Digital clock

Thursday, January 7, 2010

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

TIGA BELAS


Bila cinta tak lagi untukku...


Bila hati tak lagi padaku...


Mengapa harus dia yang merebut dirimu...


Bila aku tak baik untukmu...


Dan bila dia bahagia dirimu...


Aku kan pergi mesti hati tak akan...rela...

Corong telinga Adli tenang menangkap bait-bait lirik lagu di komputer ribanya. Hatinya menangis mengenangkan Aufa Liyana. Kenangan lama silih berganti dalam ingatannya. Masih teringat waktu dia bermunajat di Mekah. Di hadapan Kaabah, dia menzahirkan doanya pada Allah agar dipermudahkan dan dipanjangkan jodohnya bersama Aufa Liyana.

“Ya Allah, aku pinta kepada-Mu agar zuriatku hanya keluar dari rahim Aufa Liyana dan bukan daripada insan yang lain...”

Namun, kini dia mengerti. Tidak semua doa dimakbulkan serta-merta. Boleh jadi perancangan-Nya lebih baik. Dia reda menerima segala takdir namun terkadang dia tewas dengan bayangan kenangan lama. Namun sampai bila?

Hadirnya Azlina dalam kamus hidupnya seakan membawa satu sinar, menerangi kegelapan hatinya yang hampir musnah. Kalaulah Azlina muncul dahulu, pastinya dia tidak akan bertemu dengan Aufa Liyana, mahupun Aina Farieha!

“Sampai bila nak dengar lagu tu?” Uminya menyapa di pintu. Adli tersentak. Pantas diseka air matanya dari mengalir. Uminya melangkah ke katil sebelum duduk di sebelahnya. Adli cuba mengukir senyuman namun hambar.

“Raudhah tak jadi datang...katanya, minggu depan...” Jelas uminya.

“Hmm...” Adli membalas ringkas. Uminya memandang lama.

“Adli marahkan umi lagi?” Soal uminya.

“Ish, taklah...mana ada, umi...” Balas Adli.

“Umi kenal siapa anak umi. Umi tahu, sangat susah nak lupakan cinta pertama.”

“Tapi...mahu atau tak, kita kena lupakan juga. Aufa dah jadi milik orang...”

“Habis, macam mana dengan Azlina?” Uminya menyerkap jarang. Terbeliak mata Adli mendengarnya. Apa kaitan dengan Azlina pulak?

“What do you mean?” Adli kehairanan.

“Amboi...bukan main lagi bercakap orang putih...” Sindir uminya. Adli tertawa kecil. Dia akui, sejak kebelakangan ini bibirnya senantiasa bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah, di pejabat juga dia bertutur dalam bahasa itu. Banyak kali disindir oleh teman-teman sepejabatnya.

“Berkenan ke?” Soal uminya.

“Subhanallah...umi...” ujar Adli, cuba mengelak.

“Umi berkenan dengan dia. Kalaulah dia dapat jadi menantu, bertuahnya umi...”

Adli segera bangun sambil tersenyum. Ditutup komputer riba dan memandang wajah uminya. Tangan umi dipegang erat.

“Kalaulah umi berkenan sangat dengan dia, umi sendirilah yang menikah!” Seloroh Adli. Umi segera mencubit lengannya. Orang serius, dia pulak main-main!

“Jangan main-main, Adli! Umi serius ni...”

“Nantilah, umi...Adli tak nak berharap atau fikir lagi...OK?” Pujuknya.

“Maknanya, lambat lagilah umi nak menimang cucu...” Balas uminya, sedih.

“Sabar itu kan sebahagian dari iman. Nanti Adli akan bagi sepuluh cucu untuk umi! Hehe...” Seloroh Adli sambil menunjukkan kesemua jemari tangannya. Uminya tertawa kecil. Adli segera beredar dari bilik menuju ke ruang tamu. Uminya menggelengkan kepala sambil tersenyum melihat Adli. Susah sungguh nak pujuk hatinya untuk berkahwin!

* * *

Adli baru sahaja selesai menunaikan solat sunat ba’adiah Isyak di masjid Al-Hikmah UiTM Alor Gajah, Melaka. Dia duduk sambil memandang mimbar. Lidahnya dibasahkan dengan zikir, memohon ketenangan dari Allah S.W.T.

“Assalamualaikum, ustaz...” Entah bagaimana, Adli disapa seorang pelajarnya. Hamizul Faiz mengukir senyuman.

“Waalaikummussalam...ya, ada apa?” Soal Adli, hairan.

“Ustaz busy ke sekarang?” Soal Hamizul.

“Tak juga...why?” Soalnya kembali.

“Sekejap lagi kami akan adakan usrah di bahagian kiri masjid. Kalau boleh, ana nak minta ustaz join sekali. Boleh tak? Sebab kalau ada ustaz, lagi memudahkan kami...” Pinta Hamizul. Saiful Adli melirih sejenak ke kiri masjid.

“Oh...boleh juga! Apa tajuknya?” Soal Adli.

“Tajuknya, Mencari Cinta Hakiki...” Ujar Hamizul.

“Insya-Allah...nanti ana datang...” Balas Adli sambil mengukir senyuman.

“Syukran, ya ustaz...”

“Afwan...”

Hamizul Faiz melangkah menuju ke belakang masjid. Adli menghela nafas panjang. Mendengar sahaja Hamizul membahasakan dirinya sebagai ana, membuatkan Adli terkenang sewaktu zaman dia bersekolah dahulu. Dia juga mempunyai kumpulan usrah. Ada senyuman meniti di bibirnya. Zikiran disambung semula sementara menantikan usrah bermula.

Usrah bermaksud ‘keluarga’ dalam bahasa Arab. Namun, dalam makna lain ia memberi erti sekumpulan kecil orang Islam yang duduk dalam bulatan (halaqah) dan berbicara mengenai ketauhidan Allah dan kemuliaan Rasul, hal-hal berkaitan dengan agama Islam serta isu semasa. Rasulullah S.A.W. juga mengadakan usrah pertama di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sewaktu permulaan syiar Islam dahulu. Malah, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga melaksanakan perkara yang sama.

Usrah menjalin kekuatan ukhuwah dalam setiap diri ahlinya. Namun, harus diingat bahawa seseorang itu perlu memilih usrah yang sesuai. Kerana ada di kalangan musuh Islam yang menjadikan usrah sebagai medan untuk menarik golongan yang ingin tahu ke arah ajaran atau fahaman sesat.

Adli terhenti dari zikirannya. Dia mengeluarkan telefon bimbit sebelum menaip sesuatu di skrin. Seketika kemudian, butang send ditekan. Kelihatan tirai masjid sudah dibuka. Beberapa orang pelajar muslimat mula berkumpul diikuti pelajar lelaki. Hamizul Faiz memberikan isyarat menjemput Adli menyertai usrahnya. Perlahan-lahan Adli menapak ke arah mereka. Moga-moga Allah meredai usaha dan memberkati ilmu yang bakal diterima dan disampaikannya kelak...

***

Wednesday, January 6, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA BELAS


“Kita selalu muda untuk melakukan dosa


Namun tak pernah tua untuk melakukan taubat..”.

Sujudnya terakhirnya lama.

Rasa sedih, kecewa, pedih, semuanya diadukan kepada Yang Maha Esa. Hatinya sudah tidak tertahan lagi dengan dugaan yang melanda. Kehadiran Aufa Liyana yang menyapanya tadi sukar diterima. Apa lagi yang dimahukannya?

Usai solat sunat dan berdoa, pemuda itu membasahi lidahnya dengan zikir. Dipohon agar Allah menenangkan hatinya, menjauhkan segala syak wasangka dan mempermudahkan setiap urusannya hari ini. Semakin lama, dia tenggelam dalam munajatnya. Kalimah istighfar, takbir, tahmid, tasbih silih berganti. Tenang dan mendamaikan sanubari.

“Setiap makhlukNya memiliki ujiannya yang tersendiri. Allah tidak akan membebankan hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dilaksanakan oleh hamba itu...jangan sesekali bersangka buruk dengan Allah...”

Ya, Adli cukup mengerti makna di sebalik kata-kata itu. Ungkapan yang pernah dilontarkan oleh guru agamanya sewaktu mengembara mencari ilmu di bumi anbia dulu.

UMI CALLING...

Pantas talian dijawab. Kedengaran ucapan salam di hujung talian. Adli membalas lembut.

“Adli di mana tu?” Soal uminya.

“Di masjid UiTM, umi...kenapa?” Soal Adli kembali.

“Ada tetamu datang! Baliklah cepat!” Pinta uminya.

“Siapa? Raudhah? Bukan ke dia datang tengah hari?” Soal Adli lagi.

“Ish kamu ni! Balik dulu!” Tegas uminya sebelum talian dimatikan. Adli terpinga-pinga. Siapa pula yang nak datang kalau bukan Raudhah? Ish, umi juga yang beritahu anak Mak Cik Salbiah tu bakal makan tengah hari di rumahnya. Nasib baik hari ini kelas gantinya pada pukul sebelas pagi. Masih ada dua jam sebelum kelasnya bermula. Adli termenung seketika sebelum bingkas bangun. Dia membuat keputusan untuk pulang sejenak sebelum kembali ke UiTM.

* * *

Kedengaran bunyi ngauman motosikal Adli memasuki pekarangan rumah. Pantas uminya bangun lalu menerjah ke luar. Adli menyangkut topi keledar di cermin sisi motosikal sebelum uminya menyuruh masuk dengan pantas.

“Siapa yang datang, umi? Raudhah ke?” Soal Adli.

“Tengok ajalah!” Uminya masih berteka-teki. Pemuda itu menanggalkan kasutnya sebelum menapak masuk. Uminya menapak dahulu diikuti olehnya. Di ruang tamu, kelihatan seseorang sedang duduk sambil mencicip minuman panas. Wanita bertudung litup. Adli terperasan sesuatu tatkala melihat tudung wanita itu. Takkanlah...!

“Azlina?!!” Nama itu terpacul entah bagaimana. Pantas Azlina menoleh ke belakang. Senyuman dilotarkan kepada pemuda bernama Adli itu. Tidak keruan Adli melihatnya. Bagaimana gadis itu tergerak hati mahu ke rumahnya? Dari mana dia tahu lokasinya?

“Good morning...” Sapa Azlina, mesra.

“Waalaikummussalam...eh, biar betul?” Adli menegur dengan sindiran. Tersipu-sipu si Azlina tatkala sapaannya dibalas dengan jawaban salam. Adli segera duduk di hadapan Azlina. Terkebil-kebil matanya memandang sekujur tubuh di hadapannya. Uminya segera ke dapur menyediakan makanan.

“How did you found my house?” Soal Adli.

“We’re in the same neighborhood, right? It’s not hard to find it...” Balas Azlina.

“So, what makes you came here?” Soal Adli lagi.

“Nothing...just to apologize about the day you invited me to your house...I’m sorry...I thought you were going to...”

“Untuk apa? Awak ingat saya nak mengorat awak? Nak melamar awak?” Adli memotong pantas. Azlina terdiam seribu bahasa. Pipinya berona merah. Adli beristighfar sambil menggelengkan kepala.

“Saya tahu, mungkin cara saya agak keterlaluan...Azlina, saya minta maaf kalau cara saya agak straight forward...Saya ajak awak pun atas dasar kawan...not more than that...” Jelas Adli sebelum menghela nafas panjang. Azlina hanya tunduk memandai permaidani merah.

“Jodoh, pertemuan, rezeki, takdir, ajal, semua tu dalam pengetahuan Allah, kan...awak pun tahu tu. Bagi saya, bukan mudah nak mengubat hati yang dah dua kali kena tipu dengan insan yang bernama wanita. Saya tahu, mungkin agak tidak adil untuk berkata yang wanita amat kompleks dan sukar diduga. Namun, pengalaman memacu saya untuk berfikir sebegitu. Mesti umi dah jelaskan pada awak semuanya tentang saya, kan? Dia memang begitu, suka bercerita. Dan saya tahu, awak mesti bersimpati dengan apa yang terjadi pada saya, kan?” Ujar Adli lagi.

“Maafkan saya...” Azlina cuba menzahirkan bicara.

“Tak perlu minta maaf...awak tak salah apa-apa pun...memang kadangkala kita lakukan kesilapan...nama pun manusia. Asalnya bersifat pelupa. Anyway, terima kasih sebab sudi datang jenguk umi saya...Cuma saya hairan macam mana awak boleh tahu rumah saya. Jangan kata yang awak ekori saya sampai ke rumah...tak, kan?” Adli menyoal kembali. Serentak gadis itu ketawa. Takkanlah dia nak buat kerja segila itu!

“Taklah...saya tak ikut awak pun...Aufa Liyana yang beritahu saya...” Jelas Azlina sambil tertawa kecil. Mendengar nama itu, wajah Adli berubah serta-merta.

“Lagi-lagi Aufa! Kenapa mesti hubungan ini bertaut kerana Aufa Liyana???”

Pantas Adli bangun dari sofa. Tiada senyuman yang biasa terbit dari bibirnya. Pemuda itu segera menapak ke pintu utama. Azlina kehairanan melihat kelakuannya. Kenapa pulak dengan mamat ni? Angin tiba-tiba? Uminya yang kebetulan keluar dari dapur menatang sedulang makanan kehairanan. Pantas dipanggilnya namun tiada jawaban. Kedengaran bunyi ngauman motosikal sebelum sayup menjauh.

Uminya menggeleng sambil menapak ke arah Azlina. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehingga memaksa Adli keluar begitu sahaja. Dia menapak menuju ke arah Azlina yang kebingungan.

“Dia memang macam tu, Lina. Nampak pemarah tapi sensitif sebenarnya...” Ujar umi. Azlina tersenyum namun tampak pahit. Dia mencapai gelas sebelum meneguk minuman. Adli amat sukar untuk diduga kelakuannya!

***