Saturday, May 8, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH ENAM
Ketika hilang segala yang nyala
Kau hadir dengan pelita hati
Simpuhmu melangkah kesopanan
Tiada bicara dapat dilafazkan...
Pulangku kau sambut dengan senyuman
Pemergianku didoakan kemuliaan
Kau sulam kasih sayang ini
Dengan kemesraan
Walau kesederhanaan yang mampu kuhulurkan
Kau tadah penuh keredhaan
Limpah syukurmu kususun rapi
Sungguh dirimu dapat kuhargai
Sebagai...bidadari...
            Kau permaisuri hati kau permata suci
            Akan kutatahkan hatimu dengan sinar iman
            Tanda mensyukuri anugerah Tuhan
            Serta anak yang menjadi penawar...
            Azlina berbaring mengiring sambil memandang lama wajah suaminya. Diusap lembut ubun-ubun Adli yang sedang lena dibuai mimpi. Sesekali dikucupnya dahi dan pipi suaminya. Akhirnya, Allah mentakdirkan jodohnya bersama Adli setelah pelbagai masalah mereka hadapi bersama.
            Sesekali Adli bergerak, mungkin sedang bermimpikan sesuatu. Azlina tersenyum sendirian. Comel! Bisiknya. Jemarinya menggenggam erat jemari Adli. Entah bagaimana, genggamannya bersambut.
            “Bila nak tidur ni, sayang...” Bisik Adli, mengantuk. Matanya masih terpejam.
            “Tak mau tidur...nak pandang abi lama-lama...” Balas Azlina. Panggilan manja abi yang bermaksud ‘ayah’...ayah kepada anak-anak mereka kelak.
            “Kenapa? Dulu jumpa tak puas nak pandang?” Soal Adli lagi. Kali ini, matanya dibuka sedikit. Pantas Azlina mengucup mata Adli. Suaminya tertawa kecil melihat gelagat isterinya. Manja!
            “Dulu curi-curi pandang aja...sekarang, tak payah curi-curi dah...”
            “Sayang abi tak?” Soal Adli lagi. Azlina mengangguk pantas.
            “Sayang....sangat-sangat!” Balasnya.
            “Banyak mana?” Soal Adli lagi. Azlina berfikir sejenak.
            “Banyak sangat! Tak terkira!” Balas Azlina. Adli tersenyum mendengarnya.
            “Abi pulak? Banyak mana?” Giliran Azlina pula menyoal.
            “Pernah dengar perkataan mikroorganisma?” Ujar Adli. Azlina mengangguk perlahan. Adli memandang wajah zaujahnya sambil mengelus rambutnya yang ikal mayang. Dikucupnya dahi Azlina sebelum dilafazkan baki bicaranya.
            “Sebanyak mana mikroorganisma yang ada di muka bumi Allah ni, sebanyak itulah cinta abi pada sayang...tau!” Balas Adli.
            “So sweet! Love you so much!” Balas Azlina spontan.
            “Dah, jom tidur...esok nak bangun awal...” Balas Adli.
            “Bangun awal? Kita nak pergi mana? Bulan madu ke?” Soal Azlina, hairan. Adli tertawa besar. Digenggam lembut jemari isterinya sebelum dirapatkan ke dada.
            “Esok, kita solat subuh sama-sama...” Bisik Adli. Azlina mengangguk perlahan. Dipeluknya suami tercinta dan mereka tertidur bersama. Ada linangan air mata gembira mengalir di pipi Azlina.
                        *                                              *                                              *
            Pagi itu, suasana hening dan sejuk. Adli menghamparkan sejadah, sedang Azlina sibuk membetulkan telekungnya. Azan hampir lima belas minit berkumandang. Adli berdiri tegak menghadap kiblat. Fikirannya terganggu dengan kesakitan di leher namun tidak diendahkan sahaja.
            Takbiratul ihram diangkat, sedang kalimah ‘Allahu akbar’ dilaungkan. Bergema, memenuhi ruang solat. Azlina berdiri di belakang kiri Adli. Takbir diangkat bersama. Kedengaran alunan suara Adli membacakan surah Al-Fatihah. Sayu. Amat menenangkan hati Azlina. Bertuahnya dia memiliki suami sehebat Adli.
            Usai bersolat, Adli mencapai Al-Quran. Dicarinya surah An-Nisa’ sebelum Azlina duduk bersimpuh bersebelahan dengannya. Isterinya memeluk erat lengan suaminya. Adli memandang sambil mengukir senyuman.
            “Dah peluk abi malam tadi pun tak puas lagi?” Usik Adli.
            “Takkan puas sampai akhir hayat...” Balas Azlina, manja. Adli tertawa kecil. Dia mula membacakan Al-Quran. Azlina mendengarnya dengan penuh perhatian. Entah mengapa, air matanya berlinangan setelah lama mendengar suaminya membacakan al-Quran.
            “Terima kasih, abi...” Ujar Azlina.
            “Kenapa, umi?” Soal Adli, hairan.
            “Terima kasih sebab sudi nikahi umi...walaupun ada yang lebih...” Spontan Adli menekup jari telunjuknya ke bibir Azlina. Diletakkan Al-Quran ke almari sebelum ditatap wajah isterinya. Lama. Dia mengerti, isterinya sangat terkesan dengan Aufa Liyana.
            “Umi dah cukup sempurna di mata abi...jangan banding-bezakan yang lain...” Pesan Adli. Azlina mengangguk perlahan. Dia tunduk sambil mengesat air mata. Adli tersenyum melihat isterinya. Akan kuhabiskan saki-baki masa hayatku bersamamu, Azlina.
            “Tapi, umi ada permintaan...mahukah abi tunaikan?” Soal Azlina. Adli merenung matanya sambil mengangguk.
            “Cakaplah...abi akan tunaikan...”

Tuesday, May 4, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH LIMA
Kejernihan wajahmu...
Sempurna pada pandanganku...kau kirana
Keturunan terpilih...
Disanjung serta dihormati...kau permata
Kesederhanaanmu...
Mengecap kekayaan dunia...kau mestika
Ketakwaan dirimu...
Itu yang merantai jiwaku...
-In Team_Bisikan Nurani...-
            Adli memegang lehernya. Kali ini denyutannya terasa amat kuat sekali. Terasa mahu pecah kepalanya. Dia memegang dinding, cuba mencari ketenangan. Kudratnya semakin lemah hari demi hari.
            “Adli...dah siap belum? Orang dah tunggu tu...” Laung uminya. Adli mencari kekuatan untuk membalas. Bimbang uminya terperasan dia dalam kesakitan. Hatinya berdoa tak henti-henti semoga Allah mempermudahkan urusan pernikahan dan perkahwinannya hari ini.
            “Sekejap, umi...” Balas Adli. Agak lama dia terduduk, sebelum denyutan semakin berkurangan. Puji-pujian segera dipanjatkan kepada Allah kerana mendengar rintihan hatinya. Dia mencapai songkok hitam sebelum dipakaikannya di kepala. Berbaju putih berkilauan, Adli sememangnya gah sebagai raja sehari. Cermin besar dipandang. Segak. Nikmat kecantikan yang Allah berikan kepadanya.
            Kedengaran uminya mengetuk pintu. Adli segera membuka langkah. Tatkala tombol pintu dibuka, kelihatan uminya sedang menanti. Wajahnya berseri-seri. Diperhatikannya pula anak terunanya yang segak dengan busana pernikahan.
            “Dah bersedia?” Soal uminya.
            “Ya...” Balas Adli, sambil mengukir senyuman. Mereka berdua turun ke ruangan utama. Di situ, sudah tersedia hantaran perkahwinan untuk diberikan kepada pihak pengantin perempuan.
            “Dah sedia semuanya? Kalau sudah, bolehlah kita berangkat...” Ujar Pak Ngah Salleh sebelum bingkas bangun dari sofa lembut. Umi melangkah menurutinya. Beberapa sepupu dan saudara-mara mengangkat dulang hantaran. Ada tujuh kesemuanya.
            Sebelum bergerak ke lokasi pernikahan, Adli membacakan doa semoga dipermudahkan segala urusan mereka. Tekun Adli berdoa, sedang uminya terperasan ada sesuatu yang tidak kena pada diri anaknya. Wajahnya lain daripada biasa. Ingin ditanya, namun hatinya berbisik. Mungkin gugup memikirkan tentang proses akad nikah agaknya!
                        *                                              *                                              *
            “Ekau yang bernama Saiful Adli bin Abdullah Fahim?” Soal tok kadi. Dengan kaca mata petak yang agak besar, dia memandang wajah Adli. Pemuda itu mengangguk sambil mengesahkan namanya.
            “Ekau dah ready? Tok buatkan sekali, ekau kono ikut...yo?” Ujar tok kadi dalam loghat Negeri Sembilan. Dia bersalaman dengan Adli sebelum memulakan upacara akad nikah. Adli mengangguk perlahan. Peluh mulai menitik, sedang masjid itu dikelilingi penghawa dingin yang banyak. Penangan akad nikah!
            “Bismillahirrahmanirrahim...den nikahkan akan ekau Saiful Adli bin Abdullah Fahim bersamo Norazlina binti Mohamed Ayob dongan mas kahwinnyo...”
            “Tok, boleh tak kita mudahkan?” Adli memotong tiba-tiba. Tok kadi tersentak.
            “Apo kono eh jang? Ekau cakap apo?” Soal tok kadi. Hadirin yang hadir turut terperanjat. Di kelompok pengantin perempuan, Azlina mengangkat wajahnya. Apa yang Adli ingin lakukan?
            “Tok...saya bukannya nak melawan atau membantah...tapi dalam urusan akad nikah, tak perlulah panjang berjela-jela. Penat saya nak mengingat. Bukankah Islam sudah mengajar kita untuk mempermudahkan akad nikah. Yang penting, ada nama pengantin lelaki dan wanita serta akadnya...tak payahlah berjela-jela...” Ujar Adli. Tergamam tok kadi mendengar. Dia memandang ke kanan dan kirinya. Saksi yang hadir mengangkat bahu.
            “Buleh den tanyo ekau?” Soal tok kadi.
            “Boleh...apa dia...” Soal Adli. Dia menelan air liur, bimbang jika dimaki pulak.
            “Ekau ni mufti ko apo? Sepanjang den jadi tok kadi...dah nak masuk pencen ni, ekaulah satu-satunyo orang yang mintak macam tu. Siap tazkirah lagi nih ha...tapi, bagus jugo...sonang kojo den nih ha...apolah ekau tak bagitahu awal-awal pado den ni, jang?” Ujar tok kadi. Seluruh hadirin tertawa besar. Adli tersipu-sipu malu. Dia ingin memudahkan, kerana Islam itu sememangnya mudah untuk diamalkan.
            Dengan sekali akad, Azlina sah menjadi zaujah Adli. Doa dipanjatkan ke hadrat Allah, bukan dibacakan oleh tok kadi namun Adli sendiri yang membacakannya. Para hadirin mengaminkan doa dengan harapan kedua-dua mempelai berbahagia hingga ke akhir hayat.
            Usai upacara akad nikah, mereka semua diminta Adli untuk melakukan solat sunat bagi menggantikan upacara pembatalan air sembahyang. Tok kadi sangat bersetuju dengan cadangan Adli. Mereka solat terlebih dahulu sebelum meneruskan upacara yang lain.
Usai bersolat, Azlina disarungkan cincin oleh suaminya di koridor masjid. Kata mufti, adalah penting untuk menjaga kesucian masjid dengan tidak mencemarkannya melalui aktiviti yang kurang enak dipandang. Membatalkan air sembahyang bukanlah syariat namun adat budaya. Tak salah andai kita mengubahnya demi kepentingan agama. Indahnya Islam, hanya mereka yang menganutinya dengan bersungguh-sungguh sahaja yang memahami...
            *                                              *                                              *
Malam menjelang tiba. Majlis perkahwinannya selesai terlaksana. Adli menapak masuk ke dalam bilik. Di katilnya sudah terhias indah dengan rona bunga. Malah, diletakkan kelopak bunga mawar di segenap katil, menambahkan seri dan haruman. Kilauan lampu meja yang samar-samar menggamit suasana. Romantis.
Azlina menapak lembut memasuki bilik. Hatinya gementar. Bergelar isteri kepada Adli sememangnya sudah diidamkan saat pertama kali bersua muka waima ketika itu hatinya masih belum mengenali.
Adli membuka busana pengantin, menggantikannya dengan pakaian tidur. Teringat padanya kata-kata Pak Ngah Salleh sebelum dia pulang tadi.
“Kena jadi romantik, barulah hubungan suami-isteri erat...”
Azlina terpaku di hujung katil, tunduk memandang lantai dengan busana perkahwinannya. Menyedari Azlina di situ, Adli menyapanya.
“Sayang tak nak tukar baju ke? Tak panas?” Soal Adli, dengan panggilan manja. Azlina tersenyum simpul. Malunya menebal entah mengapa!
Usai menukar pakaian, Adli menapak ke arah Azlina. Wanita itu mulai gementar. Dadanya berombak pantas. Adli duduk perlahan-lahan di sisi kanannya. Azlina masih tunduk, menahan malu dan segan yang menggunung. Perlahan-lahan Adli mengangkat wajah isterinya.
“Tukar baju dulu, ya?” Bisik Adli, lembut. Bagai hendak tercabut rasanya jantung Azlina mendengar bisikan Adli. Sang suami mengucup dahi isterinya sambil menggenggam jemari. Islam telah menyatukan mereka, waima pelbagai onak duri dirasai bersama.
“Sayang abang tak?” Bisik Adli lagi. Azlina mengangguk perlahan.
“Aik? Dah bisu isteri abang ni?” Usik Adli lagi. Dia mengusap jemari isterinya dengan lembut. Azlina menggeleng pantas.
“Malu...” Bisik Azlina. Spontan adli tertawa kecil.
“Malu...tapi mahu, kan?” Usik Adli lagi. Azlina mendakap suaminya dengan erat. Adli membiarkan sahaja. Kemesraan antara mereka terjalin dengan sendirinya. Moga Allah merestui pernikahan mereka ini. Azlina mendakap lama, sebelum Adli berbisik di telinganya.
“Takkan nak tidur pakai baju pengantin...mahal sewa ni...hehe...”
Azlina mengomel manja. Dan malam melabuhkan tirainya, sedang pasangan mempelai melayari malam pertama dengan direstui Yang Maha Esa...    

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH EMPAT

Aku mendengar suara dari langit,
Memintaku sujud memuji Allah Yang Esa,
Aku mendengar suara sang bumi,
Menyuruhku bersedia untuk diisi ke dalamnya,
Aku mendengar suara sang malaikat,
Memintaku bertaubat atas segenap dosa pada-Nya...
            Adli termangu sendirian di jendela sedang matanya memerhatikan rembulan yang merembang. Hatinya terasa sayu entah mengapa. Sakit di belakang lehernya semakin menjadi-jadi. Seakan petanda yang dia sendiri tidak mampu untuk memikirkannya.
            Memikirkan tentang Azlina menjadikan dia sedikit ceria. Teringat sewaktu mereka di pantai petang tadi. Adli puas dapat memainkan instrumen saksofon di hadapan Azlina. Hatinya gembira melihat senyuman dan tawa Azlina. Seakan terapi buatnya. Kenangan bersama Aufa Liyana terpadam sedikit demi sedikit dan diganti dengan kemesraan Azlina. Alangkah!
            “Termenung apa lagi tu, Adli?” Sapa uminya. Adli tersentak. Dia berpaling ke belakang. Uminya meletakkan sepinggan nasi berisi lauk dan segelas milo suam ke meja kecil. Dia menapak perlahan ke arah Adli.
            “Makan dulu, Adli…” Pinta umi.
            “Sekejap lagilah, umi…Adli tak ada selera…” Balas Adli.
            “Masih pening lagi?” Soal uminya. Adli menggeleng perlahan.
            “Dah berkurangan, umi…” Ujar Adli.
“Tak nak pergi periksa?” Soal umi lagi.
“Tak perlulah…sakit biasa saja…stres sangat agaknya…” Balas Adli sedang matanya masih terpaku melihat rembulan. Uminya menghela nafas panjang. Kesihatan Adli semakin merunsingkan hatinya. Disuruhnya pergi ke hospital, makin banyak alasan yang dicipta.
“Jangan sampai melarat…” Pesan uminya.
“Kalau dah sampai ajal, nak buat macam mana, umi…Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati…itu yang pasti…” Ujar Adli sebelum melangkah kembali ke katil. Uminya terkedu. Pernyataan Adli membuatkan kesedihan menyelubungi segenap hati kecilnya. Naluri keibuannya tersentuh, lantas menitiskan air mata.
“Kenapa Adli selalu cakap macam tu?” Soal uminya. Adli terkejut melihat uminya menitiskan air mata. 
“Umi…Adli tak berniat nak sakitkan hati umi…” Ujar Adli memohon maaf.
“Kenapa Adli jadi macam ni? Tak bersemangat, selalu cakap perkara yang negatif. Dulu Adli tak begini. Umi tak faham, nak…” Jelas uminya.
“Umi…Adli manusia. Bukan malaikat. Hatta nabi pun meninggal…”
“Tapi adakah Fatimah dapat menerima? Umar? Abu Bakar? Ali?”
Adli terkesima. Tiada jawapan buat persoalan umi. Sememangnya mereka tidak dapat menerima pemergian insan yang amat mereka sayang. Fitrah setiap makhluk yang bernama manusia.
“Umi tak mahu Adli cakap macam tu lagi! Umi ada perasaan. Seorang ibu takkan sanggup mendengar anaknya bercerita soal kematian. Jangan jadikan perasaan itu suatu perkara untuk kamu jauhkan diri daripada orang lain...jauhkan diri dari umi!” Uminya memberi amaran keras. Adli menapak sebelum memegang lutut ibunya. Dia memohon ampun di atas kebiadapannya.
“Maafkan Adli, umi...Adli tak bermaksud nak lukakan hati umi...”
“Adli...umi tak mahu anak umi tertekan...umi mahukan Adli yang positif, yang tak pernah sedih...boleh tak umi dapatkan balik anak umi yang dulu tu?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan. Dia mengucup tangan ibunya.
“Dah, makan dulu...umi nak ke bawah sekejap. Azlina telefon tadi. Katanya, dia nak datang melawat kamu.” Ujar uminya sambil mengesat air mata. Adli kehairanan.
“Datang melawat? Adli dah O.K. lah, umi...” Balas Adli.
“Kamu ni pun satu! Azlina tu baik orangnya. Bila lagi nak masuk meminang dia?” Ujar uminya, geram. Adli terperanjat. Aik, ke situ pulak perginya umi ni?
“Itu dalam perancangan, umi...insya-Allah...” Balas Adli.
“Atau kamu tak berani nak beritahu? Tak apa, biar umi yang cakapkan pada dia...” Ujar uminya sebelum hendak berlalu pergi. Adli pantas memegang tangan ibunya.
“Janganlah, umi...biar Adli yang cakap...Adli janji!”
“Kalau kamu tak cakap...siap kamu! Umi dah setuju dia jadi menantu umi!” Balas uminya sebelum berlalu keluar dari bilik. Adli menepuk dahi. Alamak, kenapa sampai macam ni jadinya? Matilah aku!
            *                                              *                                              *
“Abang dah O.K?” Soal Azlina. Adli mengangguk perlahan sambil menyuap nasi. Azlina memegang gelas berisi air. Melihatkan Adli tersedak, pantas Azlina menghulurkan air.
“Tak nak pergi ke hospital?” Soal Azlina.
“Lina...abang O.K...see?” Ujar Adli sambil menggerakkan badannya. Azlina tertawa kecil. Buat lawak pulak!
“Mengada! Bang, jomlah pergi klinik...Lina temankan...O.K?” Pinta Azlina.
“Tengoklah, Lina...I’m busy lately...” Balas Adli. Azlina menghela nafas panjang. Degilnya Adli, susah nak dilenturkan! Azlina memerhatikan saja Adli menjamah makanan. Selang beberapa minit, bicara mereka berdua kembali kelu.
“Erm...Lina...can I ask you something?” Soal Adli.
“Sure...what is it?” Soal Azlina.
“If somebody wants to marry you, would you accept him?” Soal Adli. Azlina kehairanan. Apa punya soalan ni?
“Depends on who is it...kalau Asian, I tak layan...” Seloroh Azlina.
“Amboi, memilih nampak? Nak kahwin dengan mat saleh konon...” Balas Adli. Mereka berdua tertawa. Adli menghabiskan baki makanan sebelum menyambung bicaranya.
“Cuti semester dah dekat...abang ingat nak...nak...ehem-ehem dengan Lina...” Ujar Adli. Azlina mengerutkan dahinya. Ehem-ehem tu apa?
“Ehem-ehem? Apa bendanya?” Soal Azlina.
“Alaaa...buat-buat tak tahu pulak dah!” Balas Adli.
“Memang tak tahu pun...apa dia?” Soal Azlina.
“Aduh....err....nikah....kahwin...” Balas Adli. Azlina tersentak. Bulat matanya memandang Adli. Biar betul Adli nak berkahwin dengan aku?
“Are you proposing me right now?” Soal Azlina, cuba menduga. Adli mengangguk perlahan. Spontan Azlina tertawa kecil. Adli menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan melihat Azlina ketawa tiba-tiba.
“Kenapa ketawa?” Soal Adli.
“Macam mana Lina tak ketawa. Kalau cara macam nilah abang propose seseorang, alamat kena tinggallah...hehe...” Ujar Azlina. Adli tersipu-sipu malu. Dia kebali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Azlina memandang wajah Adli. Lama. Sebelum dilafazkan sesuatu...
“Andai Lina tolak lamaran abang, maka Lina adalah orang yang paling rugi...kerana Lina dah menolak seorang manusia yang rapat di sisi Tuhannya, yang masyhur di langit dan di bumi...iaitu abang...Lina setuju jadi zaujah abang...”
Adli tersenyum lebar. Terasa dirinya diberkahi dengan nikmat Allah. Akan digalas tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai pembimbing kepada Azlina dan anak-anaknya, selagi jasadnya masih bernafas...