Monday, May 4, 2009

WAFATNYA PUTERI RASULULLAH

WAFATNYA PUTERI RASULULLAH S.A.W.

"Masihkah kau ingat perihal Fatimah Az-Zahra, puteri Rasulullah yang paling dikasihi baginda? Katakanlah, siapa di antara anak-anak gadis, isteri atau saudara perempuan kalian yang lebih bagus dari beliau? Aku teringat suatu kisah dari kitab yang menceritakan sewaktu pengakhiran kematiannya. Selepas wafatnya ayahanda tercinta, Fatimah sudah tidak berdaya untuk menghirup dan merasai kegembiraan. Hari yang sudah ditentukan kematiannya, Fatimah tetap menjalankan tanggungjawab seperti biasa sebagaimana seorang isteri…” Ada tangisan menghentikan sejenak sang penterjemah.

“Waktu itu, dia mahu menjerang air. Sementara menunggu suami tercinta Saidina Ali, dia juga sempat menggiling gandum untuk dimasak sebagai roti. Pembantunya ingin menolong namun dia berkeras untuk melakukannya sendiri.

Menjelang petang, Fatimah sudah siap mandi wajib seakan mengerti ajalnya sudah dekat. Menunggu Ali pulang, dia sempat berhias diri dan duduk di kamar…” Sekali lagi sang penterjemah terhenti. Air mata diseka membasahi pipi.

“Fatimah berkata, wahai suamiku…sesungguhnya aku merasakan aku bakal menyertai bapaku di alam baqa. Maka, aku meminta kau ampunkan segala salah silapku semasa aku menjalankan tanggungjawabku sebagai isterimu. Demi Allah, engkaulah suami terbaik buatku. Aku ingin meminta tiga permintaan darimu. Yang pertama, janganlah kau hebahkan tentang kematianku nanti kerana umat Islam masih bersedih dengan kewafatan ayahandaku. Kedua, aku mahu kau kebumikan aku pada waktu malam dan hanya bersaksikan kaum kerabat terdekat sahaja. Hal ini kerana aku tidak mahu auratku dilihat oleh bukan muhrim. Ketiga, seandainya engkau ingin berkahwin lagi…” Kali ini penterjemah menangis agak lama. Hadirin turut sama menangis. Sedu-sedan mulai bergema.

“Seandainya engkau ingin berkahwin lagi, maka tunggulah sehari selepas aku meninggal dunia nanti…aku izinkan kau bernikah wahai suamiku…”

Seluruh masjid bergema dengan tangisan para jemaah. Yazid turut menangis teresak-esak. Maha Suci Allah yang menjadikan sebaik-baik hamba. Mana mungkin dapat dimiliki seorang isteri sebagus dan sehebat Fatimah Az-Zahra. Dia menjaga kebajikan dan kesucian rumah tangganya dengan sempurna walaupun dalam serba kedaifan.

“Saudara-saudaraku…bagaimanakah perasaan kalian?” Laung si penterjemah. Masjid bergema dengan takbir dan tasbih memuji Allah Azzawajalla.

“Saidina Ali menjawab; wahai isteriku, aku sanggup memenuhi permintaan pertama dan keduamu. Namun maafkan aku kerana permintaan ketigamu tak dapat aku tunaikan. Demi Allah! Mana mungkin aku bernikah lagi sedangkan Allah telah mengurniakan sebaik-baik isteri kepadaku iaitu kamu wahai Fatimah…” Sambung si penterjemah lagi. Air matanya bercucuran dan tak dapat ditahan-tahan lagi.

Maka, Fatimah Az-Zahra meminta dipanggil Hassan dan Hussain. Dia bergurau dan bermain dengan mereka sejenak sebelum dipanggil semula suami tercinta. Dirasakan ajalnya semakin dekat. Saidina Ali yang merah matanya kerana menangis mendatangi isterinya dengan penuh rasa sayu.

Fatimah tersenyum. Saat ajalnya sudah tiba;
“Aku mohon kau izinkan aku untuk kembali menghadap Allah Tuhanku…redailah pemergianku ini wahai suamiku Ali…” Ucapnya lemah.
“Aku izinkan wahai isteriku…aku reda!” Saidina Ali mengizinkan. Syahadah diucapkan sebelum tubuh itu kaku di pembaringan. Fatimah Az-Zahra sudah meninggalkan dunia yang fana menemui Allah di alam baqa.

Fatimah Az-Zahra dikebumikan pada malam hari oleh suami dan beberapa kerabat terdekat. Saat kuburan sudah ditimbusi tanah, mereka semua pulang dengan hati yang sayu. Dek kerana sayangnya pada isteri tercinta, Saidina Ali mendatangi kuburan isterinya sambil berteriak;

“Assalamualaika ya Fatimah! Assalamualaika ya Fatimah!”

Air matanya bercucuran. Digenggamnya tanah kuburan isterinya sambil bermadah;

“Aduhai isteriku…seandainya dahulu aku memberi salam dan aku mendengar jawapan salamku daripadamu. Tapi bagaimanakah kini? Aku tidak lagi mendengar jawapan salammu! Alangkah dukacitanya hati ini! Alangkah sakitnya jiwa ini menanggung rinduku padamu. Moga Allah mengampunkan segala dosamu hai puteri Rasulullah! Sesungguhnya Allah memberikan aku dirimu sebagai isteri terbaikku. Amanlah kamu dalam menemui Allah…”

Saidina Ali menangis sebelum menapak pergi membawa hatinya yang lara.

petikan dari novel 'MELAKAR KASIH DI KAKI LANGIT' Karya TONGKAT JIBRIL
Bakal diterbitkan….

No comments: