Sunday, July 25, 2010

Duhai Ayah...


Ayah pernah berkata padaku;

"Dahulu, seawal usiamu 3 tahun, kau bertanya pada ayah..."

"Apa pertanyaanku, ayah?" Aku menyoal kembali.

"Kau tanyakan Allah itu di mana? Allah itu besar mana?"

Hingga kini masih kuingati kata-kata ayah. Ayahku yang kini berhempas-pulas bekerja waima gajinya tak seberapa. Tugasannya walaupun menjadi seorang pengawal keselamatan bukanlah satu penghinaan bagiku. Apa yang pasti, ianya halal.

Sewaktu kecil dahulu, aku selalu menanti ayah pulang dari kerja. Terkadang, kerjanya mengambil masa yang lama. 3 hari, 20 hari, 40 hari, sebulan, malah 4 bulan pun ada. Aku sering bertanya pada emak ke mana ayah pergi? Mak akan menjawab, "Keluar bekerja di jalan Allah..."

Kulihat wajah ibu tabah ditinggalkan ayah berbulan-bulan lamanya. Namun ayah tidak tinggalkan keluarga begitu sahaja. Dua perkara dititipkan buat kami anak-anaknya. Agama dan kewangan. Waima kewangan tak seberapa, namun dihulurkan jua.

Waktu malam, andai ayahku ada, akulah insan pertama yang akan duduk menunggu sambil memegang kitab Fudhail Amal. Kitab yang sering digunakan jemaah tabligh untuk peringatan. Di dalamnya ada pelbagai perkara, kisah sahabat, malah pedoman buat si pembaca.

Sebelum tidur, ayah akan membacakan sepotong hadis buat kami sekeluarga. Emak, abang Abbas, Mujahidah, Asraf, termasuk diriku akan turut sama mendengar. Suara ayah...betapa aku rindu mendengar suaranya...

melafazkan bait-bait hadis...

mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran...

aku selalu duduk di sisi ayah tatkala dia sedang mengaji...

malah aku selalu mencuri-curi lihat dan mendengar ayah bersolat...

bacaannya, melekat di dalam sanubariku hingga kini...

betapa aku rindukan ayahku yang dahulu...

yang ku banggakan kerana janggut sunnahnya...

yang ku hormati kerana ketegasannya dalam agama...

yang ku sayangi kerana tidak pernah meninggikan suara...

Duhai ayah, andai dapat kau baca warkah anak nakalmu ini...

ketahuilah...aku amat menyayangimu...

(air mata menitis, tak mungkin dapat kuteruskan lagi...)

No comments: