Wednesday, May 19, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

TIGA PULUH (AKHIR)


Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang


Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang


Luahkan isi hati andainya sudah ditakdir


Tadi subuh yang terakhir...


-Subuh Yang Terakhir_Rabbani-

Adli terbaring lesu. Di tangan kanannya terselit beberapa tiub. Di dadanya terpasang pelbagai wayar halus. Topeng oksigen ditekup ke mulutnya. Kedengaran nafasnya yang semakin lemah menyedut udara. Di kanannya terpasang monitor yang berfungsi mengesan degupan jantung. Lemah. Beberapa orang jururawat dan doktor pakar berada di sekeliling katil.

“It’s too bad...too late...” Ujar salah seorang dari tiga doktor pakar itu.

Tumor di medula oblongata Encik Adli semakin melarat. Sudah merosakkan sebahagian otak dan saraf tunjang. Peratusannya untuk hidup...20%...We’re very sorry, madam...” Jelas doktor pakar yang seorang lagi saat ditanyakan kepadanya. Aufa Liyana dan Azlina tergamam. Mereka duduk dengan wajah terperanjat.

“Kalau penyakit ini diketahui lebih awal, pasti kami dah jalankan pembedahan. Namun, maafkan kami puan. Mungkin ini dah ditakdirkan Tuhan. Kita hanya mampu berserah...can you please excuse us...” Ujar ketua doktor sebelum mereka bertiga menapak meninggalkan Aufa dan Azlina.

“Ujian apakah ini, Lina...?” Soal Aufa Liyana. Mereka memandang wajah suami mereka yang sedang tenat bertarung dengan maut. Pucat lesi wajah Adli.

“Entahlah...Lina tak percaya, Aufa...” Balas Azlina. Mereka memegang erat jemari Adli yang masih kritikal. Air mata bercurahan menangisi dugaan Allah yang paling dahsyat dalam hidup mereka. Adli bakal pergi menghadap Allah Azzawajalla!

“Baru semalam Adli melafazkan akad nikah, pagi ini Adli sudah tenat sebegini...alangkah pilunya hati!” Bicara Aufa Liyana tersekat. Sudah tidak tertahan lagi untuk berbicara. Tangisan menggantikan bicaranya. Kelihatan umi dan ahli keluarga yang lain melangkah masuk. Mereka cuba menenangkan kedua-dua isteri Adli.

“Tak adil, umi...ini semua tak adil untuk kami!” Azlina meraung.

“Allah lebih sayangkan dia...sabar, nak...” Pujuk umi. Diusapnya wajah kedua-dua menantu sambil memujuk mereka untuk bertenang. Zulkarnain, sahabat baik Adli turut hadir bersama isterinya Hannan. Sayu wajahnya memandang Adli yang belum sedarkan diri. Pilu rasanya melihat wayar-wayar dan tiub yang berselirat di segenap tubuh sahabat baiknya. Terbayang di fikiran senyuman, gelak tawa, gurauan mesra seorang teman bernama Adli. Kini, pemuda itu dikhabarkan bakal pergi meninggalkan alam fana ini.

“Bersabarlah...kita doakan yang terbaik untuk Adli...” Bisik umi. Azlina dan Aufa masih menangisi penderitaan Adli.

Bila berdekatan kadangnya makin kita leka


Bila berjauhan barulah merindu di dada


Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih


Andai esok takkan hadir...

Jemari Adli bergerak tiba-tiba. Denyutan jantungnya di monitor beransur pulih. Matanya terbuka sedikit, sebelum diperhatikan sekeliling. Senyuman dilontarkan. Tampak lemah.

“Ramainya...Zul pun ada sekali...dah lama tak jumpa...” Bisik Adli, lemah.

“Apa khabar sahabatku...?” Ujar Zulkarnain sebelum menggenggam jemari Adli. Air matanya tumpah melihatkan Adli yang semakin lemah.

“Aku baik-baik saja...kau dengan Hannan macam mana? Dah berapa anak?” Soal Adli dengan nada bergurau. Zulkarnain tersenyum pahit. Dia memandang isterinya sebelum memandang kembali Adli.

“Baru seorang...insya-Allah akhir tahun ni lahir. Aku nak namakannya Saiful Adli, sempena nama kau...” Balas Zulkarnain. Adli tertawa lemah. Dia tersenyum memandang sahabatnya.

