Sunday, October 18, 2009

NOVEL BERSIRI:MENCARI HUMAIRA' HATI

TIGA
Bertuturlah cinta mengucap satu nama
Seindah goresan sabdaMu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih mengutus hati ini
Kusandarkan hidup dan matiku padaMu...
-KETIKA CINTA BERTASBIH-
“Makan seorang saja?” Sapa Adli sambil mengukir senyuman. Azlina terperanjat. Terkebil-kebil matanya memandang pemuda itu. Entah dari mana datangnya, tahu-tahu saja sudah menegur orang yang sedang makan. Azlina buat acuh tak acuh sahaja. Jual mahal!
“Maaflah kalau awak terasa pasal pagi tadi...” Ujar Adli sambil menarik kerusi. Dia melabuhkan punggung di hadapan gadis yang sedang menikmati hidangan tengah harinya. Azlina masih membisu, leka menikmati nasi ayam dan teh aisnya. Semakin lama, semakin laju dia menjamah makanan.
“Tak faham Bahasa Melayu ya? I’m so sorry...” Usik Adli lagi. Kali ini, Azlina mengangkat wajah. Matanya memandang geram pemuda di hadapannya.
“Excuse me! Saya ni pun orang Melayu jugak...walaupun mengajar English, tak bermaksud saya lupakan terus bahasa ibunda saya!” Nadanya ditinggikan. Adli tertawa kecil. Alhamdulillah, akhirnya gadis itu bersuara.
“Kenapa ketawa? Is it funny?” Getus Azlina, geram. Pantas Adli mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda menyerah diri. Seorang pelayan mendatanginya untuk mengambil pesanan makanan dan minuman.
“Saya nak pesan makanan dan minuman yang sama dengan cik adik ni...” Ujar Adli. Pelayan itu melihat sejenak ke arah Azlina sebelum mengangguk perlahan. Dia berlalu pergi meninggalkan dua insan itu. Adli memandang Azlina dengan senyuman. Gadis itu tidak membalas. Masam mencuka wajahnya.
“Nama saya Saiful Adli, umur 26 tahun, asal daripada Perak, bekerja sebagai pensyarah agama di UiTM...saudari pula?” Adli memulakan kembali taarufnya. Azlina masih membisu. Minuman disedut menggunakan penyedut minuman dengan selamba. Malas melayan pemuda yang tak sedar diri itu. Nama sahaja pensyarah agama, tapi perangai langsung tak mencerminkan diri sebagai ustaz. Pakaiannya biasa saja!
“Saya tahu awak menilai saya dari pakaian, kan? Saya faham...Tapi, agama tak mengajar kita untuk melampaui batas. Cukuplah bersederhana dalam apa jua sekalipun. Saya hanya berpakaian kemeja dan seluar slack, namun di dalam seluar ni masih terselit kopiah...” Ujar Adli sambil mengeluarkan kopiahnya. Tergamam sejenak Azlina.
“Kalau tak pakai kopiah, maksudnya tak boleh bercakap soal agama? Tak boleh nak menegur orang yang buat maksiat? Tak boleh nak sampaikan dakwah? Macam tu?” Adli bersuara lagi. Kali ini, Azlina benar-benar tergamam. Benar, hujahnya jelas menampakkan dia seorang guru agama. Kelu lidah gadis itu untuk berbicara.
“Jangan melihat pada zahir orang yang bercerita soal agama, tapi lihatlah pada kebenaran yang dibawakannya...” Adli mengakhiri perbualannya dengan nada tegas. Dia bingkas bangun lalu bergerak ke kaunter pembungkusan makanan. Pesanan tadi mahu dibungkus. Azlina terkesima. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya ketika ini.
“Assalamualaikum...” Adli memberikan salam sebelum berlalu pergi. Tangannya menjinjing plastik merah berisi makanan dan minuman. Azlina memandangnya dengan sorotan mata. Ah, serba salah dibuatnya! Adli memakai topi keledar dan menghidupkan enjin motosikal. Senyuman tiada terukir seperti selalu di bibirnya. Wajah pemuda berjanggut tegak di dagu itu masam mencuka!
CBK 5264.
Sepantas kilat gadis itu menghafal nombor plat motosikal Adli. Dia tahu, Adli berkemungkinan tinggal di kawasan perumahan yang sama dengannya. Akan dicari rumah pemuda itu untuk memohon maaf seandainya diberikan peluang. Namun, bisakah seorang wanita sepertinya mendatangi rumah pemuda itu hanya untuk memohon maaf? Ah, susahnya begini! Memikirkan kata-kata Adli tadi, hatinya gementar saat diperingatkan tentang agama. Kedengaran ngauman motosikal Adli dari jauh. Azlina termangu sambil memutar sudu nasi di dalam pinggannya.
Ketika cinta bertasbih nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menantap
Sujud syukur padaMu atas segala cinta!

No comments: