Tuesday, October 13, 2009

NOVEL BERSIRI: MENCARI HUMAIRA' HATI

SATU
Cinta amat mahal takrifannya.
Cinta hanya terungkap pada kata-kata,
namun gagal dilihat pada zahirnya,
kerana cinta itu tanggungjawab
di mana wujudnya kesetiaan
dan kejujuran di dalamnya.
INGAT pada Yang Satu,
JUJUR pada yang setia,
SETIA pada yang kasih,
KASIH pada yang rindu
dan RINDULAH pada
yang menyayangi...
“MASIH berfikir?” Persoalan umi bergema di gegendang telinganya. Hanya senyuman terukir di bibir, menggantikan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’. Uminya mengusap lembut bahu. Sentuhan yang senantiasa menyegarkan jiwa dan memujuk sanubari. Secawan kopi dihidangkan di hadapan anak teruna.
“Nak cari yang terbaik bukan senang...kena jadi yang terbaik juga!” Umi bersuara lagi. Kali ini kelu di bibir sang teruna mencair laju, ingin menidakkan kenyataan uminya. Mata diangkat memandang wajah polos sang umi.

“Dah jadi yang terbaik pun, tak guna juga...” Dia membalas.

“Sebab?” Uminya menyoal kembali.
“Umi pun dah tahu, kan? Bila menjalin hubungan, selalunya Adli yang banyak berkorban, banyak khusnul dzon daripada suul dzon. Nah, lihatlah apa yang terjadi sekarang! Dah dua kali putus tunang saat nak melangsungkan perkahwinan...” Balas Adli sebelum cangkiran kopi pagi dihirup perlahan. Umi tersenyum. Benar, ujian Allah Taala amat berat buat anak lelaki sulungnya itu. Diuji dengan percaturan dua wanita yang awalannya memiliki kesantunan budi, namun sebenarnya menyembunyikan kesyaitanan diri.

Kelmarin menjadi saksi bagi segala-galanya. Aina Farieha, gadis kacukan Pattani-Kelantan itu sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Adli namun segala-galanya musnah tatkala dikhabarkan bahawa dia sebenarnya sudah terlanjur dengan seorang lelaki. Perkahwinannya dengan Adli adalah untuk menutup penzinaan yang telah dilakukan gadis itu tiga bulan lepas. Buktinya, Aina Farieha kerapkali muntah pada awal perjumpaan mereka.

Adli tergamam saat bakal bapa mertua mengkhabarkannya. Lelaki tua itu tidak mahu lelaki sebaik Adli menjadi mangsa percaturan anaknya. Namun pemuda itu tidak cepat melatah. Dia mengerti rasa hati bakal mertuanya. Tiada sebarang jawapan mahupun kata-kata cacian terbit dari bibirnya. Dengan senyuman meleret, dia menapak keluar meninggalkan teratak besar milik gadis itu. Umi dan rombongan pengantin yang lain diperingatkan supaya tidak melakukan kekecohan.

“Umi hanya mampu menunjuk, Adli yang harus memilih...” Ucap umi, ringkas.
“Umi, Adli dah fed up dengan semua ni. Kalau umi nak carikan Adli pasangan, Adli terima sahaja. Adli penat mencari pasangan hidup mengikut pilihan sendiri. Semuanya tak menjadi!” Sang teruna meluahkan apa yang terbuku di jiwanya. Sudah tidak tertahan lagi. Diserahkan semuanya kepada yang lebih memahami.

“Betul?” Uminya menyoal. Adli mengangguk perlahan.
“Tak menyesal?” Soal umi lagi. Adli menggeleng pantas. Yakinnya dipasung seutuh mungkin ke dalam teras hati. Kopi dihirup hingga habis sebelum bersalaman dengan ibunya. Tugasannya telah sedia menanti. Umi bingkas bangun lalu menapak ke arah meja kecil di sudut kiri rumah. Dicapainya beg bimbit dan kunci motosikal untuk dihulurkan kepada Adli yang mengikutnya dari belakang.

“Balik awal atau lewat hari ni?” Umi menyoal sambil menyerahkan beg bimbit.
“Mungkin...kerja macam Adli ni tak tentu masa, umi...” Balas Adli.
“Orang lain pun kerja juga, tapi tak adalah macam kamu ni ha...dari pagi sampai petang, mengajar orang. Dua tiga malam sekali, main muzik di hotel. Umi rasa gaji yang kamu ada sekarang...”

“Umi...selagi boleh bekerja, Adli akan bekerja. Satu kepuasan tau bila main muzik ni. Lagipun, dapat juga lupakan masalah-masalah yang ada, kan?” Adli memotong pantas. Umi menghela nafas panjang. Sudah dijangkakan jawapannya. Kunci motosikal diberikan kepada anaknya.

“Jangan jadi Kassim Selamat sudahlah...” Seloroh uminya.
“Itu dulu...sekarang Kenny G la umi...” Balas Adli. Dia menapak ke muka pintu. Kasut kulit hitam dicapai dari rak kasut kayu kusam buatannya sendiri tujuh tahun dulu. Sewaktu di bangku persekolahan. Enjin motosikalnya dihidupkan. Mengaum, memecah keheningan pagi. Sepuluh minit berselang, pensyarah agama itu memecut Kawasaki VN-750nya menuju jalan utama...
***
AWAN mega berpuput lembut, meneduhkan sejenak umat manusia yang bertebaran di muka bumi. Sesekali angin bertiup, menyegarkan jasad yang dipanahi sinaran mentari. Ada kicauan beburung di balik rimbunan dedaunan, disulami hilai tawa sekumpulan anak muda yang berpakaian tidak tentu arah menari tarian shuffle.

Nun di bawah pohon sena, kelihatan seorang gadis sedang menantikan sesuatu. Sesekali dia melihat jam tangan, sedang wajahnya tampak resah. Beberapa buah buku dan fail dipegang pada kiri lengan. Terkadang kedengaran suaranya mengeluh, mengenangkan nasib dirinya yang agak malang hari itu.

Kedengaran telefon bimbitnya berbunyi. Pantas diangkatnya.

"I'm still waiting for the bus...my car broke down just now..." Ujarnya. Keluhan silih berganti, menggambarkan betapa marahnya empunya diri.

"I'll call you when I'm there..." Balasnya sebelum menamatkan perbualan. Telefon bimbitnya dimasukkan kembali ke dalam beg tangan. Matanya memandang ke jalanan, mengharapkan ada teksi atau bas yang bakal lalu di situ.Tidak sampai lima minit, sebuah motosikal berkuasa besar melalui jalanan yang agak sunyi itu. Kelihatannya mahu berhenti di tempat dia berdiri. Gadis itu mulai gusar. Bimbang kalau-kalau dirinya menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah manusia bernama lelaki.
“Assalamualaikum...” Sapa si lelaki.
“Waalaikummussalam...” Balas si gadis, ringkas.
“Student atau lecturer UiTM?” Soal lelaki itu sambil menunjukkan jarinya ke arah tanda nama si gadis.
“Lecturer...teaching English...” Balas si gadis, semakin selesa.
“Saya pun pensyarah juga. Tapi bahagian agama...” Balas Adli. Dikeluarkan tanda namanya dari saku seluar. Sang gadis terpinga-pinga. Dia melihat lelaki itu dari atas ke bawah. Berjaket jeans tanpa lengan, berseluar slack hitam, berkasut but kulit perang, berbaju kuning, dan bertali leher hitam, nyata sekali penampilannya tidak menggambarkan dia sebagai pensyarah agama!
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras rupa...” Seakan mengerti jelingan si gadis, Adli membalas perlahan. Pantas senyuman terukir di wajah gadis itu.
“Saya Adli...Saiful Adli...nama awak?” Soal Adli.
“Saya Azlina...call me Lina...” Balas Azlina.
“Oh, boleh berbahasa Melayu rupanya...ingatkan dah lupa...maklumlah...” Sindir Adli sambil tertawa kecil. Azlina mencekak pinggang. Dia mengetap bibir. Pantang sekali disindir sedemikian rupa.
“Jangan menilai pekerjaan seseorang melalui paras muka, kan?” Balas Azlina.
“Ya...benar...Dah lama Lina tunggu di sini?” Soal Adli lagi.
“Ya...about 15 minutes ago...” Balas Azlina.
“Memanglah...kalau lagi tiga jam pun, takkan ada teksi atau bas yang lalu di sini.”
“May I know why?” Soal pensyarah wanita itu kembali.
“Sebab jalan ni dah tak digunakan...teksi dan bas hanya ambil penumpang di jalan hadapan. Penduduk taman perumahan ni buat aduan pada majlis perbandaran bulan lepas...jadi, kalau nak tunggu bas kena ke jalan utama ya...pergi dulu...nice to meet you...assalamualaikum..." Balas Adli sebelum menghidupkan enjin kembali. Hon dibunyikan sebelum motosikal besar itu berlalu pergi.

2 comments:

farra said...

salam....sedap kata-kata yang awal tu????nama heroin pun best!!!!! bijak2.....

Anonymous said...

Assalamu'alaikum, wah, puitis nampaknyer adik Alyas ni yer? erm, nk comment kan... starting yg menarik. tak terlalu cepat dan tak terlalu slow. steady. cool jer aturannya di 1st chapter ni. cam pengarangnyer jugak. gaya olahan tentang alam sekitar ada gaya khadijah ibrahim. biasa dgr? k, nk bacer chapter lain... sedia dikritik? ;D just kidding... Wassalam...