Jika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa


Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan


Dirimu namun di hati mampukah dilupakan


Taburlah kemaafan jangan sebelum nyawa...dipulangkan

“Lebih baik jangan, Zul...takut nanti dia ‘pergi’ macam aku juga...” Seloroh Adli. Zulkarnain menangis mendengarkan kata-kata sahabatnya. Kematian semakin hampir menjemput, dia masih mampu bergurau sebegitu rupa.

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi


Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi


Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir


Andai esok takkan hadir...

“Umi...” Adli memanggil uminya dengan lembut. Pantas umi mendatanginya. Diusap wajah anak teruna kesayangannya dengan penuh kasih sayang. Nafas Adli lemah seketika, sebelum dikucupnya dahi dan pipi uminya. Terharu sang bonda, sedang air matanya menitis perlahan.

“Andai Adli dah tak ada...mohon maaf daripada umi...kalau Adli pernah...menyakiti hati umi...” Bisik Adli, lemah. Uminya mengangguk perlahan sambil menahan tangisan. Ya Allah, ibu manakah yang sanggup melihat anak yang dikandungnya sembilan bulan bakal meninggalkan alam fana ini???

Lihatlah saja isterimu berkorban sepenuh nyawa


Demi menjamin kebahagiaan anak dan suami tercinta


Buktikanlah padanya pilihan jodohmu tepat


Sebelum semua terlewat...

“Di mana Azlina...Aufa?...” Adli memanggil lembut. Kedua-duanya menyahut sambil mendatangi Adli. Mereka menggenggam kedua belah tangan Adli. Tersenyum sang suami.

“Maafkan abi andai abi pernah buat salah pada umi...” Bisik Adli kepada Azlina.

“Umi maafkan abi...umi juga minta maaf kalau pernah buat abi sedih...” Ujar Azlina. Adli tertawa lemah. Diusapnya pipi Azlina dengan lembut.

“Dulu umi masuk wad, sekarang giliran abi pulak...hehe...” Adli cuba berseloroh. Azlina mulai menangis teresak-esak. Dia segera mendakap suaminya. Saiful Adli tersenyum. Dia memandang Aufa Liyana, isteri kedua yang baru sahaja dinikahinya.

“Aufa....maafkan andai ada salah, ya...” Ucap Adli kepada Aufa Liyana pula.

“Aufa dah lama maafkan, abang...maafkan Aufa kalau ada salah juga...” Aufa Liyana membalas sebelum mengucup dahi suaminya.

“Pernikahan kita hanya untuk semalaman...maaf...tak sempat nak berbual panjang...” Adli membalas lagi. Bercucuran air mata sang isteri mendengarnya. Dia menyeka air mata yang jatuh berlinangan. Adli memandang semua yang hadir. Seakan mengerti ajalnya sudah tiba, Adli memohon maaf kepada semua. Nafasnya tercungap lemah. Sayu matanya memandang semuanya.

“Maafkan Adli sebab tak beritahu penyakit yang sebenar...abi sayang umi...abang sayang Aufa...Adli sayang kesemuanya...Adli nak tidur sekejap...kepala rasa pening...” Ucap Adli sebelum mata dipejam perlahan. Mengertilah semua yang hadir. Ajalnya semakin hampir. Mereka menahan sebak dan tangisan. Monitor memaparkan degupan jantung yang semakin lama semakin lemah. Seketika kemudian, jasad Adli tidak bergerak lagi. Kesemua yang hadir menangisi pemergian seorang insan bernama Saiful Adli. Aufa dan Azlina berpelukan sesama sendiri sebelum menangis teresak-esak. Umi mendatangi jenazah Adli sebelum menutupinya dengan selimut. Selamat pulang anakku. Moga kau aman bersama orang-orang yang soleh di sana...

Lafazkan rasa cinta...


Andainya sudah ditakdir...


Tadi subuh...yang terakhir...

* * *

    Pagi itu, suasananya nyaman sekali. Beburung menyanyi riang. Angin berpuput lembut. Mentari tidak memancar terik seperti selalu. Azlina menghabiskan bacaan Yaasinnya sebelum mengucup naskah surah. Disiraminya air mawar ke atas kuburan suami. Lama dia merenung tanah yang masih merah. Sudah hampir seminggu Adli selamat dikebumikan.

  “Abi...umi dah mengandung lima minggu. Umi baru tahu semalam. Umi janji akan didik anak kita dengan baik. Jadikan dia anak yang soleh, taat pada Allah dan Rasul-Nya, sama macam abi...umi pergi dulu. Sekejap lagi, Aufa akan datang untuk gantikan tempat umi...Aufa pun ada tanda-tanda mahu hamil. Kami dah serasi bersama. Sudah berjanji tak akan bernikah dengan orang lain lagi. Cukuplah abi sebagai suami kami...pergi dulu, abi...Assalamualaikum...” Ujar Azlina sebelum mengusap nisan batu yang tertulis nama suaminya.

Saiful Adli bin Abdullah Fahim


18 May 2010


Al-Fatihah

         Kelihatan kelibat Aufa Liyana sudah sampai di pagar tanah perkuburan. Azlina melangkah perlahan menuju kepada Aufa. Mereka bersalaman sebelum berbicara sesuatu. Seketika kemudian, Aufa Liyana menapak ke tanah perkuburan sedang Azlina menapak pulang.

        Mereka berdua sudah berjanji mahu membacakan Yaasin dan menziarahi kuburan Adli setiap hari bergilir-gilir. Bukan kerana tidak dapat menerima kehilangan suami tercinta, namun kerana kasih dan cinta yang amat mendalam. Pengorbanan yang dilalui Adli sukar untuk dilupakan. Ilmu dan kasih sayangnya sebagai seorang suami, teman, sahabat, semuanya dicerap dengan baik oleh kedua-duanya. Allah mentakdirkan mereka menjadi isteri Saiful Adli waima seketika. Moga Allah mengampuni dosanya dan meletakkannya dalam kalangan orang yang soleh...amin...

“Cinta tak semestinya memiliki, kasih tak sejujurnya menyayangi,


Rabbul Izzati cinta abadi...”



***TAMAT***



Tamat pada tarikh 18 mei 2010 (Selasa), jam 12:30 pagi. Alhamdulillah.

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH SEMBILAN


Wajahmu...seindah serinya pelangi nan indah


Seharum mawar putih segar berkembang


Wajahmu...mengapa sering terbayang di mataku


Sehingga terbawa di dalam mimpiku...


Sayangku...tahukah kau di dalam hatiku ini


Tersimpan perasaan cinta nan suci


Kau bunga...ingin ku suntingmu menjadi milikku


Lantas kuabadikan dalam jiwaku...-Adam Ahmad_Kau Pergi Jua-

Adli melihat jam di tangan. Sudah hampir sejam isterinya dimasukkan ke wad kecemasan. Uminya, ibu dan ayah mentuanya sugul memandang lantai. Entah apa nasib Azlina, mereka sendiri kurang pasti. Hanya doa sebagai bekalan, moga-moga Allah mempermudahkan segala-galanya.

“Umi, Adli nak solat hajat dulu...” Bisik Adli kepada uminya. Perlahan-lahan wanita separuh abad itu mengangguk. Adli melangkah meninggalkan ruang kecemasan. Dia menapak ke arah surau yang berdekatan. Pili air dipulas perlahan-lahan. Dicuci tangannya yang berlumuran dengan darah Azlina. Usai dibersihkan, wuduk diambil dengan tenang.

Sejadah dibentangkan. Takbiratul ihram diangkat perlahan-lahan. Dikumpul segenap ketenangan agar hadir dalam hatinya. Kali ini, munajatnya hanya untuk Allah agar dipermudahkan segala-galanya. Sujud terakhirnya lama. Cukup lama. Hatinya merintih, merayu kepada Allah. Air matanya berlinangan membasahi pipi.

Ya Allah, kau ampunkanlah segala dosaku, dosa isteriku, dosa ibu bapaku, dosa ibu dan bapa mentuaku, dosa sahabat-sahabatku, dosa para guruku, dosa keturunan sebelumku dan selepasku. Ya Allah, aku mohon dengan kudrat dan iradat-Mu. Kau selamatkanlah zaujahku dari marabahaya. Kau selamatkanlah jasadnya, selamatkanlah dia dari kesakitan yang telah ditakdirkan untuknya, ya Allah. Aku tak sanggup melihatnya derita, ya Allah. Andai perlu, kau pindahkanlah azab dan sengsaranya kepadaku. Aku rela menanggungnya, ya Allah! Aku rela! Sesungguhnya tiada tempat untukku bermohon pertolongan melainkan daripada-Mu sahaja, ya Allah. Bantulah aku! Makbulkanlah permintaanku ini. Sempurnakanlah cinta dan kasih sayang kami. Berilah kami kebahagiaan, ya Allah...

Hatinya merintih sayu. Usai bermunajat di dalam hati, dihabiskan solat hajatnya dengan tenang. Esakan dan linangan air mata membasahi pipinya. Tangisan seorang suami yang benar-benar mencintai zaujah hatinya. Doa dipanjatkan. Lama. Adli merintih, merayu dan terus merayu kepada Allah.

Kenangan bersama isterinya terpalit satu persatu di dalam kotak memorinya. Makin lama, air matanya makin hebat bercurahan.

“Adli!” Kedengaran suara bapa mentuanya memanggil usai Adli berdoa. Pemuda itu berpaling perlahan.

“Lina dah selamat!” Ujar bapa mentuanya. Alangkah berbunganya hati Adli mendengar khabar berita dari bapa mentuanya.

“Subhanallah! Alhamdulillah!” Pantas dia sujud memuji kemuliaan dan kebesaran Ilahi sebelum menapak bersama bapa mentuanya menuju ke wad di mana Azlina ditempatkan. Kelihatan umi dan ibu mentuanya sedang menemani Azlina yang sudah sedar. Adli duduk di sisi isterinya. Umi, ibu dan bapa mentuanya menapak ke luar wad.

“Umi...O.K. tak sekarang?” Soal Adli sambil mengucup dahi isterinya.

“Umi O.K, abi...Cuma rasa lemah sikit...kenapa mata abi merah ni? Abi menangis lagi, ya? So sweet...” Usik Azlina sambil mengusap pipi suaminya dengan lemah. Adli tertawa kecil sebelum menggenggam erat jemari isterinya.

“Jangan buat macam tu lagi, tau...abi tak nak kehilangan umi...” Ucap Adli. Air matanya gugur kembali. Azlina tertawa kecil. Dia mencuibt pipi suaminya dengan lembut.

“Manja...” Bisik Azlina sambil mengusap wajah suaminya. Adli tersenyum dalam tangisan. Dia benar-benar bersyukur dengan apa yang telah Allah anugerahkan. Akhirnya doanya dikabulkan Allah dengan serta-merta.

“Ezmir macam mana?” Soal Azlina tiba-tiba.

“Entah...abi pun tak tahu. Lepas saja dia tembak umi, abi pukul leher dia. Jatuh. Dada terkena kayu tajam yang tertanam dalam pasir. Lepas tu, abi terus bawa umi ke hospital. Tak tahulah apa nasib dia. Gila betul! Kerana Aufa Liyana, dia sanggup jadi psiko macam tu!” Jelas Adli.

“Tu...dah pun sampai...” Ujar Azlina tiba-tiba.

“Siapa? Ezmir???” Soal Adli kembali. Wajahnya bertukar cemas. Azlina menunjukkan kepadanya pintu wad. Kelihatan kelibat Aufa Liyana berdiri menghadap mereka berdua. Senyuman diberikan dengan penuh sempurna.

“Boleh Aufa masuk?” Soal Aufa Liyana, perlahan.

“Silakan...” Azlina menjawab lemah. Adli memandang kembali isterinya. Aufa Liyana menapak menuju ke katil. Dia duduk di kerusi sementelah Adli sudah duduk bersebelahan dengan Azlina.

“Lina macam mana? Dah O.K?” Soal Aufa Liyana sambil bersalaman dengan Azlina. Azlina mengangguk perlahan.

“Dah O.K...Cuma lemah sikit...biasalah...” Balas Azlina.

“Alhamdulillah...syukurlah...” Ujar Aufa Liyana.

“Macam mana awak tahu Lina ada di sini?” Soal Adli. Aufa Liyana memandangnya namun pantas Adli berpaling memandang Azlina.

“Umi abang yang telefon Aufa...” Balas Aufa Liyana. Adli mengangguk perlahan. Perkataan ‘abang’ masih belum dapat dikikis Aufa Liyana membuktikan kebenaran kata-kata Ezmir. Aufa Liyana masih setia dengan cintanya kepada Adli. Azlina memandang suaminya dengan pandangan mengharap. Adli mengerutkan wajah. Kenapa pula dengan Azlina ni?

“Abi...umi nak minta abi tunaikan permintaan umi...please...I’m begging you...” Ujar Azlina tiba-tiba. Adli menghela nafas panjang. Waima kematian baru sahaja bertandang sebentar tadi, dia masih mahukan permintaannya ditunaikan? Aufa Liyana memandang mereka berdua. Permintaan apa pulak ni?

“Actually, I want to offer you something, Aufa Liyana...” Ujar Azlina. Adli cuba menghalang namun isterinya tetap berkeras mahu menjodohkannya dengan Aufa Liyana jua. Aufa Liyana kebingungan. Tawaran apa pulak ni? Tiba-tiba aja?

“Would you marry him?” Soal Azlina. Terkejut bukan kepalang Aufa Liyana mendengarnya. Kegilaan apakah ini? Sang sietri mahu menjodohkan suaminya dengan orang lain tiba-tiba?

“Kahwin? Apa yang Lina cakapkan ni? Aufa tak faham...” Ujar Aufa Liyana. Azlina tersenyum lemah. Dia memegang jemari Aufa Liyana sambil bertutur sesuatu;

“Izinkan Lina berkongsi kasih dengan Aufa. Aufa dah banyak berkorban cinta untuk Adli. Lina nak juga berkorban untuk kebahagiaan bersama. Tak salah, kan?” Jelas Azlina. Dia menyatukan tangan Adli dan Aufa Liyana. Pantas Adli merentap tangannya. Azlina dan Aufa Liyana terkejut. Wajah sang pemuda berubah menjadi muram.

“Kenapa, abi?” Soal Azlina.

“Apa semua ni, umi?” Adli menyoal garang.

“Umi buat semua ni untuk kebahagiaan bersama...salahkah?” Azlina membalas.

“Pengorbanan bukan dengan cara macam ni! Abi tetap tak setuju!” Tegas Adli.

“Habis tu? Macam mana umi nak berkorban lagi? Umi tahu abi masih cintakan Aufa Liyana. Cinta tak salah, abi. Abi berhak. Umi tahu umi cinta terakhir abi tapi Aufa masih cinta pertama abi. Masih ada ruang untuk Aufa Liyana dalam hati abi. Ikatan pernikahan kita masih utuh. Cuma umi mahu bahagia bersama abi, bersama Aufa Liyana. Salahkah permintaan umi ini, abi? Tolonglah...ini saja permintaan umi...” Azlina merayu perlahan. Berat rasa hati Adli. Apakah ini muslimah atau bidadari syurgawi? Mana mungkin seorang isteri mahu bermadu dan bahagia bersama cinta pertama suaminya? Adli mengusap wajah isterinya. Keluhan panjang diberikan sebelum bicaranya ditutur kembali.

“Baiklah...abi akan tunaikan...tapi kena tunggu tempoh iddah Aufa Liyana habis dahulu. Lagipun, umi baru sahaja pulih, kan?” Balas Adli dengan berat sekali. Azlina tersenyum manja. Hatinya lega mendengar penjelasan Adli. Terlepas sudah bebanan di hatinya saat Adli melafazkan keputusan untuk menikahi Aufa Liyana...

* * *

Sudah empat bulan Azlina keluar dari wad. Dalam masa itu jualah berlangsungnya majlis pernikahan Adli. Pagi itu, merupakan pagi pertama buat Aufa Liyana, Adli dan Azlina. Mereka menunaikan solat Subuh bersama-sama. Tiada pergaduhan, rasa tidak puas hati. Semuanya dilalui dengan tenang.

Takbiratul ihram diangkat perlahan. Permulaan surah Al-Fatihah dibacakan Adli dengan nada sayu. Setelah itu, dibacakan surah Yusuf dengan tenang. Namun, entah mengapa surah As-Yusuf yang dibacakan Adli tersekat-sekat di pertengahannya. Kedengarannya seperti menangis. Belum sempat bacaan dihabiskan, Adli terus rukuk dan menghabiskan solat. Azlina kurang mengerti. Ada sesuatu yang mengganggu pemikiran suaminya pagi itu.

Usai menunaikan solat, Adli menekup kepala. Wajahnya berkerut, menahan kesakitan di belakang kepala. Spontan dia rebah dalam dakapan isterinya. Azlina dan Aufa Liyana menjerit sekuat hati, hingga umi tersedar. Segera mereka bertiga mengangkat Adli yang pengsan tiba-tiba. Segala-galanya bertukar cemas. Air direnjis namun Adli masih tidak bergerak.

“Bawa ke hospital!” Ujar umi. Azlina mengangguk pantas. Dia segera mencapai kunci kereta. Adli dipapah berdua bersama dengan Aufa Liyana menuju ke kereta. Hati Azlina tidak henti-henti berdoa semoga suaminya selamat. Aufa Liyana memangku kepala Adli yang mengerang kesakitan tiba-tiba usai pengsan sebentar. Kereta dipacu laju menuju ke hospital berdekatan.

“Allah....Allah....Allah...” Bibir sang suami tidak henti-henti menyebut nama Allah. Azlina dan Aufa Liyana mulai menangis...

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH LAPAN

Bercinta sudah lama


Berkasih dan bermesra


Sedang enak membuai rasa


Perpisahan tercipta


Mengapa sementara


Cerahnya cinta kita


Mendung tiba tiadaku pinta


Gelapnya suasana -Khatijah Ibrahim_Ku Pendam Sebuah Duka-

Adli memerhatikan samudera yang terbentang luas. Kelihatan Azlina sedang menapak perlahan di gigi air, tidak jauh darinya. Isterinya kelihatan riang. Sesekali dia melambai ke arah Adli. Pantas dibalas lambaian berserta senyuman, sedang fikirannya menerawang mengenangkan permintaan Azlina malam semalam. Permintaan untuk menikahi Aufa Liyana.

Suami mana yang sanggup menduakan isterinya?

Isteri mana yang sanggup bermadu dengan cinta pertama suaminya?

Persoalan demi persoalan bermain di pemikiran pemuda itu. Mahu sahaja ditolak, namun Azlina beria-ia mahukan permintaannya ditunaikan. Adli menguis pasiran pantai. Sesekali dia mengeluh, mengenangkan permintaan berat sang isteri.

“Abi...jomlah!” Laung Azlina dari kejauhan. Adli melambai tangan sebelum menapak ke arah isterinya. Mereka berpegangan tangan sebelum menapak di sepanjang gigi air.

“Abi fikir apa tadi?” Soal Azlina.

“Tak ada apa-apa...” Balas Adli, tersenyum.

“Tak baik tipu isteri...haa...nanti tidur luar baru tahu!” Usik Azlina. Adli tertawa kecil. Dia mengusap wajah isterinya. Azlina membiarkan sahaja. Sejak akhir-akhir ini, kelakuan suaminya sedikit menghairankan. Adli yang dikenalinya sebelum bernikah berlainan selepasnya. Romantis, prihatin, banyak membantunya dalam melakukan kerja-kerja rumah. Terbit kerisauan di hati namun dibiarkan sahaja. Mungkin dia berubah kerana memikul tanggungjawab utama sebagai ketua keluarga.

“Kalau abi tak tunaikan permintaan umi, boleh tak?” Soal Adli, tiba-tiba. Wajahnya berubah muram. Azlina memandang suaminya. Adakah perkara itu yang menjadikan suaminya termangu entah mengapa?

“Kenapa?” Azlina menyoal kembali.

“Poligami sangat sukar...secara teorinya abi sokong sebab itu sunnah Nabi Muhammad S.A.W...tapi secara praktikalnya, abi tak sanggup...” Jelas Adli.

“Tapi dia kan cinta pertama abi...?” Soal Azlina lagi.

“Tapi umi cinta terakhir abi...” Adli membalas lembut. Terharu Azlina mendengarnya. Betapa tulus hati sang arjuna menyintai insan sepertinya walaupun dia berhak mendapat insan yang sama padan dan lebih baik daripada dirinya. Azlina merangkul erat dada suaminya. Mereka berjalan perlahan menyusuri pesisir pantai.

“Abi minta maaf kalau abi tak sempurna. Memang Aufa cinta pertama abi, tapi abi tak mungkin bersama dengan dia. Abi dah ada cinta terakhir abi iaitu umi. Kalaulah ajal abi...” Pantas Azlina menekup jari telunjuknya ke bibir Adli. Terhenti bicara sang suami.

“Umi tak nak dengar lagi abi cakap macam tu...” Ujar Azlina.

“Setiap makhluk yang bernyawa akan mati...dan abi juga tak terlepas daripada itu...umi kena faham...” Balas Adli. Azlina menggelengkan kepala.

“Memang kita akan mati...tapi adakah kematian itu membataskan kehidupan kita? Menghalang kita melakukan apa saja yang kita inginkan dalam hidup? Abi nak biarkan perasaan kematian itu menyelubungi hidup abi? Come on...don’t make such a silly joke like that, abi...” Azlina memberikan buah fikiran. Adli terdiam mendengarnya. Mereka duduk bersama menghadap samudera. Azlina memandang suaminya sedang Adli merenung jauh ke laut luas.

Tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi pipi. Adli menangis di hadapan isterinya. Terkesima Azlina melihat kelakuan Adli. Hatinya sebak. Didakapnya Adli dengan erat.

“Kalaulah orang tahu betapa nikmatnya perkahwinan, mesti mereka akan segera bernikah. Mempunyai anak yang soleh dan solehah, mempunyai isteri yang memahami, abi harap semua tu abi dapat tengok sebelum nafas abi yang terakhir...” Ujar Adli. Azlina tersenyum manis. Dicubit hidung suaminya sebelum berjanji sesuatu.

“Insya-Allah...umi janji, andai abi dah ‘pergi’ sekalipun, umi tak akan sia-siakan anak kita, akan didik dia orang dengan didikan agama yang sempurna, macam abi dia orang jugak! Hehe...” Azlina mengusik manja. Adli mengesat air matanya. Alahai, malunya menangis di hadapan isteri! Egonya runtuh serta-merta.

“Abi nak minum air kelapa tak?” Soal Azlina tatkala terlihat sebuah gerai menjual minuman tidak jauh dari tempat mereka bersiar-siar. Adli mengangguk perlahan. Perlahan-lahan Azlina menapak menuju ke gerai tersebut. Adli menghantarnya dengan sorotan mata. Seketika kemudian, pandangannya dihadapkan semula ke samudera luas. Dia menyaksikan segala keajaiban ciptaan Allah dengan tenang.

“Alam selepas pekahwinan amat menyeronokkan, betul tak?” Ujar satu suara dari belakang. Adli tersentak. Ketenangannya direnggut serta-merta. Dia segera berpaling. Alangkah terkejutnya Adli melihat sekujur tubuh yang terpacak di belakangnya.

Ezmir!

“Menikmati keindahan pantai bersama isteri tersayang memang impian setiap suami...termasuk juga aku. Oh, hampir terlupa...aku sudah tidak mempunyai isteri...” Ujar Ezmir lagi. Kali ini, dia melangkah bersebelahan Adli.

“Apa yang kau nak dari aku?” Soal Adli, garang. Ezmir tertawa kecil.

“Kau ni...cuba bawa bertenang...jangan dirosakkan mood petang ni dengan perasaan marah atau dendam kau padaku, Adli. Aku datang dengan cara baik. Kebetulan bertandang ke mari. Aku terperasan kau berehat di sini. Jadi, aku rasa tak salah kalau aku temani kau sementelah isteri tercinta membeli air minuman, kan?” Ujar Ezmir sambil tersenyum sinis. Adli semakin berhati-hati. Insan seperti Ezmir bukan calang-calang orang. Ezmir menggeliat perlahan. Keluhan kedengaran dari bibirnya.

“Kau puas dengan apa yang kau dapat sekarang?” Soal Ezmir.

“Apa maksud kau ‘puas’?” Soal Adli kembali. Ezmir tertawa terbahak-bahak.

“Nak berdrama pulak petang-petang macam ni...hey, come onlah! Kau dah dapat Aufa dan Azlina, bukan?” Sindir Ezmir lagi. Dia menepuk bahu Adli namun pantas sahaja sang pemuda menepis. Ezmir sedikit terkesan namun masih mampu tersenyum memandang Adli yang sedang menahan rasa amarah.

“Kau menipu Aufa Liyana...aku hanya menegakkan keadilan. Suami jenis apa kau ini? Mendera isteri sampai luka-luka? Apabila malam kau tiduri dia...?”

“Ooo...bab tidur tu tak benar...aku tak pernah sekatil dengan dia sejak malam pertama! Kau faham!” Ezmir cuba membela. Dia memandang wajah Adli dengan penuh rasa benci. Adli memandangnya dengan tajam.

“Disebabkan kau, Adli...rumahtangga aku hancur! Disebabkan cinta bodoh kau, aku berpisah dengan Aufa Liyana! Disebabkan janji kau pada Aufa, pertemuan kau dengan Aufa, semuanya salah kau! Aku tak pernah bermusuhan dengan kau, kenapa kau buat aku macam ni?” Bentak Ezmir. Direnggut kolar baju Adli dengan kasar. Tangan kirinya menyeluk saku, ingin mengeluarkan senjata api yang dikendongnya dari tadi. Adli membiarkan sahaja. Kekasaran tak harus dibalas dengan kasar. Masih boleh dilenturkan dengan kelembutan.

“Aku nak tanya satu soalan pada kau, Ezmir...” Ucap Adli.

“Kau nak tanya apa lagi? Semuanya dah musnah!” Balas Ezmir.

