Digital clock

Tuesday, March 22, 2011

CERPEN: ABANG MUS...!

Cerpen - Abang Mus..
(Oleh Tongkat Jibril)

DIA tekun mengelap meja yang basah. Wajahnya riang bersahaja, tiada menzahirkan sebarang keletihan waima sudah hampir seharian dia bekerja di situ. Mata bundarnya cekap mencari kotoran sisa makanan untuk dibersihkan. Usai mengelap meja, dia berganjak ke meja yang lain. Ditariknya besen besar berisi pinggan mangkuk kotor bersama.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya...

Suaranya sesekali kedengaran bergema di warung makan itu. Biarpun tidak semerdu mana, namun cukup sekadar dapat memuaskan hatinya. Dia tidak menghiraukan pelanggan yang sedang menikmati hidangan. Mereka juga sama. Sudah biasa dengan keadaan itu. Normal bagi seorang kurang upaya sepertinya terhibur dengan caranya yang tersendiri. Malah, jika suaranya tidak kedengaran, akan ada insan yang meminta.

Sebaik melihat iklan angkasawan negara di kaca televisyen, hatinya bernyanyi riang. Dia akan terhenti sejenak, melihat iklan dengan penuh bersemangat biarpun sudah puluhan kali ditayangkan. Senyuman jelas terukir di bibirnya.

"Den nak jadi macam abang Mus. Den nak poie ko bulan macam abang Mus! Mawi tak poie bulan. Datuk Siti pun samo..." Ucapnya bila orang bertanya. Cita-citanya melangit tinggi. Dia berazam untuk menjadi angkasawan juga suatu hari nanti. Dia kurang upaya dari segi minda dan pergerakan, namun dia tidak kisah. Kecacatan bukan penghalang kejayaan seseorang, tapi anugerah daripada Tuhan; itu pesanan arwah ibu yang dipegangnya sampai mati!

Dari awal lagi dia mengikuti perkembangan angkasawan negara tersohor itu. Malah, dia sanggup merayu kepada majikannya Pak Mud untuk pulang awal semata-mata mahu melihat pelancaran kapal Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara ke ISS di kaca televisyen. Di rumahnya penuh dengan poster dan maklumat mengenai angkasawan negara. Dikumpulnya dari majalah dan akhbar. Dialah orang pertama yang membeli akhbar Berita Harian di kedai Subramalai setiap pagi. Kemudian, dibawanya ke warung. Dia tidak pandai membaca. Namun sebelum memulakan kerja, dia meminta Pak Mud membacakan berita tentang angkasawan negara idolanya. Kalau tidak pun, dia akan ke rumah kebajikan orang tua, meminta 'ayah-ayah dan ibu-ibunya' membacakan berita. Tapi, akhbarnya haruslah dalam tulisan Jawi atau bahasa Cina. Senyuman pasti meleret di wajahnya bila mendengar perihal angkasawan negara. Melangit sekali sanjungannya!

"Kalau tak kerana dia dapat ke bulan, takkan ada orang yang nak kenal dia tau!" Entah bagaimana, telinga si kurang upaya menangkap suatu perbualan 'hangat'. Ada suara yang cuba menjatuhkan imej angkasawan negara yang baru berlepas ke bulan. Ya, angkasawan yang menjadi kebanggaan seluruh pelusuk tanah air. Dr Sheikh Muszaphar atau mesra dengan panggilan abang Mus oleh gadis-gadis kilang yang selalu berkunjung ke warung. Lebih hebat daripada Mawi, Datuk Siti Nurhaliza atau artis kegemaran masa kini yang lain.

"Membazir sahaja pergi ke sana... bukannya dapat apa pun!" Sampuk yang seorang lagi.

"Sepatutnya, kerajaan bagi bantuan untuk orang macam kita ni." Tambah lagi seorang.

"Nak cari publisiti murahan agaknya, sampai semua orang perempuan tergila-gilakan dia!" Balas temannya yang duduk semeja. Berdesing telinga sang cacat mendengarnya. Idola pujaannya dihina sedemikian rupa. Dia terhenti mengelap meja. Kain lapnya dipegang kemas. Apa dosa abang Mus sampai pemuda-pemuda itu hendak menghinanya? Dia bukan merosakkan negara. Malah, kebanggaan kita semua juga!

