Thursday, October 15, 2009

MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA

CINTA tidak akan dapat jika tak dicari,

CINTA tidak akan dapat jika tak memberi,

Mencari biarlah pada yang SUDI,

Bukan meminta pada yang SIMPATI,

“Sorry, I’m late...” Ucap Azlina sambil meletakkan buku dan fail di atas meja hadapan kelas. Seisi kelas kehairanan. Apa tidaknya, jarang sekali pensyarah kesayangan mereka itu lewat ke kelas. Pantas dikeluarkan kertas kehadiran lalu diedarkan kepada anak didiknya.

“What happened to you?” Soal Nora Atikah atau mesra dengan panggilan I-ka.

“My car broke down just now...I’ve to take taxi...” Balas Azlina.

“Miss, what about our listening test?” Soal Ezzy Shahiza.

“I’ll do it tomorrow...” Balas Azlina, tampak kepenatan.

“Ala...orang dah bersemangat, tak jadi pulak! Kalau tau tadi tak payah susah-susah bangun pagi...” Keluh Radin Mohd Rafiquzzaman, mahasiswa berambut Mohawk. Pantas saja Azlina memandangnya dengan jegilan mata.

“What did you say, Radin???” Lantang suaranya menyoal.

“Hehe...it’s nothing, miss. Just joking around...” Radin tersenyum simpul. Azlina menggelengkan kepala. Dilepaskan sejenak kepenatan saat duduk di atas kerusi. Entah mengapa, fikirannya menerawang memikirkan lelaki bernama Adli tadi. Ustaz Adli. Ada sesuatu yang memancing pemikirannya namun dibuat endah tak endah sahaja. Baginya, tanggungjawab mendidik anak bangsa lebih penting. Diselak helaian demi helaian buku rujukan, mencari halaman yang telah ditandakannya malam tadi bagi memulakan pengajarannya. Selesai menyemak, diperhatikan seisi kelas.

“Where are the others? They should be here by now…” Soal Azlina, hairan.

“Biasalah miss...kelas pagi...” Qadri, ketua kelas membalas. Azlina menghela nafas panjang. Dia melihat jam di tangannya. 8:35 pagi. Kelas sepatutnya dimulakan jam 8:30 pagi. Dilihat pula anak didiknya yang masih ‘layu’ dan tak bermaya. Pastinya mereka masih belum bersarapan.

“OK...if you guys want to have breakfast, you may go now. But please make sure come back to class at 8:50...” Azlina memberikan arahan. Kesemuanya mengangguk dan mula bergerak keluar. Hanya tinggal beberapa orang pelajar yang masih menaip sesuatu di laptop masing-masing, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Azlina kembali duduk. Ditulis nota ringkas di atas kertas menggunakan pena hitam. Beberapa ketika berlalu, sebelum dia keluar dari kelasnya menuju ke tandas...

***

“HAI, lambat hari ni? Selalunya awal dari aku lagi...” Usik Zulkarnain sewaktu memarkir motosikal. Adli tersenyum simpul. Disangkutkan topi keledar ke cermin sisi motosikal sebelum menyisir rambutnya yang agak kusut.

“Biasalah...manusia tak semuanya sempurna, kan?” Balas Adli.

“Amboi, pagi-pagi dah bagi tazkirah?” Sindir Zulkarnain.

“Taklah...sekadar mengingatkan diri...kau pula, macam mana boleh datang awal ni?” Soalan Adli membuatkan Zulkarnain tersenyum. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Adli sudah dapat mengagak. Pastinya keluar awal bersarapan bersama Hannan lagi.

“Kalau dah sempurna semuanya, nikahlah terus! Kan senang...” Usik Adli.

“Ish, belum masanya lagi! Tak bersedia nak tamatkan zaman bujang...”

“Eleh, alasan! Aku bukannya baru sehari dua kenal kau. Dah lima tahun, Zul. Dah masak sangat dengan perangai kau. Kadang-kadang, kesian aku tengok si Hannan tu. Duk menunggu kau masuk meminang dia...” Adli memulang paku buah keras. Zulkarnain tertawa kecil. Dia mengusap bahu teman baiknya.

“Kau tu...bila lagi? Putus tunang dua kali tak bermakna gagal...” Ujar Zulkarnain.

“Siapalah nak pada aku ni? Dua kali ‘menduda’...” Balas Adli.

“Duda sebelum kahwin...!” Seloroh Zulkarnain sebelum kedua-duanya tertawa bersama. Mereka menapak menuju ke bangunan utama universiti. Kelihatan para mahasiswa dan mahasiswi UiTM mulai membanjiri kelas dan dewan kuliah. Hari Isnin dimulakan dengan penuh ceria dan senyuman. Disulami semangat dan kekuatan diri bagi memperkasakan ilmu dan mencari keagungan Allah, Pencipta Alam Semesta.

Zulkarnain meminta diri setibanya di laluan gajah menyusur. Dia mahu ke pejabat utama terlebih dahulu bagi menyelesaikan urusan. Adli menapak perlahan. Menyelusuri bangunan yang menempatkan kelas-kelas, Adli mulai terfikirkan gadis yang ditemuinya sebentar tadi. Jika difikirkan kembali, entah mengapa dia memberhentikan motosikalnya untuk menegur gadis itu. Entah apa yang merasuk hatinya untuk berbicara, padahal dia bukanlah peramah untuk berbual apatah lagi dengan perempuan yang tidak dikenalinya. Lirikan mata, cara gadis itu melontarkan kata-kata membuatkan dia kagum. Kekaguman apakah ini?

Belum sempat akalnya mentafsir, matanya memandang sekujur tubuh yang baru keluar dari tandas di hadapannya. Dia terhenti, begitu juga dengan gadis di hadapannya. Adli tergamam. Di belakang Azlina kelihatan beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi sedang memandang mereka berdua.

“Hey, it’s you again!” Terpacul keluar kata-kata itu dari bibirnya. Adli mengukir senyuman. Dia tidak membalas, tetapi melangkah dengan senyuman biasa. Azlina mengerutkan dahi. Tadi bukan main galak tegur aku, sekarang buat-buat tak tahu pulak? Sombong bukan main...menyampah! Ustaz apa macam tu???

“Jangan menilai seseorang dari luaran...!” Laung Adli dari jauh, seakan memahami. Azlina tergamam. Wajahnya terkejut besar. Lelaki itu seakan mengerti apa yang diucapkan di dalam hati!

Tercipta engkau dari rusuk lelaki

Bukan dari kaki untuk dialasi

Bukan dari kepala untuk dijunjung

Tapi dekat di bahu untuk dilindung

Dekat jua di hati untuk dikasihi

Engkaulah wanita hiasan duniawi...

###

Tuesday, October 13, 2009

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

SATU
Cinta amat mahal takrifannya.
Cinta hanya terungkap pada kata-kata,
namun gagal dilihat pada zahirnya,
kerana cinta itu tanggungjawab
di mana wujudnya kesetiaan
dan kejujuran di dalamnya.
INGAT pada Yang Satu,
JUJUR pada yang setia,
SETIA pada yang kasih,
KASIH pada yang rindu
dan RINDULAH pada
yang menyayangi...
“MASIH berfikir?” Persoalan umi bergema di gegendang telinganya. Hanya senyuman terukir di bibir, menggantikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Uminya mengusap lembut bahu. Sentuhan yang senantiasa menyegarkan jiwa dan memujuk sanubari. Secawan kopi dihidangkan di hadapan anak teruna.
“Nak cari yang terbaik bukan senang...kena jadi yang terbaik juga!” Umi bersuara lagi. Kali ini kelu di bibir sang teruna mencair laju, ingin menidakkan kenyataan uminya. Mata diangkat memandang wajah polos sang umi.

“Dah jadi yang terbaik pun, tak guna juga...” Dia membalas.

“Sebab?” Uminya menyoal kembali.
“Umi pun dah tahu, kan? Bila menjalin hubungan, selalunya Adli yang banyak berkorban, banyak khusnul dzon daripada suul dzon. Nah, lihatlah apa yang terjadi sekarang! Dah dua kali putus tunang saat nak melangsungkan perkahwinan...” Balas Adli sebelum cangkiran kopi pagi dihirup perlahan. Umi tersenyum. Benar, ujian Allah Taala amat berat buat anak lelaki sulungnya itu. Diuji dengan percaturan dua wanita yang awalannya memiliki kesantunan budi, namun sebenarnya menyembunyikan kesyaitanan diri.

Kelmarin menjadi saksi bagi segala-galanya. Aina Farieha, gadis kacukan Pattani-Kelantan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Adli namun segala-galanya musnah tatkala dikhabarkan bahawa dia sebenarnya sudah terlanjur dengan seorang lelaki. Perkahwinannya dengan Adli adalah untuk menutup penzinaan yang telah dilakukan gadis itu tiga bulan lepas. Buktinya, Aina Farieha kerapkali muntah pada awal perjumpaan mereka.

Adli tergamam saat bakal bapa mertua mengkhabarkannya. Lelaki tua itu tidak mahu lelaki sebaik Adli menjadi mangsa percaturan anaknya. Namun pemuda itu tidak cepat melatah. Dia mengerti rasa hati bakal mertuanya. Tiada sebarang jawapan mahupun kata-kata cacian terbit dari bibirnya. Dengan senyuman meleret, dia menapak keluar meninggalkan teratak besar milik gadis itu. Umi dan rombongan pengantin yang lain diperingatkan supaya tidak melakukan kekecohan.

“Umi hanya mampu menunjuk, Adli yang harus memilih...” Ucap umi, ringkas.
“Umi, Adli dah fed up dengan semua ni. Kalau umi nak carikan Adli pasangan, Adli terima sahaja. Adli penat mencari pasangan hidup mengikut pilihan sendiri. Semuanya tak menjadi!” Sang teruna meluahkan apa yang terbuku di jiwanya. Sudah tidak tertahan lagi. Diserahkan semuanya kepada yang lebih memahami.

“Betul?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan.
“Tak menyesal?” Soal umi lagi. Adli menggeleng pantas. Yakinnya dipasung seutuh mungkin ke dalam teras hati. Kopi dihirup hingga habis sebelum bersalaman dengan ibunya. Tugasannya telah sedia menanti. Umi bingkas bangun lalu menapak ke arah meja kecil di sudut kiri rumah. Dicapainya beg bimbit dan kunci motosikal untuk dihulurkan kepada Adli yang mengikutnya dari belakang.

“Balik awal atau lewat hari ni?” Umi menyoal sambil menyerahkan beg bimbit.
“Mungkin...kerja macam Adli ni tak tentu masa, umi...” Balas Adli.
“Orang lain pun kerja juga, tapi tak adalah macam kamu ni ha...dari pagi sampai petang, mengajar orang. Dua tiga malam sekali, main muzik di hotel. Umi rasa gaji yang kamu ada sekarang...”

“Umi...selagi boleh bekerja, Adli akan bekerja. Satu kepuasan tau bila main muzik ni. Lagipun, dapat juga lupakan masalah-masalah yang ada, kan?” Adli memotong pantas. Umi menghela nafas panjang. Sudah dijangkakan jawapannya. Kunci motosikal diberikan kepada anaknya.

“Jangan jadi Kassim Selamat sudahlah...” Seloroh uminya.
“Itu dulu...sekarang Kenny G la umi...” Balas Adli. Dia menapak ke muka pintu. Kasut kulit hitam dicapai dari rak kasut kayu kusam buatannya sendiri tujuh tahun dulu. Sewaktu di bangku persekolahan. Enjin motosikalnya dihidupkan. Mengaum, memecah keheningan pagi. Sepuluh minit berselang, pensyarah agama itu memecut Kawasaki VN-750nya menuju jalan utama...
***
AWAN mega berpuput lembut, meneduhkan sejenak umat manusia yang bertebaran di muka bumi. Sesekali angin bertiup, menyegarkan jasad yang dipanahi sinaran mentari. Ada kicauan beburung di balik rimbunan dedaunan, disulami hilai tawa sekumpulan anak muda yang berpakaian tidak tentu arah menari tarian shuffle.

Nun di bawah pohon sena, kelihatan seorang gadis sedang menantikan sesuatu. Sesekali dia melihat jam tangan, sedang wajahnya tampak resah. Beberapa buah buku dan fail dipegang pada kiri lengan. Terkadang kedengaran suaranya mengeluh, mengenangkan nasib dirinya yang agak malang hari itu.

Kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Pantas diangkatnya.

"I'm still waiting for the bus...my car broke down just now..." Ujarnya. Keluhan silih berganti, menggambarkan betapa marahnya empunya diri.

"I'll call you when I'm there..." Balasnya sebelum menamatkan perbualan. Telefon bimbitnya dimasukkan kembali ke dalam beg tangan. Matanya memandang ke jalanan, mengharapkan ada teksi atau bas yang bakal lalu di situ.Tidak sampai lima minit, sebuah motosikal berkuasa besar melalui jalanan yang agak sunyi itu. Kelihatannya mahu berhenti di tempat dia berdiri. Gadis itu mulai gusar. Bimbang kalau-kalau dirinya menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah manusia bernama lelaki.
“Assalamualaikum...” Sapa si lelaki.
“Waalaikummussalam...” Balas si gadis, ringkas.
“Student atau lecturer UiTM?” Soal lelaki itu sambil menunjukkan jarinya ke arah tanda nama si gadis.
“Lecturer...teaching English...” Balas si gadis, semakin selesa.
“Saya pun pensyarah juga. Tapi bahagian agama...” Balas Adli. Dikeluarkan tanda namanya dari saku seluar. Sang gadis terpinga-pinga. Dia melihat lelaki itu dari atas ke bawah. Berjaket jeans tanpa lengan, berseluar slack hitam, berkasut but kulit perang, berbaju kuning, dan bertali leher hitam, nyata sekali penampilannya tidak menggambarkan dia sebagai pensyarah agama!
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras rupa...” Seakan mengerti jelingan si gadis, Adli membalas perlahan. Pantas senyuman terukir di wajah gadis itu.
“Saya Adli...Saiful Adli...nama awak?” Soal Adli.
“Saya Azlina...call me Lina...” Balas Azlina.
“Oh, boleh berbahasa Melayu rupanya...ingatkan dah lupa...maklumlah...” Sindir Adli sambil tertawa kecil. Azlina mencekak pinggang. Dia mengetap bibir. Pantang sekali disindir sedemikian rupa.
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras muka, kan?” Balas Azlina.
“Ya...benar...Dah lama Lina tunggu di sini?” Soal Adli lagi.
“Ya...about 15 minutes ago...” Balas Azlina.
“Memanglah...kalau lagi tiga jam pun, takkan ada teksi atau bas yang lalu di sini.”
“May I know why?” Soal pensyarah wanita itu kembali.
“Sebab jalan ni dah tak digunakan...teksi dan bas hanya ambil penumpang di jalan hadapan. Penduduk taman perumahan ni buat aduan pada majlis perbandaran bulan lepas...jadi, kalau nak tunggu bas kena ke jalan utama ya...pergi dulu...nice to meet you...assalamualaikum..." Balas Adli sebelum menghidupkan enjin kembali. Hon dibunyikan sebelum motosikal besar itu berlalu pergi.