Wednesday, September 22, 2010

NOVEL BERSIRI: KETIKA IMAN MEMANGGIL


            Kehidupan tidak menjanjikan sesuatu yang mudah untuk mereka yang beriman dengan Tuhan. Kehidupan menyediakan ujian yang payah, hingga terkadang memaksa iman goyah di saat akhir. Adakalanya manusia mampu menangani ujian berbekalkan rahmat dan inayah Allah, namun terkadang manusia juga tewas dengan pautan nafsu yang memujuk rayu. Dunia adalah penjara bagi yang beriman dan syurga bagi yang kufur.
            Ammar mengerti semua itu.
            Ilmu agama yang mengalir dalam tubuhnya bukan sembarangan. Daripada tidak mengerti apa itu alif, ba, ta, dia kini menjadi salah satu rujukan di kalangan teman sebayanya. Bukan berniat mendabik dada, namun itulah hasil usaha kerasnya sendiri mencari ilmu agama.
            Agama tidak seperti harta pusaka, boleh diwarisi dan diperturunkan kepada warisnya. Agama sesuatu yang syumul dan hidup. Memilikinya harus dilakukan dengan titik peluh dan usaha kita sendiri. Pengharapan hanya pada Allah, bukan makhluk. Malah, usaha mempercepatkan pernikahan antara dia dan isterinya bukan kerana tuntutan nafsu, namun atas dasar agama jua.
            “Nah, ini senarainya...” Ujar Afiqah sambil menunjukkan sehelai kertas kumal kepada suaminya. Ammar melihat satu persatu dengan teliti. Senarai barangan dapur yang hendak dibeli di pasaraya sebentar lagi. Sengaja dia meminta isterinya menyenaraikan barangan dapur agar memudahkan urusan pembelian, sekaligus tidak membazir. Dengan bajet sebanyak RM200, rasanya cukup untuk mereka berdua makan selama dua-tiga minggu.
            “Betul banyak ini saja?” Soal Ammar lagi.
            “Betul, abi...umi dah kira semua...” Balas Afiqah sambil mendakap erat suaminya. Ammar tersenyum sambil mengusap lengan kiri isterinya. Disimpannya senarai barangan ke poket kiri sebelum meminta isterinya duduk di sebelah.
            “Kenapa, abi?” Soal Afiqah, hairan.
            “Kejap lagi, kita beli barang. Lepas tu, kita ke rumah imam. Abi ada hal sikit nak jumpa dia...umi ada nak ke mana-mana? Group discussion? Revision? Abi boleh hantarkan...” Soal Ammar sambil memegang erat jemari isterinya. Afiqah berfikir sejenak. Rasanya dia mahu bertemu dengan Syuhadah dan Hidayah di kolej. Agak lama mereka tak berjumpa. Kali terakhir sehari sebelum dia melangsungkan pernikahan dengan Ammar.
            “Nanti abi boleh tolong hantarkan ke kolej siswi? Nak jumpa Dayah dan Adah...” Pinta isterinya. Ammar mengangguk perlahan. Terukir senyuman di wajahnya.
            “Abi ni...asyik tersenyum aja...” Bisik Afiqah.
            “Eh, senyum pun salah?” Soal Ammar kembali.
            “Senyum tak salah...tapi...” Afiqah terhenti di situ sambil tersenyum simpul. Ammar mencubit manja hidung isterinya. Afiqah merengek manja sambil mengusap hidungnya.
            “Tapi apa, sayang...” Ammar bersuara manja. Romantis!
            “Tapi...senyuman abi tu membuatkan umi tak senang duduk...” Balas Afiqah, malu. Serentak Ammar tertawa kecil. Ke situ pulak perginya. Afiqah didakapnya dengan erat. Sang isteri tenggelam dalam kehangatan dakapan suaminya. Mata dipejam, lama...
            “Senyuman ni khas untuk umi seorang saja. Senyuman luar biasa!” Ujar Ammar.
            “Habis, kalau abi senyum pada orang lain?” Afiqah menyoal lagi.
            “Itu bukan senyuman luar biasa lah...hehe...” Balas Ammar. Afiqah mencubit lengan suaminya. Bergurau pulak! Lama mereka berdakapan, sebelum bicara terbit dari bibir Afiqah.
            “Berapa lama nak berpeluk macam ni, bi?” Soal Afiqah, separa bergurau.
            “Ya tak ya juga...nanti lambat nak ke pasaraya...jom!” Balas Ammar. Mereka bingkas bangun sebelum menutup kipas dan mengunci pintu belakang. Ammar mencapai kunci motosikalnya sebelum menapak keluar rumah.
            Tersergam sebuah motosikal Jaguh hitam yang terparkir elok. Ammar memeriksa tangki minyak. Masih banyak. Ditegakkan motosikal sebelum kunci diputar. Suis automatik dihidupkan. Maka bergemalah bunyi ngauman motosikal memecah kesunyian petang. Ekzos sporty yang dipasangkan pada motosikal menjadikan sesiapa sahaja yang mendengarnya mengetahui kehadiran Ammar.
“Abi, helmet kat mana?” Soal Afiqah dari dalam rumah.
            “Ada atas meja telefon!” Laung Ammar. Seketika kemudian Afiqah keluar dari pintu hadapan sambil membawa topi keledar. Ammar memerhatikan gelagat isterinya memakai sepatu berwarna merah jambu. Langit mega masih terang, menandakan hari masih baik dan tidak akan hujan. Afiqah melangkah ke arah suaminya sambil menggalas beg putih bertali merah jambu.
            “Dah ready, puan?” Seloroh Ammar.
            “Ya...bawa saya ke pasaraya dengan segera...” Afiqah membalas seloroh suaminya.
“Jangan lupa bawa beg duit, ya...hehe...” Ucap Ammar kembali.
“Ha’ah! Nasib baik abi ingatkan!” Ujar Afiqah sebelum meluru masuk kembali ke dalam rumah. Dia tertinggal dompetnya di atas meja solek di dalam bilik. Ammar menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Zaujah kesayangannya selalu mencuit hati.
“Kalau tak bawa dompet, alamat abi kena jadi pekerja pasaraya lah...nak bayar balik hutang..hehe...” Ujar Afiqah.
“Eh, kenapa abi pulak? Umi lah jadi pekerja...umi yang beli barang, kan? Hehe...” Balas Ammar. Pantas Afiqah mencubit lengannya. Ammar mengeluh sakit. Mereka berdua tertawa bersama sebelum menaiki motosikal. Ammar menunggang motosikal dengan cermat keluar dari halaman rumah.