Dadanya berombak laksana tsunami Acheh. Taufan amarahnya memuncak, melampiaskan kerut-kerut berselirat di wajahnya. Dia mengetap bibir. Perlahan-lahan dia mendatangi penganggur sepenuh masa itu sebelum kain lapnya dilemparkan tepat mengenai muka salah seorang daripada mereka. Tersentak kesemuanya memandang Yusuf.

"Orang gila! Orang jahat! Perosak bangsa!" Jerit si cacat lalu menampar wajah mereka.

"Usop naik gila! Usop naik gila!" pekik seorang daripada mereka sambil memegang kedua-dua belah tangan Yusuf. Si cacat meronta-ronta minta dilepaskan. Pak Mud berlari mendapatkan Yusuf yang sedang bertelagah dengan pemuda-pemuda menganggur itu. Dia cuba menenangkan Yusuf. Para pelanggan yang lain turut membantu menenangkannya.

"Diaorang jahat, Pak Mud! Diaorang kutuk abang Mus... den marah! Den tak suko! Abang Mus baik! Abang Mus solat di angkasa. Abang Mus puasa. Abang Mus sambut raya di sana. Tapi diaorang tak solat! Tak puasa! Jahat! Suka kacau kakak-kakak kilang!!!" Amarahnya dilontar sehabis mungkin. Pak Mud mengangguk perlahan. Dia menenangkan perasaan Yusuf. Si cacat itu walaupun buta huruf, namun masih punyai hati budi dan perasaan. Malah, pengetahuannya menjangkaui insan biasa.

"Jangan marah orang jahil, nanti kita pun sama jahil, Sop!" Pujuk Pak Mud, sinis.

"Abang Mus bagus kan, Pak Mud?” Soal Yusuf lagi.

"Memanglah, anak Malaysia dan orang Melayu pertama ke bulan! Siapa tak bangga?” Pak Mud membakar semangat Yusuf. Dia menyuruh si cacat itu duduk sejenak di sudut kiri warung. Biar tenang dahulu, baru boleh kembali bekerja. Pemuda-pemuda tadi segera angkat kaki. Mereka malu dengan apa yang berlaku. Keadaan di warung kembali tenang.


Limpahan kasih

Setibanya sore, Yusuf meminta izin untuk pulang sebentar. Seperti biasa, dia akan singgah dahulu ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Darul Kifayah tidak jauh dari tempat dia bekerja. Dia menjinjing bersama bekalan makanan untuk diberikan kepada orang-orang tua yang sudah dianggapnya seperti keluarga sendiri. Pak Sahar, Haji Syafiq, Wak Azran, Uncle Jun Bin, Mek Aina, Ummi Hawa dan Nyonya Shi Mun sedang beristirahat di bangku batu berdekatan pagar utama tatkala Yusuf melewati pagar besi.

"Angkasawan sudah datang!" Laung Wak Azran. Kesemua mereka memandang ke arah Yusuf. Terhincut-hincut Yusuf mendekati mereka. Diletakkan bekalan makanan ke atas meja batu. Manik-manik peluh dikesat menggunakan tuala kecil. Dia mengibas-ngibas bajunya, kepanasan.

"Banyaknya makanan... syukurlah!" Ucap Pak Sahar.

"Bertuah kita dapat anak macam Usop, ya!" Haji Syafiq melontar pujian.

"Tengoklah anak siapo..." Ujar Mek Aina, pekat dengan loghat Kelantannya.

"Eh, anak sayalah!" Sampuk Uncle Jun Bin. Nyonya Shi Mun mencubit lengannya.

"Hei, dia anak saya juga ma!" Balas Nyonya Shi Mun.

"Waduh, anak wak juga!" Wak Azran turut mengusik. Ummi Hawa menggeleng sambil menjuihkan bibirnya. Wanita tua Terengganu itu menafikan kesemua pengakuan teman senasibnya.

"Kita tanya Usop... semuanya tipu belaka ni!" Cadangnya, berseloroh. Mereka memandang anak cacat itu. Pipi Yusuf berona merah. Dia tersipu-sipu sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bertuahnya dia kerana dapat memiliki kasih sayang daripada insan-insan lebih separuh abad itu. Bertuahnya dia kerana tidak kesunyian sejak kematian ibunya. Bertuahnya dia kerana diberikan dorongan dan semangat oleh mereka hingga membolehkan dia berjaya menyesuaikan diri dengan masyarakat.

