Digital clock

Tuesday, March 22, 2011

CERPEN: WARKAH SANG AZAZIL

Syaitan Laknatullah@Malaikat Azazil,
No. 7, Neraka Jahannam,
Alam Ghaib Milik Allah,
1 Ramadan 1429 H
Negeri Akhirat Yang Abadi.
MENEMUI kalian anak-anak Adam, musuh yang paling kubenci!

Aku memandang langit mega yang terbentang luas. Awan yang berarak memayungi alam fana kelihatan tersenyum riang. Kedengaran kicauan burung-burung yang berterbangan di angkasa raya, berzikir menyambut ketibaannya yang bakal menjelang tiba. Kegelisahanku makin bertimbun menanti tiap detik yang berlalu. Aku makin derita, saat ia hampir mendatangi alam ini. Aku makin menggila saat ia berlabuh dalam dakapan waktu!
Celaka!
Tahun ini ia kembali lagi! Setelah sekian lama aku terseksa, ia mampir menggangguku lagi. Pastinya nanti aku dibelenggu dengan rantaian neraka maha dahsyat oleh malaikat Tuhan Yang Maha Agung yang tidak terperi bilangannya. Pastinya aku akan merengkuk dalam penjara neraka bersama azab daripada-Nya.
Kuperhatikan pula tanah subur menghijau. Air yang mengalir tenang seakan menyindir diriku yang ketakutan. Bayu yang berpuput riang seakan gembira dengan bahana yang bakal menyelubungiku. Pohonan yang meliang-liuk seakan menari-nari, tanda gembira dengan kehadirannya. Ah, peritnya nasibku ini! Celakalah kalian semua!
Kalau tidak keranamu Adam, aku tidak mungkin dilaknat begini!
Kalau tidak kerana kau Muhammad, mana mungkin aku dibelenggu Ilahi!
Kalau tidak kerana umatmu, takkan hadir kegelisahan dan ketakutan ini!
Dari jauh, aku melihat bala tenteraku menggoda sang umat terakhir sedaya upaya dalam masa yang begitu kritikal. Ada yang berjaya, hingga manusia menganggap akulah Tuhan mereka. Namun ada juga yang terbakar bersama panahan kalimah-Nya. Ada yang cedera, dek kerana keimanan dan ketakwaan yang seberat zarah membatasi nafsu seluas lautan dunia.
Lensa mataku memandang ke arah segerombolan umat manusia yang khusyuk dalam ibadatnya. Aku melihat junta-juntaku berpaut, memujuk rayu sang manusia supaya melupakan Penciptanya. Mempengaruhi akalnya supaya memikirkan dunia. Menguasai hatinya supaya mensyirikkan-Nya. Bagus! Lakukanlah lagi hingga mereka tenggelam dalam nista mereka! Lakukanlah!

Wahai Muhammad Pesuruh Allah, lihatlah apa yang telah bala tenteraku lakukan pada umatmu! Mereka cuba menyesatkan umatmu agar mengikuti kemahuan nafsu dan melupai nikmat syurgawi yang bakal terbentang nanti. Aku tingkatkan nafsu syahwat mereka dengan wanita-wanita yang berpakaian tiada menutup aurat. Mereka kuhasut agar mendedahkan pinggul, perut, dadanya untuk tatapan sekalian alam. Aku hiaskan mereka dengan gelojak nafsu serakah agar mereka bisa menggoda umatmu yang beriman berpaling daripada keimanan mereka, umatmu yang warak dan alim menjadi dungu dan cintakan dunia.

Maka hasilnya, lahirlah anak luar nikah yang tidak berdosa, yang tidak mengenal siapa ibu bapanya. Mereka dibunuh, ditinggalkan bertaburan di muka bumi. Kusogokkan juga keinginan mereka dengan hiburan yang melampau, kebebasan hak manusiawi, kecanggihan teknologi yang semakin disalahertikan, hingga mereka menganggap halal dan haram bukan lagi satu pegangan yang utuh dalam diri mereka dan berkiblatkan urusan duniawi, melupai alam ukhrawi. Saksikanlah kejatuhan agama Tuhanmu, ya Muhammad! Kejatuhan oleh tentangan para pengikutku Yahudi, Nasrani dan Majusi yang mengikut segala telunjukku! Saksikanlah!

Aku ketawa sendirian, bangga melihat usahaku membuahkan hasil setelah sekian lama. Bangsa Yahudi yang bodoh telah menurut kemahuanku. Terima kasih Musa as-Samiri kerana menjadikan aku sebagai panduanmu bagi kaum Yahudi. Terima kasih Saint Paul kerana menjadikan musuhmu, Isa al-Masih sebagai Tuhan bagi umat Nasrani. Aku masih belum puas melihat umat Muhammad yang beriman dipermainkan seperti himar. Disembelih, dibunuh dengan kejam oleh musuhnya yang tidak mengenal erti penat.

Baitulmaqdis menjadi rebutan Yahudi dan umat Muhammad yang beriman. Aku meniupkan hasutanku pada pemimpin-pemimpin Yahudi supaya mendirikan Haykal Beit Hamiqdash atau Temple Of Mount di atas Masjidil Aqsa, tempat suci ketiga bagi umat Islam agar bisa menjadi tempat peribadatan mereka. Aku menghasut mereka supaya menyediakan kota Eretz Yitzrel atau negara Yahudi sebelum kedatangan Messiah, penyelamat untuk mereka. Aku menitipkan kata-kata semangat kepada mereka agar berusaha untuk merampas kembali al-Haram al-Syarif setelah Saidina Umar al-Khattab, musuhku yang paling kutakuti menakluk kota itu. Masih terbayang bagaimana gentarnya aku saat khalifah Al-Faruq itu melalui lorong-lorong kota untuk melihat umatnya. Pandangan matanya cukup menakutkan, hingga aku lari bergelimpangan bersama-sama tenteraku yang lain.

Kukatakan juga bahawa merekalah bangsa paling agung, sedangkan mereka akan menjadi temanku di neraka kelak. Bodohnya manusia, walau akal berdiri utuh di kepalanya!

Entah bagaimana, aku terpandang kembali ke arah langit. Kulihat pintu-pintu rahmat terbuka dengan luasnya. Pintu-pintu syurgawi turut dibuka, sedang para bidadari mempersiapkan diri bagi menyambut ketibaan bulan yang mulia. Kuperhatikan pula kuburan para Muslimin. Dari jauh, aku mendengar laungan kegembiraan daripada mereka. Benar, Ramadan datang membawa sejuta rahmat buat alam dan isinya. Semuanya menikmati rahmat Ilahi melainkan aku sahaja. Bangsat!

Teringat daku akan kata-kata Muhammad sewaktu aku berdiskusi bersama-samanya suatu masa dahulu;

“Andai kau mahu Allah mengampunkan dosamu, maka sujudlah pada kubur Adam, wahai musuh Allah dan hamba-Nya!”

“Tidak! Tidak sekali-kali wahai pesuruh Allah! Aku boleh melakukan apa saja yang diperintahkannya melainkan sujud di kuburan musuh yang telah menyebabkan aku terkeluar dari syurga!” Aku membentak keras.

“Kau terlalu membangga diri dan sombong wahai Azazil laknatullah!” Masih terngiang-ngiang di telingaku suara Nabi Allah itu. Api amarahku semakin marak bila mengenangkan peristiwa pengusiranku dari syurga. Hanya kerana aku tidak mahu sujud kepada Adam, aku dikutuk selama-lamanya. Walhal, dahulu akulah malaikat yang paling taat pada-Mu, Ya Allah! Akulah yang paling banyak memuji dan mengesakan-Mu. Akulah malaikat yang paling mulia di sisi-Mu. Malah, akulah ketua malaikat yang berdoa untuk malaikat yang lain bila mana kau menyatakan bahawa akan ada di kalangan kami yang tersesat. Namun, entah mengapa aku terlupa mendoakan diriku sendiri hingga aku cenderung untuk sesat begini.

Masih mekar dalam ingatanku tatkala aku memohon dipanjangkan usiaku untuk menyesatkan umat manusia lalu Allah memperkenankannya. Aku diberikan umur yang panjang sehingga hari kiamat menjelma tiba. Alangkah gembiranya aku kerana diberikan peluang walaupun aku mengerti azabnya amat pedih.

Sayup-sayup kedengaran suara azan memuji keagungan Allah. Aku melihat para juntaku berlari lintang-pukang, terbakar dengan panahan kalimah tayyibah Tuhan. Aku merasai bahang terbakar pada setiap liang tubuhku.

Ramadan dah tiba! Celakalah kita semua!

Aku mendengar lolongan dahsyat daripada segenap penjuru alam. Seluruh anak pinakku bertaburan menyelamatkan diri daripada dibelenggu malaikat Allah. Bilangannya, sukar untuk diramalkan. Rantaian neraka yang panas membara dilontarkan ke arah junta-juntaku. Lolongan mereka memecah keheningan alam maya. Sakitnya, pedihnya sukar untuk kukatakan. Celakalah Ramadan! Bulan yang menjanjikan kesenangan buat umat Muhammad!

Pantas aku melarikan diri bila mana malaikat mendatangiku. Mereka membawa rantaian panas membara. Namun, aku tewas dengan kekuasaan-Nya. Sudah ditakdirkan aku terpaksa melalui semua ini.

Celakalah Ibrahim, yang membaling batu ke arahku dahulu demi Allah!

Jahanamlah Ayub kerana takwa dan kecekalannya menghadapi ujian Allah!

Durjanalah Sulaiman, kerana pernah menguasai aku suatu masa dahulu!

Leherku direntap sang malaikat dengan tidak semena-mena. Aku meronta, sedang tangan dan kakiku diikat pula dengan besi neraka maha azab. Aku diseret bagaikan himar tua, dibawa memasuki neraka bersama junta-juntaku yang lain. Mereka merintih, menyumpah sekalian umat Muhammad.

Beruntunglah kalian wahai umat Muhammad dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak ini! Celakalah kami, musuh Allah yang terpaksa dibelenggu selama sebulan hanya kerana bulan yang mulia ini. Bergembiralah kalian semua, tapi jangan lupa. Kami juga meninggalkan senjata utama kami iaitu nafsu. Berbahagialah mereka yang dapat menguasainya dan celakalah mereka yang dikuasainya! Dan pintu neraka Jahanam ditutup serapat-rapatnya. Kedengaran suara lolongan maha dahsyat bergema, memecah keheningan mayapada.

Salam takziah daripadaku buat kalian semua!

Yang benar,

AZAZIL


INFO

TONGKAT Jibril adalah nama pena bagi Muhammad Alyas Abul Jalil yang terbabit dalam penulisan cerpen dan novel. Bekas pelajar Sek Men Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Semsas), Kuantan ini, bergiat sepenuh masa dalam bidang penulisan. Karyanya mendapat tempat dalam akhbar arus perdana manakala novel remajanya, Nobat Kasih, diterbitkan Cerdik Publication Sdn Bhd pada 2006.

diambil dari: berita harian online

1 comment:

SITI NURSHAHIDAH BINTI ALI said...

As-salam,,abg alyas..
saye baru tahu yg abg ni penulis..
hampir setiap hari selisih dgan abg di fakulti dan di masjid,,baru skrang saye tau yg abg ni bukan setakat berbakat dalam nyanyian..malah berbakat dlam bidang sastera jugak..