“Andai aku sambung kembali tali pernikahan kau dengan Aufa, mahukah kau membuang segala hasad dengki dan dendam kau pada aku?” Adli membuat pertaruhan. Ezmir terkesima. Lensa matanya tajam memandang Adli.

“Aku nak satukan kembali kau dan Aufa. Aku bahagia bersama dengan Azlina sekarang. Kalau boleh, aku tak mahu orang bermusuhan denganku. Kenapa kita sesama Muslim nak bermusuhan kerana cinta seorang wanita?” Adli memberikan buah fikiran. Ezmir membisu lama. Matanya terkebil-kebil memandang Adli.

“Kau nak satukan aku dengan Aufa? Haha...” Ezmir tertawa besar sambil menggelengkan kepalanya. Adli kehairanan. Apa yang kelakarnya?

“Kau nak jadi malaikat, ya? Nak jadi mulia di sisi Tuhan?” Soal Ezmir lagi.

“Aku nak jernihkan keadaan...tak ada niat nak jadi malaikat...” Balas Adli.

“Kau diam! Jangan cakap sepatah apa pun! Aku tak nak dengar omongan kau lagi! Bangsat! Kau biarkan aku terseksa selama beberapa tahun, menanggung kesal dan kecewa kerana isteri sendiri, dan setelah kau musnahkan segalanya kau nak sambungkan balik? Kau ingat aku ni apa? Bodoh? Tunggul?” Bentak Ezmir. Kali ini, pistol diacukan ke kepala Adli. Peluh mulai menitik di dahinya. Dia sudah tidak mampu menahan amarah lagi. Jiwanya sudah dirasuk! Mahu saja diledakkan peluru ke kepala Adli serta-merta!

“Aku nak jernihkan keadaan...” Ujar Adli.

“Kau diam!!!” Ezmir bertempik. Beberapa pengunjung yang hadir lari lintang-pukang bila mana melihat pistol di tangan Ezmir. Azlina yang sedang menapak kembali terkejut besar melihat suaminya diacukan pistol. Dia segera berlari ke arah Adli namun terhenti saat digertak Ezmir.

“Abi...!” Jerit Azlina.

“Kau jangan datang dekat! Aku bunuh suami kau nanti!” Pekik Ezmir.

“Apa lagi yang kau nak dari kami, Ezmir?” Soal Azlina sambil berlinangan air mata. Ezmir tertawa besar. Dirinya sudah tidak terkawal lagi. Matanya merah menggila, menampakkan betapa mindanya sudah tidak mampu dikawal. Amarahnya meluap-luap!

“Aku akan puas kalau si bedebah ni mati!” Pekik Ezmir sebelum menarik picu pistol. Adli mulai cemas. Dadanya berombak kencang. Nyawanya kini di hujung tanduk!

Azlina menjerit meminta tolong. Melihatkan keadaan itu, Ezmir melepaskan satu das tembakan ke arah Azlina.

Bam!

Azlina tersungkur di atas pasiran. Darah merah mengalir laju membasahi pasir putih. Adli bertempik lantas memukul belakang leher Ezmir. Pemuda itu terjatuh sebelum dadanya tertusuk kayu pantai yang tertanam di dalam pasir. Tepat mengenai jantungnya. Terbeliak mata Ezmir. Pistol terlepas dari tangannya serta-merta. Adli berlari mendapatkan isterinya yang sedang menahan kesakitan.

“Umi...sabar...jangan banyak bergerak...” Pujuk Adli. Air matanya berlinangan.

“Abi...sakitnya...” Azlina menekap luka di bahu. Adli segera mendakap isterinya. Dengan kudrat yang ada, dia mengangkat tubuh Azlina sebelum berlari ke arah kereta. Beberapa orang pemuda bersama dua pegawai polis mendatanginya sebelum diminta menguruskan Ezmir yang sedang nazak. Adli berhempas pulas menyelamatkan isterinya. Enjin kereta dihidupkan, sebelum dipacu menuju ke hospital berdekatan.

“Sakit...abi...” Keluh Azlina. Nafasnya semakin lemah.

“Sabar...umi istighfar banyak-banyak! Ingat Allah!” Pujuk Adli lagi. kereta dipacu semakin laju meluncur jalanan. Darah semakin banyak membasahi baju Azlina. Matanya terkadang terpejam, terkadang celik menahan keperitan yang amat sangat. Adli berdoa di dalam hati semoga diselamatkan isterinya. Air matanya berlinangan melihat sang isteri menanggung sengsara yang teramat sangat...

Berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan...