris sejak akhir-akhir ni...umi tak mahu bermenantukan orang putih. Banyak lagi orang Melayu yang bagus, cantik, sopan...” Ujar uminya. Adli tertawa kecil. Ke situ pulak perginya.
            “Bahasa Inggeris sekarang kan dah jadi lingua franca...lagipun, PPSMI masih diteruskan...tak salah Adli berbahasa Inggeris, kan? Adli masih mengekalkan bahasa ibunda sebagai pertuturan utama...Am I right?” Adli cuba bermadah.
            “Memanglah...tapi sebelum ni tak pernah umi dengar Adli berbahasa Inggeris...ada apa-apa yang umi tak tahu ke?” Soal uminya lagi. Adli tertawa lagi. Uminya bijak menyerkap jarang. Dibiarkan persoalan itu tergantung di situ. Pantas dia bangun dari sofa empuk. Dicapainya beg saksofon sebelum menapak ke arah tangga menuju ke bilik. Uminya menggeleng sambil tersenyum.
            “Jangan lupa mandi!” Laung uminya.
            “O.K, mum...good night...Assalamualaikum!” Balas Adli.
***
            Azlina menghempas badan ke katil. Dia memandang ke kipas di syiling.
            Kenapalah aku menangis depan dia? Bodohnya aku!!!
            Mata dipejam rapat. Hatinya mulai dirundum perasaan bercampur baur. Mungkinkah sekarang ini Adli sedang tertawa sendirian, memikirkan kebodohannya menangis tadi? Ataupun mungkin juga persepsi pemuda itu terhadapnya berubah?
            Malas memikirkannya lagi, Azlina bingkas bangun. Dia menukar pakaian tidur, menggosok gigi dan membasuh kaki sebelum menapak semula ke katil. Dicapainya fail berisi tugasan mingguan para pelajarnya untuk ditanda. Sehelai demi sehelai dibelek, sedang matanya cuba membaca baris demi baris esei pelajarnya.
            Sesekali hatinya terdetik.
            Mengapalah dia tidak mendapatkan nombor telefon Adli? Tapi untuk apa? Dia seorang wanita dan perlu menjaga kesopanan dan ketimurannya. Seandainya dia yang meminta dahulu, pasti anggapan baik daripada Adli terhadapnya akan berubah! Ibarat perigi mencari timba! Tak mahulah!!!
             Tidak mahu menyukarkan keadaan, dia segera kembali kepada penandaan kertas. Dikumpul segenap perhatian dan mula membaca kembali. Tugasan utamanya harus didahulukan. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mencampur-adukkan soal kerjaya dan peribadi. Tangannya pantas menanda dan membetulkan frasa yang ditulis oleh pelajarnya. Tanpa disedari, dirinya terlelap dalam lena...
***
            Sujud terakhirnya lama. Dia mengadu sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa. Hatinya dikuasai gelora luar biasa buat kali ketiga. Ya Allah, jangan kau biarkan zina hati meresap ke segenap tubuhku ini! Kuserahkan segalanya padaMu!
            Tahiyat akhir ditunaikan sebaik mungkin. Dalam kedinginan pagi seawal jam empat, didirikan Qiamul-lail bagi mendambakan diriNya pada Allah. Pertemuannya dengan Azlina menyebabkan hatinya kembali berbunga namun dia tidak mahu terburu-buru. Dia tidak mahu gagal seperti sebelumnya. Diserahkan semuanya kepada Allah.
            Salam diberikan ke kanan dan kiri. Ada istighfar meniti di bibirnya. Jemarinya mengira butiran tasbih berwarna hitam yang terjalin pada benang putih. Dia tenggelam dalam alunan munajat pada Allah.
            Ya Allah, kupohon, kurayu, sentuhlah hatiku ini saat diriku jauh dariMu. Peluklah hati ini, saat ia mencintai sesiapa lebih dari diriMu. Peliharalah imanku selalu, teguhkanlah hatiku dalam mencari redhaMu. Sesungguhnya aku takut dan gerun seandainya Kau berpaling daripadaku! Alangkah ruginya daku! Alangkah dahsyatnya azabMu!!!