Digital clock

Thursday, January 7, 2010

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

TIGA BELAS


Bila cinta tak lagi untukku...


Bila hati tak lagi padaku...


Mengapa harus dia yang merebut dirimu...


Bila aku tak baik untukmu...


Dan bila dia bahagia dirimu...


Aku kan pergi mesti hati tak akan...rela...

Corong telinga Adli tenang menangkap bait-bait lirik lagu di komputer ribanya. Hatinya menangis mengenangkan Aufa Liyana. Kenangan lama silih berganti dalam ingatannya. Masih teringat waktu dia bermunajat di Mekah. Di hadapan Kaabah, dia menzahirkan doanya pada Allah agar dipermudahkan dan dipanjangkan jodohnya bersama Aufa Liyana.

“Ya Allah, aku pinta kepada-Mu agar zuriatku hanya keluar dari rahim Aufa Liyana dan bukan daripada insan yang lain...”

Namun, kini dia mengerti. Tidak semua doa dimakbulkan serta-merta. Boleh jadi perancangan-Nya lebih baik. Dia reda menerima segala takdir namun terkadang dia tewas dengan bayangan kenangan lama. Namun sampai bila?

Hadirnya Azlina dalam kamus hidupnya seakan membawa satu sinar, menerangi kegelapan hatinya yang hampir musnah. Kalaulah Azlina muncul dahulu, pastinya dia tidak akan bertemu dengan Aufa Liyana, mahupun Aina Farieha!

“Sampai bila nak dengar lagu tu?” Uminya menyapa di pintu. Adli tersentak. Pantas diseka air matanya dari mengalir. Uminya melangkah ke katil sebelum duduk di sebelahnya. Adli cuba mengukir senyuman namun hambar.

“Raudhah tak jadi datang...katanya, minggu depan...” Jelas uminya.

“Hmm...” Adli membalas ringkas. Uminya memandang lama.

“Adli marahkan umi lagi?” Soal uminya.

“Ish, taklah...mana ada, umi...” Balas Adli.

“Umi kenal siapa anak umi. Umi tahu, sangat susah nak lupakan cinta pertama.”

“Tapi...mahu atau tak, kita kena lupakan juga. Aufa dah jadi milik orang...”

“Habis, macam mana dengan Azlina?” Uminya menyerkap jarang. Terbeliak mata Adli mendengarnya. Apa kaitan dengan Azlina pulak?

“What do you mean?” Adli kehairanan.

“Amboi...bukan main lagi bercakap orang putih...” Sindir uminya. Adli tertawa kecil. Dia akui, sejak kebelakangan ini bibirnya senantiasa bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah, di pejabat juga dia bertutur dalam bahasa itu. Banyak kali disindir oleh teman-teman sepejabatnya.

“Berkenan ke?” Soal uminya.

“Subhanallah...umi...” ujar Adli, cuba mengelak.

“Umi berkenan dengan dia. Kalaulah dia dapat jadi menantu, bertuahnya umi...”

Adli segera bangun sambil tersenyum. Ditutup komputer riba dan memandang wajah uminya. Tangan umi dipegang erat.

“Kalaulah umi berkenan sangat dengan dia, umi sendirilah yang menikah!” Seloroh Adli. Umi segera mencubit lengannya. Orang serius, dia pulak main-main!

“Jangan main-main, Adli! Umi serius ni...”

“Nantilah, umi...Adli tak nak berharap atau fikir lagi...OK?” Pujuknya.

“Maknanya, lambat lagilah umi nak menimang cucu...” Balas uminya, sedih.

“Sabar itu kan sebahagian dari iman. Nanti Adli akan bagi sepuluh cucu untuk umi! Hehe...” Seloroh Adli sambil menunjukkan kesemua jemari tangannya. Uminya tertawa kecil. Adli segera beredar dari bilik menuju ke ruang tamu. Uminya menggelengkan kepala sambil tersenyum melihat Adli. Susah sungguh nak pujuk hatinya untuk berkahwin!

* * *

Adli baru sahaja selesai menunaikan solat sunat ba’adiah Isyak di masjid Al-Hikmah UiTM Alor Gajah, Melaka. Dia duduk sambil memandang mimbar. Lidahnya dibasahkan dengan zikir, memohon ketenangan dari Allah S.W.T.

“Assalamualaikum, ustaz...” Entah bagaimana, Adli disapa seorang pelajarnya. Hamizul Faiz mengukir senyuman.

“Waalaikummussalam...ya, ada apa?” Soal Adli, hairan.

“Ustaz busy ke sekarang?” Soal Hamizul.

“Tak juga...why?” Soalnya kembali.

“Sekejap lagi kami akan adakan usrah di bahagian kiri masjid. Kalau boleh, ana nak minta ustaz join sekali. Boleh tak? Sebab kalau ada ustaz, lagi memudahkan kami...” Pinta Hamizul. Saiful Adli melirih sejenak ke kiri masjid.

“Oh...boleh juga! Apa tajuknya?” Soal Adli.

“Tajuknya, Mencari Cinta Hakiki...” Ujar Hamizul.

“Insya-Allah...nanti ana datang...” Balas Adli sambil mengukir senyuman.

“Syukran, ya ustaz...”

“Afwan...”

Hamizul Faiz melangkah menuju ke belakang masjid. Adli menghela nafas panjang. Mendengar sahaja Hamizul membahasakan dirinya sebagai ana, membuatkan Adli terkenang sewaktu zaman dia bersekolah dahulu. Dia juga mempunyai kumpulan usrah. Ada senyuman meniti di bibirnya. Zikiran disambung semula sementara menantikan usrah bermula.

Usrah bermaksud ‘keluarga’ dalam bahasa Arab. Namun, dalam makna lain ia memberi erti sekumpulan kecil orang Islam yang duduk dalam bulatan (halaqah) dan berbicara mengenai ketauhidan Allah dan kemuliaan Rasul, hal-hal berkaitan dengan agama Islam serta isu semasa. Rasulullah S.A.W. juga mengadakan usrah pertama di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sewaktu permulaan syiar Islam dahulu. Malah, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga melaksanakan perkara yang sama.

Usrah menjalin kekuatan ukhuwah dalam setiap diri ahlinya. Namun, harus diingat bahawa seseorang itu perlu memilih usrah yang sesuai. Kerana ada di kalangan musuh Islam yang menjadikan usrah sebagai medan untuk menarik golongan yang ingin tahu ke arah ajaran atau fahaman sesat.

Adli terhenti dari zikirannya. Dia mengeluarkan telefon bimbit sebelum menaip sesuatu di skrin. Seketika kemudian, butang send ditekan. Kelihatan tirai masjid sudah dibuka. Beberapa orang pelajar muslimat mula berkumpul diikuti pelajar lelaki. Hamizul Faiz memberikan isyarat menjemput Adli menyertai usrahnya. Perlahan-lahan Adli menapak ke arah mereka. Moga-moga Allah meredai usaha dan memberkati ilmu yang bakal diterima dan disampaikannya kelak...

***

3 comments:

GADIS PUISI said...

menanti sambungannya:)

Tongkat Jibril said...

insya-Allah....dalam pembikinan...hehehe

Hamizul said...

Salam sdr, amboi...Hamizul pula jadi watak dalam cerpen sdr...terkejut juga, sebab itu saya buka posting ni, kot-kot kita pernah kenal...tak pelah, cerpen sdr menarik, orang mahu membacanya hingga habis...bagus, teruskan usaha sdr...

www.hamizul.com