Tuesday, May 4, 2010

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

DUA PULUH EMPAT

Aku mendengar suara dari langit,
Memintaku sujud memuji Allah Yang Esa,
Aku mendengar suara sang bumi,
Menyuruhku bersedia untuk diisi ke dalamnya,
Aku mendengar suara sang malaikat,
Memintaku bertaubat atas segenap dosa pada-Nya...
            Adli termangu sendirian di jendela sedang matanya memerhatikan rembulan yang merembang. Hatinya terasa sayu entah mengapa. Sakit di belakang lehernya semakin menjadi-jadi. Seakan petanda yang dia sendiri tidak mampu untuk memikirkannya.
            Memikirkan tentang Azlina menjadikan dia sedikit ceria. Teringat sewaktu mereka di pantai petang tadi. Adli puas dapat memainkan instrumen saksofon di hadapan Azlina. Hatinya gembira melihat senyuman dan tawa Azlina. Seakan terapi buatnya. Kenangan bersama Aufa Liyana terpadam sedikit demi sedikit dan diganti dengan kemesraan Azlina. Alangkah!
            “Termenung apa lagi tu, Adli?” Sapa uminya. Adli tersentak. Dia berpaling ke belakang. Uminya meletakkan sepinggan nasi berisi lauk dan segelas milo suam ke meja kecil. Dia menapak perlahan ke arah Adli.
            “Makan dulu, Adli…” Pinta umi.
            “Sekejap lagilah, umi…Adli tak ada selera…” Balas Adli.
            “Masih pening lagi?” Soal uminya. Adli menggeleng perlahan.
            “Dah berkurangan, umi…” Ujar Adli.
“Tak nak pergi periksa?” Soal umi lagi.
“Tak perlulah…sakit biasa saja…stres sangat agaknya…” Balas Adli sedang matanya masih terpaku melihat rembulan. Uminya menghela nafas panjang. Kesihatan Adli semakin merunsingkan hatinya. Disuruhnya pergi ke hospital, makin banyak alasan yang dicipta.
“Jangan sampai melarat…” Pesan uminya.
“Kalau dah sampai ajal, nak buat macam mana, umi…Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati…itu yang pasti…” Ujar Adli sebelum melangkah kembali ke katil. Uminya terkedu. Pernyataan Adli membuatkan kesedihan menyelubungi segenap hati kecilnya. Naluri keibuannya tersentuh, lantas menitiskan air mata.
“Kenapa Adli selalu cakap macam tu?” Soal uminya. Adli terkejut melihat uminya menitiskan air mata. 
“Umi…Adli tak berniat nak sakitkan hati umi…” Ujar Adli memohon maaf.
“Kenapa Adli jadi macam ni? Tak bersemangat, selalu cakap perkara yang negatif. Dulu Adli tak begini. Umi tak faham, nak…” Jelas uminya.
“Umi…Adli manusia. Bukan malaikat. Hatta nabi pun meninggal…”
“Tapi adakah Fatimah dapat menerima? Umar? Abu Bakar? Ali?”
Adli terkesima. Tiada jawapan buat persoalan umi. Sememangnya mereka tidak dapat menerima pemergian insan yang amat mereka sayang. Fitrah setiap makhluk yang bernama manusia.
“Umi tak mahu Adli cakap macam tu lagi! Umi ada perasaan. Seorang ibu takkan sanggup mendengar anaknya bercerita soal kematian. Jangan jadikan perasaan itu suatu perkara untuk kamu jauhkan diri daripada orang lain...jauhkan diri dari umi!” Uminya memberi amaran keras. Adli menapak sebelum memegang lutut ibunya. Dia memohon ampun di atas kebiadapannya.
“Maafkan Adli, umi...Adli tak bermaksud nak lukakan hati umi...”
“Adli...umi tak mahu anak umi tertekan...umi mahukan Adli yang positif, yang tak pernah sedih...boleh tak umi dapatkan balik anak umi yang dulu tu?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan. Dia mengucup tangan ibunya.
“Dah, makan dulu...umi nak ke bawah sekejap. Azlina telefon tadi. Katanya, dia nak datang melawat kamu.” Ujar uminya sambil mengesat air mata. Adli kehairanan.
“Datang melawat? Adli dah O.K. lah, umi...” Balas Adli.
“Kamu ni pun satu! Azlina tu baik orangnya. Bila lagi nak masuk meminang dia?” Ujar uminya, geram. Adli terperanjat. Aik, ke situ pulak perginya umi ni?
“Itu dalam perancangan, umi...insya-Allah...” Balas Adli.
“Atau kamu tak berani nak beritahu? Tak apa, biar umi yang cakapkan pada dia...” Ujar uminya sebelum hendak berlalu pergi. Adli pantas memegang tangan ibunya.
“Janganlah, umi...biar Adli yang cakap...Adli janji!”
“Kalau kamu tak cakap...siap kamu! Umi dah setuju dia jadi menantu umi!” Balas uminya sebelum berlalu keluar dari bilik. Adli menepuk dahi. Alamak, kenapa sampai macam ni jadinya? Matilah aku!
            *                                              *                                              *
“Abang dah O.K?” Soal Azlina. Adli mengangguk perlahan sambil menyuap nasi. Azlina memegang gelas berisi air. Melihatkan Adli tersedak, pantas Azlina menghulurkan air.
“Tak nak pergi ke hospital?” Soal Azlina.
“Lina...abang O.K...see?” Ujar Adli sambil menggerakkan badannya. Azlina tertawa kecil. Buat lawak pulak!
“Mengada! Bang, jomlah pergi klinik...Lina temankan...O.K?” Pinta Azlina.
“Tengoklah, Lina...I’m busy lately...” Balas Adli. Azlina menghela nafas panjang. Degilnya Adli, susah nak dilenturkan! Azlina memerhatikan saja Adli menjamah makanan. Selang beberapa minit, bicara mereka berdua kembali kelu.
“Erm...Lina...can I ask you something?” Soal Adli.
“Sure...what is it?” Soal Azlina.
“If somebody wants to marry you, would you accept him?” Soal Adli. Azlina kehairanan. Apa punya soalan ni?
“Depends on who is it...kalau Asian, I tak layan...” Seloroh Azlina.
“Amboi, memilih nampak? Nak kahwin dengan mat saleh konon...” Balas Adli. Mereka berdua tertawa. Adli menghabiskan baki makanan sebelum menyambung bicaranya.
“Cuti semester dah dekat...abang ingat nak...nak...ehem-ehem dengan Lina...” Ujar Adli. Azlina mengerutkan dahinya. Ehem-ehem tu apa?
“Ehem-ehem? Apa bendanya?” Soal Azlina.
“Alaaa...buat-buat tak tahu pulak dah!” Balas Adli.
“Memang tak tahu pun...apa dia?” Soal Azlina.
“Aduh....err....nikah....kahwin...” Balas Adli. Azlina tersentak. Bulat matanya memandang Adli. Biar betul Adli nak berkahwin dengan aku?
“Are you proposing me right now?” Soal Azlina, cuba menduga. Adli mengangguk perlahan. Spontan Azlina tertawa kecil. Adli menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hairan melihat Azlina ketawa tiba-tiba.
“Kenapa ketawa?” Soal Adli.
“Macam mana Lina tak ketawa. Kalau cara macam nilah abang propose seseorang, alamat kena tinggallah...hehe...” Ujar Azlina. Adli tersipu-sipu malu. Dia kebali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Azlina memandang wajah Adli. Lama. Sebelum dilafazkan sesuatu...
“Andai Lina tolak lamaran abang, maka Lina adalah orang yang paling rugi...kerana Lina dah menolak seorang manusia yang rapat di sisi Tuhannya, yang masyhur di langit dan di bumi...iaitu abang...Lina setuju jadi zaujah abang...”
Adli tersenyum lebar. Terasa dirinya diberkahi dengan nikmat Allah. Akan digalas tanggungjawabnya sebaik mungkin sebagai pembimbing kepada Azlina dan anak-anaknya, selagi jasadnya masih bernafas...   


1 comment:

JPM Hafizzuddin said...

Npe time Peak time tu la nak sambung... ADUSSSS!!!! hehehehe jwp nye adalah sbb biar org nntikan smbungan nye... hehehehehe nway best gler novel nta ni syeikh... xsbr tgu smbungannye... x sbr nak ber zuajah syeikh ble bce... heheheeh