"Usop nak jadi anak semua sekali!" Balas Usop. Kesemua mereka tertawa serentak. Mereka membuka bekas berisi makanan, lalu menikmatinya bersama. Ada gulai asam pedas kesukaan Wak Azran dan Pak Sahar, ikan masak singgang kegemaran Mek Aina dan Ummi Hawa dan tauhu sumbat kegilaan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun.

Kemesraan jelas terpancar di sebalik keakraban hubungan mereka. Tanpa segan silu atau malu, mereka menyuap makanan antara satu sama lain. Mereka gembira dengan hidup mereka kini, biarpun hidup dalam buangan dan peninggalan anak-anak dan insan yang mereka kasihi. Bagi mereka, Yusuflah tempat mereka menumpang kasih walau anak itu juga senasib. Yusuf dianggap sebagai anak oleh mereka. Malah, penjaga di situ pun sudah menyukai Yusuf dan tidak menghalang anak cacat itu mendatangi mereka siang atau malam. Aidilfitri yang lalu juga turut dirai bersama dengan si cacat itu. Alangkah!

"Malam ni, Abang Mus nak balik ke bumi!" Yusuf membuka bicara tatkala hidangan selesai dijamah. Mereka mengangguk perlahan, sedia maklum dengan berita itu. Bersungguh benar dia menyatakan perkara itu.

"Kita tengok sama-sama, ya!" Pinta Yusuf. Mereka semua mengangguk sambil tersenyum. Kekaguman mereka terhadap wawasan anak cacat itu sememangnya timbul sedari awal lagi. Melihat kesungguhan dia membawa poster dan akhbar untuk mendengar perkhabaran tentang Dr Sheikh Muszaphar dan mendengar celotehnya mengenai angkasawan idolanya membuatkan mereka tidak membantah atau menyanggah, bila si cacat menyatakan dirinya juga ingin ke bulan. Malah, mereka menyokong sepenuhnya. Bukan menjadi persoalan sama ada cita-citanya tercapai atau tidak, namun kesungguhannya itu yang harus dijana dengan baik. Anak cacat itu tidak mengenal erti putus asa!


Debar menanti

"Dah nak mula!" Pekik Yusuf sambil memandang kaca televisyen. Pak Sahar awal-awal lagi sudah turun, diikuti Wak Azran yang terkedek-kedek di belakangnya. Dia membebel dari tadi kerana kopiah Jawanya hilang entah ke mana. Haji Syafiq muncul dari dapur dewan makan sambil menatang sepinggan roti. Di belakangnya, menapak Mek Aina dan Ummi Hawa membawa minuman. Mereka masih gagah membuat kerja dapur biarpun usia semakin senja. Kelihatan Uncle Jun Bin dan Nyonya Shi Mun muncul dari pintu utama. Mereka semua melabuhkan punggung di atas sofa, sedang mata terpaku melihat kaca televisyen. Debarannya kian terasa....

Alangkah gembiranya Yusuf bila berita melaporkan kapal angkasa Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar selamat mendarat di bumi walaupun tersasar beberapa ratus kilometer dari kawasan jangkaan dia mendarat iaitu di Arklyk. Melompat kegirangan Yusuf sambil menyanyi riang tatkala melihat wajah Sheikh Muszaphar. Malaysia Boleh! Dia melaungkannya beberapa kali. Kesemua mereka tersenyum dengan telatah Yusuf.

Dalam hati tua mereka, tersisip rasa bangga dengan angkasawan pertama negara itu kerana berjaya merealisasikan hasrat negara. Hadiah ulang tahun ke-50 merdeka, bisik Pak Sahar kepada teman-temannya. Linangan air mata membasahi pipi berkedut mereka. Bertuah rasanya menjadi warga Malaysia. Terima kasih Sheikh Muszaphar! Malaysia Boleh! Malaysia memang boleh!



--------

Biodata

TONGKAT Jibril, nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil yang dilahirkan pada 27 Februari 1989. Beliau terbabit dalam genre cerpen dan novel. Novel pertamanya, Nobat Kasih diterbitkan oleh Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006. Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, ini kini menuntut dalam Jurusan Sains Hayat di Kolej Matrikulasi Melaka.

No comments: