Digital clock

Sunday, November 1, 2009

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

LAPAN
            Adli memulas tombol pintu utama. Lampu ruang tamu masih menyala. Kelihatan uminya sedang duduk sambil membaca majalah di sofa. Televisyen dipasang, memaparkan siaran televisyen lewat malam. Adli menghela nafas panjang.
            Kepenatan.
            Dia menapak menuju ke sofa. Diletakkan beg berisi saksofon ke sisi sofa sebelum melabuhkan punggungnya bersebelahan umi. Kepala disandarkan ke sofa. Mata dipejam dalam-dalam. Nafasnya turun naik perlahan.
            “Dah habis? Puas hati?” Soal uminya.
            “Alhamdulillah...tak sangka buat persembahan untuk majlis kahwin Aufa...” Balas Adli. Uminya mengerutkan dahi. Dipandang wajah anak terunanya. Biar betul?
            “Aufa?” Uminya menyoal lagi. Adli mengangguk.
            “Ya...Aufa Liyana Bte Ahmad Zaki...kenapa?” Soal Adli kembali.
            “Adli tak terasa apa-apa?” Uminya menyoal kembali. Spontan Adli membuka mata. Dia memandang ke arah kipas bersalut tembaga yang berputaran di syiling. Sekilas, dia tersenyum sendirian.
            “Bohonglah kalau Adli tak terasa apa-apa, umi. Tapi, dah ditakdirkan dia jadi isteri Ezmir. Takkanlah Adli nak mengamuk di majlis tu pulak...kan? Let bygone be bygone...” Balas Adli. Senyuman semakin melebar. Uminya mulai curiga.
            “Amboi, dah pandai berbahasa Inggeris sejak akhir-akhir ni...umi tak mahu bermenantukan orang putih. Banyak lagi orang Melayu yang bagus, cantik, sopan...” Ujar uminya. Adli tertawa kecil. Ke situ pulak perginya.
            “Bahasa Inggeris sekarang kan dah jadi lingua franca...lagipun, PPSMI masih diteruskan...tak salah Adli berbahasa Inggeris, kan? Adli masih mengekalkan bahasa ibunda sebagai pertuturan utama...Am I right?” Adli cuba bermadah.
            “Memanglah...tapi sebelum ni tak pernah umi dengar Adli berbahasa Inggeris...ada apa-apa yang umi tak tahu ke?” Soal uminya lagi. Adli tertawa lagi. Uminya bijak menyerkap jarang. Dibiarkan persoalan itu tergantung di situ. Pantas dia bangun dari sofa empuk. Dicapainya beg saksofon sebelum menapak ke arah tangga menuju ke bilik. Uminya menggeleng sambil tersenyum.
            “Jangan lupa mandi!” Laung uminya.
            “O.K, mum...good night...Assalamualaikum!” Balas Adli.
***
            Azlina menghempas badan ke katil. Dia memandang ke kipas di syiling.
            Kenapalah aku menangis depan dia? Bodohnya aku!!!
            Mata dipejam rapat. Hatinya mulai dirundum perasaan bercampur baur. Mungkinkah sekarang ini Adli sedang tertawa sendirian, memikirkan kebodohannya menangis tadi? Ataupun mungkin juga persepsi pemuda itu terhadapnya berubah?
            Malas memikirkannya lagi, Azlina bingkas bangun. Dia menukar pakaian tidur, menggosok gigi dan membasuh kaki sebelum menapak semula ke katil. Dicapainya fail berisi tugasan mingguan para pelajarnya untuk ditanda. Sehelai demi sehelai dibelek, sedang matanya cuba membaca baris demi baris esei pelajarnya.
            Sesekali hatinya terdetik.
            Mengapalah dia tidak mendapatkan nombor telefon Adli? Tapi untuk apa? Dia seorang wanita dan perlu menjaga kesopanan dan ketimurannya. Seandainya dia yang meminta dahulu, pasti anggapan baik daripada Adli terhadapnya akan berubah! Ibarat perigi mencari timba! Tak mahulah!!!
             Tidak mahu menyukarkan keadaan, dia segera kembali kepada penandaan kertas. Dikumpul segenap perhatian dan mula membaca kembali. Tugasan utamanya harus didahulukan. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mencampur-adukkan soal kerjaya dan peribadi. Tangannya pantas menanda dan membetulkan frasa yang ditulis oleh pelajarnya. Tanpa disedari, dirinya terlelap dalam lena...
***
            Sujud terakhirnya lama. Dia mengadu sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa. Hatinya dikuasai gelora luar biasa buat kali ketiga. Ya Allah, jangan kau biarkan zina hati meresap ke segenap tubuhku ini! Kuserahkan segalanya padaMu!
            Tahiyat akhir ditunaikan sebaik mungkin. Dalam kedinginan pagi seawal jam empat, didirikan Qiamul-lail bagi mendambakan diriNya pada Allah. Pertemuannya dengan Azlina menyebabkan hatinya kembali berbunga namun dia tidak mahu terburu-buru. Dia tidak mahu gagal seperti sebelumnya. Diserahkan semuanya kepada Allah.
            Salam diberikan ke kanan dan kiri. Ada istighfar meniti di bibirnya. Jemarinya mengira butiran tasbih berwarna hitam yang terjalin pada benang putih. Dia tenggelam dalam alunan munajat pada Allah.
            Ya Allah, kupohon, kurayu, sentuhlah hatiku ini saat diriku jauh dariMu. Peluklah hati ini, saat ia mencintai sesiapa lebih dari diriMu. Peliharalah imanku selalu, teguhkanlah hatiku dalam mencari redhaMu. Sesungguhnya aku takut dan gerun seandainya Kau berpaling daripadaku! Alangkah ruginya daku! Alangkah dahsyatnya azabMu!!!

2 comments:

Anonymous said...

tak sabr nak tahu.....adli ni suka ker tak kt lina tu...mcm nak mencuba tapi takut2...confius....

Tongkat Jibril said...

dah dua kali putus tunang, sukar untuk Adli terima cinta ketiga...haa...kena pikiaq jauh tu...